Pesanan arwah papa jadi azimat buat Efin Fawzy. Dilahirkan dalam keluarga yang aktif berniaga dan diberi pendedahan mengenai ilmu perniagaan sejak muda mendorong pengasas Finn Beauty, EDA AFINIE DATO’ HJ MOHD FAUZI menerokai bidang kecantikan.
Berkongsi penglibatannya dalam dunia perniagaan, wanita yang mesra disapa Efin Fawzy ini memberitahu, dia telah mula berjinak dalam bidang perniagaan secara sambilan di syarikat milik bapanya, Allahyarham Dato’ Hj Mohd Fauzi yang mengusahakan perniagaan dalam bidang automotif ketika masih menuntut di universiti.
Pesanan Arwah Papa Jadi Azimat
Diberi kepercayaan besar oleh arwah bapanya, Efin berasa sangat bertuah meskipun dididik menghadiri kursus dan mesyuarat syarikat sejak usia masih remaja. Namun ilmu yang ada menjadi bekalan dirinya menjadi usahawan wanita berjaya pada hari ini.
“Selepas habis peperiksaan SPM saya meneruskan pengajian di UiTM. Pada masa itu arwah papa sudah memberi kepercayaan untuk saya terlibat menguruskan perniagaan keluarga. Walau secara sambilan namun arwah papa dan mama meletakkan kepercayaan penuh kepada saya. Sejak kecil juga keluarga telah dedahkan saya dalam bidang automotif.
Saya ikut saja kehendak kedua ibu bapa dan faham apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan. Kadang tu terfikir juga kenapa saya tidak diberi peluang untuk tentukan pilihan sendiri.
Sebagai seorang wanita sebenarnya sejak kecil saya memang minat bab kecantikan. Bayangkan masa zaman sekolah lagi saya dah bawa sample produk kecantikan dan pernah jual di sekolah,” kongsi Efin yang merupakan graduan bidang perniagaan dan pemasaran.
Kental
Bicara usahawan wanita yang berasal dari Kelantan ini lagi, dek kerana minat dalam dunia kecantikan dirinya tekad memulakan perniagaan berkaitan kecantikan dengan mengeluarkan produk kolagen pada tahun 2014. Namun disebabkan dalam masa yang sama sibuk menguruskan legasi perniagaan arwah papa, Efin tidak sempat memberi fokus sepenuhnya dalam perniagaan kecantikannya.
“Pada masa itu saya berhadapan dengan pelbagai komitmen. Jadi tak sempat nak fokus. Lebih kurang setahun juga saya ambil masa menguruskan produk tersebut.
Ads
Namun dalam perniagaan ada naik turunnya. Paling penting kena yakin dan kental. Kadang tu agak tertekan bila kita tengok orang lain berjaya namun didikan arwah papa sangat bermakna buat saya.
Arwah papa pernah cakap jangan pernah putus asa. Kalau sekali kita gagal, atau dua kali gagal tak semestinya gagal selamanya. Kena kuat, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian,” kongsi Efin.
Mengimbas kembali bagaimana Finn Beauty ditubuhkan, isteri dan ibu kepada dua cahaya mata ini menjelaskan sejak berhijrah ke Kuala Lumpur selepas pandemik COVID-19 dirinya menubuhkan perniagaan sendiri.
“Finn Beauty terlahir daripada minat saya dalam bidang kecantikan. Terdapat empat jenis produk iaitu Finn Beauty Skincare, Losyen Whitening Booster (Ibu Putih), Facial Beauty Green Jade Face Massage dan Finn Hijab.Tag line yang digunakan ‘Beauty and Shine with Finn Beauty.’
Ads
Dua perkara yang membezakan produk saya dengan produk lain adalah saya akan buat kajian dan mencuba sendiri produk sebelum dipasarkan. Saya bukannya jenis yang keluarkan produk sebab sesuatu produk itu tular. Malah punya formula sendiri dalam penghasilan produk kecantikan,” kongsi Efin yang bersyukur walau produk yang dihasilkan baru saja dilancarkan namun mendapat tempat di hati pelanggan setia.
Walau kini sudah berjaya muncul dengan produk sendiri namun Efin berasa sedikit terkilan kerana arwah papa tidak sempat melihat kejayaannya. “Sekarang saya sudah buka perniagaan sendiri. Namun arwah papa sudah tiada, arwah meninggal dunia pada tahun 2022. Agak sedih bila arwah papa tak dapat lihat kejayaan saya.
Jika dulu kalau nak buat apa-apa saya akan minta nasihat papa. Sekarang ni sudah tak ada tempat mengadu. Namun saya bersyukur dan bertuah kerana arwah papa ajar dari awal lagi macam mana nak tangani masalah. Apa yang arwah ajar, sampai sekarang saya boleh gunakan dalam kehidupan,” kongsi Efin yang turut terharu dengan semangat dan dorongan ahli keluarga lain seperti ibu dan suaminya yang banyak membantu.
Akui pelbagai cabaran ditempuhi malah Efin juga sangat bertuah kerana insan terdekat merupakan antara sumber inspirasi dalam dirinya bertahan apabila berhadapan saat sukar.
Ads
“Sokongan tak semestinya dari segi kewangan, nasihat dari mama, suami, keluarga dan team Finn Beauty merupakan pemberi semangat dan inspirasi untuk naik semula. Kalau jatuh sekejap saja, namun bangkitlah semula. Bila lihat wajah anak-anak saya akan kembali tenang. Mereka merupakan sumber inspirasi dan kekuatan.
Malah sahabat baik gelar saya superwoman. Sebabnya walau sibuk uruskan perniagaan, namun saya tetap kendalikan dua orang anak yang juga merupakan atlet. Tugas sebagai seorang ibu juga saya galas apatah lagi kedua anak sangat sibuk jadual mereka. Tanggungjawab saya memang berat namun saya rasa gembira,” terang Efin.
Diaju mengenai perasaan sebagai salah seorang penerima Nona Superwoman Award 2024, Efin sangat percaya anugerah berprestij ini mampu memberi impak yang besar pada produk Finn Beauty.
“Nona Superwoman Award merupakan anugerah yang sangat berprestij. Malah melalui platform ini menambah kepercayaan pelanggan terhadap jenama Finn Beauty. Pada saya kepercayaan pelanggan sangat penting. Bila pelanggan percaya pada produk sekaligus dapat mempengaruhi keberlangsungan suatu perniagaan dan hubungan ini perlu dijaga dengan baik,” luah Efin yang mengimpikan perniagaannya berjaya hingga peringkat global.
Mengakhiri perbualan, Efin turut percaya komunikasi antara peniaga dan pelanggan sangatlah diutamakan. Komunikasi yang efektif dengan pelanggan dapat membantu membangun kepercayaan dan hubungan yang kuat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Heidy Quah, gadis berusia 26 tahun ini berjaya mencuri tumpuan dunia dengan sumbangannya sebagai seorang aktivis. Ternyata, dia bukan calang-calang anak muda kerana pernah menerima anugerah pemimpin muda bertaraf dunia iaitu The Queen’s Young Leaders Award pada Jun 2017.
Penghargaan ini telah disampaikan oleh Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham, London. Paling membanggakan, Heidy Quah yang ketika itu berusia 23 tahun merupakan penerima tunggal dari Malaysia.
Detik paling berharga, Heidy Quah menerima penghargaan berprestij oleh Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham, London pada tahun 2017.
Anugerah ini mengiktiraf sumbangan generasi muda berusia antara 18 tahun hingga 29 tahun dari negara Komanwel. Heidy Quah merupakan antara 60 pemenang yang terpilih. Walau masih muda tetapi pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Refuge for the Refugees ini berjaya membuktikan anak muda juga mampu memberi sumbangan besar buat masyarakat dan negara.
Antara sumbangan Heidy ialah mengajar bahasa Inggeris di samping melakukan kerja-kerja amal dan kemanusiaan kepada lebih 2 ribu kanak-kanak pelarian Myanmar di Malaysia. Graduan Ijazah Sarjana Kewangan dari INTI International University & Colleges ini membantu kanak-kanak pelarian dengan memberi pendidikan asas secara percuma.
“Pendidikan sangat penting bagi setiap kanak-kanak. Selain beramal kami di Refuge for the Refugees membantu meningkatkan kesedaran masyarakat. Kebanyakan kanak-kanak pelarian bukan saja tidak pandai berbahasa Inggeris malah tidak tahu membaca dan menulis. Status juga menjadi kekangan apabila mereka tidak dapat hadir ke sekolah seperti kanak-kanak lain.”
Refuge for the Refugees menyokong kira-kira 35 buah sekolah. 10 daripadanya ditubuhkan di Lembah Klang dan Pulau Pinang. Manakala 25 buah sekolah lain terletak di Myanmar yang terdiri daripada lebih 2 ribu kanak-kanak pelarian.
SUKARELAWAN Refuge for the Refugees ditubuhkan oleh Heidy Quah bersama sahabat baiknya, Andrea Prisha. Waktu itu Heidy baru berusia 19 tahun. Ideanya tercetus ketika Heidy Quah menjadi sukarelawan mengajar bahasa Inggeris di sekolah kanak-kanak pelarian iaitu Pusat Pendidikan Kanak-Kanak Chin kira-kira 7 tahun lalu.
Heidy Quah bersama sahabat baiknya, Andrea Prisha.
“Beberapa bulan mengajar di sekolah itu saya kemudiannya diberitahu ia bakal ditutup kerana UNHCR menghentikan pemberian dana. Ia menyebabkan saya rasa sangat sedih kerana pelajar-pelajar tidak dapat meneruskan pembelajaran sedangkan mereka sangat berminat. Kami tekad membantu kanak-kanak ini meneruskan pembelajaran.”
Bagi mengumpul dana, Heidy Quah dan rakannya telah menghasilkan biskut kemudian dijual di laman sosial. Memiliki kelulusan dalam jurusan kewangan telah dimanfaatkan sebaiknya oleh Heidy Quah. Mereka turut mencetuskan kesedaran sosial kepada orang ramai betapa pentingnya pelajaran di peringkat awal kanak-kanak tanpa mengira status latar belakang.
Selain usaha sendiri, mereka juga menerima sumbangan daripada beberapa badan korporat serta individu bagi pembiayaan kos pembelajaran dan operasi sekolah.
“Memandangkan sukar untuk mendapatkan dana secara berterusan, kami mula melatih kanak-kanak ini berniaga. Mereka didedahkan dengan konsep pembelajaran mikro-kewangan bagi membolehkan mereka mengembangkan bisnes secara online. Mereka menjual berbagai barangan seperti mainan, cenderahati dan sambal Burma.
Saya mengajar mereka banyak perkara. Begitu juga saya yang dapat belajar sesuatu daripada kanak-kanak ini. Saya nekad untuk terus membantu mereka demi mendapatkan pendidikan yang sempurna seterusnya menjadi insan yang berilmu.”
INSPIRASI Heidy Quah menjadikan aktivis hak asasi manusia, Datuk Dr Hartini Zainuddin sebagai sumber inspirasi. Dia sangat mengkagumi perjuangan tokoh wanita itu dalam memperjuangkan hak asasi wanita dan kanak-kanak. Datuk Dr Hartini Zainuddin juga bertugas sebagai perunding untuk pelbagai organisasi kerajaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perjuangan beliau adalah terhadap isu kanak-kanak terpinggir dan kurang bernasib baik khususnya dari segi taraf kerakyatan. Baginya, setiap kanak-kanak berhak untuk memiliki kehidupan sempurna tidak kiralah betapa miskinnya mereka. Beliau juga sanggup korbankan kehidupannya demi masa depan kanak-kanak.
“Saya kagum dengan semangat beliau. Ketika berusia 17 tahun saya baru hendak bermula dengan kerja amal. Maka, saya mencari seorang mentor dalam bidang ini. Saya buat research dan mencari nama-nama aktivis yang terlibat dalam charity. Saya terjumpa profil beliau lalu menelitinya.
Saya segera menghantar email kepada beliau termasuk beberapa yang lain. Saya memberitahu niat saya untuk melakukan kerja amal dan sedang mencari mentor. Tak sangka pula hanya beliau seorang yang memberi respon. Saya tahu beliau sangat sibuk.
Tanpa bertangguh beliau terus mahu berjumpa saya. Sehingga kini beliau sentiasa menjadi role model saya. Beliau juga sangat passionate walaupun sudah berusia 50an.”
Kredit Foto: Instagram @heidyquah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam usaha memartabatkan industri herba, HPA Group Of Companies ternyata boleh berbangga menjalankan perniagaan menghasilkan serta memasarkan produk berasaskan herba yang pertama di Malaysia.
Malah, pasaran produk syarikat tersebut telah berjaya menembusi pasaran Asia Tenggara dan Timur Tengah. Kini, ia dalam proses menjalankan usaha sama untuk memasarkan pasaran ke Benua Eropah, dengan menjadikan Istanbul sebagai pusat perniagaannya serta dalam proses pembinaan kilang serta pejabat pengurusan di Istanbul, Turki.
Kisah kejayaan syarikat yang telah memasuki usia 32 tahun penubuhannya sememangnya menjadi pemangkin buat Ketua Pegawai Eksekutif HPA Group Of Companies, Dorina Abdullah untuk meneruskan legasi kecemerlangan perniagaan yang berasaskan herba itu.
“Kami menjalankan perniagaan ini bukan sahaja sebagai pengeluar barangan berasaskan herba, malah kami turut memberi pendidikan seperti mengadakan kuliah atau kelas tentang kesedaran penggunaan produk halal dan juga ilmu Thibbun Nabawi kepada para pelanggan,” ujar Dorina yang bukan sahaja bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif malah turut menyandang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang syarikat sejak tujuh tahun yang lalu.
“Alhamdulillah hasil tunjuk ajar suami, Tuan Haji Ismail Haji Ahmad yang turut bertindak sebagai guru, saya meneruskan legasi kegemilangan HPA Group of Companies berdasarkan pengalaman beliau selama lebih 30 tahun dalam menguruskan perniagaan,” ujar Dorina yang banyak mempelajari tentang asam garam dunia perniagaan dari suami tersayang.
Tidak hairanlah mengapa Dorina menjadikan suami tersayang sebagai idola dalam menjalankan perniagaan.
“Saya amat mengagumi cara beliau menguruskan perniagaan. Malah saya turut memegang motto hidup seperti yang diajar oleh beliau. Cara beliau banyak mengubah cara hidup dan menjadikan saya berjaya mengharungi masalah dalam hidup. Antara perkara yang ditanamkan adalah sifat sabar dan berjiwa besar serta melihat setiap masalah itu sebagai satu peluang. Alhamdulillah azimat tersebut menjadi sumber inspirasi saya,” ujar Dorina lagi.
Wanita berusia 39 tahun ini juga turut menjadikan Saidatina Siti Khadijah Al Khuwaylid, sebagai sumber inspirasi memandangkan Saidatina Siti Khadijah merupakan seorang wanita yang mempunyai kepintaran di dalam bidang perniagaan serta ketaatan beliau terhadap suaminya iaitu Rasulullah SAW.
“Pada pandangan saya erti superwoman itu bukan sahaja beliau tunjukkan dalam bidang perniagaan, tetapi beliau berjaya dalam rumah tangganya. Wanita yang hendak bergelar superwoman tentulah harus berpegang hanya kepada Allah dan Rasul. Dengan itu kita dengan sendiri akan mengetahui tanggungjawab terhadap agama, keluarga masyarakat seterusnya negara. Contohi sifat dan sikap terbaik yang ditunjukkan oleh Saidatina Siti Khadijah Al Khuwaylid,” ujar Dorina seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Usia bukan penghalang untuk terus berjaya dalam dunia perniagaan. Saleha Mat, 52 tahun telah melibatkan diri dalam bidang perniagaan melebihi 12 tahun. Mempunyai kelulusan Diploma Fashion Design daripada Internation Fashion Training Centre. Saleha Mat mendapat bimbingan awal sebagai usahawan daripada MARA. Mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan pada usia 32 tahun sehingga sekarang.
“Pada mulanya, saya hanya berniaga secara kecil-kecilan dirumah memandangkan ketika itu mempunyai anak yang masih kecil dan saya mula secara sepenuh masa pada tahun 2009. Selepas 12 tahun melibatkan diri dalam bidang fesyen dan kini saya telah pun mempunyai akademi fesyen saya sendiri. Alhamdulillah,” jelas Saleha Mat.
“Saya ingin membantu dan melatih remaja lepasan sekolah yang berminat di dalam bidang fesyen untuk membina kerjaya sebagai usahawan fesyen yang mempunyai produk mereka sendiri untuk dipasarkan,” bicara impian murninya dan kini Saleha Mat turut melatih golongan asnaf dalam bidang jahitan seramai 30 orang.
Namun bidang perniagaan bukanlah mudah seperti dulu, “Selain berniaga dan menghasilkan pelbagai produk, saya perlu berlari bersama mengejar perkembangan teknologi sosial media. Dalam usia begini, saya mengambil sedikit masa untuk aplikasikan dunia alam maya ini dalam kehidupan harian. Selain itu cabaran sekarang adalah modul busines terpaksa diubah mengikut keperluan semasa.”
Pernah mengalami kerugiaan dalam perniagaan, “Saya pernah lantik kontraktor untuk buat renovate butik ke 3 dan sudah siap buat full payment. Hanya 10% sahaja disiapkan tidak seperti yang dijanjikan. Saya terpaksa lantik kontraktor baru dan menanggung kerugian besar sebanyak 300k sehingga terpaksa menggunakan simpanan suami. Alhamdulillah juga, ramai yang bantu masa susah tu saudara, sahabat dan suami.
Saya terhutang budi pada mereka semua yang sanggup bantu. Saya seorang yang mempunyai cita-cita dan semangat tinggi, walaupun banyak dugaan yang saya perlu hadapi. Hari ini saya terjatuh tersungkur, esoknya saya akan bangun. Tiada istilah gagal dalam hidup saya. Saya hanya mampu memujuk diri dan bercakap dalam hati, mungkin bukan rezeki saya,” luahan hati Saleha Mat.
“Kalau nak bercakap tentang kepayahan dan dugaan perniagaan, terlalu banyak nak dikongsi. Kisah staff tak jujur, baju pelanggan terbakar dan perlu digantikan dengan jumlah ribuan ringgit. Pernah jaga butik sorang selama setahun tanpa pembantu, semua saya buat sendiri. Ada yang diberhenti dan ada juga yang akhirnya berhenti sendiri.”
Kini Saleha Mat terus bangkit dan melangkah dengan semangat baru, mengeluarkan Baju Sekolah Tanpa Gosok. “Brand Saleha.Mat baju sekolah tanpa gosok dan premium kualiti ini dapat menjimatkan tenaga, elektrik dan wang. Idea asal untuk membantu ibu-ibu terutamanya yang bekerja dan sibuk untuk menguruskan pakaian anak-anak, jimat masa.
Baju sekolah ini memudahkan anak-anak terutamanya yang tinggal diasrama, tak perlu lagi berebut-rebut nak gosok baju. Ada juga ibu-ibu yang terpaksa upah cikgu utk menggosok baju sekolah anak mereka di asrama. Alhamdulillah produk ini mula dapat perhatian dan permintaan, Cuma saya perlu kuatkan lagi strategi marketing dan promosinya.”
Semoga wanita superwoman ini terus menempah kejayaan dalam melahirkan ramai usahawan fesyen yang dapat mengeluarkan produk mereka sendiri dipasaran bukan setakat juru jahit biasa!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti yang dinanti-nantikan, majlis pernikahan Erra Fazira dan Mohamad Ezwan Mohamad Zain atau Mr E berlangsung penuh indah pada tanggal 12 Disember 2025. Mengambil keberkatan Hari Jumaat, pasangan ini selamat disatukan sebagai suami isteri sekitar jam 9.19 pagi tadi.