Nadir Al-Nuri dinobatkan sebagai penerima anugerah utama di majlis makan malam pengiktirafan Nona Superhero Award 2023. Beliau merupakan seorang aktivis kemanusiaan dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia.
Majlis anugerah yang diadakan oleh majalah Nona buat kali kedua ini disampaikan kepada 18 individu ikonik yang cemerlang dalam pelbagai bidang dan kerjaya yang mencetus revolusi Malaysia sepanjang tahun 2023.
Malam kemuncak Nona Superhero Award 2023 yang bertemakan James Bond 007 ini berlangsung di Hotel Grand Millennium Kuala Lumpur turut diserikan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu YAM Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi bin YAM Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj dan Yang Berbahagia Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (KUSKOP).
Barisan VVIP Nona Superhero Award 2023
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Syamil Fahim berkata, “Majlis Nona Superhero Award 2023 ini menjadi satu platform penting untuk menghargai individu ikonik yang telah mencetus revolusi dalam pelbagai bidang dan menyumbang kepada pembangunan negara.“
Beliau turut menyatakan kebanggaannya terhadap semua penerima anugerah, menyebut mereka sebagai wira-wira negara yang memotivasikan generasi muda untuk terus berusaha dan memberikan yang terbaik untuk Malaysia.
Menurut Kiffy Razak, Head of Business Woman Segment, “Sepanjang 37 tahun di pasaran, kami di Majalah Nona terpanggil untuk menghargai golongan lelaki hebat yang berpengaruh dan menjadi wira sebenar sepanjang menempuhi tahun 2023.
Meskipun berdepan pelbagai cabaran, namun mampu bertahan dengan semangat yang kuat serta menyuntik inspirasi kepada pengikut masing-masing. Tahniah buat barisan lelaki unggul yang diiktiraf dalam Nona Superhero Award 2023!”
1. Nona Superhero Award: Nadir Al-Nuri
2. Nona Men’s Motivator Award: Prof Dato’ Dr Noordin Darus
3. Nona Men’s Fashion Brand Award: Datuk Radzuan Radziwill
4. Nona Men’s Legend Award: Anuar Zain
5. Nona Men’s Active Award: Mohd Al Jufferi Jamari
6. Nona Men’s Inspiring Award: Boss James
7. Nona Men’s Celebrity Business Award: Nubhan Ahamad
8. Nona Best F&B Business Award: Azrain Mohamad
9. Nona Men’s Style Icon Award: Hun Haqeem
10. Nona Men’s Social Media Influencer Award: Ryan Bakery
11. Nona Men’s Paralympic Award: Muhammad Ammar Aiman
Ads
12. Nona Best Innovative F&B Business Award: Cef Nazri Jameson, Beard Brothers
13. Nona Best Medispa Award: Dr Abdul Haq Ab Wasa, Estika Medispa
14. Nona Best Future Education Fund Award: Ahmad Dasuki Abdul Majid, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
15. Nona Best Aesthetician Award: Dr Abdullah @ Maliq Alias, Dr Cute International
16. Nona Best Community Dakwah Centre Award: Ustaz Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof, Yayasan Murtadha (MADAD)
17. Nona Best Hair Service & Product Award: Chez Hamdan, ChezKamya Professional
18. Nona Best Edupreneur Award: Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff Ibrahim, Al Kauthar Eduqids
MOMEN RED CARPET
Nadir Al-NuriProf Dato’ Dr Noordin Darus
Ammar Aiman
Dr Abdul Haq Ab Wasa
Ahmad Dasuki Abdul Majid
Ryan Bakery
Ads
Boss James
Dr Abdullah @ Maliq Alias
Azrain Mohamad, Baba’s
Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff
Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff
Ustaz Mohammad Yaakub Yusra
Hun Haqeem
Nubhan Ahamad
Razman Razmi, Dato’ Sri Vida
Bella Astillah, Aliff Aziz
Persembahan pembukaan majlis diserikan dengan acara fashion show daripada pereka duo terkenal Razman Razmi.
Selebriti Aliff Aziz dan Dato’ Sri Vida turut diundang membuat kemunculan khas dalam pertunjukan eksklusif tersebut.
Lokasi Millennium Ballroom di Grand Millennium Kuala Lumpur tambah happening apabila pengacara Haziq Hussni menggamatkan suasana.
Majlis Nona Superhero Award 2023 turut diserikan dengan persembahan artis-artis terkemuka antaranya Azharina, Nubhan Ahamad serta pasangan Bella Astillah dan Aliff Aziz. Majlis anugerah berkenaan turut mendapat tajaan cenderahati dari jenama wangian eksklusif AROMBAY dan tudung dari DOA by AZ Pemurah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tidak dinafikan, zaman sekarang kaum lelaki juga handal memasak. Seiring dengan trend semasa, ramai kaum lelaki bergelar pencipta kandungan makanan (food content creator) yang sangat kreatif sehingga ada yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama.
Kemahiran itulah yang dimiliki oleh penerima Nona Best Innovative F&B Business Award, Cef Nazri Jameson yang tidak hanya pakar dalam bidang masakan, bahkan turut menggalas tanggungjawab sebagai Pengasas serta Pemilik Bersama Beard Brothers’ BBQ di Malaysia.
Beard Brothers’ BBQ bermula di Kampung Datuk Keramat pada tahun 2013 sebelum berpindah ke Tropicana Avenue pada tahun 2017 sehingga kini.
PERMULAAN “Beard Brothers’ bermula ketika saya sedang mencari jalan untuk berniaga. Waktu itu tahun 2013. Niat saya mahu menyara keluarga, termasuk dua orang anak ketika itu. Seboleh-bolehnya saya enggan bekerja di hotel kerana faktor terikat dengan masa bekerja. Jadi, kenalah cari apa yang nak diniagakan,” kongsi Cef Nazri memulakan bicara.
Atas nasihat abang iparnya, Cef Nazri disarankan mempelajari cara memasak barbeku ala Texas. Tertarik dengan saranan itu, beliau mengembangkan minat dan ideanya dengan menghasilkan barbeku paling sedap buat para penggemar di Malaysia. Cef Nazri mengambil masa hampir lima bulan untuk memahirkan dirinya dengan teknik dan resipi barbeku seterusnya mencapai visi yang ditetapkan.
“Pada awalnya memang gagal habis. Namun, saya nekad untuk memperbaiki kemahiran. Setiap hari saya akan berusaha untuk menyempurnakan sesuatu masakan dengan baik. Itulah kepuasan sebenar sebagai seorang cef,” jelas Cef Nazri yang sentiasa mendapat sokongan padu daripada keluarga, isteri, anak-anak, rakan rakan serta para pelanggan Beard Brothers’.
“Mereka semua adalah sumber kekuatan dan inspirasi terbesar saya. Melihat mereka senyum dan gembira ketika makan, walaupun nampak kecil itulah pencetus semangat saya untuk terus berusaha tanpa jemu,” luahnya.
Cef Nazri yang juga Ketua Pitmaster di Beard Brothers’ BBQ merupakan graduan seni kulinari. Sebelum berada pada tahap sekarang, lelaki segak ini pernah bekerja di beberapa buah restoran. Namun dengan pengalaman yang terhad, Cef Nazri berasa kurang yakin dengan kemampuan dirinya.
“Suatu ketika dulu, saya hanya seorang cef muda yang sentiasa ingin belajar, sentiasa mahu menjadi yang lebih baik berbanding semalam. Saya selalu mencari kelemahan dalam diri sendiri dan sentiasa perbaiki segala kelemahan itu. Saya juga berharap selepas ini, saya tidak akan berhenti untuk menjadi lebih baik lagi,” singkap Cef Nazri.
Biarpun bidang masakan mahupun kulinari sangat sinonim dengan wanita, Cef Nazri punya pandangan tersendiri.
“Saya sebenarnya kurang bersetuju. Bagi saya kemahiran itu perlu dikongsi, sama ada wanita mahupun lelaki. Tidak dinafikan ia memang sinonim dengan tugas seorang ibu yang kerjanya banyak di dapur. Namun, daripada segi kerjaya pula kemahiran itu harus dikongsi.”
BUDAYA
Bersama rakan niaganya, Afif Ter, Cef Nazri berkongsi visi untuk mempelbagaikan budaya makanan halal. Mereka berhasrat untuk mencipta alternatif halal yang boleh diakses untuk masakan dunia di samping membina komuniti sosial yang inklusif melalui makanan yang sihat.
Selaras dengan hasrat itu, Beard Brothers’ BBQ sedang dalam misi untuk mentakrifkan semula persepsi makanan segera sejajar dengan falsafah mereka iaitu ‘slow cooking for full-flavoured goodness.’
“Teras kepada apa yang mentakrifkan Beard Brothers, barbeku halal kami dimasak dengan penuh kasih sayang dan mengambil masa 20 jam untuk disediakan. Kami menggunakan daging yang diperolehi dari Australia serta menepati standard keselamatan makanan dan jaminan kualiti yang tinggi.
“Di sini kami didorong oleh matlamat untuk menyediakan hidangan barbeku halal yang asli, lazat dan sihat dalam suasana makan yang menyeronokkan serta mesra untuk semua,” kongsi Cef Nazri.
Menurut beliau lagi, seorang lelaki itu layak digelar sebagai superhero apabila seseorang itu sanggup mengorbankan diri untuk orang-orang tersayang di sekelilingnya. Sentiasa meletakkan dirinya di hadapan, pada masa yang sama melindungi dan ambil peduli terhadap orangorang yang disayangi.
“Kata-kata semangat untuk diri sendiri tu selalunya saya akan kongsi dengan anak anak setiap pagi. Saya akan pastikan kata-kata itu menjadi seperti ‘mantra’. Kata kata itu ialah, ‘Setiap hari adalah hari yang penuh berkat, dan setiap hari itu adalah peluang untuk menjadi lebih baik berbanding semalam.’
“Oleh itu, saya berharap saya dapat lakukan yang terbaik kerana saya rasa belum cukup bagus lagi. Semampu boleh saya cuba untuk seimbangkan tanggungjawab sebagai seorang suami, bapa dan usahawan. Lakukan yang terbaik sambil menempuh situasi yang dihadapi,” jelasnya tenang.
PERANCANGAN “Saya sangat bersyukur kerana Allah SWT memberi peluang untuk saya kongsi rezeki (makanan) dengan semua orang. Kami juga merancang untuk membuka cawangan di seluruh Malaysia, insha-Allah. Jika ada peluang dan rezeki, kami ingin membuka cawangan di luar negara.
“Selain itu, impian kami mahu mengukuhkan platform media sosial. Alhamdulillah saya mempunyai pasukan kerja yang sangat bagus khusus untuk menjaga media sosial.
“Saya juga berharap dapat mengamalkan gaya hidup yang lebih baik serta berkongsi lebih banyak pengetahuan dan pengalaman dengan semua orang,” akhiri Cef Nazri.
PENULIS & PENYELARAS: Amy Mohd
PENATA GAYA: Kiffy Razak
KONSEP: Azniza Aziz
FOTO: Fadhil Kamaruddin (The Loft Studio Asia)
SOLEKAN: Che Wann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Namanya dijulang sebagai jaguh Asia baru acara 400 meter lelaki T20 (kecatatan intelektual) apabila memenangi pingat emas di Sukan Para Asia Hangzhou 2022 Oktober lalu. Kini, atlet muda berbakat luar biasa, Ammar berimpian untuk memadamkan rekod dunia acara sama yang dipegang oleh atlet Brazil Daniel Tavares Martins yang melakukan catatan 46.86s pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang akan diadakan Ogos depan.
Mencatat masa 47.60s, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi berjaya memecahkan rekod temasya dan Asia yang dipegang oleh Milad Ramazani Torkamari dari Iran sebelum ini dengan masa 47.80s. Bahkan Ammar juga berjaya memadam rekod temasya 49.32s milik bekas atlet negara, Nasharuddin Mohd.
“Inilah impian terbesar dalam hidup saya. Untuk berjaya, kini saya berlatih dengan gigih, dari sekarang” katanya penuh semangat.
Penganugerahan NONA Superhero Awards 2023 menemu kami dengan atlet para ini. Segak bergaya mengenakan sut tuxedo, Muhammad Ammar dilihat agak malu-malu di awal pertemuan namun sebaik beraksi di depan kamera, jelas terserlah gaya aktifnya.Kata Ammar, dia menyasarkan emas di temasya sukan utama dunia itu.
“Buat masa ini, saya nak dapatkan masa 47.0s dahulu dalam latihan, kemudian barulah saya memburu masa yang lebih baik,” katanya yang kini berada di ranking ke lima dunia selepas berjaya memecahkan rekod Sukan Para Asia.
Kerjaya sukan
Tidak menganggap kekurangan tidak mampu menulis nama sendiri atau mengisi sebarang borang semasa sekolah rendah dan menengah sebagai satu bentuk kecatatan intelektual pada dirinya, Muhammad Ammar yang kini berusia 21 tahun mengakui dia hanya menyenangi aktiviti sukan olahraga semasa bersekolah.
“Sejk dulu, saya suka berlari di padang sehingga saya terpilih mewakili daerah mahupun negeri menerusi MSSDT, MSSM, Sukma dan sebagainya.
Kalau kerja sekolah, saya tiru kawan. Semua borang ayah yang tuliskan. Yang saya tahu, saya suka berlari. Sebelum ini saya dalam acara pecut 100m dan 200m tetapi akhirnya saya tukar sendiri kepada 400m kerana nampak ramai tak berminat dalam acara ini.
Kita ramai sprinter tetapi tak ramai nak ke 400m kerana acara ini menggabungkan dua teknik iaitu pecutan dan teknik larian. Jadi saya kata pada diri sendiri, baik ambil acara ini kerana tak ramai persaingan.
Jelas atlet podium yang kini di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) sepenuh masa, semasa bersekolah,beliau dikelilingi guru-guru yang membantu mengembangkan bakatnya dalam dunia olahraga.
“Saya ada banyak guru yang melatih saya. Yang nampak bakat saya dalam olahraga dan boleh pergi jauh dalam bidang ini. Antaranya, Cikgu Darwish, Cikgu Karim masa saya bersekolah di SMK Pekan Nanas, Pontian.Waktu ini saya masih bersekolah harian biasa lagi.
“Bila saya sertai pelbagai kejohanan, ketika itulah saya bertemu Cikgu Huda yang juga pengurus sukan di Kementerian Belia & Sukan yang mahu mencari bakat baru dalam sukan olahraga kategori para.
“Cikgu kemudian menyenaraikan nama saya kerana saya tak tahu tulis nama sendiri. Dari situlah bakat saya dalam sukan mula menyerlah apabila tersenarai ke Sekolah Sukan Negeri Johor Tun Hussein Onn, Kluang,” kata Ammar yang pernah dinobatkan sebagai Atlet Harapan Para Sukma XX Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor tahun lalu.
Selepas tamat tingkatan lima, jelas Muhammad Ammar dirinya dilatih oleh seorang individu yang cukup berjasa dalam hidupnya.
“Ayah Mus. Bersama Ayah Muslah, dia yakinkan saya untuk berjaya dalam sukan olahraga ini. Katanya saya boleh pergi jauh. Dua tahun juga dirinya melatih saya di Kem Johor sewaktu saya berusia 18 dan 19 tahun.
“Sampailah dia nampak peluang bila saya dapat tawaran ke MSN. Katanya, mulai hari ini dia akan lepaskan saya ke jurulatih lain pula,” katanya sambil menambah dalam tempoh dua tahun itu, pernah juga ibu ayahnya bising kenapa dirinya tak mencari kerja kerana sudah habis sekolah.
“Ayah dan ibu (Zainah Hamdan, 46) ada juga bising-bising bertanya kenapa saya tak cari kerja lepas habis sekolah.
“Saya cakap pada mereka saya nak berlari di Sukan Paralimpik yang ketika itu nampak agak asing bagi keluarga saya. Tapi saya yakinkan mereka suatu hari nanti saya nak berlari di Sukan Paralimpik. Itu Impian utama saya.
“Dan Alhamdulillah, dari seorang budak kampung dari Taman Utama Pekan Nanas, insya Allah, Ogos ini saya akan berlari di hadapan jutaan orang di Sukan Paralimpik Paris 2024,”katanya tersipu malu.
Budak Baru
Sudah tertulis rezeki Ammar, hasil dari kerja kerasnya selama hampir setahun akhirnya namanya terpahat sebagai atlet para yang mencatat kejayaan membanggakan.
Jelasnya, sebagai “budak baru” di MSN, jurulatih menyenaraikan namanya dan tiga rakan lain untuk menyertai kejohanan Sukan Para Asia Hongzhou 2022.
“Sebelum ini saya menang emas dengan catatan masa 48.42s dalam Sukan Para ASEAN 2023, Jun lalu. Alhamdulilillah, peluang yang diberi itu saya gunakan sebaiknya dan berjaya meraih emas dan memecah rekod kejohanan dengan masa 47.6s di Sukan Para.
“Daripada tiga orang “budak baru” iaitu saya, Fizzi, Ema dan Dayah, kami bertiga kecuali Dayah berjaya membawa pulang pingat. Dan saya meraih emas,” katanya yang mengucapkan syukur dengan semua kemudahan latihan diterima di MSN termasuk elaun bulanan yang mencecah RM4500 sebulan selepas menggengam emas di Sukan Para Asia.
“Dari duit elaun itulah, saya beri mak ayah setiap bulan, beri adik-adik belanja sekolah, guna untuk diri sikit dan selebihnya saya buat simpanan,” katanya yang bercita-cita mahu membeli rumah berbanding kereta.
Bagi saya harga rumah makin lama makin mahal, kalau beli kereta susut nilai. Saya juga ada cadangan nak beli tanah kebun,” katanya yang bakal menerima insentif RM100,000 hasil kemenangan emas di Hangzhou.
Kesibukan latihan Ammar bermula dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan sebelah petang dari jam 4.00 petang hingga 6.00 petang setiap hari.
“Biasa jam 6.00 saya dah bangun, mandi dan solat Subuh. Kemudian rehat sekejap sebelum turun bersarapan. Jam 8 dah ada di balapan sampai jam 11.00 pagi. Kemudian rehat, makan tengahari, solat dan tidur. Petang dah kembali ke padang semula.
“Saya bekerja keras hari ini kerana saya mahu mengumpul kejayaan dalam sukan dan mampu bawa mak ayah tunai haji dengan duit sendiri. Saya nak banggakan mak ayah saya dengan pencapaian ini walau diri saya ada banyak kekurangan. Rezeki berlari dan mewakili negara, tak semua orang ada peluang begini dalam hidup mereka.
Paling utama, saya nak banggakan mak dan ayah yang menyara kehidupan kami dengan bekerja kilang di Pekan Nanas. Sebab itu saya nak bawa mak ayah tunai haji dengan duit usaha saya sendiri.
Baru ini, saya dapat peluang balik ke rumah selepas beberapa bulan dalam latihan. Memang seronok berkumpul dengan keluarga. Dapatlah bermanja-manja dengan mak dan ayah. Ayah jenis tak banyak cakap tapi saya tahu dia bangga dengan saya. Mak pula banyak titipkan nasihat, jangan tinggal solat, main sukan elok-elok, usaha sungguh-sungguh.
“Saya selalu pegang amanah mak ini. Masa yang sama, kerjaya sebagai atlet sukan bukan seperti pekerjaan lain. Kalau kami tercedera, ambil masa lama nak pulih. Akan ada lagi atlet pengganti dilahirkan. Berbanding dengan dunia pekerjaan, umur 50 tahun pun orang masih bekerja tapi tidak pada kami.
“Paling lama orang berlari pun 30 ke 35 tahun. Selepas itu mungkin dunia atlet kami sudah berubah. Jadi kalau ada harta sedikit, ia dapat menampung kehidupan saya di masa akan datang.
“Sebab itu dalam usia muda ini saya berlatih bersungguh-sungguh dan mahu menang dalam setiap kejohanan yang saya sertai, katanya yang sudah bersedia menghadapi Kejohanan Dunia Para di Kobe, Jepun selain Paris tahun ini.
“Saya nak banggakan mak ayah saya. Walau saya tak pandai dalam pelajaran tapi saya nak berjaya dalam sukan olahraga ini,” kata Muhamad Ammar sebelum menamatkan perbualan bersama Nona.
“insentif hadiah, kemudahan dan lain termasuk penganugerahan yang diterima dari Nona Superhero Awards 2023 adalah kenangan manis dalam hidup saya,” katanya sebelum menamatkan perbualan bersama Nona. Ditanya siapa idola Ammar, anak muda ini tidak melihat orang lain tetapi “memilih” dirinya sendiri untuk berjaya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Satu ketika dulu, berlumba-lumba orang nak buka pra sekolah dan taska sendiri. Perkhidmatan seperti ini memang tidak ‘basi’ kerana setiap hari, pasti ada kelahiran bayi dan ibu bapa memerlukan tempat untuk menghantar anak-anak. Tertubuhnya jenama Al Kauthar Eduqids bukanlah semata-mata untuk bersaing tetapi menawarkan pilihan lebih baik.
Pasangan suami isteri, Nor Fadilah Alias dan Bakhtiar Aliff Ibrahim yang datang dari latar belakang kerjaya berbeza membuka lembaran baru buat anak-anak seawal usia satu hingga enam tahun. Al Kauthar Eduqids, sebuah pra sekolah dan taska berkonsep Islamik kini sedang meningkat naik, menandingi jenama pra sekolah Islamik lain yang sudah bertapak lama di dalam industri.
Bertemu pasangan ini ketika sesi fotografi, Fadilah membuka bicara. “Al Kauthar Eduqids berhasil selepas saya melalui pengalaman mengajar selama tujuh tahun di tadika kerajaan dan swasta. Ilmu dan maklumat yang saya terima di salah sebuah tadika terkenal membuatkan saya teruja untuk membuka tadika sendiri.
Cabaran ketika bekerja dahulu yang membuatkan saya lebih teliti untuk menjalankan operasi Al Kauthar. Kebolehan menaikkan semula nama tadika swasta yang hampir bankrap menyedarkan saya tentang kebolehan sendiri. Kepada suami, saya sampaikan hasrat untuk memiliki pra sekolah sendiri. Walaupun pada awalnya suami kurang yakin dengan impian saya namun selepas saya membuktikan kemampuan, dia menerima dengan hati terbuka.
Di Al Kauthar Eduqids, kami memberi ilmu dan kemahiran dalam kehidupan. Mereka tidak hanya disogokkan dengan ilmu membaca seawal usia paling muda sehingga perlu merasai tekanan dalam pelajaran. Pada usia satu hingga enam tahun, mereka lebih cenderung untuk bermain jadi ilmu pembelajaran diserapkan dalam persekitaran yang lebih menyeronokkan. Konsep ini yang mendorong saya untuk membuka cawangan Al Kauthar Eduqids,”ujarnya.
BUKAN FRANCAIS
Tambah Bakhtiar, Al Kauthar Eduqids mula melebarkan sayap dengan pembukaan lebih banyak cawangan bukan secara francais tetapi pemberian lesen. Sehingga kini mereka sudah mempunyai 40 cawangan di seluruh Malaysia.
“Harga lesen yang perlu dibayar setiap bulan sangat rendah berbanding tadika lain berkonsep francais. Harga bayaran royalti setiap bulan kedengaran tidak masuk akal tetapi kami mahu semua yang terlibat di dalam perniagaan ini mendapat pulangan masing-masing. Setiap pendapatan yang diperolehi tidak sedikit pun kami ambil tetapi kami menggalakkan pemilik untuk memberi penghargaan kepada guru-guru.
Kami sangat menekankan pemilik untuk memberikan persekitaran yang baik dan kondusif untuk guru-guru. Di Al Kauthar, guru tadika tidak selamanya menjadi guru tadika. Ada target yang mereka perlu capai dan dari situ mereka boleh dinaikkan pangkat menjadi penyelia, pengurus atau mereka juga berpeluang untuk membuka taska sendiri bersama Al Kauthar,”katanya.
MODUL BERBEZA
Memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, Fadilah sendiri mengambil tanggungjawab melatih guru-guru di Al Kauthar Eduqids kerana dia mahu hasil daripada pengajaran yang disampaikan kepada anak-anak seiring dengan matlamatnya.
“Saya lebih selesa mengendalikan urusan operasi AKE kerana daripada ilmu serta pengalaman terdahulu, saya perlu fokus untuk menjadikan jenama AKE dikenali dan dipercayai. Suami pula lebih kepada pengurusan. Selain kerjaya sebagai juruterbang, dia juga mempunyai pengalaman luas dalam perniagaan. Kombinasi latar belakang inilah yang menguatkan kami dalam bidang ini.
Saya tak mahu orang yang membuka perniagaan pendidikan hanya bersandarkan kepada keuntungan dan duit semata-mata tanpa ada guide atau ilmu. Mereka perlu tahu apa yang penting untuk anak-anak. Malah ibu bapa sendiri tidak tahu apa yang mereka perlu utamakan sekiranya ingin mencari taska atau tadika. Pendidikan awal kanak-kanak ini sangat penting kerana di Shah Alam sendiri kebanyakkan sekolah adalah sekolah kluster. Hanya pelajar terpilih yang boleh dapat berada di sekolah jenis kluster jadi ibu bapa perlu cakna soal pendidikan anak sedari kecil lagi.
Jadi saya di AKE cuba mengubah paradigma ibu bapa yang mempunyai mindset, ‘anak-anak perlu pandai membaca sejak umur empat tahun’ sedangkan pada usia begitu mereka masih seronok bermain. Untuk meletakkan pembelajaran dalam diri mereka ada caranya, tetapi bukan dalam bentuk keterpaksaan. Ada modul milestone yang ibu bapa perlu tahu.
Malah AKE juga menawarkan pendidikan khas untuk anak-anak autism. Yuran kami kenakan sangat berpatutan kerana kami tahu ramai ibu bapa berpendapatan rendah tidak mampu menghantar anak-anak ke sekolah istimewa atau kelas khusus untuk anak autism.
Di AKE, semua orang berhak mendapat pendidikan terbaik. Niat kami untuk membantu, langsung tidak terfikir untuk ‘bunuh’ perniagaan orang lain.”Ujarnya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.