Kejayaan wanita kelahiran Malaysia bernama Syabira Yusoff menjadi juara The Great British Bake Off pada November 2022 masih menjadi bualan. Mana tidaknya, bukan mudah bagi wanita tanah air ini ‘menakluk’ industri kulinari luar negara. Inspirasi!
Berusia 33 tahun, Syabira dilahirkan di Malaysia dan mempunyai tujuh adik-beradik. Dia dilaporkan berhijrah ke United Kingdom pada tahun 2013 bagi meneruskan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dan merupakan penolong penyelidik kardiovaskular di King’s College, London.
Wah, bukan calang-calang! Dari bidang perubatan, Syabira juga berbakat dalam masakan.
Syabira menceburkan diri dalam dunia masakan secara serius pada tahun 2017 dan kebijaksanaan wanita ini mengolah masakan yang menggunakan ‘rasa Malaysia’ dalam sajian klasik British seperti pastri Cornish berperisa rendang ayam nyata telah memikat hati juri.
Kredit Instagram @syabira_bakesKredit Instagram @syabira_bakes
Mengimbas momen istimewa itu, The Great British Bake Off ialah sebuah rancangan realiti masakan yang disiarkan sejak tahun 2010. Rancangan ini mengetengahkan peserta terdiri daripada tukang masak atau bakers amatur untuk berentap merebut gelaran juara.
Ads
Syabira ialah peserta wanita yang menjuarai pertandingan tersebut bagi musim ke-13 dan mengulangi sejarah rancangan berkenaan selepas peserta wanita menyandang gelaran juara selepas kali terakhir pada musim ke-8.
Ads
Kredit Instagram @syabira_bakesKredit Instagram @syabira_bakesKredit Instagram @syabira_bakes
Salah seorang juri, Paul Hollywood memuji kreativiti Syabira kerana berjaya memperkenal perisa yang tidak pernah mereka nikmati sebelum ini. Malah, Syabira juga mengungguli Star Baker sebanyak tiga kali sepanjang pertandingan berjalan.
Bersandarkan keunikan rasa dan konsisten dalam setiap episod, Syabira dipilih sebagai pemenang menewaskan Abdul Rehman Sharif dan Sandro Farmhouse.
Moga selepas ini akan lahir lebih ramai rakyat Malaysia yang mencipta nama dan bertapak kukuh dalam industri kulinari luar negara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Anakanda yang dikasihi, Selamat Hari Lahir 2 tahun kepada anak Abah yang sangat Abah sayangi. Abah sentiasa doakan supaya Rahil sentiasa sihat, akhlak yang mulia dan membesar menjadi anak yang soleh.
“Rahil dah jadi pelengkap hidup Abah dan Mak sejak 2 tahun yang lalu. Dulu setahun meniarap, merangkak dan belajar jalan ja, sekarang dah pandai ajuk dan mengusik Abah dan Mak. Alhamdulillah.”
Begitulah kata-kata dan harapan seorang ayah buat zuriatnya yang menginjak ke usia baharu. Pereka fesyen duo terkenal Rizman Ruzaini iaitu Ruzaini Jamil berkongsi rasa syukur bersama followers di Instagram setelah anak sulungnya, Rahil genap dua tahun pada 27 Oktober 2022.
Menjengah ke laman Instagram isterinya, Nurul Hidayati Yahaya atau Ida turut menitipkan ucapan bermakna buat anak sulung mereka itu dengan kapsyen berikut:
“To my very special anak soleh @rahilruzaini , Happy Birthday yang ke 2 tahun. Mak doakan semoga Rahil menjadi anak soleh, berjaya di duniawi dan ukhrawi dan sentiasa dalam rahmat Allah.
“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, Ya Rabb, perkenankanlah doaku.”
Ruzaini dan isteri meraikan sambutan hari lahir anak mereka itu secara sederhana dan ringkas di rumah.
RAHIL DILAHIRKAN PRAMATANG
Menurut Ida, Rahil adalah bayi pramatang kerana lahir awal iaitu pada minggu ke-33. Pengalaman melahirkan Rahil membuatkannya insaf sehingga terfikir bagaimana ibunya menanggung sakit sebanyak 7 kali untuk melahirkan anak-anak dulu.
“Saya sangat bersyukur kerana di saat Allah SWT ‘ambil’ semula ibu ketika saya hamil 7 bulan, Allah SWT hadirkan ibu mentua yang sangat penyayang. Beliau menjaga menantunya ini seperti anak sendiri.
“Saya percaya semua ibu bapa sentiasa mengharapkan anak mereka menjadi insan cemerlang dalam akademik serta memiliki sahsiah terpuji, kukuh pegangan agama dan mendapat kerjaya yang bagus kelak.
“Saya sendiri dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan soal agama dan akademik. Arwah ibu dan Abah tidak berkompromi bab solat, mengaji dan akademik. Semasa kecil, arwah Abah mewajibkan kami adik beradik solat berjemaah waktu Subuh, Maghrib dan Isya’. Saya juga khatam Al-Quran dengan arwah ibu.
“Saya beritahu suami kalau boleh nak terapkan amalan solat berjemaah seperti arwah Abah ajar dulu. Kalau boleh juga, Rahil khatam Al-Quran dengan saya atau suami.
“Jadi, sejak mengandung kami mula belajar ilmu tajwid, bacaan dalam solat yang betul sebagai persiapan mendidik Rahil.
“Saat itu baru tersedar, banyak lagi kelemahan dan kekurangan. Benarlah, kadang kala teguran Allah tu dihantar melalui anak.
“Begitulah jua harapan kami terhadap Rahil. Paling penting, doa kami agar Rahil membesar sebagai insan soleh dan berbakti bukan saja kepada ibu bapa atau keluarga bahkan buat masyarakat serta negara.
“Kami akan memberikan pendidikan terbaik buatnya dengan sifat-sifat mahmudah yang dapat membentuk dirinya ke arah kesempurnaan hidup di duniawi dan ukhrawi.
“Kami juga sepakat untuk memberi kebebasan kepada Rahil untuk memilih minatnya sendiri dalam kerjaya,” kongsi graduan Ijazah Sarjana Ekonomi. Ida yang berasal dari Perak kini bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di sebuah Kementerian.
Rata-rata para pengikut pasangan ini menitipkan ucapan harijadi buat Rahul. Tak kurang juga, ada yang memuji kecomelan si kecil ini.
Untuk info, Ruzaini dan Ida bernikah pada 5 Februari 2016. Semoga mereka sekeluarga kekal bahagia sampai syurga.
Kredit Foto: Instagram @ida_deqda @ruzaini.jamil @rizmanruzaini
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hidup dalam sebuah negara yang aman daripada peperangan wajar disyukuri dengan penuh nikmat. Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan wanita dan kanak-kanak yang hidup dalam pelarian akibat peperangan yang melanda tempat tumpah darah.
Hidup dalam ketakutan dan sentiasa waswas dan tidak mempercayai orang di sekeliling. Lebih sedih lagi apabila melihat kanak-kanak terbiar tanpa menikmati keriangan seperti kanak-kanak yang lain dan tertinggal dalam pelajaran.
Sebagai seorang wanita yang prihatin terhadap keamanan negara, telah membawa Syafinaz Yunus bangun melakukan misi kemanusiaan di negara yang sedang bergolak.
Tidak mahu menoleh ke belakang kaki yang melangkah akan terus melangkah sehingga ke penghujung yang belum pasti masanya. “Terlalu banyak peranan yang boleh dimainkan oleh seorang wanita dalam setiap misi kemanusiaan.
Saya sendiri melalui pengalaman di Syria melihat seorang ibu sedang mengusung jenazah bayinya. Juga seorang ibu muda yang menangis kerana bayinya kelaparan akibat 3 hari tidak makan dan minum.
Selain daripada bantuan makanan, apa yang mereka paling perlukan adalah sokongan moral seorang wanita lain kepada mereka,” jelas Syafinaz yang bertugas di stesen TV Al-Hijrah sebagai pembaca berita.
“Penderitaan yang mereka dilalui membuatkan ada yang berputus asa dengan kehidupan yang dilalui. Justeru mereka sangat perlukan motivasi daripada wanita lain untuk lebih kuat dalam meneruskan kehidupan.
Itu juga yang sering saya lakukan sewaktu di lapangan di negara perang. Saya akan peluk mereka, comfort them and tell them that they’re our inspiration. Kekuatan mereka adalah sumber inspirasi kita wanita seluruh dunia. Jadi mereka perlu terus kuat menghadapi ujian Allah ini. Itulah peranan seorang wanita kepada wanita lain lebih-lebih lagi di negara yang sedang bergolak,” tutur Syafinaz lembut.
Menurut Syafinaz, pegangannya ketika sedang melakukan misi kemanusiaan adalah kerana Allah SWT semata-mata. “Ini adalah sumbangan kecil saya sebagai ‘bekalan’ untuk dibawa pulang kelak.
Ini sahaja yang dapat saya bantu sebagai saudara seislam yang sedang dalam kesusahan. Selain itu ‘pedang’ yang boleh saya hunus untuk melawan pihak yang menzalimi mereka iaitu melalui penulisan. Melalui penulisan saya boleh menyampaikan kisah yang sebenar buat rakyat Malaysia.
Sehingga ke hari ini saya memperjuangkan dan membantu sehabis daya saudara Islam yang sedang dizalimi seperti di Palestin, Rakhine dan Syria.
Kalau diizinkan Allah SWT saya mahu membantu membebaskan Al-Aqsa daripada cengkaman mereka yang tidak bertanggungjawab,” kata Syafinaz bersungguh-sungguh.
Tambah Syafinaz yang dapat dipelajarinya sepanjang terlibat dengan misi kemanusiaan adalah menjadi hamba yang bersyukur ketika menerusi misi-misi bersama Aman Palestin ke negara-negara perang.
Bersyukur dilahirkan sebagai umat Islam, bersyukur masih tinggal di negara yang aman, bersyukur dengan apa sahaja kurniaan-Nya tidak kira ujian mahupun rezeki. Namun, kesedaran rakyat Malaysia terhadap isu kemanusiaan masih kurang. Masyarakat kita lebih gemar dengan isu sensasi berbanding ambil tahu apa yang sedang berlaku pada dunia Islam.
Menyingkap pengalaman ibu kepada seorang anak lelaki ini dalam misi kemanusiaan, “Pengalaman yang paling tak mampu saya lupakan apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Kem Yarmouk di Syria.
Melihat puluhan ribu saudara Islam dizalimi dan saudara Islam iaitu rakyat Palestin seakan mayat hidup kerana kebuluran disebabkan sekatan tentera Bashar Al-Assad. Dalam hati ketika itu bertanya, dimanakah perginya nilai kemanusiaan?
Nasihat saya jika ada wanita lain yang turut sama mahu meneruskan usaha kemanusiaan, teruskan niat murni itu. Banyakkan membaca isu-isu dunia dan kemanusiaan.
Dapatkan informasi berkenaan misi kemanusiaan di NGO yang diyakini kredibilitinya seperti Aman Palestin dan lain-lain,” tutur Syafinaz penuh semangat mengakhiri perbualan kami pada petang itu. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa yang tidak kenal dengan ikon hebat negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, wanita Asia pertama yang berjaya menakluk Antartika secara solo menggunakan kaedah meluncur ski pada tahun 2004.
Ekspeditor negara yang juga penceramah dan motivator ini mencipta sejarah tersendiri yang sangat menakjubkan sekaligus mengharumkan nama negara di mata dunia.
Hampir 20 tahun berlalu, kini ia menjadi sejarah terunggul buat wirawati negara ini. Baginya bukan mudah memegang gelaran ikon kerana ia merupakan satu tanggungjawab besar.
Kejayaan juga tidak datang bergolek tanpa adanya pendorong yang menjadi pembakar semangat.
ARWAH IBU JADI PENDORONG
Menurut Dr Sharifah Mazlina, arwah ibu adalah satu-satunya pencetus semangat buat dirinya. Paling menyentuh hati, arwah ibunya itu merupakan penghidap kanser payudara tahap 4. Walaupun diuji, arwah seorang yang sangat kuat dan pandai ‘menyimpan’ deritanya depan anak-anak.
“Arwah ibu banyak memberi suntikan dalaman kepada saya. Walaupun menghidap kanser payudara tahap 4 namun arwah seorang yang terlalu kuat dan tak pernah cerita kepada anak-anak yang arwah sebenarnya sedang sakit.
“Saya masih ingat, selepas pembedahan arwah meletakkan bahagian payudara yang telah ‘dipotong’ ke dalam botol kemudian diletakkan di atas katil. Arwah memanggil semua anak-anak untuk melihatnya.
“Arwah kata, ini satu pengajaran dan berpesan jangan sampai jadi seperti itu. Kami lihat pun tak sampai hati.
“Tiga bulan sebelum meninggal arwah meminta jaket yang paling saya suka pakai. Sepanjang tiga bulan itu, arwah sering memakai jaket tersebut.
“Katanya, Ummi bersama saya. Buatlah yang terbaik sampai berjaya. Arwah banyak memberi semangat dan kekuatan kepada saya.
“Sejujurnya, saya tak pernah melihat arwah ibu menangis dek kerana sikapnya yang sangat positif, saya kagum! Arwah melihat kanser sebagai satu rezeki dan menganggap dirinya sangat beruntung kerana diuji.
“Sekurang-kurangnya arwah tahu bila dia akan ‘pergi’ dan boleh membuat persiapan awal. Bukan saja untuk dirinya malah arwah juga membuat persiapan untuk anak-anak,” ujar Dr Sharifah Mazlina.
Kongsi Dr Sharifah Mazlina lagi, arwah ibunya turut menyiapkan kain kapan sendiri termasuk 36 helai kain batik yang dimasukkan ke dalam tiga beg. Dua minggu sebelum meninggal barulah arwah memaklumkan kepadanya tentang beg tersebut.
“Katanya, kapankan Ummi dengan kain itu. Beg yang berisi 36 helai kain batik itu pula khas untuk orang yang menolong mengendalikan jenazahnya.
“Cukup sempurna persiapannya itu. Semua wang yang ditinggalkan pula, arwah minta digunakan untuk membina masjid,” kongsi Dr SHARIFAH Mazlina.
GELARAN IKON NEGARA
Bagi Dr Mazlina, gelaran ikon negara adalah satu rezeki dan penghargaan besar.
“Saya tak kejar gelaran kerana saya percaya jika kita buat sesuatu dengan ikhlas, gelaran itu menjadi satu bonus.
“Tahun 2004 saya menjejaki Antartika hanya untuk tujuan akademik dan membuat kajian PhD. Misi negara itu sebenarnya tak wujud pun pada asalnya.
“Saya sendiri tak jangka akan diiktiraf sebagai ikon serta menerima anugerah-anugerah dari dalam dan luar negara,” jelas Dr Mazlina.
Menurutnya, beliau bersyukur kerana masih mampu melaksanakan tugas-tugas seorang ikon dengan baik. Selain ditaja badan-badan korporat beliau juga banyak melakukan tugas atas inisiatif sendiri.
“Saya wujudkan NGO sendiri iaiu Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA). Saya turut bergabung dengan beberapa NGO lain bagi membantu wanita-wanita sukses yang dapat memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain,” ungkapnya.
Kini, tiba masanya untuk beliau mencari pelapis yang bermula dari zero to a hero.
“Saya mungkin boleh terus memberikan inspirasi dan pada masa sama mahu melahirkan lebih ramai ikon muda yang boleh membantu dan menyambung legasi ini. Saya mahu berkongsi pengalaman ke Antartika. Bagi saya ini adalah modal insan negara.”
Kredit Foto: Instagram Dr Sharifah Mazlina
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Marisha Friska Halauwet membuktikan wanita mampu berjaya sebagai doktor pakar bedah dan penyanyi terkenal, inspirasi wanita moden dalam dua dunia berbeza.