Kurang sebulan saja lagi seluruh umat Islam bakal menyambut kedatangan bulan penuh keberkatan Ramadhan 1443H. Seperti diketahui, 1 Ramadhan jatuh pada hari Sabtu, 2 April 2022. Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan negara akan memasuki Fasa Peralihan Endemik COVID-19 bermula 1 April 2022.
Ini bermakna tahun ini kita bakal berpuasa dalam fasa baharu dan kembali kepada kehidupan normal setelah kita bergelut dengan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu. Namun, kita masih perlu mematuhi beberapa prosedur operasi standard (SOP) antaranya melakukan ujian saringan kendiri bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
Ads
Memetik kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, beliau menegaskan kebergantungan terhadap ujian RT-PCR (PCR) perlu dikurangkan. Sebaliknya, lebihkan kepada ujian RTK-Ag (RTK) sewaktu fasa peralihan endemik.
Justeru, kemungkinan terdapat beberapa persoalan atau kemusykilan apabila perlu melakukan swab test COVID-19 menggunakan ujian RTK ketika berpuasa. Apakah hukumnya dan adakah ia membatalkan puasa atau tidak? Berikut pencerahan daripada Irsyad fatwa khas Ramadhan (siri ke 177) berkenaan hukum swab test ketika sedang berpuasa.
Swab test atau ujian saringan COVID-19 yang menggunakan kaedah Nasopharyngeal swab (melalui hidung) dan Oropharyngeal swab (melalui hidung) yang dijalankan ketika sedang berpuasa adalah tidak membatalkan puasa. Ini kerana calitan yang dijalankan melalui kedua-dua proses tersebut tidak sampai ke kawasan rongga dalam.
Ujian saringan, pengesanan dan pengesahan COVID-19 terbahagi kepada dua jenis. Pertama adalah Reverse Transcritase Polymerase Chain Reaction (Rt-PCR). Manakala yang kedua pula disebut sebagai Antigen Rapid Test (RTK Ag). Kedua-kedua ujian ini dijalankan menggunakan calitan melalui tekak (Oropharyngeal swab) dan melalui hidung (Nasopharyngeal swab) [1]. Kedua-dua ujian ini dijalankan untuk mengesan jangkitan virus COVID-19.
Kaedah Nasopharyngeal swab ialah alat swab akan dimasukkan ke dalam rongga hidung individu sehingga ke kawasan nasopharynx (rongga hidung paling atas) dengan kedalaman 18. lebih kurang 4.8 cm bagi kanak-kanak dan 8-12 cm bagi orang dewasa untuk mengambil sampel mukus. Manakala kaedah Oropharyngeal swab pula ialah alat swab dimasukkan ke dalam mulut hingga ke kawasan oropharynx iaitu di belakang anak tekak bagi mengambil sampel mucus.
Antara perkara yang boleh menyebabkan puasa terbatal adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka seperti hidung, telinga, mulut, dubur dan kemaluan. Ibn Al-Naqib Al-Misri menyatakan:
وصولُ عينٍ وإنْ قلَّتْ منْ منفدٍ مفتوحٍ إلى جوفٍ “(Antara yang membatalkan puasa itu adalah) Sampai sesuatu benda ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka walaupun sedikit.” [2]
Sheikh Zakariya Al-Ansari menyebut: (فَرْعٌ يُفْطِرُ) الصَّائِمُ أَيْضًا (بِوُصُولِ عَيْنٍ) وَإِنْ قَلَّتْ كَسِمْسِمَةٍ وَلَمْ تُؤْكَلْ عَادَةً كَحَصَاةٍ (مِنْ الظَّاهِرِ فِي مَنْفَذٍ) بِفَتْحِ الْفَاءِ (مَفْتُوحٍ عَنْ قَصْدٍ) لِوُصُولِهَا (مَعَ ذِكْرِ الصَّوْمِ إلَى مَا يُسَمَّى جَوْفًا) “Orang yang berpuasa terbatal puasanya dengan sampainya sesuatu benda walaupun sedikit seperti bijan dan walaupun yang masuk itu kebiasaannya benda yang tidak dimakan seperti batu kecil. Yang mana ianya masuk melalui saluran yang terbuka dengan sengaja. Ini kerana ianya sampai kepada apa yang dinamakan sebagai rongga yang terbuka.” [3]
Saluran yang terbuka itu termasuklah telinga, hidung, mulut, dubur dan kemaluan. Perkara ini dijelaskan oleh Ibn Al-Muqri’:
وَحُدِّدَ الظَّاهِرُ بِمَخْرَجِ الْحَاءِ الْمُهْمَلَةِ ثُمَّ دَاخِلُ الْفَمِ وَالْأَنْفِ إلَى مُنْتَهَى الْغَلْصَمَةِ وَالْخَيْشُومِ… “Piawaian had zahir dihadkan dengan makhraj huruf Ha’, kemudian dalam mulut dan hidung sehingga penghujung anak tekak dan juga rongga hidung.”[4]
Ads
Justeru, menurut mazhab Al-Syafi’i, apa sahaja yang masuk melalui saluran tersebut boleh menyebabkan puasa seseorang terbatal. Tambahan lagi, jika prosedur swab test yang dijalankan masuk jauh ke dalam rongga hidung. Ia dikira boleh membatalkan puasa seseorang. Sheikh Zakariya Al-Ansari menyatakan hal ini:
(ثُمَّ أَلْحلَقَ وَمَا وَرَاءَ الْخَيَاشِيمِ) جَمْعُ خَيْشُومٍ وَهُوَ أَقْصَى الْأَنْفِ (جَوْفَانِ) فَالْوَاصِلُ إلَيْهِمَا مُفْطِرٌ “Kemudian halkum dan di sebalik rongga hidung yang mana ia adalah pangkal hidung merupakan bahagian rongga. Apa-apa yang masuk ke dalam kedua-dua bahagian tersebut boleh menyebabkan puasa terbatal.” [5]
Pandangan ini berbeza dengan mazhab Maliki yang berpendapat bahawa puasa hanya terbatal jika ada sesuatu yang masuk ke dalam rongga melalui mulut.Apa-apa yang masuk melalui bahagian yang lain, maka ianya tidak membatalkan puasa sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh Abu Abdullah Al-Maliki menyebut:
وَالْإِفْطَارُ بِمَا يَصِلُ إلَى الْجَوْفِ أَوْ الْمَعِدَةِ مِنْ الْفَمِ “Puasa terbatal dengan sampai sesuatu ke dalam rongga atau tali perut melalui mulut.” [6]
Ads
Sheikh Abu Al-Barakat Al-Dardir juga menyebut: وَأَمَّا غَيْرُ الْمَائِعِ فَلَا يُفْطِرُ إلَّا إذَا وَصَلَ لِلْمَعِدَةِ مِنْ الْفَمِ “Adapun selain cecair maka ia tidak membatalkan puasa melainkan jika ia sampai ke perut melalui mulut.” [7]
Berdasarkan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke 3 tahun 2020, mesyuarat menetapkan:
“Prosedur saringan bagi mengesan penyakit COVID-19 adalah dengan mengambil sampel lender (mukus) yang berada di dalam rongga hidup sehingga ke kawasan nasopharynx (rongga hidung paling atas) dan rongga mulut sehingga ke kawasan oropharynx (anak tekak) adalah TIDAK MEMBATALKAN PUASA. Ianya selaras dengan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-87 pada 23 hingga 25 Jun 2009 yang telah memperakukan Panduang Berpuasa bagi Pesakit.”
Justeru, swab test atau ujian saringan COVID-19 yang menggunakan kaedah Nasopharyngeal swab (melalui hidung) dan Oropharyngeal swab (melalui mulut) yang dijalankan ketika sedang berpuasa adalah tidak membatalkan puasa. Ini kerana calitan yang dijalankan melalui kedua-dua proses tersebut tidak sampai ke kawasan rongga dalam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah persekutuan
Rujukan: [1] Rujuk laman My Health KKM di pautan https://www.myhealth.ph/covid-19-test-now-available-at-myhealth/ [2] Ibn Al-Naqib, Ahmad Bin Lu’lu, ‘Umdah Al-Salik wa ‘Uddah Al-Nasik (1982), cetakan Al-Syuun Al-Diniyah,Qatar, h.117. [3] Al-Ansari, Zakariya Bin Muhammad, Asna Al-Matalib Syarh Raudh Al-Talib, Dar Al-Kitab Al-Islami, j. 1 h.415 [4] Ibn Al-Muqri’, Ismail Bin Al-Muqri’, Raudh Al-Talib wa Nihayah Al-Matlab Al-Raghib (2013), Dar Al-Dhiya’, Kuwait, j. 1 h.335-336 [5] Ibid. [6] Abu Abdullah, Muhammad Bin Ahmad, Manh Al-Jalil Syarh Mukhtasar Al-Khalil (1989), Dar Al-Fikr, Beirut, j.2 h.137 [7] Abu Al-Barakat Al-Dardir, Ahmad Bin Muhammad, Aqrab Al-Masalik ila Mazhab Al-Imam Malik, Dar Al-Ma’arif, j.1 h.699.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terus mengangkat wanita, penganjuran Forum Anak Syurga dan Anugerah Ibu Inspirasi oleh Al Kauthar Eduqids dibuat khas untuk raikan jasa ibu di Malaysia.
Tadika kanak-kanak terkemuka, Al Kauthar Eduqids (AKE) menjalin kerjasama dengan Mingguan Wanita dan Majalah Nona menganjurkan sebuah program hebat iaitu ‘Forum Anak Syurga’ diikuti ‘Malam Gala Anugerah Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan Nona’ pada 2 Jun 2024 bertempat di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Al Kauthar Eduqids, Dato’ Dr Capt Bakhtiar Aliff Bin Ibrahim, dianggarkan 250 tetamu terdiri ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa bakal menyertai forum ini.
Selaku penaja utama, antara pengisian topik-topik yang dibincangkan adalah:
(1) Talkshow 1: Power Up Mental & Fizikal
(2) Talkshow 2: Kapsul Sihat & Cergas
(3) Talkshow 3: Anak Istimewa Selangkah Ke Syurga
Forum yang bermula jam 9.30 pagi hingga 4.00 petang ini bukan sahaja membincangkan pelbagai ilmu dan perkongsian pengalaman ibu bapa malah bertujuan untuk membina komuniti sokongan antara ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa.
Bersama moderator Nani Roslan, beberapa panelis disegani turut hadir iaitu Zarina Zainuddin, Fynn Jamal, Dr Malar dan Dr Robiah Hamzah, bersama kehadiran Ketua Pegawai Operasi Al Kauthar Eduqids, Datin Dr Nor Fadilah Alias.
MALAM UNTUK IBU
Pada sebelah malam pula bakal berlangsung ‘Malam Gala Ibu Anugerah Inspirasi Mingguan Wanita dan Nona’.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu dan anakanda baginda YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin bakal mencemar duli berangkat menyerikan majlis.
Malam Gala Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan Nona bertujuan memartabatkan figura ibu hebat yang berjasa dan sesuai menjadi inspirasi keibuan kepada masyarakat. Seramai 12 wanita hebat dinobatkan sebagai penerima anugerah Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & Majalah NONA pada malam istimewa ini.
Saksikan persembahan hebat selebriti Salamiah Hassan, Atilia Haron dan Mila Jirin, menyerikan sesi siaran LIVE pada Ahad, 2 Jun 2024 bermula pukul 7.30pm di saluran YouTube, Facebook & TikTok Mingguan Wanita serta Majalah Nona.
Isu ciapan Twitter berbaur sindiran mengaitkan penyanyi rap terkenal Caprice oleh pasar raya Mydin heboh diperkatakan. Tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, penjelasan peguam hebat Nor Zabetha Muhamad Nor ini dilihat ‘membuka mata’ warganet, khususnya berkaitan undang-undang sebagai pengguna di media sosial.
Dalam dunia maya, kita bebas menulis, melontar idea, memberi komen malah boleh sampai ke tahap menjatuhkan mana-mana pihak dengan tulisan itu. Semua orang bebas bersuara tapi usahlah dinormalisasikan budaya sindir ke tahap menjatuhkan orang lain.
Puas dapat membaca tulisan peguam sendiri dalam hantaran Facebook beliau yang bertarikh 20 Oktober 2022 itu.
Nor Zabetha yang menerajui firma Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co kerap mengupas secara santai mengenai pelbagai isu semasa berkaitan undang-undang.
***********************
Memandangkan rata-rata kita dengar saman dan menyaman berkaitan posting. Ambil contoh isu terkini tentang Mydin.
Situasi begini sehinggakan kita orang awam ini, jadi tidak boleh komen apa-apa? Adakah begitu? Tetapi masih ada pihak lain mengeluarkan dan menyingkap kisah-kisah yang lalu. Bagaimana pula?
Di Malaysia, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kebebasan bersuara. Contoh, kalau kita tidak setuju isu silibus tinggi, beg berat dll. Adakah kita sebagai ibu bapa tidak boleh bersuara atau membuat aduan? Bersuara itu boleh tetapi jangan melampau.
Melampau misalnya, melukis gambar Menteri dan menukarkan menjadi imej haiwan kerana marah, menghina dan mencaci maki kerajaan dengan kata-kata kesat.
Kebebasan bersuara kita dapat lihat, dalam medan penulisan politik. Contohnya hentam sana sini, bongkar itu ini oleh kedua-dua pihak. Kadangkala kita baca, keras penulisannya dan ditambah lagi dengan ‘fake account’.
Kalau dikira tulisan begini berjuta setiap tahun di media sosial sama ada dari pemilik akaun atau dari komen awam.
Tetapi selagi mana tidak melampaui undang-undang, contohnya tidak menuduh ahli politik tanpa bukti, tidak menghina kedaulatan raja-raja, tidak menghasut benci agama lain atau bangsa lain, maka bukanlah merupakan kesalahan undang-undang.
Kes-kes saman-menyaman antara ahli politik memang banyak di mahkamah tetapi setiap kes ini, yang meritnya sangat kuat dan ada asasnya. Apabila penuntut memang tahu bahawa kesnya benar-benar kukuh dan si penulis tiada bukti menyokong kenyataannya.
Tulisan-tulisan netizen atau lawak-lawak troll dalam kalangan netizen memang banyak tetapi fokus dalam kalangan ahli politik, VVIP ini adalah kepada kes yang lebih bermerit.
Kadangkala saya terlihat, isu bola sepak antara TMJ dan MB Kedah. Mungkin ada beranggapan keras. Ada beranggapan berani ya tulis begini? Tetapi tidak, peminat bola sepak tahu, itu bakar-membakar namanya. Gurauan kasar tentang bola sepak. Tidaklah saman-menyaman dan tiada juga dakwaan titah murka.
Begitu juga isu kartunis Fahmi Redza dan Putera Mohkata Pahang, yang suka karya satira pelukis itu tentangnya. Tiada juga isu saman-menyaman atau laporan polis.
Hendak buktikan saman fitnah di mahkamah juga bukan mudah. Ada elemen-elemennya. Adakah tulisan merujuk kepada Plaintif? Adakah tulisan itu fitnah atau menjatuhkan reputasi? Adakah disampaikan kepada pihak ketiga?
Cukup elemen, maka boleh saman. Tidak cukup elemen maka ditolak. Ambil situasi kes Dr Maza. Pada tahun 2021, Dr Maza iaitu Mufti Perlis berjaya tindakan saman terhadap aktivis T. Arunakirinathan dengan ganti rugi sebanyak RM150,000.
Di atas, kes Dr Maza menyaman individu dan satu kes lagi, kali ini Dr Maza pula disaman oleh oleh Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zin. Pada September 2022, Mahkamah menolak tuntutan saman yang difailkan oleh Zamihan.
Kalau kita tengok kes diatas, kejap boleh saman dan dapat tuntutan. Kejap tidak boleh. Kenapa? Semuanya tertakluk kepada fakta dan elemen undang-undang.
Ingat, kebebasan bersuara dan atas dasar kebebasan ini, saya boleh menulis. Kalian boleh menulis tentang pelbagai isu ustaz didakwa gangguan seksual, perbicaraan ahli politik, isu semasa dll.
Ingat juga penulisan-penulisan kita jangan sehingga melampau batas dan melangkaui undang-undang.
Oleh Nor Zabetha
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah zahirkan kebimbangan baginda tentang penularan penyakit berjangkit yang terbaharu iaitu wabak cacar monyet.
Walaupun kes jangkitan COVID-19 semakin berkurang dan negara sudah mengumumkan aliran fasa pandemik kepada endemik namun penularan wabak baharu ini semakin membimbangkan.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah zahirkan kebimbangan baginda ketika berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Syawal Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Aktiviti UIAM.
“Walaupun kita dah beralih dari fasa pandemik ke endemik, namun masih ada lagi penyakit lain, jadi menjadi tanggungjawab untuk kita menjaga diri sendiri,” titah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam ucapan ringkas selepas merasmikan Klini Sejahtera UIAM.
Baginda juga turut menyeru orang ramai supaya lebih peka dengan situasi semasa dan pada masa yang sama sentiasa mengamalkan kebersihan diri terutamanya kanak-kanak.
Sebagai info, cacar monyet adalah disebabkan oleh jangkitan ‘orthopoxviruses’ dan virus itu dijangkiti kepada manusia melalui gigitan (haiwan yang dijangkiti) atau sentuhan langsung dengan yang dijangkiti.
Virus cacar monyet telah menyerang beberapa negara termasuk Kanada, Sepanyol, Sweden, Perancis, Itali, Amerika Syarikat, Switzerland dan Austria.
Sumber: BERNAMA
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pesanan arwah papa jadi azimat buat Efin Fawzy. Dilahirkan dalam keluarga yang aktif berniaga dan diberi pendedahan mengenai ilmu perniagaan sejak muda mendorong pengasas...