Aura Dato’ Rizalman Ibrahim memang begitu kuat. Apa sahaja yang diperlihatkan olehnya sudah tentu menjadi ikutan. Suatu ketika dahulu nama Ahli Lembaga Pengarah UiTM ini begitu sinonim dengan fesyen namun kini telah menelusuri pelbagai bidang termasuk masakan.
Bagi peminat bapa kepada dua orang anak lelaki ini sudah pasti tidak melepaskan peluang menonton aksinya berkongsi masakan dalam rancangan Pung Pang Rizalman di saluran Astro Ria. Salah satu episod rancangan tersebut bersama artis jemputan, Rozita Che Wan Datuk Rizalman telah menunjukkan koleksi pinggan istimewanya yang berbentuk sayur kubis.
Foto: Instagram @rizalman71
Pinggan dengan rekaan seperti sayur kubis berwarna hijau yang mempunyai daun yang berlapis-lapis dan bergumpal menjadi bulat itu tiba-tiba meraih perhatian ramai peminat pinggan mangkuk dan menjadi popular. Namun, harga pinggan ini bukan calang-calang ya. Sekeping pinggan berharga ratusan ringgit. Kalau nak kumpul satu set, congak sahaja jumlahnya.
Pinggan jenama Bordallo Pinheiro ini adalah pembuatan arca seni seramik yang berasal dari Portugal selama lebih 130 tahun lalu. Nama jenama ini diangkat daripada perekanya iaitu Bordallo Pinheiro yang merupakan seorang wartawan dan ahli seramik yang sangat terkenal. Selain bentuk pinggan kubis ini, terdapat juga pilihan bentuk seperti tomato, rama-rama dan cendawan.
Sebagai seorang yang berwawasan tinggi anak kelahiran Pulau Pinang ini mahu anak muda berjaya sepertinya, “Nasihat saya buat generasi muda yang mahu berjaya pertamanya ialah kenal dahulu siapa Pencipta, kenal siapa diri kita dan kenal segala benda yang ada di sekeliling kita. Bila kita tahu semua itu maka kita akan tahu bagaimana formula untuk menjadikan diri kita berguna dan bagus kepada orang lain,” kata Datuk Rizalman.
Jangan berkongsi tandas, itulah sekuriti dalam perkahwinan yang menjadi pegangan aktres jelita Catherine Zeta-Jones. Dalam rumah tangga, sedalam mana pun kita mengenali pasangan kita, tetap ada sesuatu yang ‘menjelikkan’ apabila bercakap tentang habit mereka di bilik air. Penggunaan mangkuk tandas, umpamanya.
Berkongsi tandas dan bilik mandi selepas berkahwin mungkin kedengaran biasa di kalangan pasangan suami isteri. Namun menurut Catherine, ruang peribadi ini tidak seharusnya dikongsi kerana habit wanita dan lelaki yang berbeza. Wanita mungkin gemar berlama-lama menatap cermin, tapi lelaki pula suka bermain games sewaktu menjalankan ‘bisnes’ mereka.
Pernah diangkat sebagai ‘Wedding of the Year 2000’, perkahwinan Catherine dan Michael Douglas cukup berprofil tinggi dengan kos anggaran RM8 juta (£1.5 juta). Meskipun jarak usia 25 tahun kedengaran terlalu jauh, namun hubungan mereka masih utuh sehingga sekarang. Mereka juga dikurniakan dua cahaya mata, Dylan Michael, 20 tahun, dan Carys Zeta, 17 tahun.
Barangkali rahsia perkahwinan tidak berkongsi bilik air ini mempunyai kebenaran tersendiri. Catherine sendiri adalah buktinya.
PETUA SEKURITI RUMAH TANGGA
Selain itu, beberapa petua di bawah antara yang praktis dilakukan demi kerukunan rumah tangga.
1. Ambil pelan insurans kesihatan
Mampu berdepan masalah kesihatan keluarga sebaik mungkin merupakan salah satu jaminan keselamatan dalam perkahwinan anda. Justeru, selidikilah keperluan perubatan keluarga dan carilah pelan insurans yang dapat memenuhi semua keadaan. Dengan sedikit pelaburan pada setiap bulan, anda berdua pasti berasa selamat apabila tiba saat-saat kecemasan.
2. Uruskan hutang-piutang
Keretakan rumah tangga banyak berpunca daripada masalah kewangan. Tanpa persefahaman tentang hal ini, ramai pasangan yang sanggup bertegang urat sehingga berakhir dengan perceraian. Maka elakkan berahsia tentang masalah yang ditanggung. Pastikan anda dan pasangan sentiasa terbuka untuk bercakap tentang aliran wang tunai masing-masing. Dengarkan masalah suami dan cuba letakkan diri anda di dalam kasutnya. Bincangkan cara menyelesaikan hutang yang ada sebaik mungkin.
3. Atur pelan kewangan
Belanja runcit, bil-bil, yuran tuisyen, upah pengasuh, minyak kereta dan banyak lagi senarai yang perlu dibayar saban bulan! Beban seberat ini seharusnya dibincangkan sebaik mungkin dengan pasangan anda, bukan ditanggung sebelah pihak sahaja. Mulakan mengatur persetujuan tentang tugas serta corak perbelanjaan bulanan, apa yang boleh dan apa yang tidak agar sama-sama jelas tentang pelan ini. Juga, rangka sasaran masa panjang yang mahu dicapai.
4. Rancang malam janji temu berdua
Pasangan suami isteri yang kerap keluar bersama sekurang-kurangnya seminggu sekali dikatakan 3.5 kali lebih gembira dalam perkahwinan mereka, berbanding pasangan yang kurang meluangkan masa berkualiti berdua. Masihkah anda ingat perasaan sewaktu pertama kali jatuh cinta? Mengapa tidak mewujudkan momen itu selepas berkahwin? Jadikan malam janji temu ini sebagai rutin dan keutamaan. Ia mampu memberikan sekuriti emosi yang cukup mendalam.
5. Sedia, sedia, sedia!
Takdir, ajal dan maut boleh berlaku pada bila-bila masa. Tanpa sebarang rancangan, pasti timbul kesangsian serta rasa tidak selamat jika berlakunya perkara tidak diingini. Maka buatlah persediaan dari awal. Adakan wang tunai dalam tangan, simpanan makanan, bekalan air, pakaian, alat bantuan kecemasan, salinan dokumen penting serta apa sahaja yang difikirkan perlu di tempat yang selamat.
6. Wujudkan simpanan
Sama ada untuk hari kecemasan, bekalan wang pendahuluan untuk membeli rumah atau sekadar kegunaan jika perlu, mempunyai sedikit wang di dalam bank boleh meninggalkan rasa selamat di hati. Simpanan ini juga akan merapatkan anda berdua, menunjukkan komitmen serta rasa sayang di antara satu sama lain. Walaupun wang bukan segala-galanya, tetapi kita semua tahu bahawa ia penting untuk kegunaan membina keluarga.
7. Berkomunikasi selalu
Apabila pasangan menelefon, angkat segera walau apa pun keadaan anda pada waktu itu. Jangan bertangguh-tangguh dan minta agar anda dapat menelefon kembali selepas menyiapkan sesuatu tugasan. Begitu dengan mesej yang dihantar. Balas segera dan tanya kembali keadaannya. Ini membina rasa percaya serta selamat dalam perhubungan. Ia juga menghantar signal bahawa anda sentiasa ada untuknya.
Orang tua-tua selalu cakap kalau dapat anak perempuan ikut muka ayah mesti sejuk. Memang kebanyakan anak perempuan akan ikut wajah ayah dan juga karakter ayah. Itu sebab dalam istilah Inggeris ‘Daddy little girl’ atau ‘Daddy princess’. Ayah merupakan ketua keluarga dan sejak kecil kepimpinan seorang lelaki yang bergelar ayah sudah berkembang dalam diri anak perempuan.
Apabila dewasa ramai anak gadis yang mencari calon suami memiliki ciri-ciri kepimpinan ayah mereka. Mungkin ada yang mahu berkumis seperti ayah atau pendiam seperti ayah mereka. Memang besar peranan seorang ayah agar anak perempuan mereka membesar menjadi wanita yang kuat dengan cabaran dan yakin kepada diri sendiri.
Susuk seorang ayah menjadi idola buat anak perempuan dan tumbuh sehingga dewasa. Ramai juga yang mengandaikan cinta terhadap sang ayah adalah cinta pertama bersemi dalam diri anak perempuan. Oleh itu peranan ayah sangat penting mendidik anak gadis dengan memiliki kualiti seorang lelaki yang sempurna.
1 Mencipta Memori
Pengalaman minda bawah sedar terus mencipta memori yang melekat sehingga dewasa. Pelukan manja dan kasih sayang seorang ayah memang sangat dinantikan oleh anak perempuan. Sebagai seorang ayah, cipta memori dengan anak perempuan dengan pengalaman yang baik bagi perkembangan psikologinya. Perlu adanya kedekatan secara spiritual, emosi, dan juga fizikal dari seorang ayah. Komunikasi sangat penting agar mampu berinteraksi sehingga mereka dewasa kelak. Apabila hubungan antara ayah dan anak perempuan harmoni mungkin tiada rahsia yang tersimpan dalam hatinya. Seimbangkan pendidikan dunia dan akhirat agar anak perempuan dapat berfikir dengan wajar dan mengelakkan gejala negatif yang tidak diingini.
2 Kelembutan
Anak perempuan memang terkenal manja dengan ayah mereka. Semasa kecil apabila ayah pulang dari tempat kerja, mereka tidak segan-silu mengajak ayang bermain anak patung atau menyikat malah ada yang menyolek ayah mereka. Sebagai seorang ayah, walaupun penat cuba layan anak perempuan yang tersedia dengan sifat feminisme mereka. Boleh juga mendidik ciri maskulin dalam diri anak perempuan agar mereka pandai menjaga diri apabila meningkat dewasa atau berdepan dengan cabaran di masa akan datang.
3 Ajarkan Bahawa Cantik Itu Dari Hati
Kadang-kadang anak perempuan sedih dan mengadu apabila tidak mewarisi kejelitaan ibunya. Anak perempuan akan rasa rendah diri apabila rakan-rakan mengejek tidak cantik seperti ibu mereka. Sebagai seorang ayah anda perlu memainkan peranan dengan mendidik anak perempuan bahawa cantik bukan hanya dilihat pada mata kasar tetapi apa yang penting adalah kecantikan dari dalam. Katakan kepada anak gadis kecantikan luaran bukan segala-galanya dari perspektif seorang lelaki. Motivasi begini sangat penting bagi meningkatkan keyakinan diri anak perempuan.
4 Menjadi Contoh Lelaki Terbaik
Segala sikap dan tingkah laku seorang ayah akan terakam kukuh dalam memori anak perempuan. Anak perempuan dapat mengimbau segala memori ketika kecil dengan jelas terutama ayahnya. Karakter seorang ayah sangat mempengaruhi mereka dalam memilih pasangan hidup. Jika mahu kehidupan anak gadis anda bahagia di samping teman hidupnya kelak, pastikan seorang ayah menunjukkan contoh terbaik.
Penuaan adalah sebahagian daripada hakikat kehidupan. Tiada manusia yang dapat menghentikan waktu, apatah lagi untuk mengundur atau mengelakkannya daripada berlaku. Seiring dengan pusingan jam biologi, pelbagai ciri-ciri fizikal juga mula berubah antaranya kedutan, kulit hilang keanjalan dan masalah uban.
Buat golongan ibu yang berusia 40 tahun ke atas, terdapat enam penyakit di bawah yang mampu mengancam nyawa atau mengundang depresi jika tidak dikawal dari awal. Beringat-ingatlah sekarang!
(1) Kanser Payudara
Kanser payudara masih menjadi penyakit utama wanita di seluruh dunia. Ujian mamogram disyorkan kepada wanita berusia 50 tahun ke atas serta amat digalakkan kepada wanita yang mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidapi kanser ini pada usia 40-49 tahun.
Gejala-gejala yang sering dirasai pesakit adalah kehadiran ketumbuhan, disusuli dengan lelehan yang keluar daripada puting, yang adakalanya disertai darah.
(2) Kanser Pangkal Rahim
Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Kanser Kebangsaan, kanser pangkal rahim menunjukkan kes kanser kedua tertinggi dengan jumlah 12.9% atau 20 kes daripada 100,000 penduduk.
Ia kian ‘membunuh’ seiring dengan penambahan usia seseorang wanita disebabkan oleh sejenis kuman Human Papiloma Virus (HPV) yang boleh berada dalam tubuh wanita selama berbulan-bulan dan bertahun-tahun lamanya sebelum bertukar menjadi sel barah.
(3) Menopaus
Tidak ketinggalan, seorang ibu yang meningkat usia akan melalui sebuah fasa semula jadi dalam kehidupannya, iaitu menopaus.
Proses ini berlaku secara perlahan dan diiringi beberapa gejala khusus seperti selaran kepanasan, perubahan emosi mendadak, kekeringan dan sukar tidur malam.
Wanita yang menghidapi menopaus turut berkecenderungan menghidapi penyakit osteoporosis, masalah jantung, lemah pundi kencing, lemah daya ingatan, hilang elastisiti kulit dan otot serta masalah penglihatan.
(4) Sakit Jantung
Penyakit ini merupakan penyebab kematian lelaki dan wanita di seluruh dunia termasuk 22.5% penyebab kematian wanita Malaysia.
Ia sering terjadi kepada wanita yang mengalami menopaus, peningkatan umur, sejarah keluarga, perokok, kandungan kolesterol yang tinggi dan kurang melakukan aktiviti fizikal.
Jagalah kesihatan jantung dengan mengurangkan atau menjauhi asap rokok, menjaga berat badan, bersenam sekurang-kurangnya 30-40 minit untuk lima kali seminggu, berdiet dan mengawal paras gula dalam darah (diabetes), kolesterol dan tekanan darah.
(5) Kehamilan
Kehamilan di usia lebih 40 tahun amat memerlukan penjagaan rapi kerana ia cukup berisiko dan berpotensi untuk gugur. Perkara ini disebabkan oleh faktor dinding rahim yang rapuh, kualiti sel telur yang rendah dan kekurangan bekalan darah.
Anda juga perlu berwaspada terhadap risiko-risiko seperti penyakit gestational diabetes yang hanya terjadi semasa kehamilan, risiko adanya kromosom abnormal dan proses kelahiran secara pembedahan caesarean.
(6) Osteoporosis
Osteoporosis merupakan suatu penyakit penurunan kepadatan tulang sehingga menyebabkan ia menjadi tipis, rapuh dan mudah patah. Ia cenderung terjadi kepada wanita pasca menopaus atau melebihi 50 tahun kerana faktor penurunan hormon estrogen, kurang pengambilan kalsium, tidak aktif dan merokok.
Akibatnya, penghidap penyakit ini akan sering merasa sakit tulang, tubuh menjadi pendek dan patah tulang terutamanya pada tulang belakang, tulang pangkal peha dan tulang pergelangan tangan.
Elakkan daripada aktiviti fizikal yang membebankan tulang punggung, membongkokkan tubuh dengan punggung melengkung (seperti sit up, mendayung dan sebagainya), latihan yang menyebabkan anda mudah jatuh dan menggerakkan tubuh ke sisi. Norzalina Mohd Alias
Semakin kejar akhirat, semakin melimpah ruah rezeki Rozita Che Wan. Sebut sahaja nama selebriti popular ini pasti ramai yang membayangkan kejelitaan dan imej glamor isteri Zain Saidin ini ...