Karisma dan pemikiran optimis Dr. Abdullah @ Maliq Alias dalam mengemudi empayar perniagaan estetik miliknya wajar menjadi inspirasi kepada individu yang mahu bergelar usahawan.
Meskipun sedar industri kosmetik dan kecantikan masa kini berdepan banyak persaingan namun anak jati kelahiran Johor ini nekad mendalami lapangan kerjaya berkenaan bersandarkan niat murninya untuk memberikan khidmat rawatan terbaik dengan cara yang selamat.
Menelusuri latar belakang Dr. Abdullah @ Maliq atau mesra disapa Dr. Maliq, beliau yang merupakan Pengarah Urusan Dr Cute International Sdn Bhd memiliki 15 tahun pengalaman dalam bidang perubatan dan berpengetahuan luas dalam dunia kecantikan selama tujuh tahun.
Graduan Ijazah Sains Bioperubatan ini menerima pentauliahan Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) pada tahun 2015 dan pengiktirafan sebagai Doktor Estetik dua tahun kemudian.
Terdahulu, Dr. Maliq pernah berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Ketua Unit Non-Communicable Disease (NCD), Ketua Unit Penyelidikan dan Ketua Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS). Pada tahun 2016, Dr. Maliq membuka klinik pertamanya iaitu Poliklinik Desaru di Johor Bahru.
Foto Koleksi Majalah Nona
Mengulas pembabitannya dalam dunia kecantikan, anak bongsu daripada lapan beradik ini memberitahu beliau sendiri tidak menyangka mampu menguruskan pusat kecantikan estetik sendiri biarpun minat terhadap kesihatan dan kecantikan mula bercambah dalam diri sejak kecil lagi.
“Tahun 2016 saya bina kerjaya sebagai General Practice dengan buka klinik sendiri dan kegembiraan itu tak berpanjangan kerana ibu saya meninggal dunia pada tahun sama. Saya rancang buka klinik estetik tapi bila berlakunya Covid-19, saya mula ubah nature bisnes dan lebih fokus kepada online.
Maka tahun 2021 lahirlah jenama Dr Cute atau DC. Alhamdulillah walau tak pernah terlintas hendak jadi doktor kecantikan pada mulanya. Tapi saya syukur dengan percaturan Allah,” ujar Dr. Maliq yang mendedahkan penyebab utama beliau menjadi doktor estetik kerana masalah kulit berjerawat yang dialami hingga membuatkannya mahu menghasilkan produk penjagaan kulit formulasi sendiri.
“Saya sendiri buat R&D dan kumpulkan bahan-bahan untuk formulasi produk. Semuanya bermula dua tahun lepas dengan kerjasama beberapa kilang. Sebelum dijual, kami terlebih dahulu uji keberkesanan produk itu. Kalau keputusan baik dan tak memudaratkan baru ia dikomersial di pasaran.
Ads
Seperti fesyen, dunia kecantikan juga berubah-ubah dengan pantas. Bila ada new ingredient yang dipercayai berkesan untuk kulit, saya sebagai doktor tak mahu masyarakat kita ketinggalan supaya produk tempatan memiliki kualiti yang setanding antarabangsa.”
Sepanjang dua tahun DC berada di pasaran, Dr. Maliq sudah menghasilkan 10 rangkaian produk termasuk penjagaan kulit dan supplemen seperti pembersih wajah, krim pencerah, sunscreen, serum, set jeragat, vitamin C dan minuman pelangsingan.
Foto Koleksi Majalah Nona
“Produk DC tergolong gred perubatan, bermakna proses formulasi produk kulit itu melibatkan ramuan aktif yang lebih fokus membantu masalah kulit misalnya kalau pengguna berjeragat, kami akan gabung bahan seperti alpha arbutin dan niacinamide bagi merawat masalah berkenaan.
Satu kelebihan bila doktor menjadi pengasas produk ialah kami hasilkan produk yang selamat serta tidak mengandungi bahan-bahan terlarang seperti merkuri yang dikategori di bawah racun terkawal.”
Aktif memasarkan produk secara atas talian, nama Dr Cute bukan lagi asing dalam platform media sosial terutamanya TikTok.
Dr. Maliq memiliki ratusan ribu followers di media sosial tersebut dan menggunakan pengaruhnya untuk memperjuang produk kulit selamat kepada pengguna khususnya golongan wanita. Bahkan dia sering menjadi rujukan warga maya berkaitan isu kesedaran produk berbahaya dan seumpamanya.
Ads
Tak hairanlah dalam tempoh dua tahun jenama DC diasaskan ia berjaya mencapai jualan mencecah enam angka.
“Tahun ni kita dah pecah rekod dan berjaya capai jualan sasaran RM7,000,000. Saya pun dah ada kilang sendiri di Kuala Terengganu tahun ini. Kami looking forward untuk ada lebih banyak produk.
Saya syukur ia diterima baik masyarakat dan klien. InsyaAllah sedikit waktu lagi, kita akan berkolaborasi dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk penyelidikan berkaitan kesihatan kulit.
Tak dinafikan bila saya selaku pengasas lantang bersuara mengenai produk berbahaya di media sosial dan beritahu kebenaran, ada segelintir pihak yang rasa kurang senang dengan mengatakan saya cuba tutup periuk nasi orang dan mahu lariskan produk sendiri.
Hakikatnya, keselamatan pengguna menjadi keutamaan kerana saya juga seorang doktor yang perlu jaga keselamatan mereka,” telus Dr. Maliq yang pernah menerima ugutan dan kecaman di media sosial.
Foto Koleksi Majalah Nona
Sudah menjadi lumrah usahawan dan pengasas yang tidak terlepas daripada berdepan pelbagai cabaran sebelum mendaki puncak kejayaan. Begitu juga Dr. Maliq yang tidak terkecuali menerima kritikan dan tohmahan pihak tertentu sepanjang berkecimpung dalam industri ini.
Ads
“Sepanjang bergiat aktif secara online, saya dapat banyak sangat tentangan, ugutan dan dikecam teruk. Kalau dulu, bertugas sebagai doktor saya tak expose diri ke hadapan. Apatah lagi saya pun seorang introvert.
Bila dikecam, saya menangis. Waktu itu saya rasa keliru adakah ini jalan yang saya pilih. Tapi bila mengenangkan idola saya iaitu Rasulullah SAW, saya kembali bangkit.
Saya kena kuat dalam perjuangan ini supaya saya dapat kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya produk merkuri yang bukan sekadar menjejaskan kulit tapi juga kesihatan tubuh badan.
Semua orang nak cantik, putih dan miliki kulit mulus tapi berpada-pada. Pilihlah produk atau item yang selamat sebab nyawa kita hanya satu. Bila buah pinggang rosak, tak boleh ganti.
Sepanjang saya kerja di klinik dan bertugas sebagai doktor di KKM, saya jumpa ramai pesakit yang menderita sebab nak cantik. Paling teruk, pesakit umur 20an yang alami buah pinggang rosak disebabkan ambil supplemen berbahaya, drip putih dan pakai produk merkuri. Ada juga masalah kemandulan disebabkan produk merkuri,” tegasnya.
Sebelum mengakhiri perbualan, doktor berusia 41 tahun ini memandang persaingan positif dengan keistimewaan produk keluarannya biarpun kebanyakan pengasas produk kecantikan terdiri daripada individu popular seperti selebriti dan pempengaruh media sosial.
“Saya suka persaingan sihat ini dan untuk saya sebagai seorang yang mempunyai latar belakang perubatan, saya lebih fokus kepada memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat. Bukan semata-mata untuk melariskan produk jualan sendiri.
Pada akhirnya, produk yang berkesan dan berkualiti akan kekal lama di pasaran. Selagi boleh beri yang terbaik, saya akan berusaha sebab kita tahu bisnes ini kalau lihat dari perspektif lebih luas ia menjurus kepada menyelesaikan masalah orang. Bagaimana kita nak bawa diri dan berikan yang terbaik kepada komuniti.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berita perceraian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amazon, Jeff Bezos dengan isterinya MacKenzie telah mendapat perhatian seluruh dunia. Usia perkahwinan menjangkau 25 tahun itu musnah di tengah jalan lantaran kecurangan suami. Jeff Bezos dikatakan bermain cinta dengan Lauren Sanchez yang pernah mengacarakan program “So You Think You Can Dance?”
Namun, MacKenzie tidak perlu meratapi nasib dan boleh move on serta tersenyum bangga dengan perceraian tersebut kerana menjadi wanita TERKAYA di dunia. MacKenzie menerima separuh daripada harta kekayaan mereka yang mencapai USD140 bilion (RM574 bilion).
Pembahagian harta sama rata ini terjadi kerana pasangan ini dikhabarkan tidak memiliki perjanjian pra perkahwinan. Mengikut undang-undang di Amerika Syarikat semua aset yang diperoleh sepanjang perkahwinan atau harta sepencarian ini perlu dibahagi sama rata jika berlaku perceraian kecuali jika mempunyai perjanjian pra perkahwinan.
Hasil pembahagian harta yang dimiliki oleh MacKenzie ini akan mengambil alih posisi wanita terkaya di dunia yang selama ini dipegang oleh Francoise Bettencourt Meyer, 65 tahun, yang merupakan pewaris perusahaan kecantikan global, L’oreal. Kekayaan Meyers mencapai sebanyak USD46.6 bilion (RM191 bilion).
Siapakah wanita yang bernama MacKenzie ini? MacKenzie S. Tuttle lahir pada 7 April 1970 di San Francisco, California, Amerika Syarikat. Ayah Mackenzie merupakan seorang Perancang Kewangan manakala ibunya seorang suri rumah tangga sepenuh masa.
MacKenzie merupakan graduan Universiti Princeton yang memiliki Sarjana dalam Bahasa Inggeris. Beliau merupakan pelajar yang pintar dan menjadi kesayangan pensyarah. Jeff Bezos juga merupakan graduan dari universiti yang sama tetapi mereka tidak pernah berjumpa sewaktu zaman belajar mereka.
Mereka berdua bertemu dan bercinta di tempat kerja, sebuah syarikat pelaburan. Setelah tiga bulan mengenali hati budi masing-masing pasangan ini sepakat untuk bertunang dan seterusnya berkahwin pada tahun 1993. Sebaik sahaja mengikat tali perkahwinan, Bezos meletakkan jawatannya di sebuah syarikat pelaburan di New York dan mendirikan perniagaan sendiri yang diberi nama Amazon dalam garaj rumah sewaan mereka. Kehebatan perniagaan atas talian Amazon ini telah meningkatkan harta mereka hanya dalam sekelip mata. Kini Amazon terkenal di seluruh dunia.
Pasangan ini mempunyai empat orang anak, termasuk tiga orang lelaki dan seorang anak angkat perempuan yang berasal dari China. Anak sulung pasangan ini berusia 18 tahun. Pasangan ini terdahulu banyak memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan seperti pernah menghulurkan USD2 bilion (RM8 bilion) kepada keluarga gelandangan untuk membantu anak-anak mereka memulakan persekolahan.
Januari tahun lalu pasangan ini juga telah menyerahkan USD3 juta (RM12 juta) untuk membiayai biasiswa untuk pelajar sekolah menengah Amerika Syarikat dengan status Deferred Action for Chilhood Arrival (DACA), sebuah program era Obama yang melindungi imigran muda yang dibawa ke Amerika Syarikat secara haram oleh ibu bapa mereka.
MacKenzie telah mengumumkan akan mendermakan separuh daripada harta kekayaannya untuk tujuan kebajikan. Kuat sungguh semangat wanita yang berusia 50 tahun ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kurniaan Allah SWT biasanya diisi sebelum dan selepasnya dengan ketaqwaan, kebaikan dan ketaatan. Hal ini sepertimana seseorang yang rajin melakukan solat malam, rajin bersedekah, rajin melakukan solat dhuha, kemudian Allah SWT melimpah ruahkan rezekinya. Maka itu dinamakan sebagai kurniaan atau karamah.
Namun orang yang berterusan melakukan maksiat, tidak mengerjakan sembahyang lima waktu dan derhaka kepada-Nya, namun dia kelihatan kaya dan rezekinya juga mudah, maka inilah yang dinamakan istidraj.
Gambar hiasan.
Bagaimana untuk membezakan antara istidraj dengan kurniaan Allah SWT?
“Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Di dalam Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyah (1/734), disebut maksud istidraj secara bahasa adalah diambil daripada perkataan da-ra-ja (درج) yang ertinya adalah naik dari satu tingkatan ke tingkatan selanjutnya. Manakala istidraj daripada Allah SWT terhadap hamba difahami sebagai ‘hukuman’ yang diberikan sedikit demi sedikit dan tidak diberikan langsung. Allah SWT membiarkan seseorang dan tidak disegerakan azabnya. Firman-Nya:
سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”
Surah al-Qalam (44)
Al-Hasan berkata: “Betapa ramai orang yang terkena fitnah dengan cara dipuji dan betapa ramai orang yang terpedaya dengan cara ditutupi aibnya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/251 dan Tafsir al-Siraj al-Munir, 4/264)
Sahl bin Abdullah mentafsirkan ayat di atas dengan maksud: “Nikmat-nikmat yang diberikan akan menyebabkan mereka lupa bersyukur.” (Lihat al-Bahr al-Madid, 2/581)
Al-Razi berkata: “Istidraj ialah dengan meminta kurnia turun kepadanya satu darjat kepada darjat yang lain sehingga mereka terpedaya. Tatkala mereka melakukan dosa, Allah SWT menambahkan lagi nikmat sehingga melupakan mereka daripada istighfar.” (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 15/77)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.”
Riwayat Ahmad (17311), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4220)
dan al-Tabarani dalam al-Ausat (8/110)
Mulla Ali al-Qari berkata: Apabila kamu melihat Allah SWT mengurniakan kepada seorang hamba dari kekayaan dunia, sedangkan dia melakukan maksiat, maka asbab yang didapati melalui kurniaan tersebut adalah sebagai istidraj dan tipudaya. Benarlah firman Allah SWT: “سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ” yang membawa maksud “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 9/396)
Maksudnya: Ketika mereka tidak mengambil pelajaran dari kemiskinan dan sakit yang Kami timpakan kepada mereka, Kami uji mereka dengan rezeki yang banyak. Kami bukakan semua pintu untuk memperoleh rezeki tersebut. Hingga, pada saat mereka senang dan tidak bersyukur dengan apa yang Kami berikan kepada mereka, datanglah azab dengan tiba-tiba. Maka mereka lalu bingung, putus asa, dan tidak mendapatkan jalan keselamatan.
Surah al-An’am (44)
Di dalam Tafsir al-Jalalain disebut, “Ketika mereka meninggalkan peringatan yang diberikan kepada mereka, tidak mahu mengendahkan peringatan tersebut, Allah SWT membuka kepada mereka segala pintu nikmat sebagai bentuk istidraj kepada mereka. Sehinggalah mereka berbangga berkenaan hal itu dengan sombongnya. Kemudian kami seksa mereka dengan tiba-tiba. Lantas mereka pun terdiam dari segala kebaikan.” (Lihat Tafsir al-Jalalain, 2/340)
Ibnu ‘Athaillah al-Sakandari dalam kitab al-Hikam berkata bahawa hendaklah seseorang merasa takut jika dia selalu mendapat kurniaan dan kebaikan daripada Allah SWT, sedangkan dia masih tetap melakukan maksiat kepada-Nya. Kata beliau:
Maksudnya: Hendaklah kamu berasa takut jika kamu terus memperoleh kurniaan Allah SWT sedangkan kamu masih berterusan melakukan maksiat kepada-Nya. Ini kerana, ia boleh jadi satu istidraj (pesona dan tipudaya) sepertimana firman-Nya: ““Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah al-Qalam, ayat 44)
Syekh Zarruq berkata, “Wahai para murid, takutlah terhadap kurniaan-Nya kepadamu dalam bentuk kesihatan, kelapangan, rezeki yang melimpah ruah, di tengah-tengah kederhakaanmu terhadap-Nya berupa kelalaian dan kecuaian.” (Lihat Iqaz al-Himam fi Syarh al-Hikam, hlm. 101)
Justeru, marilah sama-sama kita sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT selaras dengan firman-Nya:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Siapa yang tak mengenali atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong anak Pamg, ikon sukan terjun yang tidak asing lagi. Dari satu kejayaan ke kejayaan lain diraih atlet kebanggaan negara kita ini.
Menyaksikan pelbagai kejayaan yang dikecapi gadis dari Bidayuh ini, yang paling diingati ialah Pandalela menjadi atlet wanita pertama Malaysia pembawa bendera di Upacara Pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas 2012 di London.
Malah beliau juga mencatat sejarah sebagai atlet wanita Malaysia pertama memenangi pingat Olimpik (pingat gangsa) iaitu dalam acara terjunan 10 meter platform wanita.
Dan selepas 4 tahun kemudian, Datuk Pandalela membentuk gandingan mantap bersama Cheong Jun Hoong untuk memenangi perak dalam acara 10m platform seirama di Olimpik Rio 2016.
Dalam perkembangan terkini, atlet berusia 30 tahun itu baru-baru ini berkongsi khabar yang dirinya baru-baru ini menerima kurniaan pingat kebesaran daripada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Perkara itu dikongsikan Pandelela menerusi laman sosial Instagram. “Terima kasih kerajaan Sarawak di atas pengurniaan Pingat Peringatan Cemerlang Jubli Intan (Emas) bersempena dengan 60 Tahun Sarawak Merdeka.
Anugerah ini disampaikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang akan meneruskan semangat juang saya untuk berbakti sebagai anak Sarawak dan penerjun negara,” titipnya di Instagram sebentar tadi.
Menurut sumber Sinar Plus, tujuan penganugerahan pingat tersebut adalah bagi pengiktirafan dan penghargaan kerajaan Sarawak kepada mereka yang telah memberikan khidmat bakti dan sumbangan tidak ternilai terhadap pembangunan negeri ini sejak era kemerdekaan sehingga ke hari ini.
Sebelum ini, pada 2021 Datuk Pandalela menerima pingat Panglima Setia Bintang Sarawak yang membawa gelaran ‘datuk’ sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-85 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.
Tahniah NONA ucapkan kepada Datuk Pandalela Rinong dan semoga kejayaannya ini menjadi inspirasi buat semua wanita di luar sana.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti yang dinanti-nantikan, majlis pernikahan Erra Fazira dan Mohamad Ezwan Mohamad Zain atau Mr E berlangsung penuh indah pada tanggal 12 Disember 2025. Mengambil keberkatan Hari Jumaat, pasangan ini selamat disatukan sebagai suami isteri sekitar jam 9.19 pagi tadi.