Atas dasar prihatin dan niat ingin membantu golongan wanita yang selama ini sering dianggap tidak mampu menjana pendapatan keluarga, Dato’ Sri Hanni Borhan pegasas Jamu Susuk Dara, syarikat JSD Holdings Sdn Bhd telah menyediakan satu program khas dalam usaha untuk membantu wanita melangkah dalam dunia perniagaan.
“Semasa ingin memulakan perniagaan dahulu, niat pertama saya adalah untuk berkongsi kebaikan pengambilan jamu kepada semua tidak kira perempuan mahupun lelaki. Bukan itu sahaja, melalui produk JSD juga saya mengambil peluang untuk membantu menyediakan peluang perniagaan dan meningkatkan taraf ekonomi sebuah keluarga terutama buat suri rumah tangga dan ibu tunggal. Setiap dua tahun sekali saya akan mencari wanita- wanita ini yang berpotensi dan ada pengalaman menjual produk JSD untuk mendidik mereka mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM100, 000 yang tidak terusik”,ungkap ibu kepada tiga orang cahaya mata yang kini sedang sarat hamil anak keempat.
Ads
Menurut wanita kelahiran Klang, Selangor yang setia ditemani suami sepanjang sesi fotografi ini juga menegaskan skeptikal negatif jamu yang sering dianggap pahit, sukar ditelan dan hanya menjadi santapan wanita sudah berumur perlu dihakis.
“Melalui perniagaan yang dijalankan juga saya mahu memberi kesedaran terutamanya kepada wanita muda di luar sana bagi mengubah skeptikal yang melihat jamu hanya diamalkan oleh wanita tua semata-mata dan mempunyai rasa yang pahit. Tidak kurang juga yang melihat jamu hanya untuk wanita selepas bersalin. Sedangkan khasiat semula jadi ramuan jamu adalah sesuai untuk semua golongan wanita dan perlu diamalkan sejak di awal usia remaja lagi.
Ads
Ads
Saya sendiri menjadi pengamal jamu tegar sehingga kini. Pernah mengalami keguguran dan pengalaman itu mengajar saya untuk menjaga rahim dan pastikan kitaran haid saya teratur. Ini kerana saya percaya bahawa wanita adalah tunjang kebahagiaan dalam sebuah rumah tangga. Manakala, kebahagiaan seseorang wanita itu pula datang daripada rahim yang sihat. Jadi, penjagaan rahim amat penting kerana ia akan menentukan tahap kesihatan dan kecantikan dalaman mahupun luaran wanita.
Malahan, kitaran haid tidak teratur juga akan menyebabkan kulit wajah seseorang wanita mula nampak kusam dan berjerawat serta sering jatuh sakit dan mengalami sakit di bahagian kaki”, jelas wanita berusia 37 tahun ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap butir bicaranya memberi inspirasi kepada telinga yang mendengar dan mata yang memandang. Kisah kejayaannya juga bagaikan sebuah lembaran aspirasi untuk wanita di luar sana melangkah maju mencipta kejayaan.
Ditubuhkan pada tahun 2020, Newsfeed Media merupakan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan pemasaran dan pengiklanan secara luar talian di Malaysia.
Bagi Norzira Syarini Mohammed Pauzi, 36, yang menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, ia bagaikan seperti mimpi jadi realiti.
Hanya berbekalkan pengalaman kerjanya selama 10 tahun dan bijak merancang strategi, kini Newsfeed Media berdiri megah dengan barisan lebih 500 jenama dan produk yang menggunakan perkhidmatan syarikatnya.
BERMULA KERANA DESAKAN
Menjadi noda hitam dalam lembaran diari hidupnya, anak kelahiran Tumpat, Kelantan yang memiliki segulung liazah Sarjana (Master) dalam jurusan Komunikasi ini pernah menemui jalan buntu saat diberhentikan kerja serta-merta pada tahun 2019.
Norzira atau lebih mesra dengan panggilan Ira, yang ketika itu menggalas tugas sebagai editor di sebuah akhbar kesihatan, terpaksa akur dan redha biarpun perit menerima realiti. Namun, dari situlah bermulanya langkah kejayaannya hingga ke hari ini.
“Apabila ketua saya memaklumkan saya menjadi salah seorang pekerja yang diberhentikan serta-merta, disebabkan faktor kewangan syarikat yang tidak begitu baik, minda saya hanya memikirkan tentang hari-hari yang mendatang.
Bagaimana untuk saya membayar segala komitmen hidup saya? Apakah caranya untuk saya mendapat wang yang cepat dengan jumlahnya sama dengan gaji saya ketika itu, RM7 ribu? Semuanya menjadi celaru. Sungguh, ketika itu dunia jadi gelap. Terkejut dan tergamam.” Norzira Syarini
Biarpun airmata mengalir memikirkan nasib dirinya, namun tangisannya hanya sementara. Ternyata, wanita ini punya hati yang kental. Tidak mudah melatah, tidak pula termangu lama. Mindanya ligat mencari solusi membuatkan jiwanya bersemangat untuk bangun dan berdiri kuat.
“Jujur saya katakan, jika saya masih berterusan menangis, saya pasti tidak akan memiliki apa yang saya ada hari ini. Desakan hidup pada saat itu seolah-oleh seperti membakar diri untuk menjadi versi yang lebih kuat.
Saya fikir, inilah masanya untuk saya mengubah kehidupan saya dan keluarga. Saya tidak mahu menoleh ke belakang. Lantas, saya mengambil pen dan kertas, lalu senaraikan kekuatan yang saya ada.
Diri lebih cenderung dalam bidang perhubungan awam (PR). Lantang bersuara, bijak berkata-kata dan yakin dihadapan orang ramai menjadi bonus untuk diri sendiri.
Malah, 10 tahun pengalaman dalam bidang media kewartawanan serta penerbitan turut membuatkan saya lebih yakin dengan keputusan yang dilakukan.”
USAH GENTAR MELAWAN ARUS
Benar kata orang. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Ketika Ira memulakan misi mencari klien pertamanya, pada saat itu dunia sedang menghadapi pandemik Covid-19.
Malaysia juga memulakan fasa Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan ramai usahawan-usahawan baru kecundang dan mempunyai krisis dalam perniagaan mereka. Pastinya, ia bukanlah sebuah keputusan bernas untuk memulakan langkahnya memulakan misinya mencari klien, namun Ira punya ideologi sendiri.
“Untuk berjaya kita harus berani melawan arus. Melawan arus menjadikan kita luar biasa. Jika kita hanya mengikut arus, maka kita menjadi orang yang biasa-biasa. Harus bijak mencari peluang, itu yang paling penting. Alhamdulillah, klien pertama saya pada waktu itu seramai 12 orang, antaranya Crown Diamond Manager (CDM) dari Sahajidah Hai O Marketing.
Hari berganti hari, jumlah keuntungan saya mencecah lima angka. Pada masa itu, saya berpuas hati dan berfikir untuk berhenti, Tetapi, persoalan muncul di minda, mengapa harus berhenti?
Bermula dari saat itu, saya meminta restu suami untuk meneruskan apa yang sudah dimulakan dan Newsfeed Media terus berkembang maju dan semakin dikenali ramai.” Norzira Syarini
Berbicara mengenai sudut persaingan dalam dunia pengiklanan di Malaysia, Ira akui dikelilingi ole barisan syarikat yang lebih senior dan berpengaruh.
Oleh sebab itu, dia harus bijak memasang strategi untuk pergi jauh dari mereka. Bagi Ira, untuk kekal relevan dan melangkah setapak kehadapan, dia perlu laju dan pantas. Itulah kunci kejayaan yang menjadi resepi rahsianya.
“Benar, dunia hari ini semakin maju berkembang. Sudut persaingan pula semakin sengit. Sebagai orang baru, saya akan memastikan kami bergerak lebih pantas untuk mendapat lebih ramai perhatian orang di luar sana.”
Melihat dari sudut kejayaan yang sudah dikecapi, pasti ada faktor istimewa dan menarik minat klien untuk terus kekal setia bersama syarikatnya. Mengulas berkaitan hal itu, Ira menyatakan bahawa dia tidak pernah culas memberi yang terbaik kepada setiap klien.
Sentiasa menjaga kebajikan kliennya dari awal hingga ke akhir proses. Itu antara magis yang menjadi punca utama mereka kekal setia bersama dengannya.
“Kami akan sentiasa menjaga mereka (klien) sehinggalah ke lambaian terakhir mereka meninggalkan kami dengan rasa puas dan gembira.
Maksudnya, andai kata mereka mempunyai sesi temu bual dalam program televisyen, Newsfeed Media akan hadir memberi sokongan serta tunjuk ajar cara untuk bercakap di hadapan kamera, posisi badan yang tepat serta pilihan maklumat bernas yang harus dibicarakan sewaktu sesi temu bual itu berlangsung. Jadi, barangkali inilah sebab mereka masih lagi setia bersama kami sehingga ke hari ini.”
Memasang impian untuk menjadi syarikat pengiklanan nombor satu di Malaysia, Ira percaya dengan keistimewaan yang ada pada syarikatnya ini mampu untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Most Outstanding Advertising & Public Relation Consultant Award, Norzira Syarini Mohammed Pauzi ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis & Penyelaras: Putra Mokhter
Konsep & Penata Gaya: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Norezz Idris
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sering membawa watak antagonis, jelmaan wanita yang bermasalah itu sedikit sebanyak terpalit dalam kehidupan Ifa Raziah. Siapa sangka kalau sebaliknya beliau adalah seorang wanita yang sangat kelakar, malah lebih dari itu bergelar usahawan yang sangat menginspirasikan. Kini Ifa mengadaptasi seluruh pengalamannya sebagai anak seni selama lebih dua dekad untuk memajukan bisnes pengurusan acara, StarVendors Event Sdn Bhd.
Seorang yang tegas berpendirian, karakter Saripah Raziah Mustapha selaku Pengarah Urusan dan Pengasas StarVendors menjadi kekuatannya dalam mengendalikan urusan syarikat.
Tidak seperti di layar perak, selebriti itu bijak memainkan peranan sebagai pemimpin, sekaligus menambah keyakinan sesiapa pun yang datang berurusan. Daripada individu berprofil tinggi seperti Menteri, pegawai kerajaan dan swasta, agensi atau badan korporat, ahli perniagaan hinggalah petugas media serta orang ramai, Ifa Raziah sentiasa profesional ketika bekerja.
Terkenal dengan imej Miss Diva dan sering tampil memakai barangan kemas seperti loket hati gergasi, Ifa Raziah juga merupakan pengasas Serifa Beauty & Health. Produk pelangsingan Solid Molid dan produk Miss Diva Skincare yang diasaskan sejak lima tahun lepas antara yang mendapat permintaan tertinggi ketika musim PKP lalu. Beliau juga giat menjual korset Ifa Raziah Wonder Suit by Jovian.
“Selagi masih larat dan kudrat mengizinkan, saya mahu terus aktif dalam bidang seni. Sebenarnya saya banyak menerima job daripada stesen TV, antara yang terbaru adalah sebagai peserta dalam program Terpaling Juara. Kehadiran saya sedikit sebanyak menaikkan rating dan membantu menularkan program tersebut.
Saya sebenarnya seorang individu yang bersemangat dan suka memberikan komitmen dalam setiap pekerjaan. Termasuklah dalam arena bisnes.
Harapan saya agar suatu hari nanti semua kerja keras ini dapat meninggalkan legasi kepada anak-anak. Mungkin bila dah berusia nanti, saya dapat abadikan diri beribadah sepenuh masa sambil monitor saja bisnes yang mereka uruskan.” Ifa Raziah
VERSATIL
Terkenal sebagai seorang wanita yang ekspresif, statement beliau iaitu, “Jadilah wanita yang berduit kerana wanita yang cantik dah banyak!” mencuit perhatian.
Pernah menjulang trofi Artis Versatil Popular dua tahun berturut-turut di ABPBH29 & ABPBH30, Ifa Raziah yang berstatus Dato’ mula terlibat dalam industri seni sejak tahun 90-an lagi. Seterusnya, bakat beliau berkembang sebagai pelakon, pelawak dan pengacara sebelum kini sebagai Pengasas serta Pengarah Urusan StarVendors Event Sdn Bhd.
Tidak keberatan berkongsi sejarah, wanita jelita berdarah peranakan Melayu-Arab dan ibu kepada dua cahaya mata itu tenang bercerita. Menurutnya, bakat nyanyian yang terpendam sebenarnya mula dikesan sejak zaman kecil lagi.
Ketika berusia 17 tahun, beliau pernah mewakili Malaysia ke pertandingan akhir Asia Bagus (1992) tapi disebabkan peperiksaan SPM ketika itu, Ifa terpaksa menarik diri.
“Saya mengeluarkan album solo pertama bergenre pop balada iaitu I Miss You, I Love You pada tahun 1996. Zaman itu Malaysia dilanda gelombang dangdut, jadi saya cabar diri hasilkan album dangdut pula setahun kemudian.
Single lagu Ser…Ser…Ser… berjaya melonjakkan nama saya sebagai penyanyi dangdut popular. Saya juga mula aktif berlakon pada waktu yang sama, malah untuk rekod pernah membintangi beberapa buah filem dan teater, berpuluh drama serta telefilem tempatan.
Menjelang era 2000-an, saya tubuhkan syarikat rakaman sendiri iaitu Ifa Raziah Entertainment dan keluarkan album ketiga iaitu Gemerincing Rindu.
Saya juga pernah keluarkan single lagu Panas bersama penyanyi Cat Farish yang berjaya layak ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 2008 dan peringkat akhir Hits 1 RTM tahun yang sama.” Ifa Raziah
Bakat Ifa Raziah seterusnya berkembang dalam bidang pengacaraan TV apabila beliau ditugaskan sebagai pengacara program Wanita Hari Ini selama tiga tahun bermula 2008.
Tidak sekadar petah berbahas isu semasa, wanita kelahiran Jitra, Kedah itu sekali lagi membuktikan bakatnya sebagai pelawak apabila menyertai Maharaja Lawak Mega bersama kumpulan Syok.
Berkat sifat disiplin yang tinggi, rezeki Ifa Raziah dalam bidang seni terus mengalir tanpa henti. Bekas peserta program GegarVaganza ini terus mencatat satu demi satu kejayaan berskala besar ekoran strategi hidupnya, ingin sentiasa relevan dengan trend semasa.
Kerana itulah gaya dan penampilan diri beliau sentiasa berevolusi, stail mekap pun up-to-date!
USAHAWAN
Menyedari betapa luasnya manfaat berniaga, Ifa Raziah mengorak langkah berani sebagai pengasas StarVendors pada tahun 2019. Sebagai syarikat pengurusan acara, StarVendors dianjurkan sebagai festival membeli-belah dengan penyertaan ramai selebriti dan pelbagai jenama terkenal di Malaysia.
Menggunakan pengaruh seni, pengunjung yang datang juga boleh bertemu mesra artis kesukaan mereka dan menikmati persembahan yang diadakan.
Pencapaian terbesar Ifa Raziah adalah apabila acara Festival StarVendors Mega Raya yang dianjurkan pada bulan Ramadan lalu melakar sejarah di The Malaysia Book of Records sebagai penganjuran paling lama selama 75 jam tanpa henti.
“Dengan rekod keseluruhan pengunjung mencecah 2.8 juta orang, saya sebenarnya amat terharu dengan pengiktirafan ini dan tidak menjangka mendapat sambutan yang amat luar biasa.
Jadi saya nak menjemput lebih ramai artis dan usahawan untuk sertai StarVendors. Kami dah susun banyak program hebat di 11 venue sepanjang 2023.
Inilah satu-satunya platform yang dapat memperkenalkan branding anda dengan baik selain online. Usahawan boleh turun padang berjumpa pengunjung secara fizikal sambil mereka pegang sendiri produk anda.”
Baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Entrepreneur Award, Ifa Raziah ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Bobo Cinta
Dandanan: Hamidi Jamili
Busana: Daniel Zharif, Jovian Mandagie, Maglifestyle
Lokasi: W Kuala Lumpur Hotel
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sesungguhnya kehidupan kita di dunia ini adalah pilihan. Kita sebagai manusia yang membuat pilihan hala tuju masing-masing. Pengasas Hijab by Hanami ini nekad memilih perniagaan tudung berlandaskan patuh syariah sebagai saham akhiratnya.
“Perjalanan kita ke syurga ini bukan senang jadi kita kena lalui dengan berlapang dada. Jadi kita kena pilih, keputusan yang kita buat tu kena betul, tak boleh ambil jalan pintas, kita kena pastikan betul-betul rezeki yang kita cari ini betul-betul halal dan supaya kesannya bukan untuk diri sendiri tapi jemaah, keluarga dan hari akhir kita nanti,” tutur Siti Zaleha Hamzah yang telah membina bisnes hijab ini selama tujuh tahun.
Meninggalkan kerjaya profesional demi membina sebuah empayar perniagaan berlandaskan patuh syariah merupakan jihad yang tiada tandingan. Sempat berkhidmat sebagai pendidik selama tiga tahun di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) wanita yang petah berkata-kata ini terus berani merencana perjalanan bisnesnya.
Bercerita tentang detik awal pembabitannya dalam bisnes hijab, “Mulanya saya buat secara suka-suka kerana waktu itu sukar untuk mencari tudung labuh tapi nampak eksklusif. Bila saya pakai, ramai pula yang bertanya malah menggesa saya untuk menjualnya. Kawan-kawan sepejabat ketika itu adalah golongan pertama membeli tudung rekaan saya.
Mereka sentiasa membakar semangat saya untuk terus maju malah ada yang sanggup menghulurkan wang sebagai modal untuk saya meneruskan perniagaan ini. Bukan itu sahaja, ketika cuti semester ada di kalangan rakan pensyarah saya sudi membantu menggunting kain untuk dijadikan tudung,” tutur wanita yang berbekalkan modal RM600, 13 tudung yang habis terjual pada hari pertama jualannya.
Wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Usuluddin dari Universiti Malaya (UM) ini memegang misi, ‘Kaya dan Berjaya Bersama’ dan bersemangat membantu wanita lain untuk menukar taraf hidup. “Misi saya adalah untuk memberi team di bawah saya Kaya dan Berjaya Bersama. Bukan saya sahaja yang mampu memperoleh pendapatan RM1 juta sebulan tapi team saya juga boleh raih pendapatan RM1 juta sebulan.
Itu adalah harapan saya paling besar untuk tengok orang di keliling saya bahagia, berjaya dan cemerlang. Saya juga menyasarkan agar tahun ini saya boleh dapat 5000 agen Hijabs by Hanami untuk perkenalkan jenama ini kepada lebih ramai orang. Sebab kita ada produk yang berkualiti dan patuh syariah jadi saya rasa berdosa sekiranya saya tak berkongsi produk yang bagus ini dekat orang luar yang masih tak tahu lagi jenama ini.
Saya selalu beritahu staf, kita bukan saja nak buat duit kita ada misi. Jika di Malaysia ini ada 30 juta penduduk tapi sekarang belum sampai sejuta pun yang tahu tentang Hijabs by Hanami, jadi perjuangan kita masih jauh lagi,” kata wanita yang berasal dari Selangor ini.
Bersandarkan tagline Peneraju Tudung Bawal Sarung No. 1, Hijabs by Hanami begitu istimewa kerana fabriknya yang berkualiti tinggi, mempunyai rekaan edisi terhad serta keluaran koleksi baru setiap minggu dan boleh disarung oleh segenap lapisan usia. Malah, Hijabs by Hanami mendahului jenama lain dengan mendapat empat trademark tersendiri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Aleeya Zailan membuktikan kejayaan boleh dicapai tanpa cheap marketing. Ketahui perjalanan pengasas Avenys Malaysia daripada penjual sambal kepada CEO yang menjadi inspirasi wanita Malaysia.