
Nabila Razali, nama yang tak perlu diperkenalkan lagi. Si pelantun lagu Pematah Hati dan Peluang Kedua kini kian ligat dengan karier seninya.
Namun begitu, sesibuk mana pun dirinya sepanjang bulan Ramadan ini, Nabila tetap memilih untuk berbuka puasa di rumah bersama keluarga.

“Detik ini bukan selalu ada memandangkan saya sentiasa sibuk dengan karier. Kesempatan itu saya manfaatkan pada bulan Ramadan. Semoga tahun ini kami sekeluarga berpeluang untuk berbuka puasa bersama.

“Antara juadah berbuka yang sentiasa saya nanti-nantikan setiap kali Ramadan ialah Murtabak Daging, Puding Karamel, Nasi Beriani Daging dan Kuih Lompang.”
Selain Datuk Chef Wan, Nabila turut menjadikan ibunya sebagai idola dalam dunia masakan. Bagi Nabila, ibunya bukan saja pandai memasak malah kreatif dalam mencipta menu-menu baru tanpa perlu merujuk buku.


“Salah satu menu kreatif ibu ialah Ikan Bilis Goreng Cili yang dicampur dengan anggur. Rasanya sangat sedap!
“Menu air tangan ibu yang lain yang turut menjadi kegemaran saya ialah Kari Baba Nyonya, Rendang Ayam dan Ayam Goreng Cili. Bagi saya keenakan rasanya sangat unik.”

Nona kongsikan resipi Puding Karamel yang menjadi juadah kegemaran Nabila setiap kali Ramadan.
PUDING KARAMEL
Bahan-bahan:
4 biji trelur saiz A
1 tin susu cair
4 sudu besar gula
170 ml air
Sedikit vanila esen
Cara Membuat:
- Untuk karamel masak gula dan air di dalam kuali. Kacau sehingga keperangan lalu segera masukkan ke loyang. Ratakan karamel dan biar sejuk.
- Untuk puding, pukul telur sehingga rata jangan sampai berbuih.
- Masukkan susu cair, gula, air dan vanila esen. Kacau sehingga gula larut.
- Kemudian tapis adunan dan masukkan ke loyang yang telah dituangkan karamel tadi.
- Bungkus loyang dengan kertas aluminium lalu kukus selama 45 minit atau sehingga masak.
- Biarkan sejuk barulah diterbalikkan loyang. Simpan ke dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.

Kredit Foto: Instagram Ustazah Asni Mansor
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
5 Lokasi Buka Puasa “Must Try” Pilihan NONA Untuk Ramadan Tahun Ini!

Setiap kali kedatangan bulan Ramadan, pastinya kebanyakan hotel dan restoran menyediakan variasi makanan untuk sajian berbuka puasa. Seperti kelazimannya, konsep buffet sentiasa menjadi pilihan untuk membolehkan pelanggan menikmati pelbagai juadah yang kebanyakannya akan hanya dapat dinikmati sepanjang bulan Ramadan.
Jom NONA kongsikan 5 lokasi buka puasa yang boleh dijadikan pilihan sepanjang Ramadan kali ini.

1.Quan’s Bazar, Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, Chinatown.
Tahun ini, Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, Chinatown memperkenalkan buffet Ramadan dikenali sebagai Selera Quan’s Bazar di mana ia turut menjalinkan kerjasama dengan chef selebriti, Naem Ramli. Bufet Quan’s Bazar Selera menonjolkan kepakaran Chef Naem Ramli dengan sentuhan inspirasi Chinatown yang unik, termasuk Ikan Botok-Botok, Asam Rebus Daging Panggang, Udang Rendang Hijau dan banyak lagi.

Bufet Quan’s Bazar Selera bermula dari 23 hingga 21 April 2023 dari jam 6.30 petang hingga 10.30 malam. Harga RM148+ untuk dewasa, bufet ini menawarkan pelbagai jenis hidangan istimewa termasuk menu istimewa ilham Chef Naem. Pilihan menu set bawa pulang juga tersedia pada harga RM168+ untuk dua orang.
2.White And Black Lakeside Titiwangsa
White And Black Lakeside Titiwangsa merupakan daya penarik terbaharu di Tasik Titiwangsa. Ia menyajikan menu buffet hidangan barat dan Melayu. Dari kuih-muih Melayu sehinggalah pizza dan hidangan istimewa iaitu asam pedas royal salmon, chicken grill, kambing golek dan tiram segar.
Harga buffet Ramadan yang amat berpatutan iaitu dari RM69.90 bagi kanak-kanak 7 hingga 12 tahun manakala untuk dewasa pula pada harga RM110 nett sehingga 20 April 2023. Sambil menikmati hidangan yang variasi, White And Black Lakeside Titiwangsa turut menyediakan kaunter pembayaran zakat serta persembahan busker pada hujung minggu. Ruang solat yang selesa turut disediakan bagi kemudahan umat Islam menunaikan solat usai berbuka puasa.Untuk maklumat lanjut, sila ikuti laman Instagram mereka di white_blacktitiwangsa.

3.Bufet Santapan Rasa Sayang, Hotel Avante Petaling Jaya, Selangor
Seindah namanya, Bufet Santapan Rasa Sayang 2023 Hotel Avante Petaling Jaya ini menjanjikan pelbagai hidangan nostalgia. Bertempat di Chek’s Coffee House, AVANTÉ Hotel, tetamu boleh merasai hidangan ikonik pelbagai negeri di Malaysia.
Hidangan istimewa disajikan oleh Chef Arih Ahmad, pengunjung bakal mengimbau kenangan indah masakan ibu! Antara menu istimewa termasuklah Daging bakar masak lemak, klasik Negeri Sembilan. Sajian pemanis mulut di sini juga tidak kurang hebatnya apabila ia membariskan pelbagai menu pencuci mulut yang menambat selera.

Bufet Santapan Rasa Sayang 2023 bermula 23 Mac hingga 21 April 2023 6:30 petang hingga 10:30 malam di Chek’s Coffee House (Level G), AVANTÉ Hotel. Harga bufet Ramadan ialah RM208 (dewasa) RM148 (warga emas) RM104 (kanak-kanak).

4. Feast Of 7 Wonders Di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur
Teringin menikmati penggembaraan gastronomi sempena Ramadan kali ini? Jom berbuka di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur yang mengetengahkan tema Feast Of 7 Wonders. Antara hidangan ini ialah ayam perap berempah Arab dari Syria, pilihan pasta segar dari Itali, Bakso Daging Angus Klasik yang dibuat dengan bebola daging dari Indonesia, stew kambing bersama kacang kuda dan tomato dari Maghribi.

Kulfi Falooda sebagai pencuci mulut utama dari India, Kambing Kuzi panggang yang diperap selama 48 jam dan diurut dengan 14 rempah-ratus dari Qatar (Hidangan Langsung) dan Ayam Malai Kebab dengan Daun Fengreek dari Afghanistan.
Lebih istimewa, Kumpulan Nasyid Saujana 25 akan turut memeriahkan bulan mulia ini dengan persembahan eksklusif di Restoran Essence pada 1 April, 8 April dan 15 April, 2023. Harga Bufet Dewasa:RM197 seorang | Kanak-kanak: RM97 seorang (7-12 tahun).
5.Santapan Serantau di Hotel InterContinental Kuala Lumpur

Penulis sememangnya terkesima dengan deretan hidangan yang disajikan di Serena Brasserie, InterContinental Kuala Lumpur. Mana tidaknya, variasi hidangan timur dan barat dipersembahkan untuk dinikmati oleh para pengunjung sempena kedatangan Ramadan kali ini. Antara hidangan yang menarik perhatian penulis termasuklah Roasted Whole Lamb, Roasted Chicken Bali Style, Braised Lamb Shank, Baked Norwegian Salmon with “Cili Ijo”, Beef Wellington, Sambal Mangga dan beberapa lagi menu menarik. Deretan ulam-ulam kampung serta aneka jenis sambal juga menjadi tarikan utama Serena Braserrie sepanjang Ramadan ini!

Selain hidangan secara buffet di Serena Brasserie, InterContinental Kuala Lumpur turut menyediakan Santapan Serantau Bento Set di Tatsu Japanese Cuisine serta Santapan Serantau Family Sets di Tao Chinese Restaurant. Harga yang ditawarkan adalah dari RM258+ (Serena Brasserie) RM130nett (Tatsu Japanese Cuisine)dan RM618nett (Tao Chinese Restaurant).
Tidak kira menu dan harga bufet yang ditawarkan, sudah pasti hidangan yang disajikan akan menepati selera anda yang ‘mengidam’ pelbagai menu autentik Ramadan ini. Apa yang penting, amalkan bersederhana dalam pengambilan makanan dan makan mengikut keperluan, bukan nafsu!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lemak Manis & Safron Berkacang, 2 Resipi Ini Patut Anda Cuba Kalau Teringin MANISAN ARAB. Sedap Sangat!

Masakan Timur Tengah memang terkenal dengan portion yang besar dan berasaskan ramuan berkhasiat seperti kekacang dan safron.
Dua sajian yang diketengahkan ini selain mudah disediakan dalam tempoh masa singkat, ia juga kurang manis dan enak dinikmati pada bila-bila masa. Fukhara Om Ali misalnya enak dinikmati ketika masih panas. Selamat mencuba!
Saffron Mahalabiya

Bahan-bahan:
- 1 liter susu penuh krim
- Secubit safron
- ¼ cawan gula
- ¼ cawan tepung jagung
- Kacang pistasio (dihancurkan)
- Buah strawberi (hiasan)
Cara membuat:
Dalam periuk yang sesuai, didihkan susu bersama gula dan safron. Sementara menunggu ia mendidih, dalam mangkuk berasingan, larut tepung jagung dengan secawan air.
Apabila susu sudah bertukar warna kuning, masukkan tepung jagung perlahan-lahan sehingga adunan pekat. Tutup api dan tuangkan adunan susu tadi ke dalam bekas. Apabila sudah sejuk, hiaskan dengan taburan kacang pistasio dan hirisan buah strawberi. Siap untuk dihidang.
Fukhara Om Ali

Bahan-bahan:
- 1 liter susu penuh krim
- 8 keping croissant
- ¼ cawan gula
- ¼ cawan krim putar
- 2 sudu makan kacang gajus
- 2 sudu makan kacang pistasio
- 2 sudu makan kacang badam
- 2 sudu makan kismis
- Krim masakan
Cara membuat:
Dalam periuk tahan keluli, panaskan susu dengan gula dan krim putar. Angkat dan ketepikan. Kemudian, potong croissant kepada bahagian kecil dan letakkan dalam bekas yang sesuai sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar.
Hancurkan kekacang dan tabur di atas croissant tadi. Simpan lebihan kekacang sebagai hiasan. Sesudah itu, tuang susu yang masih panas ke atas croissant diikuti krim masakan di atasnya dan bakar selama 10 hingga 15 minit. Apabila sudah masak, taburkan lebihan kekacang dan hidangkan. Suziana Abu Daud
Resipi: TERIMA KASIH SUNWAY RESORT HOTEL & SPA, CEF ALA’A ALI
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Datuk Chef Wan Tak Lokek Ilmu Masakan, Siap Kongsi Dua Resipi Enak Lagi

Sebut sahaja Chef Wan, semua peringkat usia dan bangsa rakyat Malaysia mengenali beliau. Malah populariti beliau melebihi para artis dan ahli politik, namun semua kehebatan yang dimiliki tidak pernah mengundang riak insan berhati luhur bernama Datuk Redzuwan Ismail.
Hari ini Chef Wan bukan hanya pakar dalam masakan, tetapi beliau juga seorang penulis buku masakan, hos program masakan dan travelog dalam dan luar negara dan ikon yang tidak pernah lokek berkongsi ilmu rahsia kejayaan untuk anak bangsanya
Lebih daripada 3 dekad dalam dunia kulinari dan melalui pelbagai pahit maung dalam perjalanan kerjaya sebagai chef. Kewibawaan beliau telah merentasi dunia, setanding dengan nama besar seperti Jamie Oliver Bakes dan Martha Stewart.
Namun untuk menggapai kejayaan seperti hari ini, Chef Wan tidak gentar meninggalkan kerjaya lumayan hanya kerana minat memasak dan mahu menjadi seorang chef profesional. Berbekal kesungguhan dan minat terhadap dunia masakan, beliau sanggup ke luar negara demi mencari ilmu masakan tanpa kenal erti jemu dan tidak pernah rasa bosan memasak.
“Bila saya belajar dan melakukan sesuatu yang saya suka, saya akan buat bersungguh-sungguh sehingga berpuas hati dengan hasilnya. Bila menjadi ia memberikan keseronokan dan kepuasan tidak terhingga, terutama bila mendapat pujian. Sebab itu, saya suka bereksperimen dengan perkakasan dapur, mengolah bahan, menyediakan masakan dan menghasilkan resipi baru di dapur.

Demi ilmu saya juga sanggup keluar negara dan menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk belajar pelbagai ilmu masakan. Sebenarnya, ilmu masakan semakin diterokai semakin seronok kerana ada sahaja perkara baru boleh dipelajari,” ujar Chef Wan yang tidak pernah kenal istilah pencen dalam kerjaya yang diminatinya ini.
Katanya, selain minat dan mencari keseronokan dengan memasak, beliau mahu menjadikan masakan sebagai agen perpaduan di kalangan masyarakat dan mengharumkan nama negara.
“Sekurang-kurangnya dengan aktiviti memasak, saya boleh menyumbangkan sesuatu kepada keluarga, jiran-jiran, rakan-rakan, masyarakat, bangsa, agama dan negara saya sendiri kerana ini kemahiran saya,” tegas Chef Wan yang mendapat Latihan Profesional Chef dan Pengurusan Hotel dari California Culinary Academi, San Francisco, Amerika Syarikat .
Luar biasanya Chef Wan, bukan hanya mempunyai kepakaran dalam masakan tetapi beliau juga mempunyai karisma tersendiri sebagai hos program sama ada program masakan mahupun travelog di dalam dan di luar negara. Celoteh spontan sering menjadikan penonton tersenyum dan tertawa. Sehingga ada yang tertunggu-tunggu program yang dihoskan olehnya.
“Masakan telah membawa saya menjelajah ke merata dunia. Daripada pengalaman ini saya melihat masakan bukan hanya sebagai agen perpaduan sesuatu masyarakat dan bangsa tetapi ia juga adalah sumber khazanah budaya. Kerana daripada masakan kita mengenal sesuatu bangsa dan sesebuah negara.”
NEW YORK CHEESE CAKE

BAHAN-BAHAN:
Adunan Dasar Kek:
3 cawan serbuk biskut (cracker crumbs)
2 sudu teh serbuk kulit kayu manis
226gm mentega | cair dan sejukkan
Inti Kek:
680gm krim keju
¼ cawan gula kastor
6 biji telur | asingkan kuning dan putihnya
2 cawan sour cream
1/3 cawan tepung Jagung
2 sudu teh esen vanila
2 biji lemon | parut kulit kuning sahaja & perah jusnya
Sos Ceri:
1 sudu besar tepung jagung
1 tin besar Pitted Dark Cherries dengan sirap
1 sudu besar mentega
CARA MEMASAK:
Untuk menyediakan adunan dasar kek: Oles mentega ke dalam bekas bersaiz 22 cm. Campurkan semua bahan adunan dasar kek menggunakan sudu kayu. Masukkan adunan dalam loyang dan tekan sehingga padat, kemudian panaskan dalam ketuhar lebih kurang 15 minit dengan suhu 180 C. Atau letakkan dalam peti sejuk lebih kurang 30 minit. Untuk menyediakan inti kek, pukul krim keju hingga halus, tambahkan gula sedikit demi sedikit dan teruskan memukul sehingga ringan dan gebu. Tambahkan kuning telur satu persatu. Masukkan sour cream, tepung, esen vanila, jus lemon dan parutan kulit lemon. Di dalam mangkuk yang berasingan, pukul putih telur sehingga kembang kemudian gaulkan dengan krim keju. Tuangkan adunan inti kek ke atas lapisan dasar dan bakar di dalam ketuhar selama 1 jam, 15 minit dengan suhu 165C. Akhir sekali cara menyediakan sos ceri: Campurkan tepung jagung dengan pitted Dark Cherries dan masak sehingga mendidih. Setelah pekat, tutup api. Masukkan mentega. Kacau dan biar sejuk. Tuang atas kek keju dan hidangkan.
KAFTA BEBOLA DAGING
BAHAN-BAHAN:
Bebola:
500gm daging cincang
1 biji bawang besar | dadu halus
2 ulas bawang putih | cincang
4 sudu makan daun parsli | cincang halus
1 sudu teh serbuk lada putih
1 sudu teh serbuk jintan halus
1 sudu besar serbuk paprika
2 sudu teh garam
2 sudu besar minyak zaitun
Kuah:
60ml minyak zaitun
1 biji bawang besar | cincang halus
3 ulas bawang putih |cincang halus
1 sudu teh serbuk jintan halus
1 sudu teh serbuk jintan kasar
1 sudu makan paprika
2 biji tomato | ramas halus
2 sudu besar daun parsli | cincang halus
2 biji telur
Garam, gula dan serbuk lada putih secukupnya
CARA MEMASAK:
Untuk menyediakan bebola daging. Masukkan semua bahan di dalam mangkuk, gaul rata dan bentuk menjadi bebola daging. Ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali, goreng hingga ke perangan dan ketepikan. Untuk menyediakan kuah, panaskan minyak zaitun, tumis bawang besar dan putih hingga wangi. Masukkan jintan halus dan kasar, paprika dan buah tomato yang telah diramas. Masukkan bebola daging, daun ketumbar, parsli, garam, gula dan serbuk lada sulah. Masak lagi di atas api perlahan selama 15 minit. Kemudian pecahkan telur ke dalamnya dan masak lima minit lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


