Ibu bapa mana yang tidak sedih melihat anak meraung kesakitan. Seperti pelakon cantik Datin Paduka Eina Azman dan suami Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah, mereka tidak betah melihat dua beradik yang menghidap penyakit kulit, Ekzema kerana membayangkan bagaimana pula kalau anak kembar mereka yang terpaksa merasai kesakitan itu.
“Saya terdetik nak tolong keluarga Kak Nurul sebab memikirkan anak kecil saya Aubrey dan Karl . Kalau mereka sakit sikit pun saya dah rasa down dan sedih. Begitu juga lah yang dirasakan Kak Nurul. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Saya dan suami berasa amat sedih apabila melihat anak-anak Kak Nurul tadi menangis kerana menahan sakit”, jelas Datin Paduka Eina yang memang terkenal dengan sifat penyayang dan kelembutannya.
Malah, Datin Paduka Eina juga mendapat persetujuan daripada Nurul Ain Abdullah ibu kepada Lela Safiya Azmi, 2 tahun dan Muhammad Nayl Safiy enam bulan mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.
“Saya dan suami berkesempatan membawa mereka sekeluarga berjumpa dengan doktor pakar kulit di sebuah klinik swasta di Subang Jaya. Doktor mengesahkan Mohammad dan Lela Safiya boleh pulih tapi memakan sedikit masa. Ibu mereka juga mempunyai masalah ekzema sejak di usia remaja lagi. ” tambahnya lagi.
Niat murni Datin Paduka Eina dan suami juga mendapat pujian daripada netizen kerana berasa kagum dengan kesungguhan mereka untuk membantu penyakit yang dihidapi keluarga itu sehingga semuanya sembuh.
” Saya akan minta doktor untuk merawat dua anak kecil itu termasuk ibu mereka sehingga sembuh. Insyallah di beri rezeki yang lebih saya dan suami akan menghulurkan bantuan setiap bulan kepada keluarga Kak Nurul sehingga pulih. Insyallah”, jelasnya lagi.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 562085617913 Nurul Ain Abdullah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Peranan jentera barisan hadapan khususnya para petugas kesihatan sangat penting dalam mengawal penularan pandemik COVID-19 biarpun golongan inilah paling terdedah kepada risiko jangkitan.
Tanpa mereka pasti kita akan berhadapan dengan saat paling getir dalam menangani wabak berbahaya ini. Lebih-lebih lagi, negara kita kini sekali lagi terpaksa berhadapan dengan gelombang COVID-19 yang ketiga.
KISAH PERIBADI YANG TERSENDIRI
Di sebalik komitmen yang ditunjukkan oleh para petugas barisan hadapan, mereka juga sama seperti insan-insan lain. Punya keluarga serta kisah peribadi yang tersendiri. Pun begitu, komitmen terhadap masyarakat dan negara tetap perlu diutamakan.
Dr Amanda Elli antara petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa kenal erti lelah. Berusia 28 tahun, Dr Amanda kini bertugas di Unit COVID salah sebuah pejabat kesihatan daerah. Terdahulu, graduan dari National University of Ireland, Galway ini pernah ditugaskan di jabatan Kecemasan dan Trauma salah sebuah hospital kerajaan.
Senyuman tidak pernah lekang di bibir doktor cantik kelahiran Kuala Lumpur ini. Sentiasa komited, berfikiran positif dan ceria itulah yang diamalkan Dr Amanda sepanjang bertugas. Namun, di sebalik keceriaan itu tersimpan satu kisah di mana Dr Amanda dan suami terpaksa berjauhan selama 7 bulan sejak Februari lalu demi tugas.
TERPAKSA BERPISAH
Pasangan ini bertemu jodoh di aplikasi media sosial iaitu Tinder. Walaupun pada mulanya Dr Amanda kurang percaya dengan ‘cinta online’ namun inilah yang dikatakan takdir.
“Saya bergelar isteri kepada M. Syaiful Hisam pada Februari lalu. Namun, detik indah sebagai pengantin baru hanya dikecapi sementara kerana tiga hari selepas itu saya terpaksa ‘melepaskan’ suami yang perlu meneruskan tugasnya sebagai Drilling Engineer Specialist di offshore.
Walaupun lama terpisah, suami tetap positif dan sentiasa memberi kata-kata semangat. Bohonglah kalau kata tak sedih. Kami sentiasa berusaha untuk berhubung walau dalam apa jua cara seperti melalui Facetime dan video call. Kadang-kadang bila internet connection terganggu terasa seperti bercakap dengan dinding pun ada. So mental kena kuatlah.
Sepanjang ketiadaan suami, saya tinggal bersama keluarga. Tak dapat bayangkan kalau keluarga saya pun jauh. Syukurlah keluarga sentiasa ada bersama saya. Ibu bapa saya pun masih manjakan saya seperti anak kecil walaupun saya dah berkahwin.
KEMBALI BERTEMU
7 bulan berlalu akhirnya suami memaklumkan dia akan pulang ke tanahair. Ketika itu suami berada di Arab Saudi. Tak dapat bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu. Ternyata ia bukanlah satu jangka masa yang singkat. Hanya mereka yang benar-benar kental terutama dari segi mental akan berjaya melaluinya detik sukar ini.
Sejujurnya, bila suami memaklumkan yang dia akan pulang saya merasa sangat gembira sampai tak tidur malam. Setiap hari yang berlalu saya akan catat dalam diari. Saya kumpul sikit-sikit duit simpanan dengan niat dapat membelikan hadiah sebagai kejutan buat suami.
Pada mulanya saya merasa agak kekok juga dan tidak tahu bagaimana hendak bersemuka dengan suami. Maklumlah dah lama kami tak bertemu. Walaupun rasa gembira tetapi bercampur sayu kerana saya dapat merasakan pertemuan ini hanyalah sementara. Walau bagaimana pun, saya bersyukur kerana suami bebas daripada COVID-19.
JAGA SUAMI DALAM TEMPOH KUARANTIN
Suami menjalani tempoh kuarantin bermula pada 18 September 2020 sehingga 1 Oktober 2020. Sepanjang suami ditempatkan di pusat kuarantin, saya adalah antara doktor yang bertugas. Segala urusan dan layanan yang diberikan adalah sama seperti pesakit-pesakit kuarantin yang lain.
Saya hanya mampu menghantar makanan segera yang diluluskan oleh agensi kerajaan. Minuman dan makanan dalam botol kaca atau tin tidak dibenarkan sama sekali. Jadi saya kirimkan air koko ‘3 in 1’ buat suami.
Apa yang saya belajar dari pengalaman ini ialah erti kesetiaan serta saling mempercayai. Tanpa dua perkara ini sukar untuk sesebuah hubungan itu kekal lama. Sudah lumrah dalam kerjaya kami akan sentiasa berjauhan. Maka kepercayaan dan kesetiaan kami sangat kuat. Semoga ianya kekal sampai bila-bila.
NASIHAT BUAT WANITA
Buat wanita-wanita bergelar frontliner mahupun isteri-isteri yang suaminya seorang frontliner, sentiasalah bersabar dan berfikiran positif. Memikul tanggungjawab sebagai seorang frontliner adalah satu amanah yang tidak harus dipersiakan. Semua yang berlaku pasti ada hikmah yang lebih besar.
Sekiranya kita dalam kesedihan disebabkan pandemik COVID-19, sentiasalah ingat bahawa kita tidak bersendirian. Kita semua sedang menghadapinya bersama-sama. Kita jaga kita.”
Semoga Dr Amanda dan suami terus saling mencintai dan menyayangi antara satu sama lain seterusnya dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah kelak.
Semoga para petugas barisan hadapan kita terus cekal bersama amanah yang tergalas di bahu. Bersama-samalah kita menjaga SOP dan berdoa agar wabak ini segera lenyap dari muka bumi.
Kredit Foto: Instgram @dr_princessamandaelli
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila memperkatakan tentang sukan bola sepak, ia sering dikaitkan dengan kaum lelak. Walau bagaimanapun, kini pasukan bola sepak wanita juga tidak kurang hebatnya di mata dunia.
Penampilan pemain pasukan Maghribi, Nouhaila Benzina yang mengenakan hijab pada perlawanan Piala Dunia Wanita yang sedang berlangsung kini. Nouhaila merupakan pemain pertama mengenakan hijab pada perlawanan tersebut mewakili pasukan Maghribi yang turun menentang Korea Selatan.
Pada perlawanan tersebut, Maghribi memenangi aksi pertama dalam sejarah kejohanan apabila jaringan Ibtissam Jraidi memastikan kemenangan 1-0.
Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa) menarik balik sekatan melarang pemain bola sepak memakai hijab, hampir sedekad lalu, apabila sebelum ini bimbang dengan keselamatan pemain.
Nouhaila, 25, yang beraksi sebagai pemain pertahanan bersama kelab di Maghribi, diturunkan menentang Korea Selatan untuk mencatat namanya dalam buku sejarah.
Pemain Maghribi ini turut berkongsi di media sosial mengenai penampilannya di Piala Dunia dengan mengenakan hijab, tetapi tidak bercakap kepada media di Australia dan New Zealand mengenai perkara tersebut. Baru-baru ini, dia memberitahu stesen televisyen Al Jazeera, bahawa ia akan detik yang membanggakan.
“Banyak kerja dilakukan sejak beberapa tahun lalu dan terima kasih kepada Tuhan kerana ia memberikan keputusan positif,” katanya.
“Kami harap dapat bermain di tahap tertinggi dan membanggakan rakyat Maghribi.”
Beberapa sukan lain seperti bola keranjang turut menarik balik sekatan terhadap hijab, tetapi masih tidak dibenarkan pada perlawanan bola sepak rasmi di Perancis.
Mereka layak ke Piala Dunia kali pertama selepas muncul naib juara Piala Afrika Wanita, tetapi dibelasah 0-6 di tangan Jerman pada perlawanan pembukaan dan Nouhaila diletakkan sebagai pemain simpanan.
Meskipun kelihatan kasar dan lasak, namun Nouhaila juga mempunyai citarasa fesyen yang tidak boleh dipandang sebelah mata. Melalui perkongsian di laman Instagram miliknya, wanita berusia 25 tahun ini sering berkongsi foto ootd dirinya yang kelihatan lebih feminin dari pakaian yang digayakan ketika di padang bola.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahun Baru Cina adalah perayaan yang diraikan oleh kaum Cina di seluruh dunia mengikut kalendar lunar. Kaum Cina menggunakan kalendar lunar untuk mengira tarikh perayaan tahunan mereka, ini bermakna tarikh sambutan Tahun Baru Cina setiap tahun adalah berbeza dan biasanya akan disambut pada akhir Januari ke bulan Februari setiap tahun.
Kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina di Indonesia tidak kurang meriahnya apabila tradisi makan besar juga merupakan antara perkara wajib dalam sambutan perayaan tersebut.
Menjengah ke ruangan Instagram milik selebriti pasangan selebriti Indonesia, Christian Sugiono dan isterinya, Titi Kamal, pasangan ini turut meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarga besar Christian Sugiono yang terletak di Bali Indonesia.
Untuk rekod, bapa Christian mempunyai kacukan Tionghoa-Indonesia dan meraikan sambutan Tahun Baru Cina. Manakala ibunya, Brigitte Podborn berasal dari Jerman. Tian merupakan anak kedua dari tiga bersaudara. Sememangnya darah Tionghua mengalir dalam diri Tian dan peluang berkumpul bersama seluruh keluarga amat dinanti-nantikan oleh aktor berusia 41 tahun itu.
Lebih istimewa, sambutan kali ini diraikan di kediaman baharu keluarga Christian atau lebih mesra disapa Tian yang terletak di Bali, Indonesia.
Tahun ini sambutan Tahun Baru Cina lebih meriah apabila kesemua ahli keluarga dapat berkumpul dan mengenakan busana rona merah yang membawa maksud tersendiri dalam masyarakat Tionghua di seluruh dunia. Semua ahli keluarga dapat berkumpul dan makan bersama kerana tradisi ini dianggap sebagai hidangan yang paling penting pada tahun itu.
Seluruh keluarga Tian berkumpul, termasuk Titi Kamal dan juga kedua anak mereka. Semuanya memilih memakai baju merah yang menjadi penanda keberuntungan pada momen sambutan Tahun Baru Cina.
Setiap tahun, pasangan ini bakal merayakan tiga perayaan besar dalam kalendar perayaan di Indonesia iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Krismas memandangkan Titi Kamal dan Tian menganut agama Islam manakala keluarga bapa Tian menganut Kristian dan meraikan smabutan Tahun Baru Cina mengikut adat Tionghua.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!