Seakan terlalu banyak yang ingin ditanya pada Datuk Radzuan Radziwill, ahli perniagaan serta pereka fesyen tersohor yang menjadi pilihan golongan kerabat dan VVIP.  Masih kekal mesra, tidak meninggi diri walau namanya cukup gah bahkan beliau masih mampu berjenaka saat temuramah ini diadakan. Benar-benar merendah diri, sama seperti maksud dan prinsip dipegangnya sejak menceburkan diri dalam bidang rekaan fesyen sejak 30 tahun lalu.

“Jangan rasa hebat, kena selalu down to earth. Kalau kita rasa kita saja hebat, cakap pelanggan pun kita tepis, mungkin orang berurusan sekali saja dan kemudian kita akan ditinggalkan. Mereka punya duit dan mampu membeli apa yang dihajati tetapi yang rugi adalah kita,” katanya membuka bicara.

Ads

Jelas Datuk Radzuan, dirinya mengambil contoh kepada dirinya sendiri yang sanggup belajar tentang protokol istana, cara berjalan, cara bercakap, cara berpakaian, cara makan, pergerakan, lenggok badan dan sebagainya ketika diberi kepercayaan mereka busana buat kaum kerabat diraja.

“Saya belajar semua itu iaitu cara pembawaan diri dan kesesuaian mengikut tempat di mana bumi saya berpijak ketika itu. Alhamdulillah, dengan sentiasa berpaksi dan mengamal prinsip down to earth, saya diberi kepercayaan mereka busana kerabat diraja di beberapa buah negeri seperti Selangor, Kelantan, Perak, Pahang dan lain lagi sejak 20 tahun lalu hingga kini.

Tidak mahu terus melabelkan dirinya pereka kesukaan, jelas Datuk Radzuan pelanggannya terdiri daripada pelbagai golongan. “Memang benar rekaan saya banyak ditempah oleh golongan kenamaan, VVIP dan sebagainya tetapi masa yang sama sebagai seorang ahli perniagaan, saya perlu memikirkan peluang yang ada.

“Koleksi ready-to-wear yang menampilkan helaian rekaan saya tetapi dijual pada harga berpatutan dan mampu dibeli oleh orang ramai adalah cabang bisnes yang saya lahirkan. Alhamdulillah, butik ini mendapat sambutan orang ramai sejak ia dilancarkan,” katanya yang sememangnya terkenal dengan rekaan busana pengantin yang cukup indah.

“Rekaan Saya Bukan Untuk VVIP Saja Tapi Semua Mampu Memakainya”- Datuk Radzuan Radziwill

PENGALAMAN

Pernah belajar di Universiti Bunka, Jepun sebelum pulang ke Malaysia pada tahun 1994, Datuk Radzuan Radziwill yang turut memiliki Sarjana dalam bidang fesyen di UiTM menjelaskan, hingga ke hari ini, dirinya masih kuat bekerja.

“Tidak ada istilah saya yang terbaik. Saya tak pernah letak diri pada kedudukan istimewa tetapi saya sentiasa memberikan yang terbaik kepada pelanggan. Saya bukan nak bekerja sehari dua dengan pelanggan tetapi lama. Ada kala ketika pelanggan meminta pandangan tentang rekaan busana, saya akan cadangkan apa yang sesuai dengan diri mereka.

Dalam masa yang sama, alhamdulillah saya direzekikan pasukan yang baik. Ada sekitar 30-40 orang pekerja yang saya kena jaga. Janji saya dapat bayar gaji, mereka sekolahkan anak-anak titik peluh bekerja dengan saya, itu satu kepuasan buat saya,” katanya sambil melontarkan senyuman.

Nama pereka ini dijulang ketika musim pandemik tiga tahun lalu selepas beliau mengambil inisiatif memulakan projek amal menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan jururawat serta petugas barisan hadapan di hospital. Usaha dilakukannya ini amat dihargai apatah lagi dirinya adalah seorang pereka fesyen terkenal.

Dalam pada itu, saat ditebak apakah peristiwa manis sepanjang 30 tahun dalam industri ini, kata Datuk Radzuan Radziwill, saat diberi kepercayaan mereka busana untuk isteri-isteri ketua negara. Antaranya  isteri bekas Presiden Amerika Syarikat, Michelle Obama, isteri Presiden Russia dan ramai lagi adalah kenangan paling manis buat dirinya.

“Bertemu tetamu kehormat ini dan mengambil ukuran badan mereka sendiri adalah peristiwa sukar saya lupakan. Saya dengan rasa bangga memasukkan elemen songket yang menjadi kebanggaan negara pada rekaan baju yang dipakai mereka pada acara rasmi. Alhamdulillah, itulah kenangan tak boleh saya lupakan hingga kini.

Berpatutan 

Ditanya peristiwa pahit pula, kata Datuk Radzuan Radziwill ia berkaitan tekanan pada harga bahan mentah yang melambung tinggi.

“Kadang jadi serba salah untuk maklum pada pelangggan. Kalau kita nak charge mahal, takut pelanggan persoalkan ditambah ada banyak fabrik-fabrik campuran yang boleh didapati pada harga rendah.

Ads

Tapi untuk mengekalkan kualiti, kos fabrik memang melambung. Jadi saya mengambil pendekatan ‘dua-dua menang’ dalam isu ini. InsyaAllah pelanggan faham tetapi inilah pahit manis dalam dunia perniagaan.

Bila menyebut golongan VIP, duit bukanlah masalah utama mereka. Baju harga puluhan ribu, beg tangan berharga ratusan ribu, semua itu perkara biasa bagi golongan berduit. Tapi bagi yang biasa-biasa, pasti mereka teringin memakai busana rekaan Datuk Radzuan Radziwill.

“Sebagai pereka, kita perlu melihat kehendak masyarakat. Saya tak boleh reka busana ikut apa saya fikirkan tetapi akhirnya tak boleh jual sebab harga terlalu mahal. Rekaan mesti affordable. Masih berpaksi pada adat ketimuran. Tapi saya bersyukur koleksi ready-to-wear mendapat sambutan masyarakat. Tak timbul isu, orang biasa-biasa tak mampu membeli di butik saya. Boleh dikatakan, semua koleksi sesuai untuk semua golongan,” katanya seraya mengukir senyuman.

“Rekaan Saya Bukan Untuk VVIP Saja Tapi Semua Mampu Memakainya”- Datuk Radzuan Radziwill

Trend

Fesyen dan trend, perlukah ia sentiasa diikuti?

Ads

Menjawap isu ini jelas Datuk Radzuan, secara peribadi dirinya tidak mengikut trend semasa pada setiap rekaannya.

“Industri fesyen ini berubah seiring dengan masa. Perubahan dalam industri fesyen tidaklah terlalu mendadak sangat tetapi boleh saya katakan, cara pengiklanannya saja yang berbeza. Pasaran dan style masih sama.

“Boleh dikatakan setiap 20 tahun, pereka akan membuat come back pada rekaan baju-baju lama seperti tahun 60-an tetapi dengan siluet, cutting dan style yang berbeza mengikut zaman ini. Boleh dikatakan lebih kepada kretiviti pereka tersebut.

“Tapi secara peribadi, dalam rekaan saya masih tetap menekankan kepada kreativiti, keasilan, warisan tradisional dan lain lagi. Saya tak terlalu mengikut trend semasa. Pada masa masa yang sama, saya tidak mahu terlalu jauh ketinggalan jauh kerana setiap tahun ramai pereka muda lahir.

“Mereka hari ini beruntung kerana terdedah kepada media sosial yang begitu meluas. Peluang mereka juga besar tidak seperti zaman saya mula naik dulu. Dulu, pereka akan ikut sekali ke lokasi, baik dengan model, makeup artist, editor majalah dan lain lagi untuk baju kita terpampang dalam majalah. Tapi hari ini berbeza sama sekali kerana adanya Instagram, Tik Tok dan banyak lagi dan semua ini peluang melonjak ke peringkat antarabangsa.

“Seronoknya pengalaman-pengalaman begini mematangkan diri kita. Sama jugalah dalam rekaan, dulu-dulu saya buat juga rekaan bahu yang terdedah tapi bagi peredaran zaman masa kini, biasanya saya akan beri sedikit panduan buat mereka yang menempah pakaian dengan saya kerana kita masih terikat dengan tatasusila.

“Sebabnya fesyen khususnya untuk pasaran Malaysia, kita tak boleh reka keterlaluan sangat.  Sebab itulah, pelanggan-pelanggan saya masih boleh mengenakan busana yang mereka tempah 3-4 tahun sebelum ini kerana ia masih releven dengan suasana semasa.

Terpilih bagi kategori Nona Men’s Fashion Brand Award dalam anugerah Nona Superhero 2023, jelas Datuk Radzuan Radzwill ia satu pengiktirafan dalam hidupnya. “Dari dulu kita bekerjasama dalam industri media dan anugerah ini satu pengiktirafan buat saya,” katanya mengakhiri perbualan.

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI