Laluan trafik ke utara sesak. Musim raya, masing-masing dah tak sabar pulang ke kampung halaman, mengubat rindu, mengimbau kenangan. Paling seronok bila tiba di kediaman banglo putih milik Nur Nabila Zulyadaini atau Muabellaz di Alor Setar, nyamannya dikelilingi sawah bendang yang luas terbentang!
Ibu kepada empat cahaya mata iaitu Iris Alisya, Aidil Mikhail, Ean Yusof dan Nur Aisywara Nealofa mesra menyambut kedatangan kami. Kali ini, Bella tak keberatan memenuhi hajat kami yang teringin memotretkan wajahnya dengan si comel sebagai penghias sampul digital Nona Mei 2023.
Terkenal dengan mata kelabu dan raut wajahnya yang comel, kecomelan Lofa yang baru menginjak usia 9 bulan jadi perhatian. Berkulit putih bersih dengan rambut ikal kecoklatan, anak bongsu Bella rupanya membesar dengan sihat kerana menyusu badan. Geram sungguh tengok telatah Lofa!
Tidak sukar membayangkan mengapa Pengasas Bellaz Beauty yang juga pempengaruh media sosial ini enggan berpindah ke bandar raya. Kampung ini ada jiwa di dalamnya, jauh daripada hiruk-pikuk kota, bunyi ekzos letup-letup, drama dunia… Bella lebih puas membesarkan anak-anak di sini.
“Saya seronok duduk kampung. Pahit manis, pengalaman hidup saya di sini. Bila dekat dengan famili saya rasa lebih selesa. Malah anak-anak pun saya ‘lepaskan’ mereka bermain, pergilah main selut, sauk ikan, lari-lari atas batas… biar mereka nikmati alam kanak-kanak macam saya ‘berlemuih’ dulu.” Bella
AIDILFITRI
Persiapan raya Bella, meriah tak? Tanya penulis sambil meninjau ke seluruh ruang bilik mekapnya.
Ads
“Jujurnya biasa-biasa saja, pakai apa yang ada. Beli tapi tak berlebihan.”
Tambah Bella, dia hanya membeli dua pasang baju raya saja untuk dipakai Syawal pertama dan kedua. Tapi yang penting menu juadah raya memang meriah, antara masakannya Nasi Minyak, Daging Masak Hitam dan Ayam Masak Merah. Kuih raya Cornflakes Madu buatan tangannya pun ada!
Ads
Berlatarkan Gunung Keriang, angin sepoi-sepoi dan lambaian dedaun nyiur, cerita hidup Bella seterusnya menjadi topik bicara kami.
“Saya ni tengok jer macam ni (gelak-gelak) tapi sebenarnya saya garang. Garang dan tegas yang bertempat. Sebelum anak nak keluar main, pastikan dulu kerja rumah dah siap kalau tak mahu dicubit.
Anak-anak boleh dapat apa yang mereka nak, tapi tidaklah selalu kerana saya ajar mereka erti kesusahan untuk mendapatkan sesuatu. Saya tak ajar mereka bermewah-mewah malah selalu kongsi kesusahan hidup saya dulu.
Dulu saya selalu ponteng sekolah. Kesusahan hidup masa tu sampai ke tahap terpaksa menjaga adik-adik seramai tiga orang bila Mak bersalin. Sayalah yang jaga adik, memasak. Saya tak mampu. Cikgu sampai faham, mereka pernah datang tengok situasi saya di rumah bila saya selalu tak ke sekolah.
Cikgu-cikgu berpakat nak tolong saya, sara biaya persekolahan saya. Memang sedih kalau diingatkan, banyak sangat pahit manisnya. Mereka bagi saya belanja duit makan dan tambang bas sekolah. Hari-hari mesti pergi pejabat guru dan ambil duit. Sehari RM3 sampai saya Tingkatan 5. Dan paling saya ingat Ustaz Muslan, dialah cikgu yang paling banyak ambil berat.” Bella
Ads
Perkara yang membuat Bella menangis?
“Adalah momen-momen yang saya teringat. Orang yang suka gelak-gelak ni banyak memendam. Sebab tu saya suka alam, supaya saya ingat siapa diri saya. Kadang-kadang bila saya tidur dalam aircond sejuk, teringat nikmat-nikmat yang Allah bagi, dulu susah tapi sekarang alhamdulillah.
Saya tanya diri saya, nikmat apa lagi saya nak? Semua dapat. Sampai menitik air mata sendiri. Ingat lagi pernah dihina, dikecam. Paling saya ingat sampai mati, kata-kata orang yang saya mekap macam n***s. Itu paling menusuk hati. Orang fitnah macam-macam, cancel booking makeup disebabkan fitnah tu. Mekap macam n****s, mekap tak cantik.
Masa tu saya bajet bila pelanggan bayar nanti, dapatlah saya pergi makan di Secret Recipe. Teringin nak merasa tapi tiba-tiba semua cancel. Allahu, sedih kalau diingatkan semula.” Bella
Muabellaz dan Nur Aisywara Nealofa sebagai penghias sampul digital Nona Mei 2023
Merancang supaya legasi bisnesnya dapat diwariskan kepada anak-anak, Bella sejak awal lagi sudah merancang strategi kewangannya sebaik mungkin. Untuk perniagaan, dia mahu sentiasa diingati sebagai usahawan berjaya.
“Kita menangis kena menangis. Menangislah sepuas-puasnya tapi jangan lama-lama. Hidup hanya sekali, jadikan ia sebaik mungkin untuk diri kita dan orang sekeliling.” Bella
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hendak mengemas rumah secara total tidak semestinya perlu menunggu hari raya. Apatah lagi sekarang ada banyak masa di rumah untuk mengemas termasuklah mengubah dekorasi atau susun atur perabot agar terlihat lebih segar serta berbeza.
Berikut 20 cara mudah yang boleh anda lakukan.
Sediakan bajet yang jelas. Tulis apa yang perlu ditukar, dibeli baharu, diubah suai dan dibuang. Dari situ maka mudahlah untuk anda menumpukan perbelanjaan dan tidaklah tersasar berbelanja.
Buang habuk dan sawang! Hal ini perlu ditangani segera kerana sebelum mengecat atau apa jua kerja-kerja ‘makeover’ tatahias, habuk merupakan musuh utama yang perlu dibasmi segera.
Basmi segala serangga dan makhluk perosak. Perangi habis-habisan kerana ia sudah pasti anda tidak mahu melihat lipas melintas di tengah-tengah rumah jika ada tetamu yang datang bertandang. Gamat jadinya nanti!
Ramai sebenarnya yang mengalami masalah dengan najis cicak yang bertaburan di mana-mana sekaligus ia mengundang rasa jijik serta tidak selesa. Banteras dengan segera untuk membersihkan bekas najis cicak atau burung dan sebagainya sebelum ia meninggalkan kesan yang kurang sihat untuk anda dan seisi keluarga.
Maksimumkan penggunaan kabinet di kediaman anda. Segala barang yang tidak perlu segera disimpan agar ruang yang anda kemas itu kelihatan kemas dan teratur.
Kerja paling rumit dan memakan masa ialah di bahagian dinding kerana segalanya bermula dengan bahagian ini. Ia memakan masa dan tenaga. Buat carta tata hias secara keseluruhan. Rancang warna perabot, langsir, permaidani dan sebagainya. Dari situ barulah anda dapat melihat kesesuaian padanan warna dan mengelakkan dari melakukan kesilapan.
Jika anda mahu mengecat rumah, jangan lari jauh daripada kelompok warna asal. Tersilap pilih ia akan mengakibatkan anda terpaksa menukar yang lain terutama perkara yang anda tidak rancang untuk menukarnya buat tahun ini. Contohnya, sebelum ini ruang kediaman anda diwarnakan dengan rona bumi dengan perabot kayu. Tahun ini anda ingin menukarnya kepada biru tua yang menjadikan rumah lebih gelap. Ini hanya akan menjadikan seluruh ruang menjadi gelap.
Ubah gaya baharu! Jika dahulu anda hanya mengecat ruang kediaman dengan cara normal. Namun kini mungkin anda boleh mencuba teknik lain seperti span atau garisan.
Serikan feature wall anda. Berjimat tetapi kekal cantik dan segarkan kediaman anda. Tukar gaya feature wall anda. Mungkin dengan gaya berbelang bersama warna di dalam kelompok yang sama. Jimat!
Bagi anda yang mempunyai bajet lebih bolehlah menukar feature wall anda sempena tahun baharu dengan kertas berkualiti tinggi. Pilih corak yang serasi dengan gaya konsep kediaman secara keseluruhannya. Jangan terlalu ghairah menukar kertas dinding sehingga tersasar dengan konsep yang ada.
Jika ingin menempah langsir, inilah masanya. Bagi yang mempunyai jendela yang agak banyak segeralah mendapatkan tukang jahit langsir anda dan pastikan segalanya selesai sebelum menjelangnya tahun baharu.
Tukar gaya langsir? Jika dahulu anda memilih gaya kalsik kini apakata anda menukar pula kepada gaya yang lebih ringkas dan menarik. Bidai roman dengan fabrik terpilih boleh memberikan pesona berbeza pada suasana kediaman. Ringkas namun impaknya besar.
Kata orang pencahayaan mampu memberikan impak yang berbeza pada ruang. Kenapa tidak kita menukarkan sistem pencahayaan di ruang kediaman? Jika ada bajet lebih, naikkan taraf sistem pencahayaannya agar lebih selesa mata memandang. Ruang ringkas juga boleh bertukar ekslusif.
Buang semua bunga hiasan lama terutama bunga plastik atau bunga telur yang mungkin sudah mengumpul habuk. Selalunya bunga yang sudah lama bukan sahaja berhabuk malah warnanya juga turut pudar dan tidak berseri lagi. Ia boleh mencacatkan tata hias kediaman anda. Sebaiknya pilih bunga-bungaan segar atau tumbuhan hijau agar ruang kediaman kelihatan segar.
Rumah kecil pasti banyak cermin bertujuan untuk memberi ilusi lebih luas. Namun, bagaimana jika permukaan cermin kelihatan comot dan banyak kesan. Bersihkannya dengan menggunakan kertas atau surat khabar lama. Kesat pada cermin setelah direnjis dengan pencuci cermin. Jika mahu berjimat, gunakan sahaja teh kelat dan renjiskan pada cermin.
16. Sekiranya terdapat kotoran pada sofa contohnya gula-gula getah anda boleh mencuba cara ini. Ambil air batu dan sapukan pada gula-gula getah yang melekat itu sehingga ia menjadi keras. Kemudian bolehlah menggunakan lidi untuk membersihkan sisa gula-gula getah yang tertinggal.
17. Kusyen kecil adakala sarungnya menjadi berbulu selepas dicuci. Hendak dibuang sayang pula. Jadi, anda perlu berhati-hati ketika memotong bulu pada fabrik tersebut.
18. Jangan membazir kusyen kecil yang ada. Jika tahun ini sarungnya polos, tahun ini tampal sahaja dengan batu Swarovski yang dijual dipasaran. Bukan sekadar kreatif bahkan dapat menjimatkan kos. Anda juga boleh melakukan teknik DIY dengan menghias sarung bantal kecil dengan pelbagai hiasan berdasarkan tema tahun baharu.
19. Susun kembali perabot jika perlu. Ruang tengah dibiarkan kosong jika anda menerima tetamu. Berikan ruang khas untuk yang bertandang dan berkumpul di bahagian tengah terutama jika anda memiliki ruang keluarga.
20. Pasang penyegar udara jika perlu untuk memastikan segala bau masakan tidak melekat pada ruang. Penyegar udara juga membolehkan suasana lebih selesa dan tenteram terutama jika mempunyai warga tua yang tinggal bersama.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Aktif melakukan aktiviti outdoor yang lasak seperti rock climbing, ski serta mengamalkan gaya hidup sihat pasti ramai yang tidak menyangka sebenarnya Sarah Herron dilahirkan dengan sebelah tangan sahaja akibat Amnioctic Band Syndrome. Bahkan, tidak sedikit pun Sarah menjadikan kekurangannya itu sebagai halangan beliau untuk bergerak lincah dan melakukan aktiviti kegemaran disamping menghayati keindahan alam sekitar.
“Seperti yang diketahui ramai, menjadi tugas saya untuk membuktikan wanita di luar sana yang mempunyai kelainan upaya apakah aktiviti outdoor yang boleh dilakukan oleh mereka. Hari-hari saya dihabiskan dengan menyelidik, meneroka, dan cuba membuka ‘sampul baru’ dalam kehidupan supaya dapat berkongsi keseronokan saya melakukan aktiviti luar”, jelas Sarah Herron dalam salah satu entri di laman instagramnya.
Sebelum ini Sarah juga pernah menyertai satu rancangan realiti mencari jodoh popular Amerika Syarikat, The Bachelor. Walaupun tidak berjaya menemukan pasangan di rancangan tersebut, Sarah kini bahagia bersama teman lelaki, Dylan Brown yang sedia menrima diri beliau seadanya. Disamping itu, pasangan ini juga berkongsi minat dan hobi yang sama.
Mengikuti perkembangan Sarah di laman instagram, terpancar keyakinan yang ada dalam diri wanita hebat berasal daripada Colorado ini apabila sentiasa menunjukkan kebolehan beliau melakukan adventurous outdoors activity untuk memberi inspirasi kepada wanita pelbagai peringkat umur bahawa nothing is impossible!
Sumber gambar: @sarahherron
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pernahkah terlintas mengapa dapur rumah anda terasa kurang selesa? Mungkin ada yang salah dengan penataan dan dimensinya. Sudah diubah suai namun masih ada yang kurang. Kemungkinan besar anda sudah melakukan kesilapan pada pengubah suaian dapur. Justeru, sebelum menetapkan untuk mengubah suai dapur sebaiknya anda kaji semula semua aspek termasuk yang paling kecil.
Ini kerana dapur juga merupakan salah satu ruang penting yang sering digunakan. Semak 8 kesalahan berikut yang mungkin kita sering terlepas pandang.
KOMPONEN KECIL
Semua komponen di dapur penting dan memerlukan ruang penyimpanan. Meskipun ia hanyalah mesin pengisar kopi mahupun ruang rempah ratus anda tetap perlu ambil berat. Ketika anda mengubah suai dapur fikirkan di mana semua perabot yang sudah atau bakal dibeli akan diletakkan. Apatah lagi, perabot dapur yang sering digunakan pastinya memerlukan ruang ekstra di meja dan rak-rak terjangkau.
TIDAK PEKA KEPADA ALIRAN AKTIVITI
Rekaan minimalis moden yang sering dilihat di internet dan majalah tidak cukup untuk menjadikan dapur sebagai ruang memasak yang selamat. Sertakan rutin anda di dapur iaitu apa yang biasa anda lakukan di pagi hari, tengahari, petang dan malam. Pertimbangkannya dalam ubah suai ruang dapur. Contoh, jika setiap pagi anda memasak nasi kemudian mencuci peralatan maka susunan kelengkapan dapur haruslah saling berdekatan bagi memudahkan anda memasak.
PAKSA DIRI BUAT SEMUA SENDIRI
Kita boleh menjadi seorang yang kreatif mahupun pencinta DIY. Namun begitu, kalau memang tidak mempunyai pengetahuan asas mahupun kemampuan dalam mencipta atau mengubah suai ruang sebaiknya jangan memaksa diri. Jangan anggap bahawa tidak menggunakan khidmat profesional mampu menjimatkan wang. Jangan terkejut jika ia akan menimbulkan banyak lagi masalah di kemudian hari.
MENGABAIKAN RUANG LAIN
Sepanjang anda mengubah suai rumah jangan sampai ruang-ruang lain kelihatan kotor dan rosak. Jangan sampai lupa untuk membentangkan kain penutup di bahagian pintu dapur agar debu cat serta material tidak sampai ke ruangan lain. Pilih pintu terdekat dengan dapur untuk memasukkan material-material ubah suai.
TIDAK MELAKUKANNYA DENGAN BAIK
Ubah suai seharusnya menjadikan ruang yang lama lebih baik. Namun sayangnya, terdapat segelintir pemilik rumah hanya mengubah suai untuk menukarkan model tetapi tidak menjadikannya lebih baik. Oleh itu, ketika ubah suai tetapkan target supaya dapur sesuai untuk keperluan keluarga bukan hanya pada masa sekarang bahkan akan datang juga.
MENGABAIKAN CARA PEMBAIKAN
Kebanyakan memilih kabinet dapur yang tingginya hampir mencapai langit-langit. Ada yang menggunakannya untuk menyimpan perabot yang jarang digunakan mahupun membiarkannya kosong. Akhirnya ia terbiar tanpa dibaiki, lapuk dan rosak. Inilah pentingnya pengubah suaian sesuai dengan keperluan dan kemampuan. Jika anda tidak tahu bagaimana membaiki setiap perabot dan kelengkapan dapur, sebaiknya jangan menggunakannya.
MEMILIH KELENGKAPAN MEMASAK DI LANGKAH TERAKHIR
Ada juga, setelah selesai memasang kabinet dapur dan mengecat dinding kemudian baru terfikir ada buat silap. Contohnya ruang untuk meletakan peti sejuk tidak cukup, tidak tahu di mana hendak meletakkan ketuhar dan tiada tempat untuk meletakkan rak gelas serta pinggan. Sedangkan rak, peti sejuk dan segala peralatan memasak seharusnya menjadi perkara paling utama ketika mengubah suai dapur.
MENGABAIKAN KEINDAHAN
Bahagian backsplash dan kabinet dapur merupakan kawasan yang boleh dijelajah antaranya ialah mainan warna kabinet dapur. Jangan malas untuk mencipta rekaan backsplash yang unik atau skema warna kabinet dapur yang berbeza daripada kebiasaan untuk impak yang lebih menarik.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.