Atas dasar prihatin dan niat ingin membantu golongan wanita yang selama ini sering dianggap tidak mampu menjana pendapatan keluarga, Dato’ Sri Hanni Borhan pegasas Jamu Susuk Dara, syarikat JSD Holdings Sdn Bhd telah menyediakan satu program khas dalam usaha untuk membantu wanita melangkah dalam dunia perniagaan.
“Semasa ingin memulakan perniagaan dahulu, niat pertama saya adalah untuk berkongsi kebaikan pengambilan jamu kepada semua tidak kira perempuan mahupun lelaki. Bukan itu sahaja, melalui produk JSD juga saya mengambil peluang untuk membantu menyediakan peluang perniagaan dan meningkatkan taraf ekonomi sebuah keluarga terutama buat suri rumah tangga dan ibu tunggal.
Setiap dua tahun sekali saya akan mencari wanita-wanita ini yang berpotensi dan ada pengalaman menjual produk JSD untuk mendidik mereka mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM100,000 yang tidak terusik,” ungkap ibu kepada empat orang cahaya mata ini.
Ads
Menurut wanita kelahiran Klang, Selangor yang setia ditemani suami sepanjang sesi fotografi ini juga menegaskan skeptikal negatif jamu yang sering dianggap pahit, sukar ditelan dan hanya menjadi santapan wanita sudah berumur perlu dihakis.
“Melalui perniagaan yang dijalankan juga saya mahu memberi kesedaran terutamanya kepada wanita muda di luar sana bagi mengubah skeptikal yang melihat jamu hanya diamalkan oleh wanita tua semata-mata dan mempunyai rasa yang pahit.
Ads
Tidak kurang juga yang melihat jamu hanya untuk wanita selepas bersalin. Sedangkan khasiat semula jadi ramuan jamu adalah sesuai untuk semua golongan wanita dan perlu diamalkan sejak di awal usia remaja lagi.
Ads
Saya sendiri menjadi pengamal jamu tegar sehingga kini. Pernah mengalami keguguran dan pengalaman itu mengajar saya untuk menjaga rahim dan pastikan kitaran haid saya teratur. Ini kerana saya percaya bahawa wanita adalah tunjang kebahagiaan dalam sebuah rumah tangga.
Manakala, kebahagiaan seseorang wanita itu pula datang daripada rahim yang sihat. Jadi, penjagaan rahim amat penting kerana ia akan menentukan tahap kesihatan dan kecantikan dalaman mahupun luaran wanita.
Malahan, kitaran haid tidak teratur juga akan menyebabkan kulit wajah seseorang wanita mula nampak kusam dan berjerawat serta sering jatuh sakit dan mengalami sakit di bahagian kaki,” jelas wanita berusia 38 tahun ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan senang nak hidup senang. Pengalaman dan ujian yang dilalui Pengasas Nufiya Empire Sdn Bhd ini boleh membuatkan ramai orang tersedar betapa pentingnya mengubah kehidupan daif agar satu hari nanti, bukan hanya anak-anak tetapi lebih ramai orang dapat mengubah ekonomi keluarga.
Nufiya Empire Sdn Bhd bukan hanya fokus dalam penjualan produk untuk wanita tetapi kini turut menghasilkan minuman untuk lelaki. Bermula dengan penghasilan produk untuk ibu mengandung dan ibu menyusu, Nufiya kemudian mengeluarkan jamu moden untuk ibu bersalin.
“Pada asalnya, saya selepas melahirkan anak, saya mengalami masalah kurang susu badan. petua yang dikongsikan oleh seorang teman berbangsa Cina yang menggunakan buah-buahan dari herba Cina bagi memperbanyakkan susu dan Alhamdulillah ia menjadi untuk saya.
Kegembiraan itu saya kongsikan di sosial media dan tak sangka dari situ ramai yang memberi respon positif. Ramai rupa-rupanya orang Melayu yang tidak tahu kebaikan herba yang saya gunakan ini. Dari situ saya mula menjual herba ini dalam bentuk kering (direbus) dan dalam bentuk siap bancuh. Organic Milk Booster kini menjadi ‘killer product’ di Nufiya.
Penghasilan jamu pun ada kaitannya dengan saya yang tidak sukakan jamu pahit serta dalam bentuk kapsul. Ladies Coffee adalah pilihan terbaik bukan sahaja untuk saya tetapi ibu-ibu yang baru lepas bersalin. Kopi untuk wanita ini menjalani tempoh R&D yang agak lama juga sehinggalah saya berpuas hati dengan hasilnya,”ujar penerima Nona Excellence Entrepreneur Award 2020 ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Nufiya Empire Sdn Bhd yang baharu berusia 26 tahun ini sudah melalui pelbagai ujian demi meletakkan fasa kehidupan pada tahap selesa. Pengalaman kehilangan kedua ibu bapa dalam satu kemalangan maut membuatkan dia tersentak dan terus cari peluang berniaga.
“Saya baru berusia 19 tahun ketika Allah ‘mengambil nyawa’ mak dan abah. Kami langsung tidak mempunyai simpanan apatah lagi rumah yang ada hanyalah rumah sewa. Tiga bulan selepas kemalangan itu, saya mengambil keputusan untuk berkahwin. Suami, Muhd Fikri Ahmad Roshdi pula masih belajar. Ketika itu, hanya ibu dan ayah mentua tempat kami bergantung hidup.
Saya hanya boleh berniaga tepi jalan sahaja kerana mengalami kecacatan pada tangan kanan di mana ia tidak boleh bergerak. Lebih mencabar apabila anak pertama kami lahir. Suami ketika itu sangat tertekan kerana duit rumah sewa, perbelanjaan untuk anak dan jarak perjalanan dari rumah dan tempat kerja suami yang jauh.
Kami meminjam sana sini demi menjelaskan sewa rumah. Kepenatan berulang-alik dari rumah ke tempat kerja membuatkan suami tekad pindah rumah di KL. Kami ikat perut kerana dia baru sahaja mula bekerja. Bila suami mula membuat dua kerja dalam satu masa, saya rasa tersentap kerana terlihat kepenatan membuat locum sebagai staff nurse di tempat lain.
Dari situ saya terus mengambil keputusan untuk menjadi dropship tanpa mengetahui apa maksud dropship. Sesudah itu saya menjadi ejen untuk barangan lain pula. Di sinilah kesilapan terbesar saya kerana tanpa ilmu bisnes, kita umpama berjalan dalam kegelapan. Saya gunakan duit yang diberikan kepada anak untuk tujuan modal.
Akhirnya saya bermula dari dropship semula untuk menjual kanta lekap. Saya pakai kanta lekap dan upload di media sosial, akhirnya permintaan pun banyak. Saya minta suami membelikan komputer riba bagi kegunaan perniagaan. Saya mula mencari pengedar kanta lekap dan saya menjadi ejen pula. Tanpa menyimpan stok, saya mencari dropship dengan pulangan yang lebih baik. Kehidupan kami pun menjadi lebih baik. Simpanan saya ketika itu adalah emas.
Tetapi tidak habis di situ, Yaya tetap mencari barang lain untuk dijual. Saya kemudian menjadi dropship untuk barangan bayi sehingga menjadi master stokis. Saya berhenti kerana suami merasakan saya mampu memasarkan barangan sendiri. dengan modal RM5,000 hasil pajakan emas, saya buat pula losyen. ” katanya lagi.
Dari seorang surirumah, Yaya kini sudahpun mengemudi syarikatnya sendiri. Rezeki yang diperoleh kini bukan hanya datang dari usaha tetapi doa yang tidak pernah putus dari kedua ibu bapa mentuanya serta suami.
“Bila sampai saat ini, saya merasakan kedua ibu bapa mentua saya adalah orang yang paling layak menikmati kesenangan ini kerana tanpa mereka tak mungkin saya berjaya. Terbinanya Nufiya Empire Sdn Bhd adalah untuk membantu surirumah yang ingin menambah pendapatan dan mengukuhkan ekonomi keluarga.
Saya sentiasa terbayang saat kehilangan kedua ibu bapa. Saya terfikir, sekiranya kini saya tak mengubah nasib keluarga, andai satu hari nanti Allah ambil nyawa saya atau suami, macam mana dengan anak-anak kami? Apa harta dan simpanan yang boleh mereka gunakan apabila kami tiada nanti.
Di Nufiya, saya sendiri yang akan coaching mereka. Saya pernah mengabaikan team sehingga seorang demi seorang meninggalkan kami tapi saya anggap itu semua sebagai cabaran. Kali ini, saya mempunya kemudahan untuk memberi coaching secara live atau melalui online. Di Facebook memang meriah dengan ilmu kerana pada saya, tanpa ilmu seseorang pengasas sukar untuk sustain dalam perniagaan dan kita bukan siapa-siapa.”akhiri Yaya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Membangun jati diri anak-anak untuk membentuk keperibadian seimbang antara intelektual dan kerohanian penting untuk melestari gagasan masyarakat di masa hadapan. Selain memiliki ilmu pengetahuan dari aspek teknologi, anak-anak juga harus memiliki pengetahuan agama yang baik agar keseimbangan antara ilmu dunia dan akhirat dapat berjalan seiringan.
Menyedari kepentingan pendidikan agama dalam pengisian rohani generasi akan datang, pengasas HATIMURNI, Ustazah Siti Khadijah Mohni dan suaminya, Ustaz Engku Ahmad Fadzil telah mendaftarkan TIJARAH HATIMURNI SDN BHD yang dulunya dikenali sebagai Pusat Kecemerlangan HATIMURNI pada November 2007.
Setelah melalui beberapa perbincangan dan mencari modul terbaik untuk pendidikan agama untuk kanak-kanak, HATIMURNI telah melahirkan konsep perkhidmatan kelas KAFA dan Transit yang lebih dikenali sebagai Enrichment Transit Centre di samping keperluan pengurusan harian anak-anak yang mula diperkenalkan pada tahun 2010. Pengenalan konsep tersebut bertepatan dengan keperluan dan kehendak ibubapa yang memandang serius keperluan pendidkan agama untuk perkembangan minda anak-anak mereka.
“Saya merasakan perniagaan pendidikan akan terus berkembang kerana ia merupakan keperluan bukan kehendak. HATIMURNI mengambil pendekatan menguruskan pembelajaran agama anak-anak dari sekolah kebangsaan beserta perkhidmatan transit.
Perkhidmatan HATIMURNI pada waktu itu lebih kepada penyediaan makanan tengah hari sewaktu anak-anak berada di sekolah, penghantaran pergi balik anak-anak ke sekolah kebangsaan dengan menggunakan van dan bas dan juga pembelajaran KAFA selain penggajian Al-Quran. Insyaallah pada tahun 2021 kami akan menambah lagi program pendidikan di HATIMURNI dengan memperkenalkan Cambridge dan Mandarin ” Ujar Ustazah Siti Khadijah Mohni yang bertindak sebagai Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif di TIJARAH HATIMURNI SDN BHD.
Bermula saat itu, HATIMURNI telah menjadi bualan di kalangan ibu bapa kerana keberkesanan menyelesaikan permasalahan ibu bapa yang berhadapan kekangan masa untuk menguruskan jadual persekolahan anak-anak mereka. Tidak hairanlah mengapa penerima NONA BEST ISLAMIC EDUCATION AWARD ini mendapat kepercayaan di kalangan ibubapa untuk melestarikan pendidikan agama serta transit untuk anak-anak.
“Kami merupakan Sekolah Islam Swasta (Private Islamic School) yang berdaftar dengan Jabatan-Jabatan Agama Islam. Ia telah beroperasi lebih dari 12 tahun dan berpengalaman dalam pelbagai bidang pelajaran dan pendidikan,” ujar Ustazah Siti Khadijah memulakan cerita mengenai Sekolah Islam Swasta yang diusahakannya.
“Di HATIMURNI, pembelajaran untuk anak-anak dari umur 7 hingga 15 tahun. Kami menggunakan silibus atau modul pembelajaran daripada Jabatan-Jabatan Agama Islam yang merangkumi Kelas Mengaji & Hafazan, Bahasa Arab, Jawi, Aqidah, Ibadah, Akhlak, Sirah dan Fardhu Ain seperti praktikal Solat, Praktikal Haji, Pengurusan Jenazah, Pengenalan Aqil Baligh dan lain-lain.
Selain itu, kami amat memberikan penerapan dan penekanan terhadap pendidikan agama dan akhlak yang baik. Anak-anak akan belajar dan diuruskan di satu tempat dengan Perkhidmatan Transit Berprogram. Tambah Ustazah Siti Khadijah lagi, jumlah pelajar yang ditempatkan di dalam setiap kelas kebiasaannya tidak lebih 15 orang pelajar di dalam satu kelas bagi membolehkan sesi pembelajaran dijalankan lebih kondusif.
“Kami menitikberatkan pelbagai aspek untuk memastikan para pelajar dapat menimba ilmu dalam suasana yang tenang dan selesa. Setiap kelas di HATIMURNI dilengkapi pendingin hawa, aktiviti pembelajaran yang menarik dan menyeluruh. fokus ‘ One to One ‘ pada setiap murid serta penekanan kepentingan solat secara berjemaah, adab dan akhlak. Selain itu, para pelajar akan diberi penekanan tentang mengaji dan hafazan Al Quran setiap hari,” ujar Ustazah Siti Khadijah yang memberikan penekanan secara holistik terhadap para pelajar di HATIMURNI.
Antara kejayaan yang pernah dirai sepanjang 14 tahun berada di pasaran ialah apabila HATIMURNI berjaya menguruskan lebih daripada 750 orang pelajar, 64 orang kakitangan serta mempunyai empat cawangan di Wangsa Maju, Setiawangsa dan Bandar Bukit Mahkota.
Menyingkap sisi kejayaan, pasti terbit liku-liku yang perlu dilalui sebelum meniti jaya. Bagi Ustazah Siti Khadijah, cabaran paling besar yang dihadapi oleh HATIMURNI apabila pendemik COVID19 melanda.
“Pendemik Covid19 meninggalkan kesan bukan sahaja dari aspek perniagaan, malah ia turut merubah gaya hidup manusia di seluruh dunia. HATIMURNI juga turut terkesan dan berhadapan tempias di mana perniagaan perkhidmatan pembelajaran anak-anak banyak terikat dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.
Jadi untuk proses ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental di mana syarikat perlu kekal dan pada masa yang sama memastikan kakitangan HATIMURNI tidak terjejas dari segi sumber pendapatan. Walaupun HATIMURNI melalui fasa ini dengan seribu kepayahan, tetapi apa yang penting kami ingin memastikan kami dapat melalui saat getir ini.”
Bagi mengelak pelajar pusat itu tercicir sukatan pelajaran yang sepatutnya diajar selepas cuti penggal persekolahan Mac lalu, HATIMURNI menggunakan kemudahan teknologi di mana pembelajaran secara alam maya dijalankan bagi memastikan para pelajar tidak tercicir di dalam pelajaran mereka. Kelas digital untuk pelajar di HATIMURNI telah lama dirancang namun tertangguh disebabkan beberapa faktor. Walaubagaimanapun selepas pengumuman PKP pada 16 Mac lepas, pihak HATIMURNI mengambil peluang melaksanakan kelas tersebut bagi manfaat para pelajar, Pada peringkat awal pelaksanaan kelas digital, ia dijalankan secara komunikasi sehala dengan tenaga pengajar akan merakam video dalam durasi 50 minit mengenai tajuk sesuatu mata pelajaran sebelum ia dimuat naik ke laman Facebook. Video pengajaran dan pembelajaran itu akan disiarkan pada pukul 10 pagi pada hari yang telah ditetapkan untuk diakses pelajar.
HATIMURNI telah melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan Kempen Mengaji Secara Online serta kelas fardhu ain secara online bagi membolehkan lebih ramai individu celik Al Quran apatah lagi dalam situasi dunia sedang berhadapan dengan pendemik COVID19.
Mulai 1 April lepas, pihak pengurusan Hatimurni menambah baik kaedah pengajaran dengan mengendalikan kelas digital menggunakan aplikasi zoom iaitu panggilan video secara beramai-ramai, bagi memudahkan interaksi antara guru dan pelajar.
“Buat permulaan, ia digunakan untuk kelas mengaji qiraat dan al-Qur’an selama 45 minit. Pautan aplikasi itu diberikan kepada ibu bapa sebelum kelas bermula,” katanya menambah kaedah ini mendapat sambutan positif daripada ibu bapa.
Kelas digital di pusat itu akan diteruskan walaupun berakhirnya PKP kelak dan akan ditambah baik mengikut kesesuaian dari segi penyampaian.
“Pada masa akan datang, kaedah pengajaran dan pembelajaran akan dijalankan secara komunikasi dua hala, ia akan lebih bermanfaat kepada pelajar dan guru,” katanya.
Usaha murni tersebut wajar diberi pujian dalam usaha memartabatkan Al-Quran sebagai gaya hidup selain meletakkan al-Quran pada kedudukan tertinggi apatah lagi penghayatan al-Quran itu perlu diwujudkan dalam diri setiap anggota masyarakat betapa perlunya al-Quran itu ‘hidup’ dalam setiap diri orang Islam.
Hatimurni merupakan sekolah Islam swasta yang ditubuhkan pada 2007, mengkhususkan kepada perkhidmatan kelas KAFA iaitu kelas mengaji (qiraat dan al-Quran), hafazan dan fardhu ain kepada pelajar dari usia tujuh hingga 13 tahun. Pusat itu juga menyediakan kemudahan transit serta pengangkutan kepada pelajar. Semoga usaha untuk memartabatkan Al Quran sebagai gaya hidup generasi akan datang dipermudahkan dan mendapat sokongan dari ibubapa yang mahukan pendidikan agama yang kondusif untuk generasi akan datang.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jenama Nurraysa sememangnya cukup sinonim di kalangan penggemar kosmetik. Sinonim dengan tagline Kosmetik Mesra Wuduk, kisah di sebalik jenama ini wajar dijadikan inspirasi buat individu yang ingin mengorak langkah dalam dunia perniagaan.
Mana tidaknya, pengasasnya, Nur Aini Zolkepeli melihat peluang dan ruang untuk memulakan perniagaan dengan hanya bermodalkan RM500 yang dipinjam dari suami tersayang.
“Ketika itu, saya merupakan seorang suri rumah yang ingin membantu meningkatkan pendapatan suami. Kebetulan pendapatan suami sebagai operator mesin tidak mencukupi untuk menyara kehidupan, jadi saya memasang tekad untuk membantunya menjana pendapatan,” ujar Nur Aini ketika ditemui di sesi fotografi bersama majalah NONA.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2014, syarikat kosmetik dan kecantikan, Nurraysa Global Sdn Bhd rancak mengukuhkan nama serta menghargai usahawannya terutama di kalangan suri rumah dan wanita memandangkan Nur Aini memasang niat murni untuk membantu kaum wanita untuk menjana pendapatan untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga.
“Saya memengang prinsip hidup untuk memberi manfaat. Saya ingin membantu ramai wanita terutamanya suri rumah menjana pendapatan dari rumah. Ia mengimbas kembali memori bagaimana saya bermula di mana pada mulanya niat saya untuk membantu keluarga menambahkan pendapatan.
Tetapi Allah membuka rezeki yang lebih luas dan sekaligus dapat membantu dan memberi manfaat untuk ramai orang,” ujar Nur Aini yang memegang konsep bersedekah dan berkongsi rezeki sebagai amalan terbaik dalam perniagaan.
Walaupun perniagaan yang diusahakan bersama suami tersayang kini berada pada landasan terbaik, wanita ini tidak pernah berhenti menimba ilmu perniagaan untuk memajukan lagi bisnes dan membantu lebih ramai wanita memperolehi pendapatan sampingan.
“Alhamdulillah satu kesyukuran bagi saya apabila dapat membimbing dan melahirkan 16 orang jutawan pada tahun ini dengan secara keseluruhan 18 orang telah berjaya menjadi jutawan Nurrasya,” ujarnya lagi.
Menyentuh soal berkongsi rezeki, Nur Aini dan syarikatnya Nurraysa Global Sdn Bhd tidak pernah lupa menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan bantuan baik dari segi kewangan dan bantuan-bantuan lain. Jenama penerima NONA BEST HALAL COSMETICS AWARD ini memegang prinsip berkongsi rezeki bukan sahaja bersama kakitangan, malah insan-insan yang memerlukan bantuan.
Antara perkara yang di laksanakan termasuklah pembahagian beras setiap bulan untuk fakir miskin dan rumah anak-anak yatim, pembahagian wang zakat untuk penduduk sekitar Kuantan, Pahang serta menghulurkan bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir dan sebagainya.
Nur Aini juga memasang niat untuk menjadi inspirasi untuk para wanita berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Sebagai wanita yang telah beberapa tahun bergelumang dengan dunia perniagaan, Nur Aini melihat beberapa faktor yang sering menghalang wanita untuk berjaya.
“Ramai orang di luar sana ingin berniaga tetapi ada yang belum bermula dan hanya berdiam diri. Apabila melihat billboard di tepi jalanraya, mendengar iklan di radio dan menonton kisah mereka yang berjaya di kaca televisyen, ramai yang cemburu akan kejayaan tersebut.
Pada pandangan saya, zaman sekarang cabaran hidup semakin mencabar,kos sara hidup semakin meningkat, Ada yang sanggup berkerja lebih dari satu pekerjaan sehari dan sebagainya.
Nasihat saya untuk para wanita, gunalah setiap peluang untuk menambah pendapatan. Gunakan akses teknologi untuk mencari peluang berniaga tanpa modal, percuma dan diberikan latihan untuk berjaya. Semuanya mudah, hanya di hujung jari. Oleh itu, jom bangkit kaum wanita dan tingkatkan ekonomi keluarga dan negara,” ujar Nur Aini menutup perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT dan sudah pun tertulis di Luh Mahfuz. Industri seni tanah air pada 5 Ogos lalu kehilangan seorang bintang berbakat besar dikenali sebagai Cik Man yang telah lama mewarnai dunia hiburan sejak 40 tahun lepas.