Sesungguhnya kehidupan kita di dunia ini adalah pilihan. Kita sebagai manusia yang membuat pilihan hala tuju masing-masing. Pengasas Hijab by Hanami ini nekad memilih perniagaan tudung berlandaskan patuh syariah sebagai saham akhiratnya.
“Perjalanan kita ke syurga ini bukan senang jadi kita kena lalui dengan berlapang dada. Jadi kita kena pilih, keputusan yang kita buat tu kena betul, tak boleh ambil jalan pintas, kita kena pastikan betul-betul rezeki yang kita cari ini betul-betul halal dan supaya kesannya bukan untuk diri sendiri tapi jemaah, keluarga dan hari akhir kita nanti,” tutur Siti Zaleha Hamzah yang telah membina bisnes hijab ini selama tujuh tahun.
Meninggalkan kerjaya profesional demi membina sebuah empayar perniagaan berlandaskan patuh syariah merupakan jihad yang tiada tandingan. Sempat berkhidmat sebagai pendidik selama tiga tahun di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) wanita yang petah berkata-kata ini terus berani merencana perjalanan bisnesnya.
Ads
Bercerita tentang detik awal pembabitannya dalam bisnes hijab, “Mulanya saya buat secara suka-suka kerana waktu itu sukar untuk mencari tudung labuh tapi nampak eksklusif. Bila saya pakai, ramai pula yang bertanya malah menggesa saya untuk menjualnya. Kawan-kawan sepejabat ketika itu adalah golongan pertama membeli tudung rekaan saya.
Mereka sentiasa membakar semangat saya untuk terus maju malah ada yang sanggup menghulurkan wang sebagai modal untuk saya meneruskan perniagaan ini. Bukan itu sahaja, ketika cuti semester ada di kalangan rakan pensyarah saya sudi membantu menggunting kain untuk dijadikan tudung,” tutur wanita yang berbekalkan modal RM600, 13 tudung yang habis terjual pada hari pertama jualannya.
Ads
Wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Usuluddin dari Universiti Malaya (UM) ini memegang misi, ‘Kaya dan Berjaya Bersama’ dan bersemangat membantu wanita lain untuk menukar taraf hidup. “Misi saya adalah untuk memberi team di bawah saya Kaya dan Berjaya Bersama. Bukan saya sahaja yang mampu memperoleh pendapatan RM1 juta sebulan tapi team saya juga boleh raih pendapatan RM1 juta sebulan.
Itu adalah harapan saya paling besar untuk tengok orang di keliling saya bahagia, berjaya dan cemerlang. Saya juga menyasarkan agar tahun ini saya boleh dapat 5000 agen Hijabs by Hanami untuk perkenalkan jenama ini kepada lebih ramai orang. Sebab kita ada produk yang berkualiti dan patuh syariah jadi saya rasa berdosa sekiranya saya tak berkongsi produk yang bagus ini dekat orang luar yang masih tak tahu lagi jenama ini.
Saya selalu beritahu staf, kita bukan saja nak buat duit kita ada misi. Jika di Malaysia ini ada 30 juta penduduk tapi sekarang belum sampai sejuta pun yang tahu tentang Hijabs by Hanami, jadi perjuangan kita masih jauh lagi,” kata wanita yang berasal dari Selangor ini.
Bersandarkan tagline Peneraju Tudung Bawal Sarung No. 1, Hijabs by Hanami begitu istimewa kerana fabriknya yang berkualiti tinggi, mempunyai rekaan edisi terhad serta keluaran koleksi baru setiap minggu dan boleh disarung oleh segenap lapisan usia. Malah, Hijabs by Hanami mendahului jenama lain dengan mendapat empat trademark tersendiri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berkarisma, cantik dan menyenangkan. Tiga perkataan ini jelas menggambarkan aura Nur Adila Manshor, pengasas empayar Rayhanah Group Sdn Bhd.
Selama sedekad berniaga, penerimaan dan permintaan terhadap makanan sunnah khususnya madu asli dari Yaman kian meningkat, sekaligus menepati target Nur Adila dalam menjadikan makanan alternatif ini sebagai sebahagian diet sihat rakyat Malaysia.
Merupakan isteri kepada pendakwah dan penceramah bebas, Ustaz Johari Abd Wahab, wanita dari Kuantan ini asalnya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Ayahnya seorang petani, sementara ibu, Puan Hajah Saniah merupakan bekas seorang setiausaha.
Nur Adila menjadi yatim pada usia 11 tahun, menyebabkan beliau terblasa dengan hidup berdikari.
“Sejak kematian arwah ayah, saya mendapat tajaan zakat untuk membiayai pendidikan sehinggalah berusia 17 tahun.
Selepas SPM, saya dapat tajaan MARA untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Undang-undang di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin dalam jurusan Diploma Undang-undang pada tahun 2002 hingga 2004.
Kemudian saya dapat tawaran untuk melanjutkan lagi pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari tahun 2005 hingga 2008.” Nur Adila Manshor
Seorang yang bijak dan terpelajar, beliau membuktikan bahawa status berkahwin bukan halangan untuk mengejar ilmu.
Walaupun sudah memiliki dua cahaya mata ketika itu, Nur Adila tetap berjaya menghabiskan pengajian dalam bidang Guaman Syarie dan Kehakiman seterusnya ke peringkat sarjana (Master) dalam bidang Undang-undang di UKM.
Kini beliau merupakan ibu kepada lima cahaya mata iaitu Rayhanah (13), Sumayyah (1 1), Ukasyah (7), Uwals (6) dan Sarah (2).
Mengambil nama anak sulung sebagai nama bisnesnya, slapa sangka Nur Adila yang pernah bergelar pensyarah itu rupa-rupanya pernah berkecimpung dalam pelbagai bisnes sebelum in.
“Sekitar tahun 2013, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja dan fokus terhadap keluarga di rumah. Di situlah bermulanya penglibatan sebagal usahawan kecil-kecilan.
Pada permulaannya, bisnes madu dimulakan secara berhutang dan aktiviti jual-beli berlaku di rumah sahaja, sama ada pelanggan atau pengedar semuanya datang ke rumah kami, termasuklah supplier barang-barang menghantar barangan ke rumah.
Suatu malam, saya semak buku hutang suami dan bayangkan nilal hutang yang belum dikutip masa tu mencecah puluhan ribu. Justeru, saya mula bantu sedikit demi sedikit terapkan sistem manual untuk kutip hutang.
Disebabkan tidak biasa duduk diam, saya juga ligat menjual tudung pada keluarga dan rakan-rakan. Sayangnya. bisnes ni tak dapat sambutan, jadi saya beralih pula pada jualan Bundle Sale Baby. Semua baju bundle tu saya packaging semula cantik-cantik dan jual di car booth Tasik Cempaka.” Nur Adila Manshor
Serentak itu bisnes yang diusahakan bersama suami pun berkembang, catatan untung rugi juga mula mendapat hasil.
“Rumah kediaman kami sarat dengan stok barang, kotak bersusun-susun sampai tak nampak dinding. Orang kata macam gudang. Ingat lagi bersama pekerja pertama saya, kami buat segala urusan di atas meja makan selama hampir enam bulan.
Akhirnya pada penghujung 2014, kami mula menyewa premis dan bermulalah episod saya menumpukan perhatian sepenuhnya pada perniagaan ini secara serlus.
Bisnes dijalankan secara agentship dan modul yang sama masih bertahan sampai sekarang. Masuk tahun ke-10 ni kami dah ada lebih kurang 500 ejen yang aktif, berbanding 2,000 ketika PKP lalu.”
MAKANAN SUNNAH
Sepanjang 10 tahun berniaga, banyak pencapalan yang telah diraih oleh Rayhanah Madu. Salah satu yang menjadi kenangan manis buat Nur Adila, suami dan seluruh team mereka adalah menjadikan madu ini lebih dari sekadar makanan alternatif atau makanan sunnah tapi sebagai makanan utama.
Tambahnya, untuk meningkatkan keyakinan masyarakat bukanlah sesuatu yang mudah kerana Nur Adila perlu all out dari segi pemasaran.
“Saya mahu menaikkan standard makanan sunnah ni ke tahap lebih baik. Jadi kami Ikut semua prosedur, dapatkan persijilan pihak berwajib dan tampil di pelbagai saluran media.
Malah berkat sedikit rezeki yang Allah bagi, kami naikkan 10 buah billboards Rayhanah makanan sunnah madu ni di tengah-tengah bandar.
Kalau ditanya tentang kejayaan, pada saya yang termanis adalah apabila dapat membantu ejen-ejen Rayhanah meningkatkan taraf hidup mereka.” Nur Adila Manshor
Antara kejayaan yang diperolehi adalah pengiktirafan ‘Loyalty Appreciation’ dan ‘2021 Outstanding Performance Award’ daripada pihak Ejen2u.
Selain itu, Rayhanah juga pernah menerima anugerah ‘Penyumbang Terbesar Zakat Selangor 2017’ daripada Pusat Zakat Selangor.
Baca artikel perjuangan bisnes Rayhanah Madu bersama penerima Nona Best International Organic Honey Award, Nur Adila Manshor ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd ALias
Penata Gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Ann Karim
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Tiada Jalan Pintas Untuk Berjaya. Seseorang Itu Mesti Berusaha Keras Untuk Menjadi Yang Terbaik” begitulah pegangan Tiara Suraya. Setiap mata yang memandang pasti tertarik dengan aura dimiliki, mana tidaknya, wanita ini memiliki wajah cantik dan tutur kata yang sentiasa tersusun indah. Pemilik nama Tiara Suraya, 24, merupakan seorang wanita muda yang berjaya dalam dunia perniagaan kecantikan.
Pengasas jenama kecantikan Venus Rose ini adalah contoh inspirasi wanita muda yang berjaya menembusi dunia perniagaan kecantikan dan kesihatan kulit. Meskipun baru memulakan perjalanan perniagaannya pada Januari 2024, Tiara Suraya sudah membuktikan dirinya sebagai seorang usahawan yang berwawasan dan mempunyai matlamat besar dalam industri ini. Melalui Venus Rose, Tiara Suraya bukan sekadar fokus kepada produk kecantikan, tetapi juga mengangkat konsep women empowerment dan integriti wanita.
Memulakan bicara, Tiara Suraya berkata, dia mula berkecimpung dalam dunia perniagaan bagi membantu wanita meningkatkan keyakinan diri melalui penjagaan kecantikan dan kesihatan kulit.
“Sebenarnya impian saya sejak kecil ingin menjadi seorang doktor. Saya mahu membantu orang, khususnya wanita dari segi perubatan. Tapi apabila meningkat dewasa impian tersebut mula berkembang dan saya sedari bukan saja dari segi perubatan malah saya juga boleh membantu wanita menjaga kecantikan dan kesihatan kulit,” kongsi Tiara Suraya yang menyedari bahawa kecantikan luar dan dalam juga penting untuk meningkatkan keyakinan diri seseorang wanita.
Dek kerana itu juga dirinya tertarik untuk melanjutkan pelajaran berkaitan kecantikan. Wanita hebat ini juga merupakan pemilik dua ijazah sarjana muda, pertama dalam jurusan Kosmetik & Kecantikan diikuti dengan ijazah kedua dalam bidang Sains Kimia Kosmetik.
Berbekalkan pendidikan yang kukuh, Tiara Suraya memutuskan untuk menubuhkan Venus Rose, sebuah jenama yang menawarkan produk kecantikan dan penjagaan kulit berkualiti tinggi. Menurutnya, fokus utama Venus Rose adalah pada bahan-bahan terbaik dan inovasi dalam produk yang semuanya dihasilkan dengan teliti dan dinilai oleh pakar-pakar dalam industri kecantikan.
Salah satu faktor yang mendorong Tiara Suraya untuk terus maju adalah ibunya, yang bukan sahaja seorang mentor, tetapi juga pengurus yang hebat. Ibu Tiara Suraya adalah inspirasi utama, seorang wanita yang berjaya dan berdedikasi.
“Mummy adalah figura yang sangat kuat dalam hidup saya. Saya ingin menjadi seperti beliau, seorang wanita yang boleh menguruskan perniagaan dengan bijaksana dan penuh kasih sayang,” ujar Tiara penuh rasa hormat.
Hubungan yang erat ini bukan sahaja memberi sokongan moral, tetapi juga mengajarnya untuk tidak pernah berputus asa, meskipun perjalanan perniagaan penuh dengan cabaran. Dalam banyak perkara, Tiara Suraya sering menegaskan bahawa kekuatan mental dan tekad adalah kunci untuk berjaya.
Apa yang membuat Tiara Suraya begitu mengagumkan adalah kemampuannya untuk mengimbangi pelbagai peranan dalam hidup. Selain seorang usahawan, Tiara Suraya juga seorang anak yang sangat menghargai peranan ibunya dalam hidupnya. Sebagai seorang wanita muda yang sudah mempunyai perniagaan sendiri, Tiara Suraya juga berfungsi sebagai inspirasi bagi wanita lain, membuktikan bahawa wanita boleh mencapai kejayaan besar dalam apa jua bidang yang mereka pilih.
Walaupun dunia perniagaan kecantikan penuh dengan persaingan, Tiara Suraya tetap berani menghadapi cabaran. Dalam banyak kesempatan, Tiara Suraya menekankan bahawa untuk berjaya dalam dunia yang sangat kompetitif ini, kita perlu sentiasa fokus pada kualiti, pelanggan dan pemasaran yang bijak. “Persaingan ada di mana-mana, tetapi yang penting adalah bagaimana kita terus memberi yang terbaik kepada pelanggan,” katanya.
Sebenarnya wanita cantik ini juga merupakan seorang yang aktif dalam dunia seni lakonan. Antara drama yang dibintangi adalah Andai Tiada Dia yang turut dilakonkan oleh Ummi Nazeera dan Hisyam Hamid.
Menginjak ke soalan tentang produk kecantikannya, Venus Rose merupakan produk yang mengutamakan kualiti. Setiap produk yang dihasilkan diberi perhatian yang teliti, bermula dari pemilihan bahan yang terbaik sehingga ke pembungkusan menarik dan eksklusif. Salah satu produk utama Venus Rose adalah pelembap yang mengandungi bauan istimewa dari Mekah, yang bukan sahaja memberikan sensasi wangian menyegarkan tetapi juga mengandungi bahan-bahan berkualiti tinggi. Selain itu, produk ini hadir dengan lima jenis serum yang diformulasikan untuk memberikan manfaat berbeza kepada kulit.
Berkongsi tip dalam mengendalikan perniagan, Tiara Suraya menekankan pentingnya mendengar dan memahami kehendak pelanggan. “Pantang larang yang utama adalah kita perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada pelanggan. Kepuasan mereka adalah keutamaan kami,” katanya. Menjaga hubungan baik dengan pelanggan dan memastikan mereka berpuas hati adalah kunci untuk memastikan pelanggan setia kembali lagi.
Tiara Suraya menyedari bahawa dunia perniagaan kecantikan penuh dengan persaingan sengit. Namun, dirinya percaya bahawa untuk berjaya, perlu sentiasa fokus pada kecemerlangan.
“Tiada jalan pintas untuk berjaya. Seseorang itu mesti berusaha keras untuk menjadi yang terbaik dalam bidang ini,” sambung Tiara Suraya yang juga menekankan kepentingan pemasaran yang berkesan, terutama melalui platform media sosial yang menjadi saluran penting untuk mempromosikan produk Venus Rose.
Menyentuh tentang impian masa depan, Tiara Suraya berharap untuk mengembangkan Venus Rose ke peringkat antarabangsa dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Saya mahu memiliki kilang sendiri dan membawa produk Venus Rose ke seluruh dunia. Kami mahu memperkenalkan kecantikan Venus Rose kepada wanita di luar negara,” jelasnya.
Selain itu, Tiara Suraya juga berhasrat untuk membuka lebih banyak spa kecantikan di bawah jenama Venus Rose ke seluruh Malaysia sebagai salah satu cara untuk memperkenalkan produk kepada lebih ramai pengguna.
Bagi Tiara Suraya, kejayaan dalam perniagaan tidak datang dengan mudah, tetapi dengan semangat yang tidak kenal erti putus asa, wanita mampu mencapai apa sahaja yang mereka impikan. “Wanita muda perlu percaya pada diri mereka sendiri dan kekuatan mental mereka. Kehidupan ini memang sukar, tetapi jika kita terus berusaha, pasti kita akan berjaya,” luahnya.
Menurutnya, generasi muda kini mempunyai lebih banyak peluang untuk berjaya berbanding sebelumnya. Dengan pendidikan, semangat, dan kerja keras, tiada yang mustahil. Mengakhiri perbualan Tiara Suraya berasa sangat bangga apabila dirinya terpilih menerima pengiktirafan Nona Superwoman Award 2024 menerusi kategori NONA Best Young Entrepreneur Award.
“Nona Superwoman Award adalah platform yang memberi peluang kepada wanita, terutama wanita muda untuk tampil dan berjaya dalam bidang keusahawanan. Saya percaya bahawa setiap wanita memiliki potensi untuk mencapai kejayaan, dan melalui sokongan seperti ini, mereka dapat memperkenalkan produk mereka ke pasaran dan mengembangkan perniagaan mereka. Saya juga yakin wanita mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk mencipta perubahan dan berjaya dalam apa jua yang mereka usahakan. Ia adalah dorongan positif untuk wanita muda agar terus berani mengejar impian dan mencipta peluang bagi diri mereka sendiri,” kongsinya.
Diam tak diam, sudah setahun Yang Berbahagia Che Puan Sofie Louise Johansson menjadi sebahagian keluarga kerabat diraja Kelantan. Dalam tempoh yang singkat itu juga, namanya semakin dekat di hati rakyat Kelantan.
Mana tidaknya, beliau sering menemani suami tercinta, Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra ke acara rasmi serta beramah mesra dengan rakyat Kelantan sambil sekuntum senyuman sentiasa terukir di bibirnya.
Walaupun berasal dari Sweden, Che Puan Sofie tidak kekok menjalani kehidupan seharian sebagai isteri kepada Tengku Mahkota Kelantan yang sememangnya amat prihatin dengan kehidupan rakyat Kelantan. Memahami kepentingan hubungan di antara raja dan rakyat jelata, Che Puan Sofie sering turun padang untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat Kelantan yang disifatkan sebagai masyarakat yang kaya dengan sopan santun budayaTimur.
“Rakyat Kelantan telah memenangi hati saya dalam pelbagai cara. Mereka bukan sahaja kaya dengan sopan santun budaya Timur, malah kaya dari pelbagai aspek kehidupan.
Saya merasa amat bertuah diterima sebagai isteri kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan,” ujar Che Puan Sofie yang menerima penghormatan sebagai penerima NONA ROYAL AWARD sempena NONA SUPERWOMAN 2020.
Tambah Che Puan Sofie, meskipun berada jauh beribu batu dari tanah tumpah darahnya, dia tidak sesekali melupakan adat serta tradisi yang banyak membentuk nilai serta keperibadian dirinya kini.
“Di Sweden, kami berpegang pada tradisi dikenali sebagai ‘Jäntelagen’ atau the law of Jante, yang bermaksud anda tidak boleh percaya anda lebih baik atau sebaliknya dari orang lain.
Kata-kata tersebut saya pegang sehingga kini sebagai azimat untuk diri saya tatkala melalui fasa terkini dalam kehidupan. Mungkin kata-kata tersebut juga banyak mengajar saya menerima proses perubahan dari golongan kebanyakan ke lingkungan istana. Sesuai dengan pepatah Melayu, Raja dan rakyat berpisah tiada,” ujar Che Puan Sofie merendah diri tatkala penulis mengajukan persoalan mengenai perubahan status buat dirinya dari orang kebanyakan ke istana.
Apa yang pasti, Che Puan Sofie mempunyai pakej yang lengkap sebagai salah seorang wanita yang boleh dijadikan idola masyarakat kerana bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik, malah berpendidikan tinggi serta bijak menyesuaikan diri dengan status yang dipegangnya kini. Wanita yang dilahirkan pada 6 Jun 1986 ini merupakan seorang graduan kelulusan dalam bidang Bahasa Inggeris dan Sosiologi ini mempunyai sikap yang baik hati dan penuh sense of humour sekaligus membuatkan ramai kenalan senang berdampingan dengannya.
Che Puan seorang yang aktif menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuklah Buy & Eat For Charity, menziarahi kanak-kanak dan warga emas yang terlantar sakit di hospital, membantu golongan yang kurang berkemampuan, memberi sokongan buat para peniaga di Kelantan dan banyak lagi aktiviti-aktiviti yang disertainya. Malah Che Puan turut menemani Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan melawat bayi kembar yang kehilangan ibu sewaktu bersalin baru-baru ini.
Penampilan Che Puan Sofie yang santun dan sering mengukir senyuman turut menjadi tumpuan rakyat apabila bijak memilih busana yang bakal digayakan ke majlis yang bakal dihadirinya. Tidak hairanlah kelibat pasangan diraja ini disayangi oleh rakyat Kelantan kerana keperibadian serta keprihatinan yang ditunjukkan kepada rakyat jelata. Che Puan Sofie juga dilihat semakin selesa mendampingi rakyat malah setiap kali penampilannya, Che Puan Sofie pasti akan mengenakan lilitan tudung di kepalanya bagi menghormati mereka dan langsung tidak kekok. Kebijaksanaan beliau dalam menyesuaikan diri dengan masyarakat turut membuatkan masyarakat berasa selesa untuk menyapa dirinya.
Apa yang pasti, Che Puan Sofie bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik semata-mata. Sebaliknya, beliau juga seorang wanita yang tidak kekok bertemu masyarakat, aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, ligat di dapur, gemar berbasikal dan pandai menjahit. Wah, memang beruntung Tengku Mahkota Kelantan!
Selain sibuk dengan tugas-tugas rasmi, Che Puan Sofie tidak mengabaikan kedudukannya sebagai seorang isteri dan memastikan keperluan Tengku Mahkota diberi keutamaan. .
Pasangan diraja ini juga gemar melakukan aktiviti rekreasi seperti hiking dan meneroka kawasan rekreasi baharu di Kelantan seperti lukisan mural jalanan serta berkunjung ke kafe yang kini mula berkembang pembukaannya di sekitar Kota Bharu,Selain aktif menyertai aktiviti kebajikan, terbaharu Che Puan Sofie dikhabarkan sudah boleh memandu kenderaan di Malaysia. Ini selepas beliau berjaya memperoleh lesen memandu negara ini pada pertengahan November lepas. Tahniah!
“Kelantan merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai destinasi pelancongan yang boleh diterokai. Mana tidaknya, ia bukan sahaja mempunyai pantai yang cantik, sawah padi yang menghijau, gunung serta hutan yang kaya dengan flora dan fauna.
Saya amat menggalakkan masyarakat untuk sama-sama menjaga keindahan alam. Sebagai langkah permulaan, apa kata kita semaikan tabiat untuk mengasingkan sampah dengan meletakkan sampah di dalam tong yang dikhaskan seperti tong untuk hasil buangan sisa makanan, kaca, plastik dan aluminium dan kertas. Sumbangan kecil ini mempunyai impak yang besar jika dijadikan amalan,” ujar Che Puan yang turut membuat posting mengenai isu alam sekitar ini di laman Instagram miliknya.
“Rakyat Kelantan juga amat berbakat dalam kerja seni seperti pembuatan wau, batik dan songket yang penuh teliti dan halus pembuatannya. Saya merasa amat bertuah kerana kini menjadi sebahagian dari keunikan budaya Kelantan. Saya juga sedang belajar untuk bertutur dalam dialek Kelantan kerana terpikat dengan keunikan serta lemah lembut pertuturan dalam dialek Kelantan,” ujar Che Puan penuh sopan mengatur kata.
Penampilan Che Puan Sofie yang lemah lembut itu bukanlah penghalang untuk dirinya bergiat aktif dalam aktiviti sukan apatah lagi pelbagai jenis sukan menjadi kegemaran Che Puan Sofie ketika mengisi masa lapang.
“Saya amat meminati sukan dan setiap sukan mempunyai keistimewaan tersendiri. Antara sukan kegemaran saya termasuklah badminton, bola keranjang, bola sepak, ping pong dan hiking. Selain itu, saya juga gemar berbasikal dan bermain golf,” cerita Che Puan Sofie yang pernah mengalami kecederaan patah tangan kanan akibat terjatuh dari basikal. Tetapi ia sedikit pun tidak membuatkan beliau serik untuk menunggang basikal. Baru-baru ini, Che Puan berkongsi pengalamannya berbasikal di kawasan kampung sambil menghirup udara segar.
Umum sedia maklum pendemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia banyak memberi impak serta merubah gaya hidup setiap individu. Ada yang terkesan dek kekangan ekonomi, ada juga terpaksa berkorban mengerah tenaga membantu menangani wabak ini daripada terus merebak.
Prihatin dengan keadaan semasa terutamanya di kalangan rakyat Kelantan, pasangan diraja ini tidak melepaskan peluang menyumbang bagi meringankan beban individu yang memerlukan bantuan di saat dilanda musibah.
Semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, Tengku Mahkota Kelantan dan isteri berkenan menyumbang 12 unit penyaman udara kepada hospital-hospital di negeri tersebut sebagai tanda penghargaan mereka terhadap barisan frontliners.
“Saya dan Tuanku turut berdukacita di atas musibah yang melanda di seluruh dunia apatah lagi terhadap keluarga mangsa yang terlibat dengan pendemik COVID-19. Sebagai pemimpin, Tuanku sentiasa mengikuti perkembangan terkini COVID-19 yang dipersembahkan oleh Pengarah Kesihatan Kelantan dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Tuanku turut menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat petugas barisan hadapan yang menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin bagi membendung penularan kes COVID-19 ini.
“Pihak istana turut prihatin dengan keadaan semasa. Baru-baru ini, saya turut menyediakan hidangan untuk dinikmati oleh petugas hospital dan anggota tentera. Saya menyediakan Tekakor atau Swedish tea cakes untuk dihadiahkan kepada barisan hadapan yang bekerja keras menyelamatkan negeri daripada ancaman COVID-19.
Saya ingin mengambil kesempatan untuk meminta semua masyarakat mematuhi arahan pemakaian topeng muka dan menjaga jarak sosial seperti yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara. Semoga semua rakyat Kelantan khususnya dan rakyat Malaysia amnya terhindar dari pendemik ini,” tutur Che Puan Sofie seraya mengakhiri perbualan pada petang itu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.