
Soal kecantikan dan penampilan diri sememangnya menjadi antara keutamaan yang diberi perhatian khusus oleh wanita. Atas platform tersebut, Nu Skin Malaysia bekerjasama dengan majalah NONA menganjurkan majlis jamuan teh bertemakan Woman Empowerement bertempat di Element Kuala Lumpur baru-baru ini. Seramai 30 tetamu jemputan terdiri dari VIP dan pembaca setia majalah NONA diundang untuk mempelajari tentang keistimewaan produk Nu Skin yang telah berada di pasaran sejak tahun 1984 lagi. Turut memeriahkan majlis dengan kehadiran penyanyi Noryn Aziz dan usahawan Mawar Karim yang turut sama berminat untuk mengetahui tentang kelebihan serta keistimewaan produk Nu Skin ini.
Majlis santai pada petang tersebut dimulakan dengan ucapan pembukaan dari Editor Pengurusan majalah NONA, Kiffy Razak diikuti ucapan alu-aluan dari Pengurus Komunikasi, Cik Ng Mei Ling. Usai sesi pengenalan, para jemputan tidak sabar-sabar menunggu sesi demonstrasi penggunaan produk Nu Skin yang dipersembahkan oleh Product Trainer Nu Skin, Cik Sapura. Sepanjang sesi demonstrasi produk, para jemputan diberi peluang untuk mencuba secara hands on produk yang terdapat di Nu Skin antaranya termasuklah ageLOC Galvanic Spa, ageLOC LumiSpa dan sebagainya. Para jemputan teruja dengan pelbagai produk rawatan wajah yang terdapat di Nu Skin dan berpeluang untuk mencuba beberapa star prdouk keluaran Nu Skin.
Usai sesi demonstrasi produk Nu Skin, satu sesi santai berupa gubahan bunga pula mengambil tempat di mana Flora By Shayra pula mengambil tempat untuk berkongsi beberapa tips menggubah bunga yang boleh dilakukan sendiri di rumah. Sebagai highlight untuk majlis tersebut, dua personaliti iaitu Mawar Karim dan Noryn Aziz diundang untuk sama-sama menggubah bunga untuk hiasan meja dan gelagat kedua-dua personaliti amat mencuit hati kerana masing-masing mengakui kurang arif mengenai gubahan bunga.
Majlis santai pada petang tersebut diakhiri dengan jamuan hi tea dengan pelbagai hidangan enak yang disediakan oleh Hotel Element Kuala Lumpur. Semoga para jemputan NONAX Nu Skin mendapat pelbagai manfaat sepanjang sesi pengenalan produk untuk memastikan kecantikan terus diberi keutamaan walaupun faktor usia semakin bertambah!
6 Selebriti Cantik Ini Pilih Untuk Kurus Demi Kesihatan, Makin Langsing & Nampak Lebih Muda!

Setiap wanita pasti ingin kekal sihat dan cantik. Lebih-lebih lagi yang sudah berkahwin. Kurus atau berisi bukan masalah utama kerana apa yang penting sihat serta bebas dari sebarang penyakit. 6 selebriti cantik ini memilih untuk kekal kurus dan sihat.
Che Puan Sarimah Ibrahim dan Fasha Sandha memilih untuk workout serta menjaga pemakanan untuk kekal langsing. Manakala Datin Alyah, Datuk Aishah, Lufya Omar dan Melly Goeslaw pula memilih prosedur bariatrik atas faktor kesihatan sekaligus mengekalkan berat badan ideal.
CHE PUAN SARIMAH IBRAHIM
Pelakon dan penyanyi berketurunan Melayu-Ireland, Che Puan Sarimah Ibrahim kini makin langsing dan cantik persis anak dara. Walau usianya kini mencecah 44 tahun tetapi isteri Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar ini pandai jaga badan. CP Sarimah dikurniakan seorang puteri, Tunku Sofia Najihah yang kini berusia tiga tahun.

“Tiada istilah diet bagi saya sebab tak perlu pun kalau kita pandai jaga makan. Asalkan kerap tetapi sedikit. Banyak minum air kosong jangan air gula, tidur paling kurang enam jam dan sentiasa bergerak. Jangan duduk lama-lama nanti sakit belakang.

“Berat badan saya pernah cecah 73kg semasa hamil. Paling kurus 58kg. Kalau kurang lagi, saya akan nampak macam sakit. Yang penting bukan berat tapi komposisi badan kita sepenuhnya,” kongsi CP Sarimah.
DATIN ALYAH
Sebelum ini, ramai yang tahu berat badan penyanyi dan usahawan, Datin Alyah pernah mencecah sehingga 68kg dan menghidap pelbagai penyakit termasuk gastrik. Pelantun lagu ‘Sesal Separuh Nyawa’ ini juga dikatakan pernah menolak tawaran nyanyian disebabkan masalah ‘semput’ sehingga menjejaskan persembahannya.


Datin Alyah, 42, mendedahkan pernah melakukan pembedahan bariatrik atau pintasan usus pada Mac 2022. Alyah menjalani prosedur bariatrik atas faktor kesihatan. Menurut isteri Datuk Ramli MS ini, tiada apa yang perlu dimalukan jika seseorang mengambil keputusan melakukan pembedahan bariatrik kerana hanya diri sendiri yang tahu betapa seksanya menanggung kesakitan.

Datin Alyah atau nama lengkapnya Noor Hasliah Abu Hasan pernah dimasukkan ke hospital gara-gara mengalami gastrik yang teruk. Maka, beliau memilih prosedur itu atas faktor kesihatan.
FASHA SANDHA
Menerusi perkongsian di Instagram baru-baru ini, aktres jelita Fasha Sandha menjadi bualan warganet apabila memuat naik sebuah foto bersama suaminya yang juga pelakon, Aidil Aziz. Rata-rata warganet memberikan pelbagai reaksi di ruangan komen. Namun, Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan membalas komen-komen itu dengan berhemah.

Akui genetik punca lambat kurus, Fasha Sandha mendedahkan kejayaannya mencapai berat badan ideal mengikut kadar Indeks Jisim Tubuh (BMI) dengan workout secara konsisten setiap hari dan tak sentuh nasi 2 minggu.


“Alhamdulillah tak makan nasi dua minggu dan hari-hari workout. Berat turun 3.8kg. Saya enggan menggunakan jalan pintas untuk kurus atau mendapat hasil yang cepat dan mudah. Alhamdulillah saya berjaya turunkan berat 10kg,” luah ibu tiga anak ini.
DATUK AISYAH
Penyanyi lagu ‘Janji Manismu’ ini pernah mencuba pelbagai usaha bagi menurunkan berat badan yang selama ini menjejaskan tenaga serta menurunkan tahap kesihatannya. Namun, segala usaha itu tidak menunjukkan perubahan termasuk bersenam yang akhirnya memberi kesan terhadap lututnya.


“Saya sudah cuba semua cara, tetapi turun sikit kemudian naik semula. Pernah dalam tempoh sebulan berat saya tak turun pun walau satu kilogram. Saya putus asa kerana lutut semakin sakit,” katanya.

Akhirnya, ibu kepada dua anak ini memutuskan untuk menjalani prosedur dengan saranan doktor. Datuk Aishah membuat pembedahan bariatrik pada 2018 dan berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 33kg dalam tempoh dua tahun.
LUFYA OMAR
Penyanyi dan pelakon Lufya Omar mendedahkan dia melakukan pembedahan bariatrik selepas berat badannya mencecah 85kg. Pelakon berusia 37 tahun ini nekad melakukan pembedahan pada November 2021 setelah pelbagai usaha dilakukan termasuk diet dan bersenam.


Kata pemilik nama Lutfyah Sheikh Omar ini, dia sudah merujuk dengan ulama bagi mendapatkan kepastian. Katanya, pembedahan itu dibenarkan dalam Islam asalkan niat untuk kepentingan kesihatan.
MELLY GOESLAW
Penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw kian langsing setelah menjalani pembedahan gastrik atau bariatrik. Pelantun lagu ‘Maybe’ ini dikatakan mengambil langkah drastik ini untuk menurunkan berat badan yang telah gagal diusahakannya selama 12 tahun.


Memetik perkongsian Melly Goeslaw dalam podcast bersama Melaney Ricardo baru-baru ini, dia kini hanya boleh makan satu sudu besar nasi atau makanan dan terus merasa kenyang. Menurutnya, satu sudu nasi itu perlu dihabiskan dengan mengunyah secara perlahan-lahan dan lama.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Fabrik Panas & Inner Neck Tebal Punca Masalah Rambut Bagi WANITA BERHIJAB. Ini Caranya Untuk Selesaikan

Berhijab merupakan tuntutan agama dan sebagai wanita Muslimah kita perlu menutup aurat dengan sempurna. Namun, bukan bererti rambut wanita berhijab tidak perlu dirawat.
Berhijab juga tidak menghalang kita untuk mengikuti perkembangan fesyen kerana kini pereka terkenal Barat juga turut berlumba-lumba mengetengahkan rekaan sopan untuk memenuhi pasaran Muslimah moden.
Keterujaan dalam fesyen Muslimah memberi ruang hijabster memilih selendang atau tudung yang menjadi trend. Namun, kadang-kadang trend ini muncul tanpa memikirkan elemen yang perlu dipelihara seperti kesihatan dan kecantikan rambut Muslimah.
Material tudung tidak menyerap peluh dan tebal sering menjadi punca masalah rambut. Lebih-lebih lagi jika memakai tudung dalam tempoh yang terlalu lama dengan memakai inner neck yang tebal atau berlapis-lapis.
Bagi memelihara keserian rambut, wanita berhijab perlu lebih teliti dan konsisten dalam rejim penjagaan rambut. Jika tidak rambut akan cepat rosak, masalah rambut kelemumur, gatal, berbau dan rambut mudah putus.
(a) Masalah Rambut Lepek
Setiap wanita yang berhijab pasti akan mengalami masalah rambut lepek sebaik sahaja membuka hijab walaupun sebelum itu rambut sudah di syampu pada awal pagi. Masalah akan lebih parah bagi yang memiliki rambut halus.
Supaya rambut kembali cantik, selepas membuka hijab tundukkan kepala dan sikat rambut dari belakang bawa ke depan. Sikat berulang kali dan bangkit semula. Pastikan sebelum menyarung hijab rambut benar-benar kering agar tidak berkuap di dalam hijab.
Jika anda merancang untuk bersyampu awal pagi sebelum ke tempat kerja atau universiti, sebaik-baiknya peruntukkan waktu lebih awal agar mempunyai masa yang cukup untuk mengeringkan rambut.
Masalah rambut lepek lebih mudah terjadi kerana kulit kepala berminyak. Pilih syampu khusus dengan formula ringan untuk rambut berminyak.
Lebih baik jika syampu tersebut mempunyai protein terbaik yang mempunyai elemen aktif untuk membuat rambut lebih bersinar. Bukan sahaja dapat membersihkan rambut malah dapat memberi nutrisi terpenting untuk pertumbuhan rambut yang sihat.
(b) Masalah Rambut Kelemumur
Kulit kepala gatal ketika sedang berhijab adalah perkara biasa. Kadang-kadang ia menjadi tabiat apabila tergaru-garu apabila berhadapan dengan orang ramai. Hendak dibiarkan sahaja kulit kepala terasa gatal.
Hendak atau tidak terpaksa juga menggaru untuk melegakan sikit rasa gatal tersebut. Biasanya gatal pada kulit kepala ini terjadi apabila keadaan kulit kepala yang tidak dibersihkan dengan sempurna. Ditambah pula dengan kehadiran peluh akan memburukkan lagi keadaan. Keadaan berpeluh adalah proses membuang toksin.
Kombinasi peluh dan toksin yang berkumpul pada kulit kepala ini menutup liang pori rambut dan menggalakkan pertumbuhan kelemumur. Kelemumur dan pori-pori yang tersumbat, rambut di kepala menjadi lemah dan mula cepat putus.
Kelemumur mempercepatkan proses penuaan rambut dan rambut menjadi lemah. Solusi masalah ini adalah pilih syampu yang betul untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Ramai yang tersalah memilih syampu sehingga rambut hanya dapat diselamatkan oleh mereka yang pakar.
(c) Masalah Rambut Gugur
Ketika bersyampu, melihat rambut yang gugur di atas lantai bilik mandi terasa seperti hendak menangis sahaja. Bagi meningkatkan keyakinan diri agar rambut tidak gugur lagi, langkah yang tepat adalah mencuci rambut secara teratur.
Sebagai seorang wanita yang mementingkan kecantikan, anda tidak boleh malas untuk mencuci rambut mengikut frekuensi yang betul. Syampu rambut sekurang-kurangnya dua hari sekali agar kesihatan rambut terus terpelihara.
Rambut yang tidak dibersihkan daripada sebarang kotoran dan minyak yang tidak diperlukan akan mengakibatkan pengumpulan minyak berlebihan di atas kulit kepala. Selepas bersyampu sapu perapi untuk mengukuhkan akar rambut jauh hingga ke dasar. Hamizatul Maizan Mohamed
Mula Dari Bawah, MASTURA IDRIS Cipta Nama Dalam Bidang Estetik

Tak salah memasang angan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa tetapi ia perlu disertakan dengan usaha tanpa mengenal erti lelah. Itulah yang dibuktikan oleh wanita genit dan manis ini, Mastura Idris atau lebih mesra disapa Tecer Mass yang membuktikan kerja keras pastinya bakal membuahkan hasil.

Menurut Tecer Mas, perjalanan kariernya bermula ‘dari bawah’ iaitu sebagai pekerja di sebuah salun yang hanya bermula sebagai pembantu am. Namun, pemilik dan pengasas The Beauty Expert Academy Spa ini kemudiannya berjaya keluar daripada kepompong kerjayanya seterusnya melangkah lebih maju ke hadapan apabila melihat peluang dan ruang ada di depan mata.
“Saya masih ingat, waktu itu majikan di spa berkenaan bertanya sama ada saya berminat untuk belajar kemahiran mencuci muka dan sebagainya. Terus saya ambil peluang tersebut. Bermula dari situ saya belajar semua jenis kemahiran sehinggalah majikan saya percaya dan lepaskan saya sedikit demi sedikit untuk menguruskan spa berkenaan,” kongsinya ketika ditemui di premis kecantikannya baru-baru ini.
Bijak melihat ruang dan peluang yang muncul di depan mata, Tecer Mas nekad berhenti kerja kerana ingin menambahkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kecantikan.
“Selepas berhenti kerja, saya ambil kursus kemahiran dan pada masa sama turut bekerja dengan orang lain. Sehinggalah saya berjaya memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Sebaik memperolehi ilmu dalam bidang kecantikan, Tecer Mas melangkah setapak lagi dengan membuka perniagaanya sendiri. Tahun 2012 menyaksikan dirinya memiliki syarikat sendiri, iaitu Beauty Expert Academy. Lebih membanggakan, ibu kepada seorang cahaya mata ini mempunyai kelulusan Vocational Trainning Official (VTO), Sijil Kemahiran 1, 2 dan 3 dan juga menjalankan sesi perundingan dan rawatan kecantikan. Selain itu, beliau juga merupakan seorang tenaga pengajar dalam bidang estetik.
Mendapat pengiktirafan sebagai Pakar Kecantikan Malaysia (JPK), tidak hairanlah apabila wanita bertubuh kecil molek itu turut dilantik sebagai Penasihat Industri Kolej Komuniti Malaysia.
Tidak lengkap perjalanan perniagaan tanpa melalui rintangan dan cabaran. Begitu juga Tecer Mas yang pernah melalui pelbagai rintangan sebelum Beauty Expert Academy dikenali sehingga kini. Berkatsokongan insan tersayang hampir membuatkan beliau berputus asa.
“Saya pernah merasa pahit dan kesusahan sepanjang perjalanan membina bisnes. Mana tidaknya, dengan tiada sebarang pinjaman dengan mana-mana pihak untuk memulakan perniagaan, segalanya saya usahakan sendiri. Pernah satu tahap suami sendiri kurang yakin dengan pilihan yang saya buat. Dia meminta saya fokus menjaga anak-anak sahaja. Kata suami, mana mungkin mencantikkan orang boleh buat saya jadi kaya.
“Bila jadi macam itu, bohonglah andai kata saya tidak pernah down. Sudah pelbagai cara dan ikhtiar saya lakukan namun belum menampakkan hasil. Malah, pernah juga ditipu pelanggan membuatkan saya hampir putus asa. Namun, saya bangkit semula,” kongsinya lagi.
Berkat kesabaran dan tanpa mengenal erti lelah, Tecer Mas kini boleh berbangga dengan pelbagai kejayaan yang dikecapinya antaranya termasuklah menerima pengiktirafan Malaysian Trustworthy Aestheticians & Beauticians 2023 (MTAB) dan Successful People In Malaysia – Britishpedia 2023 dan berkat kesabaran, lebih 18 tahun berkecimpung dalam insdutri kecantikan, Tecer Mass turut miliki ribuan pelajar.
Pusat estetik yang beroperasi di Cheras, Selangor bukan sahaja menawarkan rawatan kecantikan, bahkan setiap pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan perundingan daripada pakar estetik terlatih yang ada di situ.
“Paling saya utamakan adalah spa kena bersih kerana dari situ datangnya rezeki. Pelanggan datang lihat tempat bersih dan mendapat layanan baik staf membuatkan mereka akan datang lagi mendapatkan rawatan di sini. Itulah yang saya tekankan kepada staf,” ujar beliau yang juga Pemudah cara dan Penceramah di Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Wanita ini tidak meletakkan mana-mana individu sebagai idola memandangkan dirinya yang berusaha sendiri untuk mencapai kejayaan sehingga ke tahap hari ini.
“Untuk menjadi wanita yang hebat dan berjaya, kena yakin dengan keupayaan diri sendiri. Tanpa hiraukan kata-kata negatif orang sekeliling,” ujar Tecer Mas seraya mengakhiri perbualan.