Puteri Sarah Liyana telah selamat melahirkan anak kedua pada 16 Mac yang lalu. Puteri comel itu telah diberi nama sebagai Sumayyah Mohd Shamsul. Adik kepada Syaikhul Islam Mohd Shamsul kini sudah pun berusia 3 bulan.
IKLAN
Melihat foto-foto yang telah dikongsi oleh pelakon yang pernah membintangi drama Dunia Anita ini dalam media sosialnya baby Sumayyah seperti mengikut wajah ayahnya pelakon dan pengarah Syamsul Yusof.
Tapi bila Puteri Sarah berkongsi gambarnya ketika kecil, memang Sumayyah saling tak tumpah seperti ibunya. Kongsi Puteri Sarah, “Mama VS Sumayyah. Sama tak muka mama dengan Sumayyah?” tanya Puteri Sarah.
Dalam keterujaan mendapat anak kedua, Puteri Sarah tidak pernah mengabaikan anak sulungnya, Syaikhul Islam. Wanita ini berpegang kepada nasihat yang telah diberikan kepada ibunya sebaik mendapat anak kedua.
“Ada satu perkara nasihat dari ibu yang Sarah pegang sehingga kini iaitu memberi perhatian kepada Syaikhul berbanding Sumayyah. Bukan apa, Syaikhul sedang melalui fasa membesar dan memerlukan lebih perhatian berbanding Sumayyah yang masih bayi lagi.
Syaikhul perlukan bimbingan dan perhatian supaya dia tidak rasa disisihkan. Sarah tak mahu dia rasa terabai hanya kerana kami sudah mempunyai Sumayyah,” kongsi Puteri Sarah yang beruntung kerana tidak mengalami fasa ‘mabuk’ yang melampau ketika mengandung.
IKLAN
Bercerita tentang perkembangannya terkini, cerita Puteri Sarah, “Alhamdulillah, jenama Mattness by Shara telah memasuki pasaran di 55 buah stor Aeon. Saya tidak mahu berhenti di situ sahaja dan mahu menerobos pasaran di Guardian pula,” tutur Puteri Sarah.
IKLAN
Dengan status sebagai selebriti dan memiliki wajah yang cantik telah menjadi pakej lengkap buat wanita ini menjalankan bisnes yang berasaskan kecantikan, benarkah begitu?
“Sebenarnya saya dah lama nak buat produk kosmetik ini tetapi sekarang baharu dapat direalisasikan. Mungkin rezeki anak.
Apa yang lebih membanggakan apabila perjalanan Mattness by Shara ini tak ada bantuan suami dan 100 peratus atas usaha saya sendiri daripada segi modal dan operasi. Memang saya nak buktikan saya boleh buat sendiri.
Suami pula telah memberi keizinan kepada saya untuk bergerak bebas untuk melakukan apa sahaja. Tapi suami selalu berpesan agar pandai jaga diri dan menjaga nama baik suami. Biasanya saya akan bawa mama sebagai peneman,” terang Puteri Sarah yang telah berkahwin dengan Syamsul Yusof pada 8 Mac 2014.
Kredit foto: Instagram @puterisarahliyana
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pertama kali melangkah keluar dengan transformasi hijab sepenuhnya, Fazura akui sungguh tenang.
Sembunyikan amal ibadahmu, sebagaimana engkau menyembunyikan aib-aibmu.
Penghijrahan Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura sememangnya sudah diduga sejak awal lagi. Bermula dari sekadar berhijab hanya pada bulan Ramadan, Fazura dilihat perlahan-lahan menyenangi helaian yang lebih longgar dan sopan.
Tidak mendadak, akhirnya transformasi Fazura secara rasmi berlaku pada penghujung 2021. Fattah Amin dan ahli keluarga Fazura pastinya menjadi orang terawal paling gembira melihat perubahan wanita berusia 39 tahun itu.
Perancangan manusia itu usaha dan perancangan Allah itu takdir. Sudah ditentukan penampilan Fazura sebagai penghias cover digital Majalah Nona sempena Ramadan ini akhirnya membuka banyak kisah yang menjadi tanda tanya.
“MasyaAllah, Dia permudahkan semua yang Faz buat. Apa saja yang terdetik di hati, tiba-tiba jadi mudah. Now I respect myself more!”
Ketika ditanya soal penghijrahan, jawapan Fazura ini menerangkan perasaannya.
“Saya pun risau masa mula-mula nak berhijrah dulu. Tapi niat saya hanya untuk Allah Taala. Bukan untuk riak.
Semua ibadah yang saya buat, biarlah itu di antara diri saya dan Allah SWT. Bukan untuk media sosial. Bukan untuk tatapan umum.
Kalau ‘ditayangkan’ saya sedang bersolat atau mengaji, terasa macam riak pula dan itu amatlah sia-sia.” Fazura
Sambil mengiyakan pendapat bahawa untuk bertudung itu mudah tapi untuk beristiqamah itu yang susah, Fazura yang sangat menyenangi bacaan Yasin dan surah Al-Waqiah tegas berpegang pada niat sebenarnya, iaitu menjadi wanita Muslimah.
“Of course everyone has their own struggle. Macam saya yang baru berhijrah pun, hati selalu berbolak-balik.
Saya selalu berdoa dan mohon juga doa semua kepada Allah agar kebaikan ini berterusan buat selama-lamanya.”
Fazura juga menolak sangkaan klise tentang fenomena artis bertudung semata-mata untuk berniaga. Itu baginya ibarat kerja si penunggang agama!
Husnuzon dengan takdir Allah, pasti hikmah di sebaliknya besar sekali. Sebagai wanita yang pernah menjadi ikon fesyen, adakah jiwa Fazura terhadap seni fesyen telah benar-benar berubah?
“Sekarang Faz lebih seronok dan suka berfesyen, malah makin suka explore macam-macam gaya hijabi. Mujurlah sejak dulu Faz seorang yang ringkas dan suka tudung bawal.
Koleksi wardrobe pun banyak seluar jeans dan oversized shirt yang sesuai dengan diri Faz yang baru. Cuma itulah, Faz nak cuba lebih banyak stail berbeza.” Fazura
Galak Fazura bercerita usikan teman hijab stylist, rasa insecure tentang ‘pipi tembam’ bagai tak boleh dipisahkan.
“Mereka selalu melenting bila saya minta ‘depankan’ tudung. Saya suka minta stail yang buat pipi nampak runcing dan tirus. Padahal pipi tak tembam pun. Kita je selalu rasa macam tu pada diri kita.”
RAMADAN
Sambutan Ramadan tahun ini tentu sekali lebih meriah selepas dua tahun menyambutnya dalam suasana pandemik. Bermula 1 April 2022, Malaysia secara rasmi memasuki fasa peralihan endemik COVID-19, sekaligus membenarkan semula pembukaan bazar Ramadan, berterawih di masjid serta pulang ke kampung halaman.
Walau bagaimanapun, ibadah puasa pastinya tidak akan sama seperti dulu selepas bapa Fazura kembali ke rahmatullah dua dekad lalu.
“Yang paling Faz rindukan adalah berpuasa dengan arwah ayah. Teringat momen-momen bangun sahur, terawih dan bersolat bersama. Dan of course dengan keadaan Faz hari tu, bermacam-macam rezeki yang Allah bagi, I wish he’s here.
Alhamdulillah tahun ini merupakan tahun kedua bersama Fatima. Faz sangat-sangat gembira untuk bersama dengan dia, mungkin this time dia akan ikut bangun bersahur, berterawih dan dapat beraya dengan saudara-mara. Faz juga look forward untuk mengadakan open house nanti, insya-Allah.
Sebenarnya tiada apa-apa persiapan yang khusus, sekadar beli groceries untuk masak sahur dan berbuka. Untuk sahur biasanya Faz suka makan sup-sup, singgang, kurma dan susu. Selain tu amalkan TruFitz dan TruShakes untuk jaga kesihatan.”
Tentang persiapan raya?
“Untuk raya ni Faz dah buat tempahan baju dengan pereka baru pilihan Faz. Tapi yang paling ditunggu-tunggu tentulah juadah raya kesukaan kami iaitu lemang, ketupat, rendang daging dan kuah kacang. Fattah pun suka lemang, tapi dia paling suka sate dan apa-apa saja yang pedas.
Raya norma baharu bagi Faz adalah apabila kita menjaga diri kita, keluarga kita dan orang sekeliling kita. Make sure bila balik sebelum jumpa anak, mandi dulu.
Macam Fatima, Faz dah tak bawa dia keluar. Tradisi berkunjung dari rumah ke rumah pun belum masanya lagi, demi keselamatan. Malah kalau saya adakan open house, mungkin Fatima cuma muncul seketika.” Fazura
PERNIAGAAN
Menyifatkan kejayaan Tudung Fazura sebagai rezeki luar biasa daripada Maha Pemurah, wanita berusia 39 tahun itu terus berpegang pada nawaitu ingin membantu lebih ramai usahawan wanita.
Sambil bergiat aktif dalam dunia seni, Fazura juga bergelar usahawan dalam masa yang sama. Pembukaan butik House of Doll di Bangsar merupakan percaturan awal beliau dalam dunia perniagaan.
Kini, ibu kepada Nur Fatima Aisya ini telah berjaya melahirkan lebih banyak rangkaian jenama iaitu Fazbulous, Fazura Skincare, Fazura Beauty, Tudung Fazura, Trudolly dan sebagainya.
Ketika sesi temu bual ini dijalankan, sempat juga penulis menyaksikan satu lagi sejarah baru dalam hidup selebriti jelita itu. Impian Fazura untuk menjual telekung akhirnya tertunai dengan kolaborasi Muhayya Magical, milik pakar motivasi Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad.
Apa yang jelas selepas penghijrahan ini, empayar bisnes Fazura terus berkembang pesat dan menguntungkan tanpa gimik merapu atau strategi murahan,
Tudung Fazura antara jenama hijab masa kini yang mencipta fenomena, sekaligus meletakkan nama beliau sebaris dengan usahawan selebriti Muslimah paling disegani. Satu persatu kejayaan direkodkan, antaranya koleksi Ramadan dan Syawal yang terjual ratusan ribu helai dalam tempoh yang singkat!
KERJAYA
Fazura terlebih dahulu menceburi bidang pengacaraan sebelum terjebak dalam dunia lakonan. Menjadi hos rancangan RTM, Teens World (TV2) disusuli dengan beberapa tawaran berlakon yang datang mencurah.
Beliau berjaya meraih anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik FFM17 menerusi filem sulungnya, Bicara Hati ketika usia baru menginjak 21 tahun.
Bakat Fazura telah dikesan oleh pelakon veteran terkenal, Datin Rosnani Jamil. Fazura terus mencipta nama apabila membawa pulang Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2010 melalui filem Pisau Cukur.
Di FFM27, sekali lagi telah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik melalui filem Manisnya Cinta di Cappadoccia.
Masih ingat lagi, Fazura pernah digelar Kim Kardashian Malaysia kerana menjadi artis pertama yang mempunyai program realiti sendiri? Facing Up To Fazura yang bersiaran di saluran E! Asia umpama ruang keemasan untuknya bergelar selebriti antarabangsa.
Tidak sekadar cemerlang di layar perak, Fazura terus mengukir nama dalam bidang nyanyian. Penyanyi jelita ini pernah tampil dengan beberapa single antaranya Sayangi Dirimu, Hancur Aku, Cinderella dan Bisa Apa.
Apakah lagi yang mahu dibicarakan tentang hijab? Sehelai kain di atas kepala, dililit, disarung, dibungkuskan… aduh, sekarang memang sudah macam-macam! Macam-macam gaya, warna dan rupa. Tudung, hijab, skarf atau apa sahaja yang anda mahu panggil adalah ‘identiti diri’ buat wanita Islam.
Malah di dalam surah Al-Ahzab ayat 59, Allah berfirman agar wanita beriman (Muslim semestinya) untuk melabuhkan hijab supaya apa? Supaya ‘dikenali’ kerana ia lebih baik bagimu. Jadi pertamanya memakai hijab adalah ‘untuk dikenali’ sebagai wanita beriman dan keduanya kerana ia lebih baik bagi kita. Ya, LEBIH BAIK. Siapa kata? Allah Rabb kita!
Mari kita hafal dan ingat bahawa antara ayat yang menyuruh wanita berhijab adalah di dalam surah Al-Ahzab ayat 59 yang membawa maksud, “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya (tudung/hijab) ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali sehingga mereka tidak diganggu.”
Saya sering memberi penekanan bahawa sebelum nak bercakap tentang tudung atau hijab… satu perkara yang perlu difahami oleh semua wanita berhijab adalah untuk mengetahui dengan sepenuh hati, menghafal dan memahami, untuk tidak lupa membaca dengan sendiri ayat-ayat Al-Quran yang menyuruh kita berhijab.
Amat memalukan sekiranya ada yang bertanya, “Ayat mana yang menyuruh kita berhijab?” Dan tiba-tiba seorang wanita yang berhijab tidak tahu menjawabnya. Berhentilah kita dari terus-menerus ‘tidak tahu’, marilah mencari ilmu. Satu lagi ayat adalah dalam surah An-Nur ayat 30 dan 31.
Sering juga dinasihatkan oleh guru saya, mengingatkan saya dan semua wanita di luar sana agar memahami satu hakikat ini. Kita tidak berhijab untuk lelaki atau suami atau ayah kita. Tidak. Kita berhijab kerana Allah semata-mata.
Kita juga tidak berhijab untuk menjaga iman para lelaki. Iman orang lelaki, maaf tapi mereka perlu urus dan jaga sendiri. Saya juga amat yakin mereka mampu menjaganya. Get that straightened out first! Kita berhijab semata kerana Allah sahaja.
Dan ya, ia sepatutnya satu simbol ketakwaan. Jika seorang rahib dibenarkan untuk menzahirkan cinta mereka kepada tuhan dengan berhijab, maka seharusnya wanita Islam juga begitu. Tidak, hijab ini bukan simbol kita di diskriminasi tapi satu simbol liberalisasi!
Saya bangga dengan sehelai kain ini, kain di atas kepala ini lambang saya cintakan agama saya. Saya tidak malu berjalan dan dikenali sebagai wanita Islam.
Namun saya mengingatkan diri bahawa kain ini mempunyai makna yang lebih dari hanya sekadar imej. Kain ini, sepatutnya menzahirkan satu kecantikan yang lain dari hanya kecantikan fizikal iaitu kecantikan dalaman, kecantikan intelek dan adab. Sekiranya dengan memakai hijab kita masih tidak beradab dan berilmu, maka ada sesuatu yang perlu diperbetulkan dulu.
Setelah memakai hijab saya mula memberi fokus kepada kecantikan dalaman saya, bukan hanya tertumpu pada kecantikan luaran semata-mata. Saya menutup badan saya, namun saya terpaksa mengeluarkan satu lagi kecantikan – itulah dia kecantikan dalaman.
Itulah yang seharusnya. Saya tidak lagi memfokuskan kepada kecantikan fizikal semata-mata. Seperti yang sering saya sebutkan, menghijabkan hati lebih sukar sebenarnya.
Kenapa saya kata hijab itu simbol liberalisasi? Kerana saya berjaya membebaskan diri dari menjadi mangsa fesyen! Dunia fesyen yang dikuasai industri fesyen yang hanya tertumpu pada kecantikan fizikal.
Saya sudah bosan dihormati hanya kerana saya cantik! Takkanlah itu saja yang ada pada saya? Takkanlah saya hanya disukai kerana fizikal saya saja! Maka bermulalah satu perjalanan menyelami kecantikan intelek dan rohani serta adab yang saya sebutkan tadi.
MasyaAllah saya tahu perjalanan saya masih jauh dan berliku. Saya pasti akan berbuat salah, namun akan saya bangkit kembali sehingga saya temui satu kebebasan yang baru. Satu kecantikan yang InsyaAllah akan kekal. My self worth… harga diri saya tidak bergantung pada barangan material, namun siapa saya tanpa barangan material itu.
Saya tidak perlu ‘buka’ dan tayangkan kecantikan zahir saya untuk membuatkan orang suka, sayang, bercakap dan hormat pada saya.
Al-Quran menyebut dalam surah Al-A’raf 7:26 bahawa kecantikan atau pakaian yang terbaik adalah takwa. Tapi malangnya takwa tidak diiklankan dan dijual merata-rata. Hanya orang tertentu yang bertuah akan menjumpainya! Dan InsyaAllah berhijab adalah permulaan untuk kita menyelami keindahan takwa ini.
Selamat menyelami dan mencari apa dia sebenarnya makna sehelai kain di atas kepala anda. Saya masih mencari… dan perjalanan ini amat indah sekali!
Salam sayang,
Wardina Safiyyah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dia ialah wanita dan isteri paling berbeza dalam arena bola sepak antarabangsa ketika ini. Tidak menjinjit beg tangan mewah jauh sekali berpakaian persis supermodel seperti kebanyakan ratu hati jaguh bola sepak, Magi Salah mencuri tumpuan peminat bola sepak dunia baru-baru ini ekoran penampilannya selaku isteri Mohamed Salah atau lebih dikenali dengan gelaran Mo Salah… pemenang Premier League Golden Boot untuk tahun 2017-2018 yang berjaya mencatat prestasi cemerlang meraih 32 gol daripada 36 penampilannya di atas padang.
Merupakan ibu kepada seorang cahaya mata, Magi Salah dilihat selesa dengan penampilan serba sederhana meskipun suaminya terkenal dan kaya-raya. Kalau dihitung nilai kekayaan suami tercinta, dia mampu membeli apa jua yang dimiliki isteri pemain bola sepak lain. Namun Magi tetap setia dengan gaya sederhana, berpakaian longgar dan paling menarik, dia mengenakan hijab.
Yang pasti, inilah dia wanita yang menjadi sumber kekuatan dan tulang belakang kepada kejayaan Mo Salah hari ini. Tanpa dirinya, pemain dari Mesir tersebut tidak akan pernah menjadi sehebat seperti sekarang. Magi atau nama sebenarnya Maji Mohammed Sadiq dilahirkan di Mesir sama seperti suaminya dan mula mengenali ketika zaman remaja. Kedua-duanya mendapat pendidikan di sekolah yang sama di sebuah perkampungan di Basion, Gharbia.
Mo Salah yang memulakan kerjaya profesional sebagai pemain bola sepak pada tahun 2010 kemudian memutuskan untuk berkahwin dengan wanita idaman, Magi pada tanggal 17 Disember 2013 di Ngrid, Mesir. Pada tahun berikutnya, Magi selamat melahirkan bayi perempuan di Westminster Hospital, London dan menamakan anak mereka Makka… simbolik kepada nama kota suci umat Islam iaitu Mekah.
Selain wajah cantik dan penampilan yang disifatkan ‘berbeza’ daripada situasi biasa bagimisteri pemain bola sepak, Magi juga seorang wanita yang malu berada di depan khalayak. Bayangkan, hampir sedekad Mo Salah berkecimpung dalam pentas bola sepak… hanya empat kali sahaja kelibat Magi muncul di sisi suami tercinta.
Dua kali ketika penutupan musim Liga Inggeris, sekali ketika Mo Salah dianugerahkan Golden Boot dan satu lagi ketika dia hadir di bangku penyokong semasa perlawanan Liverpool menentang Barcelona di Anfield.
Magi Salah juga ‘lari’ daripada tipikal isteri atlet sukan bola sepak. Tidak sekadar memiliki keperibadian yang unik, misteri dan merendah diri… Magi juga sebenarnya seorang yang berpendidikan dan mempunyai kerjaya sebagai ahli bioteknologi. Pendapatan yang diterimanya juga bukan calang-calang. Pun begitu, dia tetap mahu kekal low profile.
Walaupun populariti Mo Salah kian memuncak dan terkenal… namun cinta lelaki Mesir yang berpegang kuat kepada agama Islam ini tetap mencintai cinta hatinya. Bahkan kedua-duanya dikenali penduduk di kampung mereka sebagai individu yang baik, beriman, suka bersedekah dan membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Sumber: Soccer Stories
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!