Hampir diisytiharkan muflis dek pandemik COVID-19, rupanya terselit hikmah tersembunyi buat Halimi atau Chez Hamdan untuk bangkit dan seterusnya mencabar keupayaan diri. Berbekalkan bakat yang dimiliki, beliau kini menjadi pilihan utama para selebriti dan VIP dalam perihal dandanan rambut menerusi salun serta produk rambutnya, ChezKamya Professional.
Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Dengan 18 tahun pengalaman menata rias rambut, Chez Hamdan membuktikan tiada apa yang mustahil. Bersama kemahiran dan ilmu dalam genggaman, beliau mencipta nama sebagai pendandan rambut profesional sekaligus membina empayarnya sendiri sehingga dikenali seperti kini.
“Awal dahulu, saya sekadar cuba-cuba saja menggunting rambut adik. Entah bagaimana, kepuasan itu timbul apabila ramai memuji tambahan lagi banyak permintaan dari rakan-rakan sekolah membuatkan saya tak menang tangan,” singkap bapa kepada dua orang cahaya mata ini.
Tatkala dirinya masih tercari-cari hala tuju karier diidamkan, Chez Hamdan menyambung pengajian dalam jurusan perakaunan di sebuah universiti tempatan. Angkara kurang minat dalam bidang akaun membuatkan anak kelahiran Jerantut, Pahang itu mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam kursus penggayaan rambut di sebuah akademi di Kuala Lumpur.
“Waktu itu saya sedar saya dah menghampakan harapan kedua ibu bapa saya walaupun sudah punya income sendiri hasil memotong rambut kawan-kawan di kolej. Saya percaya bakat hairdressing saya ini boleh menjana pendapatan lumayan.”
Mengulas tentang skop tugas sebagai penggaya rambut, anak kedua daripada lima beradik itu berkata mendandan rambut nyata memberikan kepuasan tersendiri serta tanggungjawabnya adalah memberi konsultasi kepada pelanggan mengenai imej yang sesuai dengan bentuk muka, tekstur dan gaya rambut.
“Sepertimana bidang-bidang lain, bergelar penggaya rambut juga menjanjikan masa hadapan yang cerah sekiranya kita betul-betul berusaha, asalkan anda punya minat dan sentiasa fokus dalam memberikan yang terbaik,” ujar Chez yang cukup berpegang kepada prinsip jangan pernah berputus asa.
Ads
Walaupun terpaksa bergelut dalam industri untuk mencipta nama, apatah lagi bidang penggayaan rambut yang lazimnya dipelopori kaum Cina, Chez Hamdan mengakui perjalanannya tidak mudah apabila berhadapan liku-liku perniagaan.
Bermula daripada seorang shampoo boy kepada junior hairstylist, beliau kemudian membuka salun rambutnya sendiri di Setapak pada 2010, namun malang sekali operasi perniagaan terpaksa ditutup akibat pandemik Covid-19 yang menimpa negara. Lantas, Chez terpaksa memikirkan jalan keluar lain bagi menyara kehidupan dengan menjual produk rambut orang lain secara atas talian.
“Pada waktu itu, saya terduduk malah bergelut untuk mencari jalan keluar. Mati akal dan turut diserang anxiety. Nak run business pun sudah tidak mampu lagi akibat lockdown dan sebagainya. Namun alhamdulillah berkat sokongan isteri, anak-anak dan keluarga, saya kembali bangkit untuk mengeluarkan produk sendiri hasil daripada pengalaman saya dalam bidang kecantikan rambut.”
Mengakui melihat apa yang terjadi tertulis hikmah yang tersembunyi, ternyata wabak yang melanda seluruh negara ini mengubah perspektif pendandan rambut berusia 37 tahun ini. Jika sebelum ini, Chez hanya bergantung kepada tangannya dalam membentuk dan menggayakan rambut, kini Chez mula tampil lebih berkeyakinan bergelar seorang usahawan dalam mengemudi perniagaan salun serta produk rambutnya, Chezkamya Professional.
Ads
Usaha tidak akan pernah mengkhianati hasil. Selepas sebulan pertama produknya dijual, ia mencapai sasaran ditetapkan meskipun ketika itu negara berada dalam fasa awal pandemik. Melihat produknya semakin laris, Chez menubuhkan syarikat Chez Profesional Sdn Bhd pada November 2020 yang berpangkalan di Taman Melawati Kuala Lumpur dan mengambil sembilan orang pekerja.
“Jika tidak kerana pandemik, mungkin saya masih terus berada di zon yang selesa dan hanya menguruskan operasi sebuah salun walaupun saya sedar perniagaan tersebut hanya menunggu masa bagai telur di hujung tanduk.
Bahkan wabak ini juga mengajar saya untuk mengambil risiko serta berfikir di luar kotak, sekaligus membiasakan diri dengan operasi jual beli dalam talian. Norma baharu ini jelas mengubah attitude dan cerminan diri saya dari seorang yang pemalu kepada seorang yang berani mengambil risiko dan sentiasa bersedia mendapani cabaran,” ujar suami kepada Sharifah Haziah Akmar ini.
Ads
Dengan terlahirnya kerjasama bersama bekas penyanyi, Erna Elliyana Rosli ia kembali membakar semangat untuknya bagi meneruskan kecintaannya dalam bidang penggayaan rambut. Lalu, wujudlah perkongsian pintar atau ‘smart partnership’ di antara dua usahawan bumiputera berkenaan menerusi kehadiran salun pelbagai tarikan yang dikenali sebagai ChezKamya Professional. Jadi apa istimewanya salun ini berbanding salun lain di luar sana.
“Bukan sekadar sebuah salun rambut biasa, salun ini merupakan sebuah pusat sehenti yang turut menitik beratkan kecantikan dan kesihatan rambut baik dari segi produk mahupun perkhidmatan yang disediakan. Di salun yang berkeluasan 3,600 kaki persegi, kami menawarkan perkhidmatan yang profesional dengan hasil yang pasti memuaskan serta dilengkapi 15 tempat duduk yang selesa,” jelas Chez yang memasang impian besar untuk membuka salun rambutnya di luar pasaran Malaysia seperti Indonesia bagi mengukuhkan lagi jenama tersebut di persada dunia.
Menyajikan perkhidmatan terkini, jenama ChezKamya kini dilihat cukup dikenali sebagai trendsetter terutamanya dalam soal kepakaran mewarna rambut serta potongan unik sehingga menjadi pilihan VVIP dan selebriti tempatan.
“Di ChezKamya, perkhidmatan di salun ini sentiasa ditambahbaik dengan memperkenalkan pasukan barber berpengalaman untuk menarik lebih ramai pelanggan lelaki serta segmen kecantikan, manicure dan pedicure buat golongan wanita. Dengan kadar dikenakan sangat berpatutan pelanggan sendiri dijamin dapat merasai servis taraf kayangan apabila berkunjung ke salun ChezKamya,” katanya.
Apatah lagi dengan kewujudan rangkaian produk penjagaan rambut merangkumi penjagaan kulit kepala syampu, keratin mask, penyembur keratin, serum dan tonik yang diperbuat dari bahan-bahan bermutu tinggi seperti Tricogen, Biotin dan Zpt, menerusi tagline ‘Your Home Your Saloon’, produk hebat ini nyata berkualiti sama seperti di salun, bebas silikon, diperakui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan harga berpatutan.
“Setiap satu produk kami turut memfokuskan kepada penyelidikan dan pembangunan produk (R&D). Di Chezkamya, kami sentiasa mahu berevolusi serta menambah baik mutu produk agar lebih premium dan semestinya berkesan untuk setiap jenis rambut. Yang pasti, kami mahu mencipta fenomena. Doakan kami,” akhiri Chez Hamdan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibarat bulan jatuh ke riba! Kompas hidup Georgina Rodriguez berubah sepenuhnya sejak dia bertemu bintang bola sepak ternama dunia, Cristiano Ronaldo sejak Jun 2016. Tidak menyangka menjadi pendamping Ronaldo hingga ke hari ini, Georgina yang berasal dari perkampungan kecil di Jaca, Selatan Sepanyol kini menikmati kehidupan mewah dan penuh glamor apabila dikhabarkan bergelar tunang kepada pemain kebanggaan kelab Juventus tersebut.
Sepanjang lima tahun menjalin hubungan cinta, mereka dikurniakan seorang anak perempuan berusia tiga tahun yang diberi nama Alana Martina yang lahir pada 12 November 2017. Pun begitu, Georgina turut dilaporkan menjaga tiga lagi anak Ronaldo iaitu Cristiano Junior dan anak kembar, Eva dan Mateo. Baiknya hati ibu berusia 27 tahun ini… patutlah Ronaldo sayang!
Terharu dengan pengorbanan Georgina tersebut, Ronaldo dilihat tidak lokek berkongsi kesenangan dengan memberi elaun sebanyak £80,000 atau kira-kira lebih RM459 ribu sebulan kepada wanita istimewa itu bagi menyara keperluan hidupnya yang tinggi.
Difahamkan bintang Portugal berkenaan dan Georgina menjalani gaya hidup mewah di Turin, Itali dengan pendapatan Ronaldo bersama Juventus dianggarkan mencecah sehingga RM151 juta setahun!
Dengan jutaan ringgit yang diterima, tidak hairanlah Ronaldo dan Georgina termasuk empat anak mereka dapat melayari hidup serba mewah. Bercuti menaiki jet peribadi mahupun percutian di atas kapal mewah sudah menjadi kebiasaan bagi mereka. Malah, persalinan dan aksesori yang disarung Georgina adalah berjenama mewah antarabangsa dari hujung rambut ke hujung kaki.
Mengintai Instagram wanita kelahiran Buenos Aires, Argentina ini, pelbagai koleksi, saiz dan warna beg tangan Hermes ada dalam simpanan Georgina. Itu belum kira kasut, jam tangan dan barangan aksesori lain.
Walau sering ‘dimanjakan’ dengan kemewahan, Georgina tetap menghargai buah hati kesayangan apabila dia menghadiahkan sebuah kereta mewah Mercedes G-Wagon kepada Ronaldo ketika ulang tahun kelahiran ke-35. Dianggarkan harga kereta tersebut bermula dari £93,000 atau kira-kira RM533 ribu.
Georgina RodriguezKetika melahirkan anak, 3 tahun lepas
Menelusuri latar belakang Georgina, dia merupakan anak kepada bekas pemain bola sepak Argentina yang dikenali sebagai Jorge manakala ibunya bernama Ana. Ketika kecil, Georgina bercita-cita mahu menjadi seorang penari balet namun terpaksa melupakan impian tersebut kerana kesempitan hidup keluarganya.
Georgina juga pernah tinggal di sebuah apartmen yang kecil dan bekerja sebagai pelayan restoran sebelum berhijrah ke Bristol pada usia 19 tahun. Ketika berada di Bristol, Georgina diambil bekerja sebagai pengasuh budak dan menerima bayaran USD18.50 sejam.
Berkat kesungguhan mahu menjalani hidup lebih baik, dia gigih mempelajari kemahiran berbahasa dan kembali semula ke Sepanyol dan bekerja di butik jenama mewah di Madrid. Dia kemudian diterima bekerja di butik Gucci dan di situlah Georgina dan Ronaldo bertemu sebelum menjalin hubungan lebih serius hingga sekarang.
Walau sibuk menguruskan empat anak, Georgina dilaporkan mengambil kelas tarian profesional dan mengikuti kelas pengajian Bahasa Inggeris di London untuk meneruskan kerjayanya sebagai peragawati.
Sumber: thesun.co.uk
Kredit foto: Instagram Georgina
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Makin lama makin ‘panas’ tengok program realiti digital pertama pencarian makeup artist Fabulous MUA. Memasuki episod ketiga, bahang dan tekanan merebut gelaran juara kian terasa dalam kalangan para peserta dengan masing-masing mula tunjuk ‘taring’ demi menarik perhatian juri selain enggan tersingkir. Namun, nasib tidak menyebelahi Suzana Zainan dan El Manda Suhairy dalam episod kali ini kerana kedua-duanya berada di kedudukan dua terbawah!
Mengetengahkan tema solekan Quick Makeup, peserta hanya diberi masa 30 minit untuk menyiapkan tugasan kali ini. Dalam keadaan masih terpinga-pinga menerima cabaran tersebut, peserta sekali lagi dikejutkan dengan satu lagi ujian… iaitu hanya dibekalkan 10 produk Farmasi Color Cosmetics (FCC) sahaja!
Aduh, sudahlah kena cepat. Cuma guna 10 barang mekap pula tu. Memang menguji kemampuan. Patutlah emosi peserta terganggu dan salah seorang yang paling tercalar emosinya ialah Suzana Zainan!
Barisan juri yang mengadili peserta Fabulous MUA dalam episod 3
Mana tidaknya, orang lain dapat sekotak barangan mekap FCC yang lengkap dengan 10 produk. Tetapi Suzana atau lebih dikenali sebagai Ana pula, dapat kurang daripada jumlah itu. Semuanya gara-gara kesilapan Ana sendiri yang tidak membawa kesemua barangan kosmetik FCC yang telah diberikan kepada setiap peserta. Sebaik menyedari kekurangan tersebut, air mata Ana mengalir laju dan berkali-kali ayat ‘Aku tak boleh buat’ terpacul dari bibirnya sambil menghentak-hentak kotak mekap yang ada di atas meja sebagai tanda kesal.
Melihat keadaan Ana yang sedang berang, para peserta dan model datang menenangkan ibu empat anak ini dengan kata-kata semangat. Kata Ana, “Dengan rasa tak sedap hatinya, saya tengok dekat meja saya tu hanya ada powder, ada eyeliner, eyebrow dan maskara set. Saya terus cakap, ‘Apa ni… Aku tak boleh buat, aku tak boleh perform benda ni. Takkan benda ni je ke aku nak bagi makanan untuk family aku.’
It’s very hard, very frustrated… makeup ni my passion. Nak berkarya memang sepenuh jiwalah. Ia bukan sebab kita nak buat benda-benda ini untuk glamor. No! Saya ada strong reason tak bawa full kotak mekap FCC.”
Situasi tegang itu berlarutan selama hampir 15 minit sebelum Ana kembali tenang dan mula menata rias wajah model yang juga rakan karibnya sejak kecil. Disangkakan ‘derita’ Ana sudah berakhir, rupanya ia kembali hangat sebaik jurusolek terkemuka iaitu Nurul Shukor datang memantau solekan peserta. Terkejut dengan barang mekap Ana yang sangat terhad, Nurul Shukor atau selesa digelar Babah menyapa dengan penuh tanda tanya.
“Kenapa jadi macam ni? Dengar khabar mereka bagi satu box, kan? Ini pertandingan, I don’t care. Aku cabar kau, Ana… aku cabar kau betul-betul sekarang. Aku nak dalam masa dan produk ni kau boleh buat mekap terbaik daripada mereka. Jangan tunjuk kau nak menangis, aku nak tengok kau buat betul-betul,” tegas Nurul Shukor.
Dek kerana kreativiti Ana terhad akibat kekurangan barang mekap, dia berada di kedudukan tercorot bersama seorang lagi peserta, Manda yang akhirnya disingkirkan daripada Fabulous MUA.
Sementara Ummi Kay yang pernah dikritik hebat juri dalam episod pertama disebabkan solekannya seperti ‘perempuan kampung’… kembali bangkit membuktikan kemampuan diri. Dalam episod kali ini, konsep ‘the eye upside down’ yang dipertaruhkan berjaya menarik perhatian para juri dan disifatkan sangat urban, chic dan fresh. Sekaligus dinobatkan sebagai pemenang bagi episod ketiga setanding pemenang episod terdahulu iaitu Shahzard Duo dan Arda Dhia.
Solekan Ummi Kay bertemakan ‘The eye upside down’Hasil solekan Arda DhiaHasil solekan Shahzard DuoSolekan Nik AswatSolekan Wira KastryaSolekan Suzana ZainanHasil solekan Manda yang membuatkan dia tersingkirPerjalanan Manda (duduk di tengah) berakhir dalam Fabulous MUA
Kini hanya tinggal enam sahaja peserta yang masih bertanding untuk memenangi gelaran juara Fabulous MUA yang turut bakal membawa pulang trofi, wang tunai, barangan kemas Habib Jewels, penginapan dua hari satu malam di hotel Sunway Group, produk penjagaan wajah Nafura, produk kosmetik FCC dan Bag O Bag. Episod ketiga ini turut menampilkan Nurul Shukor, Sheila Mohamed dan Kilafairy sebagai juri jemputan. Manakala Kiffy Razak dan Ili Zawani kekal sebagai juri tetap.
Saksikan episod seterusnya Fabulous MUA pada Jumaat, 8 November ini jam 8 malam di saluran Youtube, Facebook dan laman web Majalah Nona.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti yang kita tahu hubungan Sharifah Shahirah atau Shiera dan ibu mertuanya, Datin Maria Arshad umpama isi dengan kuku. Beruntungnya Shiera kerana disayangi dan sangat serasi dengan mertuanya itu yang dipanggil Mama.
Berusia 45 tahun, Shiera merupakan ibu kepada lima orang anak iaitu Allisya (21), Airell (15), Airra (12), Auddra (10) dan Adeena (2). Isteri kepada pelakon, Ijoy Azhari ini bukan saja mengkagumi cara didikan ibu mertuanya terhadap anak-anak malah dia juga bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga, cantik dan langsing.
“Mama seorang yang sangat disiplin dengan amalan petuanya dan dilakukan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Saya pula sebaliknya, tak dapat nak ikut sangat petua-petua yang diamalkan sebab terlalu sibuk. Kalau buat pun hangat-hangat tahi ayam saja. Setiap orang ada cara masing-masing.
Kalau berbual tu memang kami tak pernah cakap topik kecantikan. Selalunya lebih kepada hal-hal anak cucu, ‘membawang’ pun ada lah sekali sekala.. Walaupun Mama tak pernah kongsi apa petua yang diamalkan tapi saya dapat lihat melalui perbuatannya.
Rawatan-rawatan moden macam suntik sana sini Mama memang tak pernah buat dan tak pernah berminat pun. Baginya biar cantik semula jadi, jangan halang proses penuaan yang sememangnya pasti terjadi. Yang penting kena pandai jaga untuk maintain. Saya bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga dan cantik sampai sekarang walaupun usianya dah mencecah 61 tahun.
Terus terang, saya memang tak jaga badan sangat. Dulu kalau tak jaga pun berat masih lagi maintain, mungkin terlalu aktif dan sibuk dengan kerja. Sekarang saya perlu makan to keep the energy agar menjadi lebih hiper dan cerdas berfikir.
Saya amalkan produk-produk kesihatan dari farmasi. Tapi tak ambil banyak pun sebab saya jenis yang bukan minum air banyak. Jadi kalau ambil apa-apa suplemen saya tak akan makan banyak takut effect buah pinggang.
Saya ambil satu tablet suplemen saja sehari dan minum oxygenwater. Saya juga amalkan makan sayur setiap hari. Kalau makan nasi selalunya saya tak akan tambah lagi. Saya cuba tak makan berlebihan.”
UTAMAKAN KELUARGA
“Ibu mertua saya seorang yang more to family. Selalunya Mama akan lebihkan anak-anak dan cucu. Kalau buat apa-apa pun semuanya untuk keluarga. Secara tak langsung saya dan suami turut menerapkan cara tersebut dalam mendidik anak-anak.
Kami memang menggalakkan anak-anak untuk berjumpa dengan nenek mereka sekerap yang mungkin. Kena selalu rapatkan hubungan mereka antaranya melalui video call mahupun group WhatsApp.
Mama memang sangat rapat dengan cucu-cucunya dan mereka selalu bersama. Ibu saya sendiri pun sering berpesan, jangan lupakan ibu mertua. Jadi saya memang utamakan ibu mertua, melayannya sama seperti ibu sendiri.”
AMBIL HATI IBU MERTUA
“Antara air tangan Mama kegemaran kami sekeluarga ialah ayam masak merah. Memang sedap! Rasa rugi jugalah sebab banyak ilmu memasak yang saya tak belajar dengannya. Orang kata salah satu cara untuk tackle hati ibu mertua ialah melalui masakan. Tapi cara saya lain iaitu dengan mengambil berat dan menghubunginya selalu.
Saya masih ingat dulu ketika pertama kali berjumpa, Mama sangat sporting walaupun tahu status saya ketika itu. Mama menerima saya seadanya, alhamdulillah. Semoga hubungan kami sekeluarga kekal akrab selamanya.”
Shiera kini aktif sebagai pengacara majlis serta penyampai radio.
Kredit Foto: Instagram Shiera Al-Khaired & elhelmikhir
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Datin Sri Muhaini Zainal Abidin menyambut ulang tahun kelahiran ke-64 dalam suasana bahagia dikelilingi anak dan cucu. Isteri kepada Dato’ Sri Ismail Sabri ini kekal tenang, lembut dan penuh kasih dalam menyokong keluarga di balik tabir.