Ashanty dan Anang Hermansyah sememangnya pasangan selebriti popular di Indonesia. 10 tahun mendirikan rumah tangga, kehidupan pasangan ini semakin bahagia dikurniakan dua cahaya mata.
IKLAN
Berpeluang mengerjakan umrah baru-baru ini, Ashanty dan Anang sempat menitipkan pesanan untuk para peminat mendoakan perjalanan mereka sekeluarga ke bumi Haramain untuk mengerjakan umrah pada 26 Oktober lalu.
“Ya Allah setelah bertahun-tahun dan berkali-kali batal, akhirnya kami bisa berangkat ke Masjidil Haram. Terima kasih ya Allah. Semoga dimudahkan langkah kami, sehingga bisa menjalankan rangkaian ibadah di tanah suci dengan khusyuk, dan tiada halangan apa pun,” ujar Ashanty di posting Instagram miliknya.
Penampilan Ashanty mengenakan hijab sepenuhnya tatkala mengerjakan umrah dipuji oleh para peminatnya. Mana tidaknya, kejelitaan Ashanty dipuji oleh para peminat persis wanita Arab yang cantik apabila mengenakan abaya. Gaya hijab Ashanty yang polos tetap menampakkan wajahnya yang jelita.
Lebih istimewa, Ashanty sempat meraikan ulang tahun kelahirannya ke 38 di Kota Madinah bersama suami dan anak-anak. Untuk rekod, Ashanty menyambut ulang tahun kelahirannya pada tanggal 4 November lalu.
Dalam akaun Instagram miliknya, Ashanty mengucapkan rasa terima kasih pada Allah SWT serta memohon kesihatan dan menjadi manusia yang berguna di masa hadapan.
IKLAN
“Bertambah lagi usiaku. Terima kasih ya Allah aku masih dikasih nafas sampai hari ini, dalam keadaan sehat. Semoga ke depan aku selalu dalam lindungan Allah, selamat dunia akhirat.
Dan semoga dengan terus bertambah umur, aku bisa menjadi manusia yang lebih baik lagi, dan bermanfaat bagi orang banyak.
Terima kasih buat semua doa, ucapan dan kebaikannya untuk aku. Doa yang sama juga buat kalian. Maaf belum bisa balas satu-satu.”
Selain itu Ashanty juga memanjatkan doa agar terus istiqamah berhijab setelah pulang dari umrah nanti. Jelas Ashanty atau nama penuhnya Ashanty Siddik Hasnoputro dalam posting di laman sosialnya menyatakan bahawa sesungguhnya orang yang sempurna akalnya adalah yang selalu memperbaiki dirinya, dan tidak merasa terlena dengan pencapaiannya.
IKLAN
Untuk rekod, Anang Hermansyah dan Ashanty mendirikan rumah tangga pada 12 Mei 2012. Keduanya menjalin hubungan cinta sejak menjadi teman duet dan berpacaran selama dua tahun.
Sementara itu status Anang yang merupakan seorang duda serta memiliki dua orang anak tidak menghalang Ashanty menerima lamarannya. Lebih istimewa, Ashanty menerima lamaran Anang di atas kapal dalam suasana romantik. Pasangan ini sememangnya amat romantis antara satu sama lain dan sikap tersebut kekal sehingga kini walaupun telah 10 tahun berkahwin.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tidak ada seorang ibu pun mahu melihat kepincangan hidup anak yang dikandungnya selama 9 bulan melainkan sering mendoakan anak-anak mengecap kebahagiaan serta kejayaan di dunia dan akhirat.
Hati ibu mana yang tak tersentuh andai melihat anaknya jauh dari pandangan mata lebih-lebih lagi ketika sedang memperjuangkan hak kemanusiaan di negara yang sedang bergolak. Namun, kehebatan kasih sayang ibu kepada Heliza Helmi ini menyuntik rasa yang sangat luar biasa.
Saat anak gadisnya sedang berhadapan dengan situasi sukar di negara yang sedang bergolak, wanita ini masih boleh memberi kata-kata semangat untuk anaknya meneruskan misi kemanusiaan yang jarang sekali dilakukan oleh anak gadis lain.
“Doa mama yang selalu mengiringi setiap langkah saya meneruskan apa yang ingin saya lakukan. Mama selalu berdoa semoga Allah SWT permudahkan segala urusan saya.
Sebab mama selalu cakap kalau kita pergi ke tempat-tempat bahaya dan tak tahu risikonya tetapi kalau kita pergi dengan niat baik dan untuk buat baik insyaallah Allah SWT akan jaga. Sesungguhnya doa mama adalah ‘tangkal’ yang sering saya bawa ke mana-mana.
Pernah suatu hari ketika kami sedang berhubung dengan telefon tiba-tiba dengar bunyi siren. Ketika berada di negara yang bergolak jika siren dibunyikan bermakna bom makin hampir.
Tetapi mama waktu itu dia jadi seorang yang sangat tenang. Mungkin dia nak kita juga tenang tapi saya tak tahu perasaan mama di Malaysia macam mana. Mama akan kata, insyaallah selamat. Secara tak langsung saya akan bertenang menghadapi situasi tersebut,” ucap Heliza.
Memang benar pengorbanan seorang ibu tidak mampu dibayar oleh seorang anak walaupun dengan segunung berlian. “Kalau nak cakap tentang pengorbanan mama saya tak boleh pilih dari sudut yang mana satu, sebab pengorbanan mama sangat luar biasa.
Siapa yang kenal dengan mama saya dia secara automatik akan jadi mama kepada semua orang. Macam kami dalam satu famili sentiasa berdoa agar mama dikurniakan balasan syurga yang tertinggi.
Pengorbanan mama selalu menjangkaui setiap pemikiran kami adik-beradik. Kalau saya sakit dan terpaksa balik lambat, dalam bilik tu dah tersedia makanan dan pelbagai jenis air yang saya suka. Air coklat, air kopi dan air zam-zam.
Mama seorang ibu yang sangat sikit tidurnya, demi kepentingan anak-anak dia sangat all out. Walaupun anak tak ramai cuma 4 orang, namun keempat-empat anaknya, mama bagi paling the best.
Sampai kami sendiri tak mampu nak bagi bagaimana mama layan kami adik-beradik. Kelebihan mama pula adalah jenis orang yang scan. Kita punya barang tak payah cakap lah banyaknya, kadang-kadang boleh terlupa. Tetapi, mama tahu kat mana barang tersebut diletakkan.
Mama terlalu banyak berkorban dari kami kecil sehingga dewasa. Dalam usia yang nak masuk 60, boleh bawa kereta lagi, macam tak apa biarlah diri dia berkorban jangan anak-anak. Kadang-kadang kami berebut nak bawa kereta,” tutur Heliza tentang kehebatan mamanya.
Sakit pening seorang ibu selalunya dipendam sahaja. “Memang betul, kalau mama sakit tak pernah nak bagitahu dia sakit dan kalau demam dah teruk sampai hilang suara dia tetap akan bagitahu, mama okay jer.
Sampai suatu hari kami pergi umrah dia menahan sakit sampai tak boleh telan air liur, namun tetap mahu membuat umrah bersama-sama sampai dia dah nak collapse, kita nak bawa pergi hospital, dia masih gagahkan diri.
Mudah-mudahan Allah SWT beri ganjaran kepada mama dan semua ibu di dunia ini dengan balasan syurga tertinggi. Saya sendiri tidak pasti apabila suatu hari nanti saya bergelar seorang ibu saya mampu menjadi ibu seperti mama,” bicara Heliza.
Bagaimana cara Heliza menyambut hari ibu? “Mama saya dia jenis yang tak berapa gemar celebrate. Macam birthday dia pun dia dah pesan awal-awal jangan celebrate.
Namun sebagai anak, kami tetap mahu meraikan mama. Jadi kami merancang majlis yang paling simple seperti keluar makan. Kami akan bawa mama makan ke tempat yang special sikit. Sambutan hari ibu pun kami buat begitu.
Saya rasa ibu bapa, hari-hari mahu quality time bersama anak-anak. It’s about 1 hari sahaja kita dengan ibu, that’s it. Apa yang kami buat dalam famili kami, walaupun jadual padat tetapi, dapat 2 minit yang berkualiti sudah mencukupi.
Sebagai contoh apabila saya kena gerak pergi ke sesebuah program, mama dan abah akan teman dari rumah turun ke lif sebab itu sahaja masa untuk kami bersembang sampai ke tempat parking sampai kereta saya bergerak.
Itulah masa yang kami cari, sebab saya jenis anak yang hari-hari kena buat report. Saya mesti hari-hari ada sahaja cerita yang nak dikhabarkan,” tutur Heliza yang masih tinggal serumah dengan ibu dan bapanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wajahnya sering dilihat menghiasi layar TV dan papan iklan sebagai duta jenama tudung terkenal, berikutan itu Mira Filzah Bintang Popular ABPBH 32 mengambil keputusan menceburi dunia perniagaan menghasilkan jenama tudungnya sendiri
Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman seorang ibu dan isteri, giat membina empayar perniagaan dan pada masa sama, dia masih mahu meneruskan karier dalam bidang lakonan.
Kongsinya lagi bidang ini bukanlah usaha untuk memperlahankan karier seni, memandangkan umurnya baru menganjak 30.
Jual Tudung Bukan ‘Back Up’ Karier Seni – Mira Filzah
“Saya tidak anggap perniagaan ini sebagai ‘back up’. Saya fikir, Insya-Allah panjang lagi perjalanan dalam dunia seni. Masih banyak yang saya mahu buat dan teroka.
“Pada usia sekarang serta status sebagai ibu dan isteri, ia tidak menghalang saya bergerak lebih jauh dalam industri seni. Saya baru 31 tahun, jauh lagi perjalanan saya.
“Saya tengok selebriti lain pada usia 40 tahun pun masih berlakon dan boleh melakukan yang terbaik. Jadi, saya anggap perkara ini sebagai impian dan cita-cita yang sudah lama tersimpan,” katanya.
Pernah menceburi bidang pengacaraan, namun Mira lebih selesa menumpukan karier seni dalam lakonan. Tambahnya lagi drama komedi bersiri yang terbaharu mendapat sambutan memberangsangkan iaitu Imam Instant Ustazah Scammer adalah satu ‘exercise’ selepas hampir setahun tidak berehat melahirkan anaknya, Wan Khair Amir pada 10 Mei tahun lalu.
“Saya kembali berlakon ketika Amir berusia lapan bulan. Alhamdulillah, dia sudah berusia hampir setahun sekarang. Jadi, niat saya untuk terus aktif berlakon,” katanya
Mula Sebagai Hobi, Suka-Suka Je
Bertemu pada majlis pelancaran jenama tudung sendiri, Mira Filzah mengulas mengenai perniagaan hijab, Mira yang sudah lama menyimpan impian membangunkan jenama hijabnya sendiri.
“Sebenarnya, saya sudah lama berminat dalam bidang perniagaan, iaitu sejak saya belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM), pada usia 18 tahun.
“Ketika itu, saya menjual secara suka-suka sahaja. Pada 2016, saya lancarkan tudung sendiri dan saya guna jenama MF Shawls dalam drama Cinta Si Wedding Planner.
“Alhamdulillah, perniagaan itu baik. Namun, saya terpaksa tutup tidak lama kemudian kerana tidak menang tangan.
“Akhirnya, selepas beberapa tahun berehat, saya fikir ini tahun terbaik untuk memulakan semula apa yang sudah lama saya tinggal dan impikan,” katanya yang cukup gementar dalam melancarkan jenamanya sendiri.
Mira mengaku berhadapan banyak cabaran merealisasikan pelancaran produk sendiri seperti jadual yang padat dengan komitmen penggambaran.
Dunia perniagaan punyai pelbagai cabaran, berbekal ilmu yang sedikit, Mira akui dia perlu belajar dari ‘scratch’ tentang produksi, material dan selok-belok pemasaran.
“Kecintaan saya terhadap keusahawanan dan fesyen bermula semasa zaman universiti, sekitar tahun 2011, yang juga merupakan kemuncak era blog saya.
“Saya sentiasa mempunyai bakat untuk terjun ke dalam bidang keusahawanan sambil meneruskan kerjaya saya sebagai model bebas, yang membawa saya untuk mula melakukan penggambaran katalog saya sendiri dalam Myvi lama yang pernah saya pandu semasa pelajar.
“Kasih sayang dan sokongan berterusan daripada orang yang saya sayangi memberi inspirasi kepada saya untuk meneruskan minat saya dan memulakan jenama saya sendiri,” kata Mira Filzah, Pengasas & Pengarah Kreatif jenama MIRA FILZAH.
Sudah menjadi kebiasaan sekiranya jenama hijab milik selebriti dijual pasti ianya laku dalam beberapa jam kemudian. Bagi Mira ini bukan satu tekanan tetapi, si cantik manis ini menjadikan mereka sebagai rujukan.
“Kalau mereka boleh buat , Mira pun boleh dan mereka ini sebagai panduan. Untuk keluaran awal tudung Mira tidak mensasarkan ‘sold out’ dalam masa terdekat dan lebih menumpukan penjualan fasa demi fasa,” ujarnya.
Perancangan menjual hijab yang dirangka selama setahun lepas, Mira tidak mahu memberi tekanan pada pembeli mahupun diri sendiri, pelancaran hari ini untuk pengenalan jenama tudung Mira Filzah.
MF Garap Konsep , ‘Stail’ Selesa Tanpa Jejas Gaya
Berikutan kejayaan MF Shawls, jenama tudung yang juga diasaskan oleh Mira pada zaman awal keusahawanannya, ia menyingkap semangatnya untuk mencipta karya yang melengkapi wanita fesyen sederhana pada skala nasional dan global.
Debut pertama jenama itu mempamerkan 3 koleksi elegan, iaitu Rise Collection, Sweet Dreams Collection, dan Go-To Scarf, dalam pelbagai warna lembut dan berani yang paling mewakili personaliti dan imej Mira yang memikat.
“Era MIRA FILZAH ini adalah kelahiran semula, penjenamaan semula, dan permulaan yang baru. Impian saya untuk MIRA FILZAH adalah untuk menjadi jenama pilihan di Malaysia dan berkembang secara global, In Shaa Allah.
“Saya berharap dapat mewujudkan komuniti yang memberi inspirasi dan wanita yakin yang akan bersatu untuk menyokong dan memberi inspirasi antara satu sama lain.”
“Sebagai seorang wanita, saya percaya bahawa setiap wanita berhak berasa selesa tanpa menjejaskan gaya, dan jenama kami komited untuk merealisasikannya. Saya teruja untuk membuat keputusan yang positif perbezaan dalam kehidupan wanita melalui jenama ini dan melihatnya berkembang seindah perjalanan MIRA FILZAH,” ujarnya.
Mira memastikan untuk terlibat dalam setiap langkah, dari proses reka bentuk sehinggalah estetika disampaikan kepada peminatnya mempunyai sentuhan peribadinya sendiri dan strategi kehadiran media sosial jenama itu.
Walaupun jadual sibuknya sebagai duta jenama kepada jenama terkenal seperti Coway, Uniqlo, Secret Recipe, Downy, Febreze, Mamypoko dan Friso Gold.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Menarik perkongsian Datin Belina Abdul Hamid yang mesra disapa sebagai Datin Belina ini. Maka tak hairanlah anak-anak sangat akrab dengannya walaupun beliau menyifatkan dirinya seorang ibu yang tegas.
Berusia 34 tahun, Datin Belina merupakan ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Shahputra Nasri berusia 10 tahun, dan sepasang anak kembar perempuan iaitu Shahirah Safiyya dan Shahirah Silfiyya, masing-masing kini berusia enam tahun.
“Saya mengamalkan menyuap anak-anak ketika makan seperti mana yang diajar oleh ibu saya sendiri. Amalan ini dapat mengeratkan ikatan kasih sayang dan ikatan adik beradik.
Alhamdulillah berkat amalan itu hubungan saya dan adik beradik akrab sampai ke hari ini. Itulah yang cuba saya terapkan terhadap anak-anak agar keakraban itu kekal sampailah mereka dewasa nanti.
Saya percaya air tangan ibu sangat berkat dalam kehidupan seorang anak. Walaupun ada pembantu rumah tetapi memasak tetap menjadi tugas utama saya. Ini juga antara pesanan ibu saya sejak kecil.
Selain memasak, jangan kedekut dengan jiran tetangga. Selalunya saya akan masak lebih untuk sedekah kepada jiran-jiran. Sama-sama kongsi rezeki.”
Datin Belina turut mengamalkan solat berjemaah setiap hari bersama suami dan anak-anak.
DIDIK ANAK HIDUP BERSEDERHANA
Saya dan suami menerapkan cara hidup Islam dalam mendidik anak-anak. Kami banyak membaca dan merujuk buku-buku berkaitan cara-cara didikan Islam termasuk amalan Rasulullah SAW.
Manakala dari segi pendidikan pula kami sangat tegas. Kalau waktu bermain mereka bebas bermain tapi kalau waktu belajar mereka perlu fokus betul-betul. Saya seorang ibu yang sangat tegas maka anak-anak mudah mendengar kata.
Satu lagi didikan kami ialah mengajar anak-anak agar tidak bermewah-mewahan. Kami ajar anak-anak bagaimana susahnya untuk mendapatkan sesuatu. Kena usaha sendiri dan hidup bersederhana.
INSPIRASI WANITA LAIN
Untuk masa depan anak-anak, saya dan suami mendoakan agar mereka berjaya dalam apa jua bidang yang diminati.
Sebagai ibu bapa kami tak boleh memaksa asalkan mereka menjadi insan berguna di dunia dan akhirat.”
Walaupun bergelar suri rumahtangga sepenuh masa, Datin Belina menjadikan wanita lain sebagai inspirasi terutama wanita yang bekerja.
Apa yang membuatkan Datin Belina kagum ialah kebolehan mereka dalam menguruskan hal kerjaya, keluarga dan diri sendiri.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!