Tersentuh dengar alunan bacaan ayat suci Al-Quran, Sofizah Mousin. Tidak hairanlah dia mampu merangkul gelaran Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022. Tidak sekadar bergelar juara Qariah tetapi wanita hebat ini juga merupakan seorang pendidik.
Tahun ini genap 11 tahun Sofizah berkhidmat sebagai guru. Dalam kesibukan dengan tuntutan tugas mendidik anak bangsa dan melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, dia juga tidak ketinggalan mengejar impian menimba ilmu Al-Quran.
Sofizah Mousin Johan Qariah & Pendidik
Mengimbas kembali detik gemilang dinobatkan sebagai juara, difahamkan Sofizah telah tiga kali menyertai pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan sebelum memenanginya.
Berkat kelunakan taranum, tajwid dan fasahah yang tepat serta ketenangan Sofizah Mousin mengalunkan bacaan berjaya menambat hati juri pertandingan.
Dia menerima wang tunai RM15,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.
Ads
Sofizah Mousin Bahagia Jadi Ibu & Isteri
18 Mac lepas, Sofizah menyambut ulang tahun perkahwinan kesembilan bersama suami tercinta iaitu Ahmad Asrol Saidi.
Sempena hari istimewa itu, suami kesayangan titip ucapan bermakna buat ratu hati kesayangan, “Syukur Alhamdulillah, hari ini genap 9 tahun kita bersama dalam suka dan duka, dalam ketawa dan air mata. Setiap detik, setiap langkah, kasih sayangmu menjadi kekuatan dan inspirasiku.
Ads
Terima kasih kerana sentiasa ada, menjadi pelengkap dalam hidup ini, dan menjadi ibu yang hebat untuk anak-anak kita. Semoga Allah terus merahmati perkahwinan kita, mengukuhkan kasih sayang ini hingga ke syurga.
Selamat Ulang Tahun Perkahwinan ke-9, sayang! Semoga kita terus melangkah bersama dalam cinta dan iman, hingga ke Jannah.”
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Orked Mur Mikayla dan Iris Marissa.
Ads
Difahamkan, Sofizah Mousin pernah bertugas sebagai guru mata pelajaran Geografi di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sea, Petaling Jaya, Selangor. Kini, dia merupakan pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Alam, Selangor.
Semoga usaha murni wanita ini mengajak khalayak mencintai dan mendalami ilmu Al-Quran dipermudah serta sentiasa menyuntik inspirasi.
Allahu, menceritakan kembali kisah hatinya dijentik hidayah pun sudah membuatkan Zaskia Sungkar meremang bulu roma. Bukan kerana takut semata-mata, sebaliknya perasaan itu turut didorong rasa kagum tentang betapa besarnya kekuasaan Allah SWT terhadap insan kerdil sepertinya. Sebak mengenang dosa-dosa lalu… Zaskia bagaimana pun bersyukur kerana akhirnya ‘ruang kosong’ yang dirasai selama ini telah diisi dengan sesuatu yang sangat berharga.
Membulatkan niat untuk berubah ke arah kebaikan kira-kira tujuh tahun yang lalu, isteri Irwansyah ini mengakui kehidupannya sebelum berkahwin dikelilingi dengan perkara yang melalaikan. “Aku memutuskan untuk menutup aurat tahun 2012 setelah nikah. Tujuan utama adalah supaya aku terpisah daripada pergaulan sebelumnya… ada ‘laluan’ untuk aku dan suami keluar daripada pergaulan kami yang dulu.
Alhamdulillah berhasil… kami perlahan-lahan menjauhi keburukan. Namun, jangan pernah mengadili orang lain sebab kita tak akan pernah tahu yang dia mungkin jadi lebih baik nanti. Sebelum ini aku dan suami menjalani kehidupan tanpa mendalami Islam. Tapi setelah bernikah kami punya tujuan yang sama… supaya pernikahan lebih baik, jadi suami isteri yang lebih punya masa depan baik dan tak terjejas dengan hal-hal yang boleh merosakkan hubungan,” telusnya.
Mendirikan rumah tangga ketika usia baru mencecah 20 tahun dan mengakui masih mentah menjalani hidup sebagai isteri, jauh di benak hati Zaskia tak pernah sekalipun terdetik rasa kesal berkahwin pada usia muda hanya kerana mahu memenuhi permintaan kedua-dua ibu bapanya.
“Aku pernah dipaksa pakai jilbab oleh bapa dan masuk pesantren. Tapi semua itu tidak kekal hingga pada saat bila aku betul-betul putuskan untuk memakai hijab sepenuh hati, papa aku sujud syukur kerana doa papa selama ini termakbul akhirnya.
Di samping suami tercinta, Irwan Syah
Prosesnya (penghijrahan) lama dan aku tak terus dapat ‘panggilan’ dalam hati untuk mendalami ilmu agama dengan cepat. Kalau kebanyakan orang berdoa pada Allah minta balance dunia akhirat, tapi aku dulu doanya hanya kepada duniawi. Ingin anak, ingin rezeki yang banyak… semuanya duniawi saja tak pernah minta bagaimana ditingkatkan iman.
Sampai satu tahap aku seakan ada sesuatu yang hilang dalam hidup. Aku rasa kosong walaupun macam-macam kesenangan dah capai. Solat pun rasa biasa-biasa saja tak ada rasa yang luar biasa. Lantas, timbul persoalan kenapa hidup aku tak tenang, dapat duit pun macam tak cukup. Sampailah terdetik dalam hati, aku hidup untuk apa? Kenapa rasa macam kosong dan tiada tujuan hidup?”, soal Zaskia dalam nada menahan sebak.
Ujarnya lagi, “Alhamdulillah, waktu itu dapat rezeki mengerjakan umrah. Entah kenapa doa aku fokus cuma satu. “Ya Allah tolong lembutkan hati, tolong buka hati aku, sentuh hati aku.” Sampai di Mekah, aku turut berdoa di beberapa tempat mustajab. Tiga hari sebelum pulang, malamnya hati aku tak tenang, tidur pun takut, rasa takut sangat mati.
Zaskia bersama adik, Shireen Sungkar
Aku beritahu suami yang aku takut mati sebab belum punya apa-apa, solat pun tak tahu apa, tak kenal lagi Allah… jadi suami pun ikut nangis. Dia cakap itu hidayah Allah bagi dan cepat ambil. Aku dapat kesempatan untuk buat solat taubat di sana dan mendekati diri kepada Allah. Ternyata seindah ini Islam, ajaran Allah, Al-Quran dan cinta Rasulullah.
Allah baik sangat dan beri kesempatan kepada aku untuk mendekatkan dan memperbaiki diri, mengisi kekosongan. Setelah pulang, aku makin bersemangat. Allah boleh ubah hati manusia. Kita tak pernah tahu bila kita akan berada di atas dan bila di bawah. Aku hanya harapkan supaya tetapkan hati ini jadi lebih baik lagi.
Sampai hari ini, ujian aku memang banyak. Cumanya bila saat datang ujian, aku lebih positif dan anggap Allah masih sayang sebab itu aku diuji. Makin diberi ujian, aku rasa lebih disayangi. Dapat rezeki lebih pun aku rasa ia satu ujian.”
Tersentuh dengar detik penghijrahan Zaskia yang dalam masa sama menimbulkan rasa keinsafan. Adakah Allah tidak sayangkan hambaNya kerana tidak diuji atau hambaNya sendiri tidak rasa diuji kerana terlalu asyik dengan hal duniawi? Wallahu alam.
Walau Zaskia kini berada di landasan yang diredai namun perasaan khuatir tetap masih membelenggu dirinya. “Satu hal yang aku dapat dari penghijrahan ini adalah ketenangan yang selama ini aku tak pernah dapat. Baru sekarang dapat tahu apa itu ketenangan dan ikhlas itu datang dengan sendirinya. Tak mungkin kita tak sedih diuji tapi bila kita yakin dengan ujian yang datang, akan rasa tenang saja.
Kini aku takut cuma satu iaitu kehidupan kita setelah meninggal nanti macam mana. Kadang-kadang kesal dan menangis, malu dengan diri sendiri. Allah sayang pada kita tapi kita tak sedar. Meski belum diberi zuriat dan ramai yang bertanya… masyaAllah, hidup aku tenang saja. Yang penting Allah masih beri umur, kesempatan untuk bertaubat, memperbaiki diri dan inshaAllah aku dan suami masih diberi peluang berpegangan tangan sampai ke Jannah nanti,” akhirinya penuh syukur.
Sumber: Cinta Quran TV
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam usia 36 tahun usahawan produk kecantikan ORGGA, Zazarina Zainal Abidin atau Zaza bukan sahaja sukses dalam perniagaan bahkan memiliki aset serta kehidupan sempurna yang menjadi dambaan setiap wanita.
Memiliki darah campuran Melayu-China, Zaza merupakan ibu kepada dua orang anak berusia 5 dan 2 tahun. Sebelum bergelar usahawan, Zaza pernah bergelar pereka grafik dan web. Setelah memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan, Zaza mendapat sokongan serta turut dibantu sepenuhnya oleh suami tercinta.
IKUT PETUA IBU
“Ibu, Zaleha Ahmad adalah sumber inspirasi saya untuk kekal sihat dan cantik. Salah satu petuanya ialah ibu sering mengingatkan supaya jangan minum air semasa makan atau sejurus selepas makan. Maka, saya hanya minum air setengah jam selepas makan. Ibu juga mengingatkan kami untuk tidak membuat jus buah-buahan sebaliknya ia harus dimakan begitu sahaja kerana kebanyakan zat di dalam buah-buahan akan hilang jika dikisar dan dijadikan jus.
Ibu berkerja dalam bidang kesihatan selama 30 tahun lebih dan beliau juga merupakan penyokong utama ketika saya mahu memulakan perniagaan. Walaupun kini ibu sudah berusia 69 tahun tetapi masih kuat dan sihat. Bayangkan, ibu masih aktif mendaki Gunung Kinabalu, pergi ke luar negara termasuk zon perang untuk misi kemanusiaan dan sebagainya. Saya memang kagum dengan ibu.
Sebab itulah saya menganggapnya juga sebagai ‘hero wanita’ kerana ibulah sumber kekuatan saya. Dalam usianya sekarang ibu masih kelihatan bertenaga, kekal cergas dan aktif.
Selain ikut petua ibu, saya juga lebih suka berbelanja membeli rangkaian produk dari Eropah. Walaupun ia berasaskan bahan-bahan natural dan organik tetapi kesannya sangat efektif serta bahan-bahan yang digunakan sangat berkualiti tinggi dan selamat.
AKTIF MUAY THAI
Setiap hari saya akan sampai rumah (dari pejabat) sekitar pukul 6-7 malam. Setiap malam juga (pada minggu bekerja) saya dan suami akan ke kelas Muay Thai pada pukul 8.30 malam. Tetapi sebelum keluar kami akan meluangkan masa terlebih dahulu bersama anak-anak di rumah. Pulang dari kelas iaitu kira-kira pukul 11.30 malam saya akan menyemak segala perancangan untuk hari esok termasuk membaca buku atau melakukan light research. Sekitar pukul 2 pagi barulah dapat melelapkan mata.
MASA BERKUALITI
Hujung minggu pula adalah waktu berkualiti saya bersama keluarga. Walaupun saya dan suami tidak banyak masa untuk bersama anak-anak tetapi kami cuba memberikan pendidikan yang terbaik buat mereka termasuk menyeimbangkan pelajaran dan hiburan.
Saya jarang keluar bersama rakan-rakan kerana kebanyakan mereka tinggal di Kuala Lumpur, saya pula di Senawang. Namun kalau ada masa, kami akan keluar untuk minum-minum dan membeli belah. Sebenarnya saya lebih selesa keluar bersama suami kerana beliau umpama teman rapat saya. Antara tempat kegemaran kami ketika keluar ialah kedai buku.
NASIHAT & TIP SUKSES
Saya banyak membaca termasuk mengalami sendiri detik susah senang dalam perniagaan. Untuk menjadi usahawan sukses haruslah fokus. Kedua, rajin membuat kajian. Allah SWT mengurniakan otak yang sama untuk berfikir tetapi bergantung kepada individu untuk memanfaatkannya dan sejauh mana kemampuan untuk berfikir.
Generasi sekarang sangat kurang membaca. Membaca artikel di internet tidak sama dengan membaca buku. Amalan membaca menjana tahap kemampuan otak dan cara kita berfikir sekaligus menambah nilai diri kita sebagai manusia dan usahawan.
Bergelar ibu dan usahawan bukan mudah untuk membahagikan masa. Satu perkara yang saya sentiasa amalkan ialah tidak tangguhkan kerja atau niat. Kerana jika kita ingin menunggu masa yang sesuai untuk melakukan sesuatu, masa itu tidak akan tiba dan kerja atau perancangan akan sentiasa tertangguh.
PERNIAGAAN
ORGGA merupakan singkatan perkataan ‘organik’ yang melambangkan konsep produk selain mudah disebut dan diingati. Produk kecantikan ORGGA berasaskan bahan-bahan natural dan organik yang juga memfokuskan kepada penggunaan bahan-bahan botanikal berkualiti. 90 peratus bahan-bahan natural yang digunakan diimport dari United Kingdom, United States, Timur Tengah, Eropah dan China.
Saya berpendapat kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai stigma bahawa produk natural dan organik tidak begitu berkesan dan menunjukkan hasil yang perlahan. Mereka lebih suka memilih produk kecantikan yang kesannya pantas tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang ke atas kulit.
Ia menjadi cabaran buat saya untuk menghasilkan produk natural dan organik yang berkualiti serta berkesan di Malaysia. Justeru, saya mengambil inisiatif dengan menghabiskan masa lebih kurang satu tahun setengah untuk proses RND termasuk mengambil kursus memformulasi produk kecantikan berasaskan natural dan organik dari UK. Semoga produk kecantikan berasaskan natural dan organik terus mendapat sambutan baik di negara kita.”
Zaza merupakan graduan dalam bidang pengurusan teknologi multimedia dari Universiti Multimedia serta jurusan teknologi informasi bisnes dari Universiti Limkokwing.
Kredit Foto: Instagram @zaza_alzahra & @hanzaking
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bermula dengan niat mahu membantu suami, wanita ini tidak kisah bekerja di hotel melakukan tugas housekeeping termasuk pernah jadi pembantu dapur serta menerima gaji sekitar $10 (RM42) sehari waktu itu.
Namun, benarlah kata orang, apa sahaja yang kita usahakan pasti mendapat ganjaran yang setimpal.
Kisah wanita yang mempunyai nama Nor Rafidah Khairuddin ini melakukan pelbagai kerja termasuk pernah jadi pembantu dapur ketika berhijrah ke Kanada pada tahun 2014 tidak terhenti di situ sahaja.
Foto: Koleksi Peribadi Nor Rafidah Khairuddin
Mengambil keputusan mengikut suami tersayang, Abdul Hadi Wisman yang bekerja di Montreal merupakan cabaran baharu buat anak bongsu daripada tujuh beradik ini.
Walaupun tahu cabaran yang bakal ditempuh namun, Rafidah tetap berusaha semata-mata niatnya mahu membantu suami menambah sumber pendapatan keluarga.
Paling kemuncak apabila wanita ini mengambil keputusan untuk mencuba nasib menjual mufin pisang hasil resipi ciptaan sendiri di kafe sekitar bandar Montreal.
Foto: Koleksi Peribadi Nor Rafidah Khairuddin
“Gigih saya berjalan kaki dari satu kafe ke satu kafe di Downtown Montreal untuk memberi tester mufin pisang. Saya pernah ditolak dan tidak ada siapa ingin menerima mufin tersebut ketika itu.
Tapi apa yang saya lalui tak mematahkan semangat dan saya terus kuat mencari peluang tanpa kenal erti putus asa,” kata wanita yang suka tersenyum ini.
Foto: Koleksi Peribadi Nor Rafidah Khairuddin
Rupanya kisah menjual mufin ini menjadi batu loncatan kepada usahawan aksesori wanita ini. Siapa sangka, mufin pisang telah merubah wanita ini menjadi Pengasas butik dalam talian dan fizikal, Sellection.
“Jika dikenang semula semua kisah itu, saya ada kalanya menangis dalam kegembiraan. Tak sangka hasil duit jualan mufin itu, saya hargai diri dengan membeli beg tangan berjenama pertama di Montreal Premium Outlet.
Foto: Koleksi Peribadi Nor Rafidah Khairuddin
Terlintas pula nak jadi personal shopper ambil pesanan dan tempahan daripada rakyat Malaysia. Masa itu niat nak beri peluang mereka yang lain untuk merasa pakai barangan mewah dan berjenama dengan harga mampu milik jenama dari Amerika Syarikat.
“Niat itu dipermudahkan, hingga saya tak sangka boleh memiliki perniagaan menjual beg tangan dan aksesori fesyen wanita dan lelaki yang tulen berjenama seperti Coach, Michael Kors, Fossil dan Kate Spade,” katanya.
Foto: Koleksi Peribadi Nor Rafidah Khairuddin
Ekoran fasa pandemik COVID-19 menyerang, cabaran yang dihadapi mereka ialah butik fizikal terpaksa ditutup dan tidak boleh beroperasi.
“Mujur laman sesawang menjadi penyelamat waktu getir ini kerana 80 peratus jualan diraih daripada situ. Pelanggan boleh membeli-belah secara dalam talian dengan mudah dan cepat di mana-mana sahaja pada bila-bila masa.
“Insya-Allah tiada aral, butik lama akan berpindah ke lokasi baru yang lebih besar tidak lama lagi,” katanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti yang dinanti-nantikan, majlis pernikahan Erra Fazira dan Mohamad Ezwan Mohamad Zain atau Mr E berlangsung penuh indah pada tanggal 12 Disember 2025. Mengambil keberkatan Hari Jumaat, pasangan ini selamat disatukan sebagai suami isteri sekitar jam 9.19 pagi tadi.