
Ketika pertama kali memuat naik gambarnya berpenampilan sopan dan bertudung labuh di Instagram sekitar Ogos tahun lalu, pelakon jelita Izara Aishah menarik perhatian peminat dan warganet sekaligus mencetuskan tanda tanya adakah dia sudah mula bertudung.
Ketika itu, pemenang tempat ke-2 Pencarian Dewi Remaja 2010/2011 ini terus mencetuskan tanda tanya apabila dia turut menutup ruangan komen di posting tersebut.
Lebih menguatkan spekulasi, Izara atau nama sebenarnya Nik Izara Aishah Nik Izazurin ini bertindak memadam semua gambar lamanya yang tidak bertudung di Instagram.
Penghijrahan Izara Di Sambut Baik Peminat!

Penghijrahan pelakon berusia 29 tahun ini yang tampil sopan dan bertudung labuh mendapat reaksi positif di kalangan warganet yang turut gembira dengan perubahannya.
Menurut menantu kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza ini, penghijrahannya itu bukanlah alasan untuk dia tidak menjaga penampilan dan kecantikan seperti biasa.
Malah, pelakon filem Kau Yang Satu Ini turut berkongsi satu hadis yang menyebut Allah SWT menyukai umatnya yang menjaga kebersihan dan kecantikan. Namun, perlu berpada-pada dan jangan menimbulkan rasa riak.
Melihat kepada penampilan terkini Izara sejuk mata memandang. Cantik luar dan dalam walau bergelar ibu serta isteri.

Walau bertudung labuh tetapi Izara tetap ada ‘taste’ tersendiri dalam berfesyen. Semoga Izara kekal istiqamah dan bahagia bersama keluarga tersayang.
Untuk rekod, pada tahun 2017 Izara berkahwin dengan Muhammad Adib Khalid yang merupakan anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza. Mereka dikurniakan seorang puteri bernama Irisa Alaia yang kini berusia dua tahun.
Sumber Foto: Instagram Izara Aisyah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Kalau Pergi Bercuti, Kami Tak Pernah Bawa Jurufoto Peribadi Sebab Mahukan Percutian Yang Privasi” IKA NABELLA

Sekarang ini jarang kita lihat mana-mana artis mahupun selebriti popular yang tidak membawa jurufoto profesional mahupun jurufoto peribadi khususnya ketika bercuti ke luar negara.
Namun berlainan pula dengan artis terkenal tanahair, Ika Nabella yang popular dengan drama bersiri Bahagia Bukan Bidaan. Ika Nabella juga bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-6.

TAK BAWA JURUFOTO PERIBADI
Menjadikan percutian sebahagian daripada hobinya bersama suami, Ika Nabella berkongsi setiap travelog percutiannya ke dalam Instagram peribadi dengan meletakkan #IkaOnVacay agar dapat memberikan inspirasi buat para pengikutnya.
Apa yang menariknya lagi, setiap koleksi gambar yang dikongsi di Instagram adalah hasil bidikan serta editing yang dilakukan sendiri oleh Ika dan suaminya, Muhammad Zaid Dato’ Aznam. Hasilnya memang sangat mengagumkan setaraf jurufoto profesional!



“Setiap kali pergi bercuti kami tak pernah bawa jurufoto profesional. Selalunya kami akan bawa sekali tripod dan rajin menukar lens demi mendapatkan gambar yang cantik. Sebelum ambil gambar saya akan tentukan dulu sudut mana yang sesuai dan kemudian saya serahkan kepada suami untuk mengambil gambar secantik mungkin.
Walaupun hasilnya taklah sehebat jurufoto profesional tapi kami tetap berpuas hati. Apa yang penting saya dan suami dapat menikmati setiap momen percutian berdua tanpa sebarang gangguan.
Selalunya sebelum pergi bercuti saya akan selesaikan dulu perancangan percutian dan susun jadual kerja siap-siap. Sebaik tamat saja penggambaran saya akan terus terbang ke destinasi percutian itu. Sekembali ke Malaysia saya akan mula dengan projek baru yang dah disusun sebelumnya. Bagi saya pengurusan masa yang baik sangat penting.”
Menurut Ika Nabella pertama kali dirinya dibenarkan oleh kedua ibu bapanya untuk pergi bercuti ke luar negara termasuk London secara solo ketika dia berusia 19 tahun. Bermula detik itu minatnya terhadap percutian bertukar menjadi hobi.
KEPUASAN
“Bergantung kepada jenis percutian sama ada mewah atau sebaliknya. Saya lebih gemar ke tempat-tempat yang tak pernah atau jarang orang kunjungi. Tak semua negara kita boleh menikmati percutian mahupun membeli belah dengan cara mewah.
Sebab ada sesetengah tempat kita perlu juga menyediakan lebih masa untuk menikmati keindahan alam. Bagi saya percutian lebih kepada mengajar saya erti kehidupan sebenar Melalui percutian juga saya dapat merasai serta melihat budaya, cuaca, makanan, kehidupan dan ragam masyarakat di negara-negara lain di samping mencari kenalan baru.
Melihat kebesaran Allah SWT menjadikan saya lebih muhasabah diri. Saya bersyukur dan bertuah kerana bergelar rakyat Malaysia! Itulah makna kepuasan sebenar buat saya setiap kali pergi bercuti.”

MOMEN TERINDAH
Salah satu detik percutian terindah ialah detik bulan madu kami di Maldives walaupun ia dirancang saat akhir. Mulanya kami mahu ke Eropah tetapi diubah ke Maldives kerana kami merasakan ia lebih menarik dan romantik.” Ika Nabella juga khabarnya bakal mengambil lesen menyelam tak lama lagi. Semoga dipermudahkan segalanya.

Selain aktif berlakon, Ika juga aktif mengusahakan bisnes online serta event based di samping memiliki produknya sendiri iaitu koleksi pakaian Cract.KL, Hijab By IkaNabella dan SambalBiniBowie.
Kredit Foto: Instagram Ika Nabella
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Gaji Dah Lumayan Sebelum Cecah 30-an, Kagum Tengok Usaha Kental Puteri Carrina Kejar Impiannya!

Dunia diceburi YM Puteri Carrina atau mesra dengan sapaan Carrina bukan calang-calang. Tanpa komitmen dan kesungguhan tinggi, mungkin di pertengahan jalan akan kecundang.
Gadis berusia 28 tahun ini mula memasang angan menceburi bidang ini sejak berusia 21 tahun, dan akhirnya berjaya merealisasikan segalanya pada usia 25 sehingga sekarang.
Memiliki latar belakang pendidikan yang sungguh cemerlang, Carrina merupakan pemegang Diploma Pentadbiran Awam, Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kelas Pertama) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Sarjana Pentadbiran Awam (Kelas Pertama) di Universiti Malaya.
Dengan kekuatan ini, dia memilih kerjaya sebagai Perunding Kewangan. Hanya berbekalkan pengamatan dari media sosial, Carrina mula ‘jatuh cinta’ dengan kerjaya hebat ini.

“Bila saya mula join industri ni, keseronokannya 10 kali ganda daripada apa yang saya lihat di media sosial. Setiap hari adalah hari baru and it is a continuous learning environment. Ia bukan sahaja memberikan saya peluang untuk membina kerjaya tetapi ia juga untuk membina diri saya sendiri.
The best part is, everyday I am adding values to people’s life. Saya melihat ini sebagai satu kerja yang mulia,” katanya.
Menjadi anak tunggal di dalam keluarga juga langsung tidak memberikannya kelebihan untuk bergantung hidup dengan keluarga. Carrina sendiri menyimpan impian untuk berjaya dan menjalani kehidupan yang dia bayangkan. Meletakkan Oprah Winfrey sebagai idola, Carrina bersyukur kerana Dato’ Akmar menjadi mentor dalam kerjayanya.
“Saya nekad untuk menceburi industri ini secara sepenuh masa pada tahun 2017 selepas tamat pengajian sarjana. Sejak itu, saya terus melihat ke hadapan lebih-lebih lagi apabila memikirkan bagaimana berjayanya dua idola saya dalam kehidupan dan kerjaya. Lebih membahagiakan apabila hasil penat lelah saya dapat memberikan kesenangan kepada ibu dan nenek.
Sejak di universiti lagi saya sudah mencari duit sendiri. Kalau ada benda yang saya nak beli, saya akan usaha cari duit dengan bekerja. Sejujurnya, sewaktu membesar saya tak tahu nak jadi apa. Cita-cita asyik bertukar-tukar. Yang saya tahu, saya ingin menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda. Saya nak add value pada orang yang mengenali saya.

Dalam industri ini, saya dikelilingi orang-orang yang positif, bijak dan sentiasa bekerja keras. Ia menjadi dorongan harian untuk saya kekal fokus. Kerjaya ini lebih dari sekadar wang ringgit. Ia membawa perubahan positif kepada kehidupan harian seseorang.
Tambahan pula, saya gemar bangun setiap hari dan tahu saya akan buat sesuatu yang berlainan berbanding hari sebelumnya,” ujarnya lagi.
Fasih berbahasa Mandarin, Carrina menolak kenyataan bahawa perunding kewangan perlu cantik. Baginya, ada perkara yang lebih penting dari itu yang perlu dititik beratkan.
“Tak semestinya anda cantik, baru boleh jadi Perunding Kewangan. Tidak! Paling penting adalah ketrampilan diri dan imej yang profesional dan menarik akan pasti mampu memudahkan urusan seharian seseorang terutamanya ketika berurusan dengan orang lain.
Kali pertama saya bertemu klien, saya menyarung sepasang seluar slack dan kemeja. Saat bertemu klien, saya dapat rasakan penampilan saya ketika itu kurang meyakinkan. Sedangkan kita rasa tak yakin, apatah lagi orang lain?
Sejak itu, saya ubah penampilan diri. Pakai blazer, barulah confident! Soal ketrampilan diri bukan hanya untuk kerjaya seperti saya tetapi dalam bidang apa pun. Ia menyerlahkan keyakinan diri dan secara tidak langsung, memperbaiki potensi diri,” kata Carrina.

PENCAPAIAN
“Saya amat bersyukur kerana banyak kejayaan telah saya kecapi selama beberapa tahun dalam industri. Antaranya adalah apabila saya menjadi ahli Million Dollar Round Table (MDRT) yang ditubuhkan pada 1927 di Amerika Syarikat.
Ia adalah pengiktirafan dunia dan persatuan utama untuk kewangan profesional. ia dianggotai 39,000 ahli dari 82 buah negara. Saya rasa amat rendah diri dan terharu kerana layak menjadi ahli sejak 2019 lagi.
Mungkin beradanya saya di tahap ini adalah atas rasa percaya diri. Ramai yang anggap kepercayaan diri adalah sesuatu yang tak boleh dipelajari dan semuanya datang dari takdir. Dan ia membuatkan mereka kurang berusaha untuk mengembangkan dan melatih rasa percaya diri.
Kedua, niat. I believe intentions are the roots of every action. From time to time, we may want to take a step back and revisit the intentions that drive us to achieve our goals,” katanya mengakhiri perbualan.
Penyelaras & Penulis: Anis Nor
Foto: Ahmad Shahir Osman
Solekan: Norezz Idris
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lee Zii Jia Tutup Buku 2025, Bahagia Cuti Panjang, Jumpa Minat Baharu & Bakal Beraksi Tahun Depan

Keputusan Lee Zii Jia untuk melabuhkan tirai musim 2025 lebih awal mungkin mengejutkan peminat badminton negara, tetapi bagi atlet berusia 27 tahun ini, ia merupakan satu detik penting untuk kembali ‘bernafas’ selepas melalui fasa kecederaan yang meletihkan fizikal dan emosinya.
Nama yang pernah menggegarkan dunia sebagai juara All England 2021 ini memilih untuk tidak memaksa diri, sebaliknya memberi keutamaan kepada proses pemulihan total, sebuah keputusan yang jarang dibuat atlet pada puncak kerjaya, tetapi perlu demi masa depan yang lebih panjang.
Fasa Pemulihan
Kecederaan buku lali kanan yang dialaminya pada penghujung 2024, diikuti masalah sakit belakang yang berulang, telah menjejaskan rentaknya sepanjang 2025. Zii Jia terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan besar dan ketika berjaya semula ke gelanggang di Kejohanan Dunia 2025 di Paris, dia mengakui masih belum mendapatkan semula ‘feel’ pertandingan sebenar.


Walaupun kecederaan secara fizikal telah pulih, jiwa seorang atlet memerlukan masa untuk kembali menyala. Itulah yang ramai terlupa: pemain sehebat mana pun tetap manusia, dan momentum pertandingan bukan boleh dipetik seperti suis elektrik.
Sebab itu rehat kali ini bukan sekadar ‘cuti’, tetapi perjalanan menemukan diri. Dalam tempoh jauh dari gelanggang, Zii Jia memilih untuk bercuti ke luar negara dan menghabiskan masa dalam zon tenang untuk memulihkan emosi yang telah lama tegang.
Menariknya, dia juga menemui sisi seni dalam dirinya. Sesuatu yang tidak pernah diduga oleh peminat. “Siapa sangka rupanya seni adalah sesuatu yang saya sangat minati,” katanya sambil membuka lembaran baharu kehidupannya di luar bulu tangkis.
Dalam diam, tempoh ini telah membentuk Zii Jia menjadi lebih matang, lebih tenang dan lebih kenal dirinya sendiri.


Bakal Beraksi Semula
Apabila menyatakan bahawa dia memilih untuk menutup buku 2025 dan fokus kepada kalendar 2026, ia menyerlahkan kebijaksanaannya sebagai atlet profesional. Tiada gunanya kembali tergesa-gesa hanya untuk memenuhi jangkaan orang lain.
Apa yang penting ialah kembali pada masa yang tepat, dengan tubuh yang kembali kukuh dan jiwa yang kembali penuh api. Dan Januari 2026 kelihatan menjadi pentas besar untuk kebangkitannya, sebuah comeback yang dinanti-nantikan bukan saja oleh penyokong Malaysia, tetapi juga peminat badminton antarabangsa. Malah, perjalanan ini menjadikan Lee Zii Jia semakin bersedia untuk kembali mencapai puncak.
=============================
Beli raket Victor kesayangan Lee Zii Jia, pukulan lebih kemas dan tangkas! Klik link Nona untuk membeli:
=============================
Sokongan Negara
Lebih manis, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan turut menyatakan komitmen untuk menyokong perjalanan comeback ini. Sokongan institusi sebegini memberi gambaran jelas bahawa negara berdiri di belakang wira badminton ini dan mahu melihat beliau kembali bersaing dalam prestasi terbaik.
Badminton di Malaysia bukan sekadar sukan. Ia sebahagian daripada identiti nasional. Kembalinya Zii Jia bermakna kembalinya semangat penonton yang selama ini setia bangun awal pagi dan duduk depan skrin menonton setiap pukulan smash dan net shot yang mendebarkan.
Perjalanan Emosi

Apa yang membuatkan kisah ini lebih menarik ialah perjalanan emosinya yang kini lebih diketengahkan. Atlet sering dilihat sebagai figura kuat yang tidak pernah patah, namun Zii Jia membuktikan bahawa kekuatan terbesar kadang-kadang hadir dalam bentuk keberanian untuk mengundur.
Dia memilih untuk menjaga tubuhnya, menjaga mentalnya dan memilih jalan pulih yang sebenar. Inilah kisah sukan yang real dan manusiawi, ada masa naik, ada masa jatuh, tetapi yang paling penting ialah bangkit semula. Dalam konteks ini, perjalanan Lee Zii Jia menjadi inspirasi kepada sesiapa sahaja.
Dan apabila Zii Jia kembali ke gelanggang pada Januari nanti, ia bukan sekadar tanda bermulanya musim baharu. Ia ialah simbol kebangkitan seorang juara yang telah melalui badai dan kini kembali dengan hati yang lebih kuat, strategi yang diperbaharui dan semangat yang lebih membara daripada sebelumnya.
Peminat pastinya tidak sabar melihat langkah pertama beliau di atas gelanggang, langkah yang penuh makna, langkah yang menandakan permulaan era baharu.
Semoga comeback ini bukan saja menghidupkan semula aura badminton Malaysia, tetapi menjadi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang sedang melalui fasa ‘downtime’ dalam hidup.
Kadang-kadang rehat bukan tanda lemah, tetapi tanda seorang juara sedang bersedia untuk kembali lebih megah. Dan bagi Zii Jia, Januari 2026 bakal menjadi detik itu. Malaysia, bersedialah. Wira kita sedang pulih dan dia akan kembali dengan lebih garang!
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/datin-sri-muhaini-zainal-abidin-sambut-hari-jadi-ke-64/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


