Bayangkan sebanyak 300,000 helai tudung jenama Leeyanarahman Scarves menampilkan wajah wakilan pempengaruh media sosial, Maryam Durian Kimchi habis licin terjual dalam tempoh kurang sejam apabila ia dijual pada 27 Februari lalu.
Koleksi tudung yang dijual pada harga marhaen iaitu RM29, ia menampilkan fabrik berkualiti diberi nama Wanita Dambaan Syurga yang dihadirkan dengan 20 pilihan rekaan itu dilancarkan secara rasmi hari ini.
Menurut pengasas jenama Leeyanarahman, Nur Liyana Abdul Rahman, pihak mereka begitu takjub, terkejut dan bersyukur dengan sambutan diterima kali ini.
Leeyanarahman
“Ini asbab serta rezeki yang baik buat kami dan tentunya untuk Maryam sendiri sebagai mualaf yang sudah mula menutup aurat awal tahun ini. Perkara baik seperti dilakukan Maryam, insya-Allah moga baik-baik saja laluannya.
“Sebelum edisi ini dilancarkan secara rasmi, sebanyak 300,000 helai tudung dicetak habis terjual. Hebat penangan Maryam. Maryam sebenarnya mewakili koleksi tudung jenama ini untuk edisi ketiga. Edisi pertama dan kedua dulu masing-masing menampilkan Ummi Nazeera dan Hannah Delisha.
“Tema kali ini, Wanita Dambaan Syurga juga bagai kena dengan perjalanan hidup baharu Maryam terutamanya keinginan hati kecil dia nak berhijrah menjadi wanita mualaf yang lebih baik,” kata Nur Liyana.
Ads
Isteri kepada Muhammad Hafiz Abd Hamid itu berkata koleksi tudung dikeluarkan itu boleh dianggap sebagai pra sebelum sambutan Ramadan.
“Koleksi Wanita Dambaan Syurga bukan keluaran raya Aidilfitri sebenarnya. Tapi umum tahu, setiap dua bulan Leeyanarahman akan mengeluarkan koleksi baharu.
“Rekod kejayaan ini juga terus membuka ruang dan peluang kepada lebih 10,000 ejen dan stokis di seluruh Malaysia menjana pendapatan.
“Nak pula dengan nak sambut Ramadan dan Aidilfitri, kami mahu terus berkongsi rezeki dengan ramai orang terutama ejen dan stokis buat duit,” kata Nur Liyana.
Ads
Jenama yang berdaftar di bawah syarikat Leeyanarahman Empire Sdn Bhd dan beribu pejabat di Hub Perindustrian Suntrack, Selangor ini sebenarnya bukan asing lagi di kalangan penggemar fesyen muslimah.
Hafiz & Nur Liyana
Sejak 2012 melebarkan sayap perniagaan bermodalkan RM1,500, jenama diusahakan Nur Liyana dan Hafiz ini pantas mencuri perhatian.
“Sebelum tudung kami terlebih dahulu keluarkan pakaian Muslimah. Jualan tudung kami mula sejak Oktober 2022 dan hingga sekarang sudah 700,000 helai tudung terjual.
“Untuk jenama tudung ini kami sasarkan RM3 ke RM4 Juta untuk setiap edisi keluaran. Dalam setahun, kami sasar ada sekitar lapan keluaran koleksi tudung. Manakala untuk sasaran jualan setahun pula sekitar RM20 Juta ,” kata Nur Liyana.
Ads
Sementara itu, Maryam atau nama penuhnya, Maryam You Narae tidak menyangka koleksi tudung menampilkan dirinya laris macam goreng pisang panas.
“Dalam tempoh kurang sejam terjual semua koleksi dicetak iaitu 300,000 helai tudung. SubhanaAllah, masyaAllah. Moga kebaikan dan kejayaan ini dapat dinikmati serta memberi manfaat kepada semua.
“Moga tersurat dan tersirat hikmah berharga untuk kita semua. Saya juga masih bertatih dalam fasa baharu ini. Benar orang kata bukan mudah nak istiqamah, maka saya akan terus cuba jaya.
“Semoga Allah mempermudahkan laluan ini. Terima kasih kepada Leeyanarahman di atas kesempatan terindah ini. Bekerja dengan pihak mereka pun cukup menyenangkan,” kata Maryam menutup bicara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Status puteri diraja yang digalas Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya sama sekali tidak membuatkan beliau merasa selesa dengan gelaran tersebut. Sebaliknya membuatkan anakanda perempuan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn ini lebih berani dan mahu meneroka lebih banyak potensi diri yang ada dalam dirinya.
Enggan mengambil jalan pintas untuk menggapai impian, wanita bangsawan ini memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni dari Chulalongkorn University dan Sarjana bidang rekaan, Ecole de la Chambre Syndicale de la Couture Parisienne, Paris.
Bersandarkan kelayakan itu, beliau dianugerahkan Kedoktoran Kehormat dalam Seni Halus dan Gunaan dari Chulalongkorn University.
Pastinya Puteri Sirivannavari menjadi kesayangan rakyat kerana beliau bukan hanya merendah diri dan berbakat. Malah tidak kekok berada di samping khalayak dan turun padang bertemu mereka.
Apatah lagi beliau sentiasa mencerminkan teladan dan inspirasi terbaik dalam kalangan wanita Thailand apabila meraih pelbagai kejayaan membanggakan.
Meniti usia 38 tahun pada 8 Januari lepas, figura jelita berkenaan melakar satu lagi pencapaian peribadi apabila melancarkan butik label fesyennya baru-baru ini.
Menerusi video dan imej mengenai puteri diraja Thailand ini yang tular di media sosial, Puteri Sirivannavari selesa menjalani kehidupan seperti rakyat biasa yang bebas bersukan, berkarya dan berbakti kepada negara.
Menelusuri latar belakang personaliti terkenal dunia ini, beliau merupakan anakanda hasil perkahwinan Raja Maha Vajiralongkorn dengan isteri keduanya iaitu Sujarinee Vivacharawongse yang juga bekas aktres Thailand.
Raja Maha Vajiralongkorn berkahwin dengan Sujarinee pada Februari 1994 dan mendapat restu Raja Thailand ketika itu, Raja Rama IX.
Sirivannavari Aktif Sukan
Puteri Sirivannavari aktif menceburi bidang sukan dan memetik laporan Bangkok Post, beliau pernah memenangi pingat emas kategori badminton pada Sukan SEA 2005!
Bukan itu saja, beliau juga mewakili Thailand dalam sukan ekuestrian dan meraih pingat dalam Sukan SEA ke-29 pada tahun 2017 di Kuala Lumpur.
Selain berbakat besar dalam bidang sukan, beliau turut memiliki bakat melukis dan merupakan aktivis hidupan laut.
Bersandarkan minatnya dalam bidang fesyen, personaliti ini telah beberapa kali menjadi wajah penghias majalah elit seperti Vogue, Elle dan Thailand Tatler. Bahkan pernah mereka busana penyanyi tersohor Hollywood, Mariah Carey dan Miss World Thailand, Suchata Chuangsri.
Pada pertengahan April 2021 ketika Thailand berusaha mengekang penularan Covid-19, puteri kesayangan Raja Maha Vajiralongkorn ini melancarkan produk hand sanitizer dan mask jenamanya sendiri untuk diagihkan kepada hospital kerajaan terlibat.
Melihat kredibiliti, bakat dan pesona Puteri Sirivannavari, terbukti beliau seorang puteri berjiwa rakyat, penyayang dan sumber inspirasi wanita Thailand!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak-anak banyak ragamnya. Kadang-kadang mereka nak mendengar kata, kadang-kadang kita sampai naik hantu pula bila si kecil meragam taknak ditinggalkan. Tambahan pula bila ibu teringin untuk berjemaah bersama di masjid untuk solat sunat tarawih.
Anak-anak yang dah boleh faham, boleh juga kita slowtalk, tapi masalahnya untuk anak yang masih bayi. Tak boleh nak salahkan mereka sebab seharian mereka di taska atau rumah pengasuh, tentu balik ke rumah nak bermanja dengan mak pula sampai kadang-kadang solat pun hujung-hujung waktu. Yang terpaksa qada solat pun ada sebab anak taknak berenggang.
Perkongsian cara solat dengan anak kecil oleh Insyirah Soleha di laman FBnya boleh menjadi panduan untuk mak-mak yang selalu menghadapi masalah ni.
“Selalu ibu-ibu bila ada anak kecil, tak seronok terasa peluang ibadah semakin sempit. Selalu rindu nak solat berjemaah dengan kawan-kawan. Jadi, suami cadangkan untuk kami berkongsi cara untuk solat dengan anak kecil.
Mungkin ada masa anak meragam tak mahu duduk, ibu pula dah makin singkat waktu untuk solat. Daripada luput waktu solat, boleh sahaja solat dengan anak kecil.”katanya.
Apa tips diberikan?
1. Ibu ayah boleh salin pampers anak sebelum solat. Kalau memang pampers anak berat dengan air kencing atau berak, basuh dahulu. Bagi anak selesa.
2. Ibu biasanya dapat agak masa untuk salin pampers anak, jadi boleh sedia untuk tukarkan pampers anak sebelum solat.
Permasalahan dukung anak pakai pampers ;
1. Berhubung dengan najis متصلبالنجاسة
2. Menanggung najis حاملالنجاسة
Dua perkara ini berbeza :
Contoh berhubung dengan najis ialah tahi cicak pada pakaian kita semasa solat.
Contoh menanggung najis ialah kita solat atas karpet masjid, ada najis pada hujung saf.
1. Najis pada pakaian
2. Najis pada karpet.
Apa hukum kedua-dua situasi tersebut?
1. Sah kedua-dua solat?
2. Tidak sah kedua-dua solat?
3. Salah satu sah?
“Solat tidak sah sekiranya najis pada pakaian kita semasa solat, tetapi solat sah sekiranya tahi cicak hujung karpet tempat solat. Sama juga seperti dukung bayi belum bersunat dan memakai pampers, najis tidak menempel pada tubuh kita,”katanya lagi.
Contoh solat sambil mendukung bayi untuk ibu
Contoh solat sambil mendukung bayi untuk ibu semasa rukuk.
Contoh solat sambil mendukung bayi untuk ibu semasa sujud.
Contoh solat sambil mendukung bayi untuk ibu semasa tahiyat.
Sumber: FB Insyirah Soleha
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Jika diizinkan Allah SWT saya mahu mendapat seorang anak lagi dan kalau boleh kali ini saya mahu anak lelaki untuk menjadi kawan kepada Fareez,” adalah kata-kata Datin Jaja ketika ditemu bual tempoh hari. Nyata doa wanita cantik ini dikabulkan oleh Allah SWT apabila baharu sahaja melahirkan anak ke-6, Muhammad Al Fateh.
Memiliki anugerah bertubuh tinggi membuatkan penampilan Datin Jaja pasti mencuri tumpuan di setiap majlis yang dihadirinya. Sudah lah berwajah cantik sikap ramah-tamahnya menambat hati sesiapa sahaja yang mendampinginya malah tidak lokek berkongsi rahsia kecantikannya. Baharu sahaja melahirkan anak ke enam, namun tubuh tetap kekal langsing dan cantik bergaya. Pasti ramai wanita yang mencemburui adik kepada selebriti Rozita Che Wan ini.
Datin Rohaiza Che Wan atau mesra di sapa Datin Jaja ini pasti menjadi idola setiap wanita berkongsi, “Sebenarnya saya tidak mempunyai rahsia kecantikan yang khusus. Namun, apa yang boleh saya kongsi adalah amalan ketika berpantang selepas melahirkan anak. Saya jenis seorang yang kuat berpantang selepas melahirkan anak. Lebih-lebih lagi apabila jarak umur anak-anak saya sangat rapat. Oleh itu penjagaan amalan berpantang sangat penting.
Saya mahu kelihatan cantik dan bertenaga seperti mak. Saya patuh semua pantang larang yang mak ajar ketika berpantang. Pemakanan sangat penting ketika berpantang, saya cuma amalkan makan nasi panas dan halba serta ulam. Di samping itu saya juga banyak makan pegaga untuk memperbanyakkan aliran susu sebab saya menyusukan anak secara eksklusif selama dua tahun. Mungkin menyusukan anak ini merupakan ‘perancang keluarga’ saya sementelah saya tidak mengamalkan apa-apa jenis perancang keluarga.
Jika ada yang bertanya bagaimana saya menguruskan masa dengan mempunyai anak-anak yang masih kecil, bagi saya tiada sebarang cabaran. Ini kerana apabila umur mereka rapat rutin harian saya tidak berubah. Sejak melahirkan anak pertama sehingga anak kelima saya sudah terbiasa untuk bangun malam menyusukan anak atau menukar lampin mereka.
Bagi saya cabaran datang apabila kita sudah lama tidak mempunyai anak kecil dan sudah terbiasa tidak bangun malam untuk menyusukan anak tetapi tiba-tiba mempunyai anak baru lahir. Ketika itu rutin harian sudah lari dan pasti menimbulkan masalah,” tutur ibu kepada Nur Fa’iqah Faiza Muhammad Faizal, 9 tahun, Nur Fa’izah Faiza Muhammad Faizal, 7 tahun, Muhammad Fareez Faiza Muhammad Faizal, 5 tahun, Nur Fareeqah Faiza Muhammad Faizal, 4 tahun, Nur Fareeda Faiza Muhammad Faizal 2 tahun, Muhammad Al Fateh Muhammad Faizal ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.