
Tengok wajah Hazlin Hussain pasti ramai terkenang aura wanita ini ketika mengacarakan program dokumentari popular, 999! Tidak lagi aktif di kaca televisyen, bakat Hazlin dalam dunia penyiaran mula bersinar apabila dia menyertai pencarian bakat ‘Gadis Melayu’ Musim Kedua pada tahun 2019.
Bersandarkan pesona yang dimiliki, Hazlin kemudian diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai penyampai berita. Seterusnya mengendalikan program 999 menggantikan Zakiah Anas pada tahun 2014.
Ternyata gaya penampilan dan ketegasannya mengacarakan program berkenaan berjaya menarik perhatian penonton. Sekaligus menaikkan popularitinya.
Penghijrahan Hazlin Hussain

Namun Hazlin Hussain mula berhijrah dari segi penampilan sebelum nekad meninggalkan kerjaya penyiaran.
Tidak hanya tenang melayari rumah tangga bersama penyampai berita TV3 Mior Abdul Malek, dia juga makin ligat mengusahakan perniagaan. Termasuk bisnes kuih semperit setiap kali menjelang Hari Raya.
Lebih bermakna, Hazlin turut berjaya menggenggam Sarjana Pengajian Islam Al-Quran dan Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada November 2024.
Menelusuri kehidupannya hari ini, Hazlin dilihat kian bahagia mengisi masa terluang dengan hobi dan aktiviti kegemaran. Salah satunya ialah menjahit.
Tahun ini saja, Hazlin berjaya menyiapkan tiga persalinan Raya untuk dirinya dan suami tercinta.
Menerusi perkongsian di media sosial, anak keempat daripada tujuh beradik ini sanggup mengembara hingga ke utara tanah air demi menimba ilmu jahitan.

View this post on Instagram
Kongsinya, “Niat asal nak sangat belajar Sulam Ayak kat Bengkel Sulam Paya Keladi. Tapi tak ada rezeki, dah penuh tahun ni. Sementara peluang yang datang, Sulam Digital (sis memang stress lah kalau melibatkan teknikal ni).
Tapi entah kenapa pergi isi borang nak join class Kolej Komuniti Tasek Gelugor ni. Agaknya masa tu memang tak fikir apa.
Bila dapat call, terkejut juga. Tapi terus terimalah sebab urusetia jenis cakap lemah-lembut, sopan-santun, sis kan tak boleh orang cakap baik-baik, tak boleh say no. Kalau dia macam kekwat, mungkin akan tolak mentah-mentah.
Tambahnya lagi, “Macam mimpi, kita buat apa yang kita belum tahu lagi suka ke tak. Tapi ye lah, kadang-kadang dalam dunia ni, kita tak selalunya dapat apa yang kita nak. Barangkali yang kita tak suka itu lah, baik untuk kita.”
Minat Menjahit Hazlin Hussain

Dalam pada itu, Hazlin Hussain turut bercadang untuk menjalankan bisnes jahitan sulam secara kecil-kecilan jika ada tempahan.
Hazlin dalam temu bual bersama Nona sebelum ini turut mendedahkan minatnya dalam bidang jahitan berputik sewaktu kecil.
“Saya memang dah biasa tengok mak menjahit tapi jahit ‘ikut dan’ jelah. Masa kecil pun saya yang tolong tetaskan jahitan kalau mak tersalah jahit. Tapi disebabkan saya ni memang kehausan ilmu, jadi mahu ataupun tidak saya suka pergi belajar.
Walau pun jauh, yuran tinggi, takkan halang saya untuk sampai ke kelas tu. Pada saya, minat dah ada tapi ilmu tetap terus kena mencari.”
Ujarnya lagi, “Saya anak tengah-tengah, nombor empat. Jadi boleh kata, tidak dimanjakan dan tidak pula dikesampingkan. Tapi selalu apa-apa buat sendiri. Keputusan sendiri. Mak suri rumah, abah kontraktor kecil-kecilan.
Adik-beradik saya memang semua ada kemahiran masing-masing dan ada buat bisnes hasil kemahiran yang ada tu untuk sara hidup dan cari duit tepi.”
Hazlin Hussain mendirikan rumah tangga bersama Mior Abdul Malek Rayani pada 13 Disember 2015.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





