Aura Prof Dato’ Dr Noordin Darus nyata cukup memukau, baik di dalam mahupun di luar skrin. Pagi ini beliau melangkah penuh bergaya tatkala tiba di studio penggambaran. Mesra disapa Dr Noordin, susuk tubuh usahawan dan doktor perubatan Islam berusia 70 tahun itu berjaya membuatkan setiap mata terpaku dengan positive vibe yang ditebarkan.
Keperibadian Dr Noordin yang ceria, menepati masa serta komited sepanjang sesi fotografi jelas mencerminkan jiwa seorang pakar motivasi kesihatan dan kesejahteraan yang disayangi ramai. Orangnya tenang, sesekali beliau merakam video, bergurau dan mengusik team Nona.
Ads
Dengan catatan rekod subscribers YouTube mencecah 787,000; pengikut Facebook 953,000; pengikut TikTok 350,000; serta Instagram 188,000, tidak sukar membayangkan bagaimana beliau mampu ‘mengunci’ ribuan eye balls – karisma Dr Noordin ketika berkongsi ilmu sememangnya luar biasa!
Sering memilih topik kesihatan, pemakanan dan kesejahteraan tubuh badan, perkongsian bapa anak tiga serta datuk kepada tujuh cucu itu menjadikan beliau terus relevan dalam industri. Meskipun pada usia veteran, video-video motivasi Dr Noordin sering disimpan serta dijadikan rujukan peribadi. Kejayaan tersebut turut membuatkan mantan Pengarah Sains & Perubatan Kesukanan di Majlis Sukan Negara (MSN) ini sebagai penerima Nona Men’s Motivator Award yang paling ideal.
Ketika ditanya perasaan beliau tentang perkongsiannya yang meraih views, likes dan shares yang tinggi, Dr Noordin bingkas memberi jawapan jujur. “Saya rasa beginilah, fitrah manusia biasa bila views tinggi semangat juga lagi tinggi. Bohonglah kalau saya kata tak rasa apa-apa. Dalam fasa lima tahun sejak aktif di media sosial ni, mula-mula dulu memang ada rasa nak popular dan banyak followers, daripada 100,000 pengikut naik 500,000, memang saya teruja.
Tapi saya sedar manusia tak pernah puas. Jadi saya berjanji akan terus berbahagi ilmu dan berkongsi motivasi tentang kesihatan, selagi ada hayat dikandung badan. Kini setiap hari saya wajib LIVE jam 7.00 pagi dan 9.00 malam, berbeza daripada dulu yang sekadar dua ke tiga kali seminggu. Sesi LIVE ni dijalankan secara konsisten walaupun mulanya dulu rasa susah. Lama-kelamaan makin mudah dan ‘ketagih’ sebab saya dapat berinteraksi terus dengan para pengikut setia,” cerita Dr Noordin.
Ditanya apakah cabaran terbesar sepanjang memberi motivasi di media sosial, Dr Noordin sambil tertawa mengakui, bukan mudah LIVE awal pagi! “Ya Allah, awalnya punyalah susah. Viewers pun sikit, nak dapat 20 ‘mata’ (penonton) pun payah tapi alhamdulillah ada raving fans. Dari situ saya tekad nak sampaikan ilmu yang berguna walaupun satu kepada masyarakat.”
Perjalanan hidup Dr Noordin tidak semuanya indah seperti yang dibayangkan. Ya, beliau disegani sebagai Pengasas DND World Sdn Bhd, berjaya menghasilkan produk-produk popular serta tersergam di dada billboard, malah namanya sudah bertahun-tahun meniti bibir sebagai doktor perubatan yang rajin memberi motivasi kesihatan. Rakyat Malaysia mengenalinya sebagai salah seorang tokoh usahawan Muslim yang berkaliber!
Namun hakikatnya, Dr Noordin sendiri seperti manusia biasa yang lain, tetap diuji dengan penyakit. Tahun 2001, lelaki pintar ini pernah bergelut dengan kanser darah. Hayat beliau diramalkan hanya mampu bertahan untuk beberapa bulan namun berkat doa serta rawatan kemoterapi, penyakit tersebut beransur-ansur sembuh.
“12 tahun selepas disahkan bebas kanser, saya diuji penyakit kanser sekali lagi. Ia relapsed pada tahun 2012, barangkali sebab masa tu dah sedikit lalai jaga kesihatan. Jadi saya usaha gabungkan ilmu kepakaran perubatan Timur dan Barat dengan sains pemakanan. Dekatkan diri dengan Pencipta, amal makanan sihat dan berkhasiat. Alhamdulillah rezeki saya sembuh lagi dengan izin Tuhan. Itulah motivasi saya untuk meneruskan perjuangan memfokuskan kepada kesihatan tanpa ubat,” kongsi beliau tanpa berselindung.
Saat menunggu keputusan doktor selepas ujian biopsi menjadi titik terendah dalam hidup Dr Noordin. “Doktor suruh balik sementara menunggu keputusan dikeluarkan. Dalam masa seminggu, resahnya macam kucing nak beranak. Sebab saya tak tahu adakah dalam badan saya kansernya dah stage 3 atau 4, sebab masa tu mereka jumpa ketumbuhan di belakang hidung ke leher serta kelenjar-kelenjar tiroid. Mental saya masa tu, betul-betul di titik terendah.”
Mengimbau titik permulaannya sebagai motivator di media sosial, Dr Noordin terbuka bercerita kisah yang berlaku pada tahun 2018. “Suatu hari ketika bersiar-siar di London, saya dapat ilham nak berkongsi kebaikan sayur-sayuran untuk memulihkan penyakit kanser. Saya suka-suka rekod dan muat naik video tu. Siapa sangka ia viral dan mula mendapat banyak perkongsian di Internet. Video pertama saya cecah 50,000 views sekaligus membakar semangat untuk terus berkongsi pengetahuan kepada orang ramai.
Bagi saya selain ilmu perubatan Barat yang saintifik, banyak orang musykil tentang ilmu-ilmu kesihatan biasa serta berlegar di sekeliling kita. Antaranya kalau hidap diabetes, boleh ke makan nasi atau buah-buahan tertentu. Begitu juga teknik tangani stres.”
Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang ‘gila-gila’ dan suka bercakap, rupa-rupanya Dr Noordin sejak dulu lagi aktif dalam persatuan Pengakap serta pernah bergelar Ketua Murid.
“Pengalaman jadi pemimpin kecil rupanya tersirat selok-belok yang membentuk jati diri saya hari ini. Kini saya teruja apabila content motivasi yang dihasilkan dapat membantu orang ramai. Daripada tak boleh berjalan, dah boleh berjalan. Daripada gemuk, jadi kurus. Daripada tiada harapan, dah ada harapan. Itu sangat membahagiakan. Saya percaya itulah tujuan Allah jadikan saya untuk sampaikan sebanyak mungkin ilmu atau empowerment.
Ads
Dari semasa ke semasa, saya juga menyedari bahawa untuk menyampaikan sesuatu ilmu atau motivasi, ia haruslah mudah difahami serta tidak mengelirukan. Masyarakat luar bandar umpamanya, mereka kurang faham jargon atau perkataan yang terlalu saintifik. Jadi cara penyampaiannya harus lebih simple,” ujar Dr Noordin yang menjadikan negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai idola.
“Jujurnya idola saya sentiasa berubah dari waktu ke waktu. Tapi saya sangat menyenangi ketegasan Tun M. Walaupun tegas, namun beliau tetap mengekalkan sifat seorang doktor – tekun mendengar dan menganalisis masalah sebelum membuat keputusan. Saya juga mengagumi pemimpin Nelson Mandela serta Mother Teresa kerana pemikiran mereka yang berpandangan jauh, selain kata-kata semangat yang digunakan ibarat menyuntik motivasi.
Saya juga ada mantra atau ayat yang dihafal berkali-kali untuk menaikkan semangat. Macam zikir. Ayatnya adalah ‘Let Go and Feel Good’. Orang kita ni suka menyimpan dan memendam perasaan, walaupun peristiwa yang menyakitkan tu sudah lama berlalu. Akhirnya ia memakan diri. Benda yang terbuku di hati boleh menjemput stres serta jika sakit, ia susah diubati. Inilah yang saya cuba bantu, beri panduan atau guidance agar kita lebih bersyukur,” nasihat Dr Noordin.
Menyifatkan gelaran superhero adalah khusus untuk manusia hebat, golongan ini seharusya berjiwa kental, tak gentar diduga cabaran hidup serta sentiasa bertanggungjawab. Orang lelaki seharusnya tidak manja dan ada sasaran hidup yang jelas.
Contohnya setiap lima tahun mesti ada blueprint yang baru. Lelaki sejati juga mesti mempunyai sifat adil, bertanggungjawab, berdisiplin, berpandangan jauh, jujur, penyayang, penyabar dan prihatin dengan orang lain.
“Sebenarnya saya tak sangka boleh dianggap superhero dalam bidang motivasi. Kalau dulu sebut motivator saja terus teringat nama Dato’ Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah, Datuk Prof Dr Muhaya dan ustaz-ustaz lain. Tapi dari segi perubatan mungkin ya kerana saya sering berkongsi ilmu kepada masyarakat. Saya bersyukur dengan pengiktirafan yang diberikan, alhamdulillah semoga lebih ramai yang mendapat ilmu bermanfaat dalam menjaga kesihatan diri,” akhiri beliau.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Penata gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Fadhil Kamaruddin (The Loft Studio Asia)
Solekan: Norezz Idris
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Hikmah di sebalik diberhentikan kerja dalam industri penerbangan akibat Covid-19 kira-kira dua tahun lalu membuka lembaran hidup baharu buat pemilik nama Muhammad Ryan Fahmi Bakery atau lebih dikenali sebagai Ryan Bakery.
Siapa sangka dari seorang pemuda biasa kini dia merupakan salah seorang personaliti media sosial berjaya dan sebaris selebriti popular tanah air.
Percaturan Ryan mengetengahkan video nostalgia santai dan menghiburkan sebagai kandungan di platform media sosial miliknya meraih perhatian meluas.
Populariti anak jati kelahiran Perak ini naik mendadak sekaligus menambat hati sebilangan besar warga maya tidak kira dalam kalangan dewasa mahupun remaja. Sehingga kini pengikut Ryan di Instagram dan TikTok mencecah jutaan orang!
Enggan mendabik diri dengan kesenangan tersebut, anak sulung daripada empat beradik ini bagaimana pun sentiasa berpijak di bumi nyata.
Mengimbas kembali perjalanannya bergelar pempengaruh media sosial, dalam nada syukur Ryan yang sinonim dengan panggilan ‘Budak Bedak’ membuka bicara.
“Saya berasal dari keluarga yang bukan senang. Ayah saya bekas Tentera Laut dan mak pula suri rumah. Mak saya berniaga makanan seperti kuih, laksa dan nasi ayam. Saya dulu banyak main, kerja pun lompat sana-sini.
Satu hari ayah tanya sampai bila nak kerja macam tu dan bila nak ada kerja tetap. Memang kata-kata ayah tu menusuk dalam hati. Terus saya pergi sambung belajar dan rezeki dapat kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Seronok mak ayah bila saya kerja di airport. Tapi bila diberhentikan kerja sebab pandemik Covid-19, hati siapa tak hancur. Saya kemudian balik ke kampung di Perak. Dalam hati menangis, rasa macam seorang anak yang gagal.
Di kampung, saya berniaga seorang diri. Waktu tu tengah trend ikan laga, jadi saya cuba biak dan bisnes tu menjadi. Dalam masa sama, saya juga jual kuih.
Memandangkan banyak masa terluang saya fikir macam mana lagi nak jana income. Kalau dapat buat video, boleh buat paid review dan tambah duit. Zaman video pendek di laman sosial Vine dulu saya minat Luqman Podolski dan Adib Alex. Jadi di situlah saya mula buat content,” ujar bekas penuntut International College of Yayasan Melaka (ICYM) ini.
Dedah Ryan, kekuatan kandungan video yang dipaparkan menjurus kepada elemen nostalgia.
“Saya dah buat banyak content sebenarnya. Tapi content nostalgia lebih dapat sambutan tinggi. Kadang-kadang tengah borak dengan mak pun boleh jadi sebab berkait rapat dengan kisah masyarakat. Walau nampak simple dan ada yang kata ‘lame joke’, saya ambil tugas content creator ini secara serius.
Seronok bila baca komen positif dari mereka yang tersentuh hati lepas tengok content yang saya hasilkan. Benda itu ‘mahal’. Saya cuba paparkan momen di samping orang-orang tersayang, keluarga, pengalaman hidup dan ragam masyarakat,” luahnya sambil meluahkan rasa syukur menerima banyak tawaran lakonan, jurucakap produk dan jadi peserta program realiti TV sejak namanya terkenal.
Berbekalkan restu dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa, keluarga dan isteri tersayang, Ryan melangkah laju mengharungi cabaran bergelar public figure.
Malah dia enggan menjadikan kecaman dan kritikan segelintir pihak yang tidak sehaluan dengan karya kreatifnya sebagai halangan untuk terus memajukan diri.
Akui Ryan, dia pernah terlintas mahu undur diri daripada industri dek kerana tohmahan yang dilemparkan khalayak namun figura berusia 28 tahun ini kental menempuh dugaan.
“Kita ada keluarga nak beri makan, ada isteri nak dijaga. Itu yang menguatkan semangat saya. Bukan semua orang suka kita tapi kalau kita tak dapat nak hadap benda tu bermakna kita tak cukup kuat. Alhamdulillah setakat ini segala kecaman saya masih boleh tepis lagi. Tapi kadang-kadang sedih juga.”
Tidak pernah mendedahkan realiti kesukaran yang dialami sepanjang bergelar pempengaruh media sosial sebelum ini, Ryan berkata jiwanya rapuh saat pertama kali berdepan kata-kata negatif netizen.
“Nak dapat jiwa kental tu, saya pernah patah hidung, pengsan, stres, diserang anxiety dan selalu bersendiri. Jadi content creator di media sosial ni bukan mudah sebab kita akan hadap banyak benda. Paling utama sekali, persekitaran yang ‘toksik’.
Kita kena bijak singkirkan komen yang negatif daripada mempengaruhi diri dan kehidupan seharian supaya tak terus hanyut dan jatuh.
Saya juga pernah keluar masuk hospital. Waktu tu belum kahwin lagi dan isteri tahu betapa saya struggle lalui semua ini. Bila masuk hospital, isteri saya sanggup turun dari Sepang ke Temerloh, Pahang untuk pastikan saya sihat. Orang tak tahu macam mana kita berusaha cari rezeki untuk keluarga.
Selagi kita boleh buat, kita sajikan content yang positif dan elak daripada sentuh sensitiviti masyarakat,” telus Ryan yang merancang menceburi bidang perniagaan pakaian andai satu hari nanti tidak lagi berkecimpung dalam industri ini.
Mengulas pencapaian terbesar yang diraih sejak menjadi individu berpengaruh di alam maya, Ryan bersyukur dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya yang tidak pernah terlintas pun di fikiran selama ini.
Selain berpeluang membintangi filem Zim Zim Ala Kazim, Ryan juga berjaya merangkul pengiktirafan TikTok Awards Malaysia 2023 bagi kategori Popular Creator of The Year pada Ogos lalu.
Lebih manis, impian Ryan untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan turut dimakbulkan Allah SWT. Tanggal 1 Oktober 2022 dia sah menjadi suami kepada Elyia Ibrahim selepas lima tahun mengenali hati budi.
Tidak menolak hakikat industri media sosial dan gig ekonomi yang diceburi mampu menjana pendapatan lumayan, Ryan menitipkan pesanan ini kepada generasi belia yang berhasrat melibatkan diri dalam bidang sama.
“Bergelar influencer bukan jalan singkat untuk hidup mewah dan senang. Tak kira sebanyak mana pun followers dan popularnya kita, perlu habis belajar dan ada ilmu.
Saya jadi content creator bukan sekadar buat content saja, saya juga kena ada knowledge untuk susun masa depan. Sibuk macam mana kena pandai cari ruang untuk belajar.
Orang ingat jadi influencer ni tak perlu belajar tinggi. Silap tu, kalau tak ada ilmu kita tak akan berkembang dan takat di situ saja. Kadang-kadang kita akan rasa terlalu murung dan sedih, mungkin waktu itulah sebenarnya untuk kita bangkit dengan semangat baru. Jangan sesekali putus asa dan teruskan berusaha,” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Karisma dan pemikiran optimis Dr. Abdullah @ Maliq Alias dalam mengemudi empayar perniagaan estetik miliknya wajar menjadi inspirasi kepada individu yang mahu bergelar usahawan.
Meskipun sedar industri kosmetik dan kecantikan masa kini berdepan banyak persaingan namun anak jati kelahiran Johor ini nekad mendalami lapangan kerjaya berkenaan bersandarkan niat murninya untuk memberikan khidmat rawatan terbaik dengan cara yang selamat.
Menelusuri latar belakang Dr. Abdullah @ Maliq atau mesra disapa Dr. Maliq, beliau yang merupakan Pengarah Urusan Dr Cute International Sdn Bhd memiliki 15 tahun pengalaman dalam bidang perubatan dan berpengetahuan luas dalam dunia kecantikan selama tujuh tahun.
Graduan Ijazah Sains Bioperubatan ini menerima pentauliahan Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) pada tahun 2015 dan pengiktirafan sebagai Doktor Estetik dua tahun kemudian.
Terdahulu, Dr. Maliq pernah berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Ketua Unit Non-Communicable Disease (NCD), Ketua Unit Penyelidikan dan Ketua Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS). Pada tahun 2016, Dr. Maliq membuka klinik pertamanya iaitu Poliklinik Desaru di Johor Bahru.
Mengulas pembabitannya dalam dunia kecantikan, anak bongsu daripada lapan beradik ini memberitahu beliau sendiri tidak menyangka mampu menguruskan pusat kecantikan estetik sendiri biarpun minat terhadap kesihatan dan kecantikan mula bercambah dalam diri sejak kecil lagi.
“Tahun 2016 saya bina kerjaya sebagai General Practice dengan buka klinik sendiri dan kegembiraan itu tak berpanjangan kerana ibu saya meninggal dunia pada tahun sama. Saya rancang buka klinik estetik tapi bila berlakunya Covid-19, saya mula ubah nature bisnes dan lebih fokus kepada online.
Maka tahun 2021 lahirlah jenama Dr Cute atau DC. Alhamdulillah walau tak pernah terlintas hendak jadi doktor kecantikan pada mulanya. Tapi saya syukur dengan percaturan Allah,” ujar Dr. Maliq yang mendedahkan penyebab utama beliau menjadi doktor estetik kerana masalah kulit berjerawat yang dialami hingga membuatkannya mahu menghasilkan produk penjagaan kulit formulasi sendiri.
“Saya sendiri buat R&D dan kumpulkan bahan-bahan untuk formulasi produk. Semuanya bermula dua tahun lepas dengan kerjasama beberapa kilang. Sebelum dijual, kami terlebih dahulu uji keberkesanan produk itu. Kalau keputusan baik dan tak memudaratkan baru ia dikomersial di pasaran.
Seperti fesyen, dunia kecantikan juga berubah-ubah dengan pantas. Bila ada new ingredient yang dipercayai berkesan untuk kulit, saya sebagai doktor tak mahu masyarakat kita ketinggalan supaya produk tempatan memiliki kualiti yang setanding antarabangsa.”
Sepanjang dua tahun DC berada di pasaran, Dr. Maliq sudah menghasilkan 10 rangkaian produk termasuk penjagaan kulit dan supplemen seperti pembersih wajah, krim pencerah, sunscreen, serum, set jeragat, vitamin C dan minuman pelangsingan.
“Produk DC tergolong gred perubatan, bermakna proses formulasi produk kulit itu melibatkan ramuan aktif yang lebih fokus membantu masalah kulit misalnya kalau pengguna berjeragat, kami akan gabung bahan seperti alpha arbutin dan niacinamide bagi merawat masalah berkenaan.
Satu kelebihan bila doktor menjadi pengasas produk ialah kami hasilkan produk yang selamat serta tidak mengandungi bahan-bahan terlarang seperti merkuri yang dikategori di bawah racun terkawal.”
Aktif memasarkan produk secara atas talian, nama Dr Cute bukan lagi asing dalam platform media sosial terutamanya TikTok.
Dr. Maliq memiliki ratusan ribu followers di media sosial tersebut dan menggunakan pengaruhnya untuk memperjuang produk kulit selamat kepada pengguna khususnya golongan wanita. Bahkan dia sering menjadi rujukan warga maya berkaitan isu kesedaran produk berbahaya dan seumpamanya.
Tak hairanlah dalam tempoh dua tahun jenama DC diasaskan ia berjaya mencapai jualan mencecah enam angka.
“Tahun ni kita dah pecah rekod dan berjaya capai jualan sasaran RM7,000,000. Saya pun dah ada kilang sendiri di Kuala Terengganu tahun ini. Kami looking forward untuk ada lebih banyak produk.
Saya syukur ia diterima baik masyarakat dan klien. InsyaAllah sedikit waktu lagi, kita akan berkolaborasi dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk penyelidikan berkaitan kesihatan kulit.
Tak dinafikan bila saya selaku pengasas lantang bersuara mengenai produk berbahaya di media sosial dan beritahu kebenaran, ada segelintir pihak yang rasa kurang senang dengan mengatakan saya cuba tutup periuk nasi orang dan mahu lariskan produk sendiri.
Hakikatnya, keselamatan pengguna menjadi keutamaan kerana saya juga seorang doktor yang perlu jaga keselamatan mereka,” telus Dr. Maliq yang pernah menerima ugutan dan kecaman di media sosial.
Sudah menjadi lumrah usahawan dan pengasas yang tidak terlepas daripada berdepan pelbagai cabaran sebelum mendaki puncak kejayaan. Begitu juga Dr. Maliq yang tidak terkecuali menerima kritikan dan tohmahan pihak tertentu sepanjang berkecimpung dalam industri ini.
“Sepanjang bergiat aktif secara online, saya dapat banyak sangat tentangan, ugutan dan dikecam teruk. Kalau dulu, bertugas sebagai doktor saya tak expose diri ke hadapan. Apatah lagi saya pun seorang introvert.
Bila dikecam, saya menangis. Waktu itu saya rasa keliru adakah ini jalan yang saya pilih. Tapi bila mengenangkan idola saya iaitu Rasulullah SAW, saya kembali bangkit.
Saya kena kuat dalam perjuangan ini supaya saya dapat kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya produk merkuri yang bukan sekadar menjejaskan kulit tapi juga kesihatan tubuh badan.
Semua orang nak cantik, putih dan miliki kulit mulus tapi berpada-pada. Pilihlah produk atau item yang selamat sebab nyawa kita hanya satu. Bila buah pinggang rosak, tak boleh ganti.
Sepanjang saya kerja di klinik dan bertugas sebagai doktor di KKM, saya jumpa ramai pesakit yang menderita sebab nak cantik. Paling teruk, pesakit umur 20an yang alami buah pinggang rosak disebabkan ambil supplemen berbahaya, drip putih dan pakai produk merkuri. Ada juga masalah kemandulan disebabkan produk merkuri,” tegasnya.
Sebelum mengakhiri perbualan, doktor berusia 41 tahun ini memandang persaingan positif dengan keistimewaan produk keluarannya biarpun kebanyakan pengasas produk kecantikan terdiri daripada individu popular seperti selebriti dan pempengaruh media sosial.
“Saya suka persaingan sihat ini dan untuk saya sebagai seorang yang mempunyai latar belakang perubatan, saya lebih fokus kepada memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat. Bukan semata-mata untuk melariskan produk jualan sendiri.
Pada akhirnya, produk yang berkesan dan berkualiti akan kekal lama di pasaran. Selagi boleh beri yang terbaik, saya akan berusaha sebab kita tahu bisnes ini kalau lihat dari perspektif lebih luas ia menjurus kepada menyelesaikan masalah orang. Bagaimana kita nak bawa diri dan berikan yang terbaik kepada komuniti.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Satu ketika dulu, berlumba-lumba orang nak buka pra sekolah dan taska sendiri. Perkhidmatan seperti ini memang tidak ‘basi’ kerana setiap hari, pasti ada kelahiran bayi dan ibu bapa memerlukan tempat untuk menghantar anak-anak. Tertubuhnya jenama Al Kauthar Eduqids bukanlah semata-mata untuk bersaing tetapi menawarkan pilihan lebih baik.
Pasangan suami isteri, Nor Fadilah Alias dan Bakhtiar Aliff Ibrahim yang datang dari latar belakang kerjaya berbeza membuka lembaran baru buat anak-anak seawal usia satu hingga enam tahun. Al Kauthar Eduqids, sebuah pra sekolah dan taska berkonsep Islamik kini sedang meningkat naik, menandingi jenama pra sekolah Islamik lain yang sudah bertapak lama di dalam industri.
Bertemu pasangan ini ketika sesi fotografi, Fadilah membuka bicara. “Al Kauthar Eduqids berhasil selepas saya melalui pengalaman mengajar selama tujuh tahun di tadika kerajaan dan swasta. Ilmu dan maklumat yang saya terima di salah sebuah tadika terkenal membuatkan saya teruja untuk membuka tadika sendiri.
Cabaran ketika bekerja dahulu yang membuatkan saya lebih teliti untuk menjalankan operasi Al Kauthar. Kebolehan menaikkan semula nama tadika swasta yang hampir bankrap menyedarkan saya tentang kebolehan sendiri. Kepada suami, saya sampaikan hasrat untuk memiliki pra sekolah sendiri. Walaupun pada awalnya suami kurang yakin dengan impian saya namun selepas saya membuktikan kemampuan, dia menerima dengan hati terbuka.
Di Al Kauthar Eduqids, kami memberi ilmu dan kemahiran dalam kehidupan. Mereka tidak hanya disogokkan dengan ilmu membaca seawal usia paling muda sehingga perlu merasai tekanan dalam pelajaran. Pada usia satu hingga enam tahun, mereka lebih cenderung untuk bermain jadi ilmu pembelajaran diserapkan dalam persekitaran yang lebih menyeronokkan. Konsep ini yang mendorong saya untuk membuka cawangan Al Kauthar Eduqids,”ujarnya.
BUKAN FRANCAIS
Tambah Bakhtiar, Al Kauthar Eduqids mula melebarkan sayap dengan pembukaan lebih banyak cawangan bukan secara francais tetapi pemberian lesen. Sehingga kini mereka sudah mempunyai 40 cawangan di seluruh Malaysia.
“Harga lesen yang perlu dibayar setiap bulan sangat rendah berbanding tadika lain berkonsep francais. Harga bayaran royalti setiap bulan kedengaran tidak masuk akal tetapi kami mahu semua yang terlibat di dalam perniagaan ini mendapat pulangan masing-masing. Setiap pendapatan yang diperolehi tidak sedikit pun kami ambil tetapi kami menggalakkan pemilik untuk memberi penghargaan kepada guru-guru.
Kami sangat menekankan pemilik untuk memberikan persekitaran yang baik dan kondusif untuk guru-guru. Di Al Kauthar, guru tadika tidak selamanya menjadi guru tadika. Ada target yang mereka perlu capai dan dari situ mereka boleh dinaikkan pangkat menjadi penyelia, pengurus atau mereka juga berpeluang untuk membuka taska sendiri bersama Al Kauthar,”katanya.
MODUL BERBEZA
Memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, Fadilah sendiri mengambil tanggungjawab melatih guru-guru di Al Kauthar Eduqids kerana dia mahu hasil daripada pengajaran yang disampaikan kepada anak-anak seiring dengan matlamatnya.
“Saya lebih selesa mengendalikan urusan operasi AKE kerana daripada ilmu serta pengalaman terdahulu, saya perlu fokus untuk menjadikan jenama AKE dikenali dan dipercayai. Suami pula lebih kepada pengurusan. Selain kerjaya sebagai juruterbang, dia juga mempunyai pengalaman luas dalam perniagaan. Kombinasi latar belakang inilah yang menguatkan kami dalam bidang ini.
Saya tak mahu orang yang membuka perniagaan pendidikan hanya bersandarkan kepada keuntungan dan duit semata-mata tanpa ada guide atau ilmu. Mereka perlu tahu apa yang penting untuk anak-anak. Malah ibu bapa sendiri tidak tahu apa yang mereka perlu utamakan sekiranya ingin mencari taska atau tadika. Pendidikan awal kanak-kanak ini sangat penting kerana di Shah Alam sendiri kebanyakkan sekolah adalah sekolah kluster. Hanya pelajar terpilih yang boleh dapat berada di sekolah jenis kluster jadi ibu bapa perlu cakna soal pendidikan anak sedari kecil lagi.
Jadi saya di AKE cuba mengubah paradigma ibu bapa yang mempunyai mindset, ‘anak-anak perlu pandai membaca sejak umur empat tahun’ sedangkan pada usia begitu mereka masih seronok bermain. Untuk meletakkan pembelajaran dalam diri mereka ada caranya, tetapi bukan dalam bentuk keterpaksaan. Ada modul milestone yang ibu bapa perlu tahu.
Malah AKE juga menawarkan pendidikan khas untuk anak-anak autism. Yuran kami kenakan sangat berpatutan kerana kami tahu ramai ibu bapa berpendapatan rendah tidak mampu menghantar anak-anak ke sekolah istimewa atau kelas khusus untuk anak autism.
Di AKE, semua orang berhak mendapat pendidikan terbaik. Niat kami untuk membantu, langsung tidak terfikir untuk ‘bunuh’ perniagaan orang lain.”Ujarnya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pengasas jenama Leeyana Rahman selamat bersalin anak ketiga pada 11 November lepas. Lebih istimewa, dia dan suami tercinta iaitu Muhammad Hafiz Abdul Hamid menerima kehadiran cahaya mata tersebut saat usia perkahwinan mencecah 10 tahun ...