Tatkala sedang bermain bersama si manja, kelihatan tompokan putih di permukaan lidahnya sekali gus menimbulkan kegusaran di benak para ibu. Adakah ia membahayakan si manja? Bagaimana pula boleh terjadi dan apakah cara untuk merawatnya?
Buat penjaga, usah terus membiarkan diri anda tersepit dalam seribu satu persoalan. Sebaliknya segeralah bertindak demi kesihatan si comel.
Sebelum mendapatkan rawatan doktor, kenal pasti terlebih dahulu punca dan penyebab kepada keadaan tersebut. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada tompokan putih di bahagian lidah, lelangit dan gusi bayi. Salah satunya adalah disebabkan susu yang diminum.
PENYEBAB LIDAH BAYI BERWARNA PUTIH
(a) Susu
Perubahan warna pada lidah bayi boleh terjadi disebabkan susu jika tompakan putih berkenaan berlaku muncul sesudah mereka minum susu.
Mungkin ia sekadar sisa susu yang dinikmati bayi hingga menyebabkan lidah putih. Usah risau kerana ia tidak memudaratkan kesihatan anak anda dan boleh dibersihkan dengan menggunakan kain basah yang lembut.
(b) Kehadiran organisma seperti kulat
Berlaku apabila terdapat selaput putih kemerahan di bahagian tepi lidah termasuk lelangit dan dalam pipi. Ia boleh diklasifikasikan sebagai infeksi kulat atau oral thrush yang kerap menyerang mulut bayI baru lahir atau berusia kurang dua bulan.
Berbeza daripada tompokan putih disebabkan susu, kulat yang menyerang mulut bayi hanya boleh dirawat dengan ubat yang diberikan doktor jika berkeadaan teruk.
CARA MEMBERSIHKAN LIDAH BAYI
Jika disebabkan sisa susu atau kulat yang ringan, penjaga tidak memerlukan rawatan lanjut. Untuk membersihkan kawasan lidah bayi yang berwarna putih, celupkan kain bersih ke dalam mangkuk berisi air suam.
Buka mulut bayi dan usap dengan gerakan lembut menggunakan kain. Pastikan cara ini dilakukan sekurang-kurangnya 30 minit sebelum memberi makan atau minum kepada bayi agar mereka tidak muntah.
- Pangku bayi dalam posisi duduk yang selesa
- Celup jari yang dibalut kain dengan air suam dan pastikan tidak memasukkan jari terlalu dalam ke mulut bayi untuk mengelak si manja muntah
- Tekan secara lembut pada lidah bayi dan tarik ke arah luar dengan perlahan. Ulang langkah sama dan lakukan setiap hari
- Anda juga boleh membersihkan gigi atau gusi bayi dengan menggunakan kain bersih yang baru. Lakukan gerakan berputar arah jam dimulai dari bahagian luar, atas dan belakang. Usah menekan gusi bayi kerana masih sangat lembut
- Lanjutkan membersih lelangit dengan mengulangi langkah yang sama. Suziana Abu Daud