Amalan berpantang bagi wanita bersalin yang dipraktikkan sejak zaman dahulu bukan saja untuk mengembalikan semula tenaga ibu selepas melahirkan anak. Ia juga sebenarnya salah satu pendekatan yang ‘mengajak’ wanita khususnya para ibu agar mengamalkan pengambilan makanan sihat untuk kesihatan si ibu itu sendiri dan juga anak mereka.

Lazimnya, golongan ini akan berpantang daripada melakukan aktiviti berat, makanan bergula, berlemak dan sebagainya sepanjang tempoh 44 hari. Namun sebagai Pakar Perunding Obstetrik dan Gynaecology yang sangat prihatin dengan kesihatan wanita… Prof Dr Imelda Balchin ada perspektif tersendiri mengenai amalan berpantang ini.

Tidak sesekali berniat mahu mengecam mereka yang berpegang kuat kepada amalan berpantang turun-temurun, Prof Dr Imelda menegaskan apa yang dikongsikannya ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan mencegah penyakit zaman moden hari ini seperti obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, strok dan kanser.

PROF DR IMELDA Pesan Pantang Terbaik Adalah Buat SEUMUR HIDUP, Bukan Takat 44 Hari! Begini Caranya …
Gambar hiasan

Bagi anda yang mahu sentiasa kekal sihat, cergas, cantik di luar dan dalam… amalkan 16 tip pemakanan sihat saranan Prof Dr Imelda ini.

  1. Jangan tambah gula ke dalam makanan atau minuman melebihi 6 sudu kecil sehari. (Amaran : Milo kosong sudah ada tambahan 3 sudu kecil gula secawan. Baca kandungan gula apa saja yang anda beli. Sebagai panduan, 1 sudu kecil ialah 4.5g gula).
  2. Jangan tambah garam ke dalam makanan melebihi 1 sudu kecil sehari. Garam yang lebih baik ialah garam yang mengandungi iodin. Semua makanan ‘real food’ kita sudah ada garam semula jadi walaupun anda tak rasa masin.
  3. Jangan makan makanan berproses seperti fast food, biskut dan jajan.
  4. Jangan makan makanan bergoreng. Lebih baik panggang, grill, kukus, rebus dan bakar.
  5. Elakkan perisa Ajinomoto / MSG pengawet-pengawet. Lebih baik tambah bawang merah, bawang putih, lada hitam, lemon, halia atau kunyit untuk melazatkan rasa makanan anda tanpa tambahan perisa.
  6. Jangan makan berlebihan. Hadkan nasi kepada suku pinggan. Kalau tak kenyang juga tambah banyak ulam, sayur-sayuran dan sup.
  7. Jangan makan tak seimbang. Makan juga sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari. (Bukan buah yang ditambah sirap / gula dalam tin ya!) Serat sayur dan buah sangat penting untuk kesihatan usus, melindungi anda dari sembelit dan barah usus.
  8. Jangan minum air bergas. Tak payah juga minum air alkali. Membazir duit.
  9. Jangan minum air tin / botol / kotak yang ada gula tambahan. Baca kandungan gula yang ditambah. Teh Tarik tak payah laa – itu dah lebih dari 6 sudu gula.
  10. Jangan beli sendiri produk kesihatan yang menunjukkan iklan haram yang boleh menyembuhkan penyakit kronik.
  11. Jangan beli ubat sendiri tanpa berbincang dengan doktor anda terutama sekali jangan beli produk kesihatan atau ubat tidak berdaftar.
  12. Jangan minum arak, merokok, hisap dadah, hisap ganja dan minum air ketum.
  13. Tendang orang yang merokok di dalam rumah anda keluar dari rumah.
  14. Jangan catu air. Minum secukupnya sekurang-kurangnya 2 liter sehari. Air terbaik ialah air kosong bersih.
  15. Jangan biarkan badan anda jadi obese. Timbang berat anda dan buatlah target BMI di bawah 25 selagi boleh (di antara 22 – 23 lebih baik, tapi 25 pun jadilah jangan bagi badan naik sampai 27).
  16. Jangan malas-malas. Bersenam 150 minit seminggu. Orang lepas bersalin boleh mulakan dengan senaman KEGEL, stretching, plank dan berjalan-jalan. Tingkatkan usaha perlahan-lahan mengikut kemampuan dan keupayaan badan anda. Nak ketat-ketat buatlah senaman Kegel bukan telan jamu perapat.
PROF DR IMELDA Pesan Pantang Terbaik Adalah Buat SEUMUR HIDUP, Bukan Takat 44 Hari! Begini Caranya …
Selain sibuk dengan dunia perubatan & sakit puan, Prof Dr Imelda turut aktif bersukan termasuk acara larian

Pesan Prof Dr Imelda lagi, “Saya tidak akan kecam anda kalau tak mahu ikut nasihat yang terbaik. Saya tak akan kata anda akan sakit bila umur 40 tahun jika tak ikut nasihat sebab saya bukan pembuli masyarakat dan tak boleh menilik nasib orang lain. Kalau nak ikut pantang yang terbaik ini, buatlah seumur hidup bukan takat 44 hari saja.”

 

Sumber: Facebook Prof Dr Imelda Balchin

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI