Dikatakan lebih memudahkan urusan rasmi terutamanya yang melibatkan ‘first name’ dan ‘surname’, trend mendaftar nama tanpa bin dan binti pada MyKid anak kini jadi pilihan ibu bapa muda.
IKLAN
Menurut Sinar Plus, perkara tersebut sudah lama digunakan orang kita di mana nama si kecil dan bapanya akan dihubungkan dengan perkataan Arab bin atau binti yang membawa makna anak lelaki dan anak perempuan.
Malah penggunaan bin atau binti juga mengelakkan persoalan sama ada seseorang itu Islam atau sebaliknya, malah paling penting memastikan susur galur keturunan melalui nama si ayah.
Bagaimanapun, jika dilihat kepada syarat permohonan dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebenarnya tidak ada syarat yang mewajibkan untuk bin atau binti ini diletakkan dalam nama anak.
Namun, jika penjaga mahu menggugurkan perkataan bin dan binti pada nama anak, mereka perlu mengikut prosedur yang ditetapkan oleh JPN.
Seperti dalam perkembangan terbaharu Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ada menjelaskan perkara berkenaan dalam sebuah penulisan di portal milik pihaknya, iaitu Bayan Linnas, siri ke-267.
1. Dari aspek adat setempat memang sejak dahulu di Malaysia, setiap nama bagi individu muslim akan diletakkan bin atau binti berpandukan tradisi perletakan nama dan nasab para Rasul, Sahabat dan seluruh ulama Islam.
2. Jadi, tidak benar tanggapan sebahagian masyarakat yang mengatakan bangsa Arab sendiri tidak menggunakan perkataan tersebut dalam nama mereka sedangkan ianya masih ada sehingga hari ini kerana bangsa Arab merupakan bangsa yang amat mementingkan asal usul keturunan mereka.
IKLAN
3. Apa yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia adalah selari dengan amalan bangsa Arab dan dikira sebagai ‘uruf (adat setempat).
4. Namun, dalam konteks Islam, nasab dan keturunan merupakan perkara penting yang perlu dipelihara dengan baik demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat.
5. Jika tidak, ia boleh menyebabkan kerosakan terhadap institusi kekeluargaan kerana boleh mengelirukan susur galur keturunan selain ia juga akan menimbulkan fitnah dan masalah terhadap pembahagian harta pusaka.
IKLAN
6. Meskipun tanpa meletakkan bin atau binti tidak akan merosakkan institusi kekeluargaan dan tidak jejaskan nasab, namun akibat normalisasi amalan ini kelak akan mengakibatkan penyalahgunaan sebahagian individu yang ada berniat jahat.
7. Dalam konteks ini, contoh yang diberikan adalah sekiranya tiada bin atau binti, seseorang boleh membuat helah bagi menyembunyikan status anak angkatnya.
8. Jadi, tidak meletakkan bin atau binti pada nama anak ketika pendaftaran adalah sah di sisi undang-undang, namun dari segi syarak meletakkan bin dan binti adalah penting.
9. Hal ini adalah bagi menjaga institusi kekeluargaan masyarakat Islam daripada sebarang kerosakan seperti yang disebutkan di atas.
Perut buncit, baik wanita mahupun lelaki kedua-duanya berhadapan dengan masalah yang sama kalau tak jaga badan. Keluhan selalunya didengar selepas seseorang itu berkahwin. Ada yang berbadan kurus tapi perut pula buncit. Sehinggakan ada yang menggunakan taktik dengan menarik nafas sewaktu bergambar supaya perut terlihat kempis. Sampai bila anda mampu bertahan dengan cara itu?
Berikut cara yang betul bagi mendapatkan perut kempis dan rata seperti sebelum berkahwin.
PELBAGAIKAN SENAMAN
Amalkan pelbagai jenis senaman mengikut kemampuan. Badan akan terbiasa dengan senaman yang dibuat secara berulang. Contohnya menggabungkan latihan kardio seperti berlari, yoga dan seni mempertahankan diri. Sekaligus ia dapat meningkatkan stamina.
SENAMAN KARDIO
Tahukah anda senaman kardio boleh berlaku semasa anda sedang menaiki tangga atau berjalan kaki? Walau pun ia nampak santai tapi membantu membakar kalori dan menjadikan kadar denyutan jantung lebih sihat.
KIRA SAIZ HIDANGAN
Rujuk maklumat di label nutrisi. Jika anda mahu makan di luar, tinggalkan separuh daripada hidangan ke dalam peti sejuk untuk dinikmati keesokannya. Di internet terdapat banyak laman web yang boleh dirujuk untuk mengira saiz hidangan.
BACA SENARAI NUTRISI PADA LABEL
Ini tindakan penting bagi menikmati pemakanan seimbang selain membantu mengelakkan pengambilan makanan tidak sihat. Hadkan juga kandungan gula. Pilih makanan berserat tinggi lebih daripada tiga gram bagi setiap hidangan. Lebih banyak makanan segar yang diambil, lebih mudah untuk mendapatkan nutrisi seimbang.
SEDIAKAN MENU RINGKAS
Memasak makanan sendiri lebih sihat kerana anda boleh mencuba pelbagai kaedah seperti bakar, gril, kukus atau panggang berbanding bergoreng. Gunakan minyak yang sihat seperti minyak zaitun atau minyak jagung berbanding minyak kelapa sawit atau marjerin. Bagi menambah perisa, gantikan dengan herba berbanding garam.
SAYUR & BUAH
Membantu mengekalkan berat badan ideal. Amalkan memakan sayur saderi yang dicicah mentega kacang. Boleh juga amalkan dengan meratah lobak merah. Buah-buahan campuran yang dihiris dan digaul dengan yogurt di dalam mangkuk boleh dijadikan snek kesihatan setiap hari.
Datuk Halim sudah membayangkan kelincahan Anna di Dubai City. Malah Hanif Bobo juga sudah tersengih melihat Anna sedang menari gemalai di bawah neon yang malap. Lebih daripada itu Datuk Jalal tersengih sakan melihat Anna terlentok di bahunya dalam penerbangan MAS ke Hong Kong.
ANNA RAZALI bukanlah calang-calang wanita. Apabila dia berjalan di hadapan sekumpulan lima orang lelaki, boleh dikatakan kelima-lima mereka akan menoleh lebih sekali padanya dengan mulut berdecit dan mata hampir terbeliak. “Fuyoo…!” kata pula mereka yang lebih miang.
Anna biasa sahaja. Sekurangnya dia puas hati, mungkin kerana semburan Diornya pagi tadi berjaya menghambat dada lelaki-lelaki itu. Atau mungkin skirt labuh yang baru dibeli di Pavilion, Ahad lepas menambah lagi keyakinannya untuk melangkah. Mungkin juga beg sandang dengan laptopnya itu semakin menjadikan dirinya berwibawa.
Dia selamba sahaja meneruskan segala urusannya seharian, ke hulu dan ke hilir, turun naik kereta membereskan segala urusan dalam pejabat dan luar pejabat. Sama ada di kaunter pejabat swasta ataupun menghadiri mesyuarat penting di jabatan kerajaan itu lumrah baginya. Orang senyum dia senyum. Orang bertanya, dia menjawab.
Pernah sekali Datuk Munir menegur Anna; “You ni cubalah cool sikit… you bukan tak boleh buat semua itu tetapi ikutlah kesesuaian, slow and steady,” kata lelaki itu.
Anna hanya tersengih. Kemudian lambat-lambat dia menjawab…”Saya ni Datuk, kalau disuruh melompat dan berlari pun saya memang sanggup. Itu cara kerja saya, pantang bertangguh. Tapi saya memang tak boleh melihat pekerja yang buat kerja dengan lembap dan penuh lemah gemalai,” kata Anna.
Datuk Munir tersenyum. “Yes… you are a good girl…” Selalu dia puji Anna begitu. Dia tahu Anna Razali akan bergerak pantas mengalahkan orang lain. Datuk Munir memang bangga dengan pencapaian Anna.
Malah ramai kawan-kawan bisnes Datuk Munir minta dikenalkan dengan Anna. Mereka mahu membawa Anna masuk ke dalam syarikat mereka. Mereka malah mahu lebih daripada itu. Misalnya kalau boleh…. Membawa Anna pergi makan malam, duduk berborak-borak, bersantai sambil berbual ringan.
“Eh, kamu jangan nak buang begitu dengan Anna…” Tegas Datuk Munir.
Datuk Halim termenung. Dia meraba-raba misai nipisnya. “Kenapa?” Soalnya pantas. “Bukankah Anna tu masih muda, mahukan perhatian, mahukan hiburan dan teman-teman gembira di sekelilingnya setelah penat seharian menguruskan hal pejabat?”
Datuk Munir tersengih sahaja.
“Saya ni Datuk, kalau boleh mahu pinjam Anna untuk mini pelaburan syarikat saya ke Dubai bulan depan. Boleh Datuk benarkan saya bawa Anna bersama?” pinta pula Hanif Bobo, seorang tuan punya sebuah syarikat perkapalan.
Sekali lagi Datuk Munir tersenyum. Datuk Halim dan Hanif Bobo mengerut dahi. Kali ini Datuk Jalal pula menyampuk, “Ah Munir… janganlah kedekut. Pinjamkan Anna… saya pinjamkan you saya punya June. Bukan lama, sekejap saja,” kata Datuk Jalal, penuh yakin dan amat berharap.
Datuk Halim sudah membayangkan kelincahan Anna di Dubai City. Malah Hanif Bobo juga sudah tersengih melihat Anna sedang menari gemalai di bawah neon yang malap. Lebih daripada itu Datuk Jalal tersengih sakan melihat Anna terlentok di bahunya dalam penerbangan MAS ke Hong Kong.
Datuk Munir menggeleng. Berkali-kali dia menggeleng. “Tak boleh. Saya tak akan benarkan Anna mengikut you all. Dia amanah bagi saya. Saya kena pegang amanah itu. Tak boleh!”
“Kenapa? Apa salahnya? Saya hendak pinjam sekejap sahaja. Habis siap semua projek, saya pulangkan semula… Semua projek akan beres dalam tiga bulan sahaja. Nanti jika berjaya saya akan berikan juga sebahagian keuntungan projek pada you…”
Sekali lagi Datuk Munir menghela nafas panjang. “Tahukah kamu Anna tu dah kahwin, dah ada lima orang anak. Lagipun dia staf saya, bukan barang dagangan untuk ditukar milik,” kali ini Datuk Munir terpaksa meninggikan suara.
Serentak itu Datuk Halim dan Hanif Bobo melopong. Datuk Jalal sudah angkat punggung, meninggalkan mereka bertiga. Seketika, Datuk Halim dan Hanif Bobor tidak berani bersuara. Mereka melihat raut wajah Datuk Munir penuh teka-teki.
“Saya tahu ramai yang anggap Anna masih bujang. Maafkan saya… dia seorang ibu muda yang aktif. Dia berjaya dengan usahanya sendiri. Dia berjaya mengimbangi antara kerjaya dan rumah tangga. Itu sudah cukup baginya. Tak perlu ada suntikan dari luar…” Datuk Munir menerangkan panjang lebar.
“An honest heart is an open heart… saya ikhlas. Semoga lepas ini tak ada salah sangka pada ibu bekerja. Mereka betul-betul kerja untuk membantu keluarga, bukan main-main untuk menggoda lelaki,” jelas Datuk Munir lagi.
“Jangan samakan Anna kepunyaan syarikat saya itu dengan June atau Sally atau Mimie yang ada di pejabat kamu…” kata Datuk Munir, menyindir.
Bukanlah payah untuk berusaha
Namun seksanya jika kita menjaja setia
Patutlah sering menjadi buruan syarikat iklan, memang cantik dan ayu sangat orangnya! Walau bukan berbangsa Melayu tetapi Sufya Subashni Nair Balen cukup fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan. Malah, dia juga memiliki nilai ketimuran yang tinggi. Seorang wanita yang sopan dan lemah-lembut dalam berbicara. Mengenali personaliti cantik ini, Sufya yang lebih mesra disapa sebagai Su seorang yang tenang dalam menempuhi liku hidup. Setenang raut wajahnya. Bahkan sepanjang pernah bekerjasama dengan Su sangat menyenangkan. Barangkali kerana wanita ini sudah terbiasa dengan budaya kerja yang memerlukannya bertindak tenang ketika bertugas sebagai krew kabin penerbangan.
Mengulas kerjaya di awan biru yang diceburi sejak hampir dua dekad lalu, Su menjelaskan menjadi pramugari adalah cita-citanya dari kecil. “Menjadi pramugari adalah childhood dream saya. Selepas tamat persekolahan Tingkatan 5 memang saya teringin sangat hendak memohon pekerjaan ini. Tapi kerana parent mahu saya sambung belajar dulu, saya terpaksa akur dan melupakan hasrat tersebut seketika.
Sudahnya, saya ambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di Malaysia Institute of Integrative Media, MIIM yang dikenali sebagai Akademi TV3 dalam jurusan Diploma Kewartawanan. Pada tahun akhir pengajian sekitar 2002, saya nekad menghadiri temu duga pramugari MAS di sebuah hotel di Melaka. Ketika itu saya baru berusia 22 tahun dan alhamdulillah, saya lulus semua peringkat ujian sekaligus terpilih mengikuti latihan di Akademi MAS selama 4 bulan di Kelana Jaya.
Saya bekerja sebagai pramugari sejak umur 22 tahun bermula dari April 2003 sampai Mei 2020. Selama 12 tahun saya bertugas sebagai pramugari di Malaysia Airlines System dan kemudian di Suasa Airlines untuk setahun. Seterusnya kembali ke Malaysia Airlines Berhad dari tahun 2018 hingga tahun lepas. Menariknya kerjaya sebagai pramugari, kami menerima latihan penuh yang sungguh membanggakan. Kami dilatih menjadi doktor, bomba, polis selain mengenali food and beverages. Kami juga penyelamat dalam segala situasi yang berlaku dalam ‘burung besi’ itu.
Bercerita tentang kenangan yang tak dapat dilupakan ketika bertugas sebagai pramugari adalah apabila kami yang tak pernah kenal di antara satu sama lain dapat bertoleransi dan jadi satu keluarga kecil apabila ‘terbang’ bersama. Sebab kami semua berada dalam ‘burung besi’ yang terputus tali dari keluarga tercinta dan dunia luar. We only have each other.
Dalam erti kata lain, tugas menjaga penumpang adalah keutamaan kami di dalam setiap penerbangan dan mereka ibarat keluarga kami sendiri. Saya seronok dan bersyukur kerana dapat menimba pelbagai pengalaman sebab bukan semua orang dapat merasai pengalaman sebegini. Walau sedih berjauhan dari keluarga ketika bertugas tapi pengalaman kerjaya ini turut tersimpan bermacam-macam keindahan.”
Tambahnya lagi, “Being a crew memang banyak dugaan lebih-lebih lagi being away from family. Kalau ada kecemasan melibatkan ahli keluarga kebiasannya saya jarang dapat melawat atau teman mereka. Pernah suatu masa dulu, waktu saya mengikuti penerbangan ke Stockholm, New York selama hampir 2 minggu. In the midst of the trip saya dapat SMS daripada keluarga yang abang saya mengalami kemalangan teruk. I was so sad and lost.
Tak tentu arah dibuatnya sebab kapal terbang ke KL lagi 3 hari. Ikutkan hati memang mahu saja terbang balik ke rumah, tapi sebab tanggungjawab kerja terpaksa juga cekalkan diri. Mahu atau tidak, hanya rakan setugas jadi tempat saya mengadu. Dan mereka jugalah yang banyak memberi semangat.
Bila sudah berkahwin dan ada anak, situasi sama juga yang harus saya lalui. Sebagai ibu, saya sepatutnya yang jaga anak apabila mereka demam tapi terpaksa pergi kerja pula. Hendak tahu perkembangan anak pun kena tunggu sampai mendarat baru boleh telefon. Luaran memang nampak macam tak ada apa-apa dan tenang saja layan dan jaga keselamatan penumpang tapi dalam hati hanya Tuhan tahu,” bicaranya penuh semangat.
Rentetan keadaan pandemik Covid-19 yang menjejaskan industri penerbangan, Su terpaksa akur menamatkan perkhidmatan sebagai pramugari di Malaysia Airlines Berhad pada Mei tahun lepas. Enggan sekadar duduk di rumah dan mahu mencari pendapatan sendiri, Su kembali mencari peluang pekerjaan baharu dan kini dia merupakan eksekutif di sebuah syarikat farmaseutikal.
Dalam masa sama, dia turut aktif sebagai model sambilan untuk iklan komersial. Memang selalu nampak wajah cantik Su di kaca televisyen mahupun iklan di media cetak. Tidak cukup dengan itu, Su turut mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual aneka jenis dessert seperti cream puff, almond chocolate dan sambal hitam.
Berkongsi sisi peribadi dan salasilah diri, ibu dua anak ini tanpa berselindung mengakui mewarisi darah kacukan dari kedua-dua belah ibu bapa tersayang. “Iya, saya mempunyai darah campuran India (Malayam) dari bapa. Ibu saya pula berketurunan Cina (Hokkien) dari Melaka. Kerjaya sebagai model pula, saya sudah lama berjinak dalam dunia pengiklanan. Bermula dari zaman kolej pada usia 18 tahun sehinggalah sekarang dah beranak dua. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang Allah beri dengan mengurniakan sepasang anak yang sangat menjadi kebanggaan keluarga. Anak saya ini boleh dikatakan anak ‘Satu Malaysia’ sebab mereka bukan je ada darah keturunan India, malah mewarisi keturunan Cina dan Melayu.”
Bercerita tentang rejim kecantikan jelitawan ini, tidak dinafikan Su kekal kelihatan awet muda. Kalau tengok susuk tubuh dan raut wajahnya, macam tak makan dek usia. Walhal, tahun ini dia meniti usia 40 tahun. Tersenyum manis saat kecantikan dirinya menjadi bualan, isteri kepada Shan Irwan Sallehudin ini mengakui dia tidak terlalu obses menjaga penampilan sebaliknya hanya mengamalkan rutin normal seperti wanita lain.
“Menjaga kesihatan diri adalah penting bagi saya kerana bila kesihatan terjaga barulah saya boleh menjaga anak-anak dan keluarga dengan baik. Penjagaan yang saya amalkan sebenarnya biasa saja. Seperti tidak ambil minuman sejuk dan berkarbonat. Selain menjaga diet seimbang, saya juga sangat mengutamakan penjagaan diri selepas bersalin. Memang saya ikut amalan orang dulu-dulu yang berpantang selama 100 hari dan banyakkan minum air suam.
Soal kecantikan, saya amat bersyukur dengan pinjaman yang Allah berikan. Menyentuh penjagaan dan rutin harian, saya cuma akan pastikan membersih muka dengan air sekurang-kurangnya setiap kali mengambil wuduk. Penjagaan kulit muka biasa saja, pakai pelembap, sunblock dan krim malam. Itu sahaja.”
Mula memeluk Islam ketika berusia 20an, Su mengakui tertarik mendalami agama suci ini sebelum dia mendirikan rumah tangga. Apatah lagi, sejak remaja lagi dia bergaul rapat dengan kawan-kawan Melayu di sekelilingnya. Petunjuk Allah SWT datang tanpa diduga. Membesar dengan persekitaran dan bergaul rapat dengan masyarakat Melayu telah banyak mempengaruhi cara hidup Sufya. Sejak zaman persekolahan sehinggalah bekerja, kehidupannya dikelilingi dengan budaya Melayu dan ajaran Islam. Tanpa berselindung, wanita ini mengakui dia cukup terkesan melihat keindahan Islam.
“Tanggal 17 Jun 2005 sambil ditemani suami yang ketika itu kenalan rapat, dia bersama ibu bapa serta bapa saudaranya telah membawa saya ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di Kuala Lumpur untuk mengucap dua kalimah syahadah. Tiada paksaan daripada mana-mana pihak kerana memeluk Islam adalah pilihan saya sendiri.
Memang dari kecil ketika saya tinggal bersama datuk dan nenek di Negeri Sembilan, saya sudah biasa hidup dalam kejiranan yang majoritinya berbangsa Melayu. Bahkan ketika masih di bangku sekolah rendah, saya turut mengikuti subjek Pendidikan Islam.
Pendek kata, cara hidup saya sama seperti orang Melayu bezanya cuma kami berlainan agama. Keputusan untuk memeluk Islam dibuat tanpa pengetahuan keluarga. Pada mulanya, mereka agak keberatan untuk terima hakikat. Tetapi lama-kelamaan, mereka sedar dan menerima saya seadanya,” jelas model iklan komersial yang pernah menghiasi kempen produk Nestle, Fair & Lovely, MAS dan McDonalds ini.
Dua tahun bergelar mualaf dan mendalami Islam, Sufya akhirnya dilamar Shan Irwan. Perkenalan bersama jejaka Melayu yang dikenalinya sejak menuntut bersama pada tahun 2000 membawa ke jenjang pelamin.
“Saya kenal dengan suami ketika masih muda lagi. Waktu tu tahun 2000 dan saya baru berumur 19 tahun. Kami sama-sama belajar di Kolej ATV3 dan dia adalah cinta pertama saya. 7 tahun mengenali hati budi masing-masing, kami sepakat mendirikan rumah tangga pada tahun 2007 semasa berusia 28 tahun. Alhamdulillah masuk 14 tahun kami berkahwin dan masih lagi dalam alam percintaan. InshaAllah more years to come. Aamiin.”
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata comel iaitu Shaisha Irna Shan Irwan yang kini berusia 12 tahun dan Shahir Issa Shan Irwan, 7 tahun.
Semakin kejar akhirat, semakin melimpah ruah rezeki Rozita Che Wan. Sebut sahaja nama selebriti popular ini pasti ramai yang membayangkan kejelitaan dan imej glamor isteri Zain Saidin ini ...