Segala pengorbanan, titik peluh dan usaha gigihnya selama ini terbalas apabila Hidilyn Diaz menerima ‘durian runtuh’ daripada kerajaan, individu perseorangan dan syarikat korporat negara kelahirannya, Filipina selepas kejayaan meraih pingat emas dalam sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.
Rezeki yang dinikmati Hidilyn hari ini ibarat bulan jatuh ke riba. Dia yang sebelum ini anggota tentera udara sama sekali tidak menyangka keputusan untuk memilih sukan sebagai kerjaya nyata mengubah nasib hidupnya.
Apatah lagi selepas dia berjaya mencipta sejarah tersendiri menjadi atlet sulung Filipina yang meraih pingat emas dalam temasya sukan terbesar dunia tersebut. Tidak hairanlah, jaguh angkat berat Filipina ini dilabel sebagai khazanah bernilai buat negara berkenaan.
Atas pencapaian luar biasa yang dipamerkan Hidilyn dan berkat kesungguhan serta iltizamnya, dia menerima pelbagai insentif dan hadiah menarik. Tidak hanya syarikat awam dan korporat, pengusaha restoran turut tidak ketinggalan memberi ‘buah tangan’ kepada atlet kebanggaan mereka. Semuanya sebagai pencetus semangat buat rakyat Filipina agar terus komited dan berjaya dalam bidang sukan.
Hidilyn dikhabarkan menerima wang tunai bernilai 3 juta peso daripada kerajaan Filipina menerusi Presidennya, Rodrigo Duterte.
Memetik laporan portal www.preview.ph, Hidilyn turut menerima wang tunai daripada ahli perniagaan terkenal Filipina iaitu Ramon Ang, Manny Pangilinan dan wakil Timbalan Speaker, Mikee Romero.
Sementara 2.5 juta peso lagi diberikan dari pihak bandar kelahirannya, Zamboanga dan 5 juta peso daripada Phoenix Petroleum hasil persetujuan pengerusinya, Dennis Uy. Dianggarkan, jumlah wang tunai yang diterima Hidilyn adalah sekitar 40.5 juta peso!
Tidak hanya menghargai pemenang pingat Olimpik tersebut dengan pemberian wang tunai, Phoenix Petroleum turut menghadiahkan bekalan petrol seumur hidup kepada atlet berusia 30 tahun ini.
Keceriaan berganda buat Hidilyn apabila syarikat penerbangan Philippine Airlines berbesar hati memberikan tiket penerbangan percuma seumur hidup dengan menikmati penerbangan sejauh 80,000 batu setiap tahun. Langkah sama turut diambil Air Asia Philippine Spokesperson, Steven Dailisan yang mengeluarkan kenyataan rasmi akan memberi tiket penerbangan percuma seumur hidup kepada Hidilyn.
Ini termasuklah Cebu Pacific yang menghadiahkan 25 trip penerbangan percuma kepada wakil pasukan Filipina di Olimpik Tokyo 2020.
Tidak cukup dengan itu, jaguh Filipina ini juga ditawarkan tiga kediaman daripada syarikat perumahan berbeza. Salah satunya ialah unit kondominium mewah di Eastwood bernilai 14 juta peso dari Megaworld Corporation, rumah dan lot tanah di Tagaytay seperti yang diumumkan President Philippine Olympic Committee dan rumah bernilai 4 juta peso dari Century Properties!
Pengeluar kenderaan Foton Motor Philippines juga tidak terkecuali meraikan kemenangan Hidilyn dengan menghadiahkan sebuah van baharu atas kejayaan luar biasanya. Presiden syarikat berkenaan, Rommel Sytin menjelaskan pihaknya akan memberi Foton TransVan yang memiliki 13 tempat duduk.
Jenama kecantikan Filipina, Ever Bilena Cosmetics dalam pada itu turut menghadiahkan produk EBCI bernilai 1 juta peso. Begitu juga L’Oreal Group yang menawarkan Hidilyn servis dan produk kecantikan berjumlah 2 juta peso.
Hidilyn juga dapat menjamu selera dengan aneka hidangan daripada seleksi restoran menarik yang memberi menu hidangan pilihan untuknya sepanjang hayat.
Bagaikan mimpi, bukan hanya nama Hidilyn akan dimasukkan dalam sejarah Filipina bahkan sebuah arca dirinya juga akan dibina sebagai monumen di Joaquin F. Enriquez Memorial Sports Complex.
Mengimbas kembali kejayaan Hidilyn di pentas Olimpik Tokyo 2020, atlet dunia ini memenangi pingat emas acara 55 kilogram wanita selepas berjaya melakukan angkatan seberat 224 kilogram sekaligus memecahkan rekod sukan Olimpik. Ia merupakan pingat emas pertama Filipina dalam sejarah sukan Olimpik.
Sebelum menyertai temasya Olimpik pada awal Ogos lepas, Hidilyn dilaporkan terkandas di Melaka dan mendapat bantuan daripada komuniti angkat berat di Jasin, Melaka yang membenarkannya untuk meneruskan latihan di sana.