
Penyanyi Amerika kelahiran Hong Kong yang cukup popluar suatu ketika dahulu, Coco Lee meninggal dunia pada usia 48 tahun pada Rabu.
Dalam satu catatan di media sosial, kakaknya Nancy Lee berkata, penyanyi popular itu yang mengalami masalah kemurungan, menghembuskan nafas terakhir selepas tiga hari berada dalam keadaan koma.
“Dengan kesedihan yang mendalam, kami di sini untuk menyampaikan berita paling menyedihkan. Coco bertarung dengan masalah kemurungan selama beberapa tahun tetapi keadaannya merosot secara drastik sejak beberapa bulan lalu.
“Walaupun Coco mendapatkan bantuan profesional dan melakukan yang terbaik untuk melawan kemurungan, malangnya dia tidak berjaya.
“Pada 2 Julai, dia cuba membunuh diri di rumah dan dihantar ke hospital. Walaupun pasukan perubatan berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan, Coco meninggal dunia pada 5 Julai 2023,” tulis Nancy.
Kerjaya Lee bermula di negara kelahirannya, Hong Kong, sebelum berkembang ke Taiwan. Beliau antara bintang pop Asia terawal mencipta nama di Amerika Syarikat apabila singlenya, “Do You Want My Love” berjaya memasuki carta muzik AS.
Lee juga dipilih Walt Disney Pictures untuk menyanyikan salah satu versi lagu tema filem Mulan, “Reflection”, selain turut menjadi pelakon suara watak Fa Mulan versi Mandarin.
Pada Anugerah Akademi ke 72, Lee dijemput mempersembahkan salah satu calon kategori Lagu Asal Terbaik, “A Love Before Time” yang dipetik daripada filem Crouching Tiger, Hidden Dragon.
Sumber: ASTRO AWANI
—
#Sekiranya anda atau kenalan anda berhadapan dengan masalah kemurungan atau ketidakstabilan emosi, hubungi Befrienders.
Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kembar MEGHAN MARKLE, Wanita Australia Ini Selalu Diajak Bergambar Kerana Sangka Duchess of Sussex!

Sekali pandang, wajahnya memang tidak ubah seperti Duchess of Sussex, Meghan Markle. Senyuman, mata dan paras rambut milik wanita Australia ini cukup mirip puteri diraja Britain tersebut. Tidak hairanlah kenapa dirinya kerap ‘ditahan’ peminat Meghan Markle dan menjadi tumpuan khalayak setiap kali keluar dari rumah. Rasa macam selebriti pula!
Bianca Burgdorf yang berasal dari Melbourne merupakan ibu kepada seorang anak. Sama seperti status Meghan yang bergelar ibu selepas selamat melahirkan seorang putera pada Mei lalu. Ujar Bianca, dia sama sekali tidak menyangka dirinya mempunyai persamaan dengan puteri diraja berkenaan sehinggalah pada suatu hari kenalan dan ahli keluarganya menyatakan pesona dirinya yang seiras watak Rachel Zane dalam drama popular Amerika, Suits yang pernah dibintangi Meghan Markle.
Bianca yang juga jurulatih peribadi menjelaskan dia enggan memikirkan hal tersebut dan keadaan jadi lebih serius selepas Meghan berkahwin dengan putera diraja Britain, Prince Harry… sekaligus bergelar ahli kepada keluarga diraja ternama dunia itu.
Hingga ke hari ini, wanita berusia 29 tahun berkenaan sering diterjah orang ramai yang menyangka dia adalah Meghan Markle setiap kali berada di khalayak. Meskipun suami Bianca seorang ejen hartanah dan tidak memiliki raut wajah seperti Prince Harry… namun pasangan ini cukup bahagia dengan kehadiran anak mereka.

Kongsi Bianca, “Sejujurnya saya tidak pernah tahu tentang Meghan Markle. Itu pun selepas dia berlakon dalam Suits. Malam pertama ia ditayangkan, saya terima mesej dari tiga orang yang mengatakan wajah saya seiras Meghan.
Saya juga mengikuti perkembangannya tapi tidak begitu serius sehinggalah berita hubungan Meghan bersama Prince Harry bertiup kencang. Dalam sekelip mata, Meghan menjadi tumpuan dan wajahnya kerap disiarkan di kaca TV dan menghiasi majalah.
Lagi terkenal Meghan, lagi banyak komen yang saya terima. Pada malam perkahwinan pasangan diraja itu berlangsung… memang ramai yang beritahu kemiripan wajah kami. Lucu pun ada. Dalam seminggu, beberapa kali saya disapa orang tidak dikenali termasuklah ketika mengunjungi butik pakaian atau pasaraya.
Tapi selepas mereka melihat suami saya yang berada di sebelah… barulah mereka perasan yang saya bukan seperti yang mereka sangkakan. Tidak cukup dengan itu, ada juga yang bertindak sedemikian semasa saya menghadiri sebuah parti.
Katanya, saya mirip seseorang yang terkenal dan seperti biasa, nama yang terpacul dari bibir mereka ialah ‘Meghan Markle’.”
Jika Meghan Markle bersandarkan kepada kecantikan keturunan Caucasian dan Afrika-Amerika, Bianca pula berbangga dengan keturunan Itali yang diwarisinya.
Tambah Bianca lagi, “Saya cukup meminati Meghan Markle bukan saja kerana kecantikan yang dimiliki tetapi semangatnya. Beliau adalah wanita yang hebat dan patut dijadikan inspirasi.
Sebagai jurulatih peribadi, saya sangat gembira dapat membantu masyarakat terutamanya golongan wanita dengan menggalakkan mereka melakukan apa yang disukai dan berbangga dengan diri mereka sendiri.”
Sumber: Mirror
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dikhabarkan RONALDO Tawar Hotel Miliknya Jadi Hospital COVID-19, Tapi Ini Pula Jawapan Staf Hotel!

Sejak semalam heboh berita mengenai hotel milik bintang bola sepak ternama, Cristiano Ronaldo bakal diubah menjadi hospital. Ia dikatakan sebagai salah satu usaha atlet terkemuka tersebut membantu orang ramai di negara kelahirannya, Portugal untuk memerangi wabak Covid-19 yang semakin menular di seluruh dunia.
Memetik laporan sebuah syarikat penerbitan Sepanyol iaitu Marca, bekas bintang kelab bola sepak Real Madrid berkenaan dikhabarkan sudah bersedia untuk mengubah satu daripada dua hotel miliknya menjadi sebuah hospital memandangkan jangkitan coronavirus sudah menjangkiti lebih 160,000 orang dan mengorbankan lebih 6,000 nyawa.
Terkenal sebagai pemain bola sepak yang berbakat besar, Cristiano Ronaldo juga dikenali ramai kerana sikap pemurah dan aktif melibatkan diri dengan kerja amal. Jadi, tidak hairanlah jika superstar Juventus berusia 35 tahun ini sanggup menjadikan hotel miliknya untuk membantu pesakit Covid-19 di Portugal. Dua buah hotel itu merupakan kolaborasi Ronaldo dengan syarikat pelancongan dan perhotelan Portugal, Pestana… yang hangat diperkatakan sejak semalam iaitu Pestana CR7 yang terletak di Lisbon dan Funchal, Madeira.

Namun, menerusi kenyataan The Sun UK hari ini, syarikat perhotelan Pestana CR7 berkenaan menafikan dakwaan tersebut. Salah seorang kakitangan hotel yang dihubungi berkata, “Hotel ini tidak diubah kepada hospital dan kekal beroperasi seperti biasa. Ramai media yang menghubungi kami dan bertanyakan tentang perkara tersebut.” Ronaldo kini sedang menjalani kuarantin bersama tunang dan anak-anaknya di Madeira selepas rakan sepasukannya dari kelab Juventus iaitu Daniele Rugani disahkan positif coronavirus.
Kongsi Ronaldo di Instagram miliknya, “The world is going through a very difficult moment which demands the utmost care and attention from all of us. I speak to you today not as a football player, but as a son, father, a human being concerned with the latest developments that is affecting the whole world. It is important we all follow the advice of WHO (World Health Organization) and the governing bodies on how we handle this current situation.

Protecting human life must come above any other interests. I would like to send my thoughts to everyone who has lost someone close to them, my solidarity to those who are fighting the virus, like my teammate Daniele Rugani, and my continued support to the amazing health professionals putting their own lives at risk to save others.”
Sebelum ini media antarabangsa memaklumkan Ronaldo sudah bersedia menjadikan hotel Pestana CR7 sebagai hospital untuk memerangi Covid-19 dan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pesakit terlibat termasuk membayar sendiri gaji doktor dan pekerja perubatan. Yang pasti, perkhabaran tersebut tidak benar dan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Ronaldo sendiri.



Mengimbas kembali kejayaan Ronaldo membuka syarikat perhotelan di Portugal, ia sebenarnya usaha sama pemain kebangsaan Portugal tersebut dengan Pestana sejak tahun 2016 yang lalu. Dijangka tiga lagi cawangan Pestana CR7 bakal dibuka sepanjang tahun ini namun lokasi sebenar tidak dinyatakan secara lanjut.
Sumber: The Sun UK
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dugaan Anak Cerebral Palsy, Ibu Adam Ini Belajar Banyak KAWAL EMOSI! Kalau Tak Anaknya Sawan Tau

Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya sungguh tak terhingga. Perkongsian wanita bernama Bibi Nurul Asyikin Adnan ini cukup membuktikan kecekalan hatinya, walaupun cabaran dikurniakan anak cerebral palsy begitu hebat.
Melihat foto anak syurga bernama Adam, 7 tahun, cukup memilukan hati kami. Kata ibunya yang kini berusia 34 tahun, Adam suka belajar dan mahu ke sekolah, tapi hasrat itu terbantut. Kenapa ya? Ikuti perkongsian wanita asal Pulau Pinang ini kepada Nona.
=========================
Nama anak saya Muhammad Nur Zafran, tapi sejak dalam kandungan lagi saya selalu panggil nama dia Adam. Adam penghidap cerebral palsy dan umurnya 7 tahun.
Semasa hamil, kandungan saya sihat cuma saya pula ada masalah anemia dan kerap jatuh. Masa hampir melahirkan iaitu sekitar pukul 5.00 pagi, saya terasa kontraksi yang kerap dan suami pun cepat-cepat bersiap untuk bawa saya ke Hospital Sg. Buloh.
Jam 6.50 pagi, kami tiba di hospital. Sebaik tubuh saya dibaringkan atas katil, air ketuban pun pecah. Masa tu baru pukul 7.50 pagi dan bukaan saya cuma 5 sm. Kena tunggu lagi. Selalunya kalau ikut kelahiran sebelum ni, bila ketuban pecah confirm bukan sakit lagi dah, tapi terus teran.

Tapi yang ni tak rasa pun. Cuma mengeras dan kontraksi pun tak kuat sangat. Dari pukul 8.00 pagi sampai 12.00 tengah hari, saya kira dah ramai doktor pelatih yang datang dan seluk. Tetap sama, 5 sm.
Sampailah tiga orang doktor pakar datang dan salah seorangnya tanya, kenapa doktor bertugas tak paksa bukaan rahim? Bila dia seluk, mukanya terus berubah. ‘Baby dah berak’, katanya.
Saya terus dikejarkan ke bilik pembedahan kerana bila CTG, jantung baby dah lemah. Bila masuk epidural saya terus tak sedar waktu dibedah… walaupun masih terasa tajamnya pisau yang menghiris lapisan demi lapisan kulit perut ni.
16 Ogos 2011, saya selamat lahirkan Adam. Tapi dia keluar tanpa suara. Senyap. Macam-macam saya dengar doktor dan jururawat lakukan, CPR serta sebagainya. Akhirnya baru dengar suara tangisan yang maha lemah.
Doktor cakap anak saya lemas dalam perut dan dah berak. Mungkin termakan najis. Oksigen pula kurang sampai ke otak. Jadi dijangkakan akan ada masalah.
Walaupun ramai yang menuduh salah pihak tertentu sebab saya tak dibedah lebih awal, tapi saya tak percaya semua tu. Saya percaya ini takdir Allah SWT. Mungkin ada sebab dan hikmah yang Dia nak beri kepada kami, seorang anak syurga.

RENUNGAN BERMAKNA
Bertuah kalau ada anak yang bijak dan petah berkata. Tapi Adam tak pandai semua tu. Dia cuma pandai sebut ‘Buu…’ atau ‘Yam…’ macam bayi. Tapi pandangannya dah cukup untuk menceritakan segalanya. Ya, dari segi fizikal, Adam tak mampu. Tapi dia faham cakap orang dan ada rasa marah. Kadang bila Adam tengok kakak, abang dan adiknya main berlari-lari… Ya Allah, hanya Tuhan saja yang tahu erti renungannya.
Saya tahu Adam mesti nak cakap, kenapa aku tak boleh berjalan? Padahal tahun ni Adam sepatutnya sekolah, tapi Adam tak sanggup nak tengok ke pintu, tak nak duduk bermain. Saya tahu hati Adam, dia nak sekolah sebab Adam bukan budak bodoh. Cuma tak mampu uruskan diri je.
Bila saya pangku Adam dan bukakan buku, Adam suka. Adam akan tengok gambar-gambar dan dengar saya cerita. Sambil pandang muka saya, Adam akan ketuk-ketuk kaki dia. Ketuk sampai mengamuk, mungkin bertanya kenapa kaki Adam ni ibu? Allahu, mengalir air mata saya.
Dalam redup mata Adam, pelbagai kata-kata nak diucapkan. Kalaulah dari dulu saya selalu ke fisio, buat urutan, mungkin Adam dah boleh berjalan walau tak selaju orang lain.

JATUH DITIMPA TANGGA
Dari saat Adam lahir sampailah umurnya 5-6 bulan, kami selalu berulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan. Dalam tempoh tu, satu persatu masalah datang. Antaranya kekurangan duit.
Anak-anak sulung (kembar) nak bersekolah. Kami suami isteri terpaksa ikat perut untuk bayar yuran, beli segala kelengkapan sekolah macam baju, kasut dan beg, untuk dua orang. Waktu tu pula, kami baru berpindah dan masih perlu berulang-alik ke hospital.
Tanpa kereta, bayangkan susahnya nak bawa Adam buat rawatan. Takkan nak pinjam kereta orang selalu? Kalau dapat pinjam, kami kena usahakan belanja isi minyak dan tol. Pernah satu hari, susu Adam habis. Duit dalam tangan saya ada RM50 je.
Jadi sebagai ibu, saya cuma fikir susu anak sebab Adam bukan makan macam budak biasa. Kalau tak ada susu, badannya akan lemah. Ibu mana yang sanggup tengok anak kelaparan? Berkorbanlah guna duit tu untuk beli susu dia.

Masuk tahun 2016, kami berpindah sekali lagi ke Klang. Saya cuma dapat bawa Adam ke klinik desa menaiki motosikal. Masa tu Adam meronta-ronta tak mahu naik motor. Mungkin dia rasa kurang selesa.
Tahun 2017, Adam kena serangan sawan. Mujurlah masa tu bapa mertua ada di rumah dan kami terpaksa pinjam keretanya untuk kejarkan Adam ke hospital. Nasib baik umur Adam masih panjang.
Kos minyak dan tol saja bagi kami yang kurang kemampuan ni, memang tinggi. Dalam anggaran RM35-40 pergi dan balik. Kalau kereta meragam lagi parah, kami kena sewa kereta yang sekurang-kurangnya RM80 sehari.
Saya pening memikirkan masalah kewangan yang dihadapi. Selepas suami diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan, dia cuma bekerja kebun dengan bapa saudaranya. Kerja sendiri ni, upahnya tak menentu. Dalam sebulan, kadang-kadang adalah 2-3 kali bekerja. Pergi ke Perak atau Negeri Sembilan, ada kerja adalah duit. Bila tak kerja, kami terpaksalah berlapar.
Itu pun saya tetap dahulukan susu Adam. Dengan anggaran pendapatan suami lebih kurang RM500-700, saya mohon bantuan zakat dan alhamdulilah diluluskan. Sekarang pun saya dalam proses mohon bantuan JKM dan insyaAllah saya akan mulakan kerja sebagai dropshipper di Facebook.
Saya tahu tiada ubat yang dapat merawat pesakit cerebral palsy seperti Adam. Yang ada hanyalah rawatan terapi, urutan dan kalau ada ubat pun, mungkin untuk melembutkan atau melicinkan pergerakan sendi-sendi tulang, paha, tangan atau ubat mencegah sawan. Paling penting di rumah kami ni, wajib ada ubat demam. Sebabnya bila badan Adam mula panas, saya akan lekas suapkan ubat demam supaya sawannya tak menyerang.
Jumlah belanja ni saja, termasuk susu, lampin pakai buang, Nestum dan sebagainya dalam anggaran RM400-500 sebulan. Hari-hari saya panjatkan doa, kalaulah dapat sumbangan dan bantuan masyarakat, saya teringin nak belikan kerusi roda khas serta barangan terapi untuk sensori dia. Saya kesian dengan Adam. Kakinya mungkin lenguh dan kebas di atas kerusi biasa.

Harapan saya tentulah nak tengok anak syurga saya boleh berdikari. Boleh uruskan diri walaupun hanya pergi ke bilik air dan membersihkan diri. Saya sedar kami tak mampu dari segi wang ringgit, jadi saya harap sesiapa di luar sana tak mempertikaikan usaha ibu yang mempunyai anak istimewa ni. Bukan saya tak sayang anak tapi saya tak mampu! Saya juga nak tengok dia sihat dan boleh bagi rawatan sepatutnya untuk dia.
Saya dan keluarga sungguh-sungguh nak mohon bantuan untuk Adam. Tak kisahlah dalam apa bentuk sekali pun untuk menampung kos perbelanjaannya yang di luar kemampuan kami. Sambil itu suami juga sedang berusaha mendapatkan kerja tetap.
=========================
Begitulah harapan dan hajat wanita ini yang menggunung tinggi untuk menggembirakan anak tersayang. Semoga kisah Adam menjadi iktibar dan mendapat ehsan orang ramai untuk memberikan bantuan. Sebarang bantuan boleh disalurkan kepada:
- Bank: Bank Simpanan Nasional
- No. Akaun: 1010841000064253
- Nama: Bibi Nurul Asyikin Binti Adnan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


