Rata-rata sekarang ini semua bidang begitu terkesan dengan perubahan ekonomi dunia. Dengan wabak pandemik yang mengganas, ramai memilih untuk bertukar kerjaya demi kelangsungan hidup. Bagi jurusolek selebriti, Sheila Mohamad, dia mendapat hikmah terbaik dari aturan Allah buatnya.
Kalender Sheila Mohamad sentiasa padat dengan tawaran menyolek selebriti malah dia juga ligat menyolek pengantin untuk hari bahagia. Namun, tersebarnya wabak Covid-19 ini menyebabkan mata pencariannya selama ini tergendala.
Mengakui begitu terkesan dengan situasi ini, Sheila Mohamad menerima dengan hati terbuka malah dia redha dengan apa yang telah ditentukan.
“Kita sebagai manusia tak boleh nak buat apa-apa. Bahayanya wabak ini bukan sahaja mengganggu kesihatan malah boleh meragut nyawa. Saya redha. Iyalah, selama ini sibuk bekerja tetiba terpaksa duduk di rumah tak boleh teruskan bidang yang paling diminati,”katanya.
Ads
Tetapi, bagi Sheila itu bukan penamat. Ada peluang bisnes yang sedang giat diusahakan kini.
“Bila tak boleh makeup, saya akan buat live memasak. Selera Melayu macam saya ni suka pedas jadi saya akan buat sambal belacan sendiri sampaikan ada orang bertanya kalau-kalau sambal tu boleh dibeli.
Sejak PKP lagi saya dah mula buat delivery dan hantar melalui pos sambal belacan resipi warisan mak saya. Alhamdulillah sambutannya sangat menggalakkan! Sambal Cik Midah ni bukan calang-calang tau, sekali cuba mesti nak lagi!”katanya.
Bagi Sheila,walaupun tak banyak rezeki dari penjualan sambal ini, sekurang-kurangnya bolehlah digunakan untuk membayar rumah, bil-bil dan beberapa perkara lain.
“Cili dan bahan sambal belacan semuanya saya order dan mereka hantar ke rumah. begitu juga dengan botol dan container yang diperlukan. Jadi waktu siang tu banyaklah masa untuk buat sambal. Sebelum ni asyik sibuk bekerja sampai nak tengok lantai rumah pun payah!”
Menurut Sheila, dia tahu kemungkinan sukar untuknya meneruskan kerjaya sebagai jurusolek kerana atas saranan kerajaan, beberapa bulan akan datang majlis keramaian tidak boleh diadakan. Jadi sebagai persediaan, saya akan lebih fokus pada penjualan sambal Cik Midah dan bakal mengeluarkan produk face mist, satu kolaborasi bersama jenama produk penjagaan kulit DoctoX. Face mist DoctoX + Sheila M ini akan berada di pasaran sebelum Hari Raya nanti.
Hikmah PKP terlalu banyak. Saat ini Allah beri idea kepada saya dan membuka mata yang banyak lagi perniagaan boleh dijalankan. InsyaAllah semoga lepas ni lebih banyak lagi yang boleh saya ceburi. Dan saya berharap juga agar wabak Covid-19 ini akan terus hilang supaya kita boleh mulakan hidup dengan lebih baik. Tak sabar nak balik kampung jumpa Cik Midah dan ayah!”katanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pada usia memasuki 40 tahun tanda-tanda penuaan sebenarnya akan semakin jelas kelihatan. Perubahan ini lebih ketara pada bahagian kulit terutama wajah. Namun, ia tidak seharusnya menjadi satu bebanan, bukankah tanda-tanda ini mampu memberi kesedaran pada kita.
Antara artis wanita yang menyambut ulang tahun ke 40 tahun ini termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Maya karin dan Kate Hudson. Namun begitu, walaupun usia mereka mencecah 40 tahun, namun dek kerana penjagaan wajah yang menjadi amalan sejak zaman gadis lagi membantu mereka mengekalkan kejelitaan kulit.
Malah kini, ungkapan age is just a number boleh dijadikan panduan untuk kekal jelita walaupun usia sudah mencecah 40 tahun ke atas asalkan rutin penjagaan wajah diberi perhatian khusus.
Lagi pun mengapa perlu risau kerana di pasaran terdapat pelbagai produk yang membantu melambatkan tanda-tanda penuaan seperti berikut: Kedutan dan garis penuaan
Dengan terjadinya penuaan,kedutan adalah tanda pertama yang paling jelas kelihatan dan harus diperhatikan. Biasanya ia mudah dialami oleh mereka yang memiliki kulit jenis kering.
Selain itu, di sekitar bawah mata akan mengalami garis-garis halus. Penebalan yang tidak sekata pada lapisan kulit ditambah pula kekurangan air pada lapisan bawah kulit akan mempercepatkan lagi proses kedutan pada kulit anda.
Kulit kusam
Kolagen bertindak menjaga kulit namun ketika proses penuaan berlaku urat semakin kendur dan kadar kolagen semakin menurun sekali gus menyebabkan kulit menjadi longgar dan tipis. Selain itu kulit akan kehilangan lemak dan jaringan. Lantaran itu, kulit menjadi kusam dan tidak bermaya. Kulit kering
Kulit menghasilkan sebum sendiri bagi melindungi dan mencegah kehilangan kelembapan kulit. Namun, seiring dengan bertambahnya usia, keupayaan kulit menghasilkan sebum semakin berkurangan sekali gus menyebabkan kulit mudah rapuh dan kering terutama di bawah sinaran matahari yang terik.
Ditambah pula dengan keadaan cuaca yang sejuk, iklim yang kering dan berangin mudah menjadikan kulit anda bersisik dan mudah menimbulkan rasa gatal. Bintik hitam
Peningkatan usia sekali gus menyebabkan kulit seseorang turut mengalami perubahan. Antaranya, bintik-bintik coklat pada kulit kita pun akan mula timbul atau juga dikenali sebagai bintik-bintik hitam terutama di bahagian wajah.
Pada tahap awal bintik-bintik tersebut berwarna terang, namun pada akhirnya bintik-bintik tersebut akan berubah menjadi warna coklat sekali gus menjadi masalah pada kulit anda. Hal ini disebut dengan penuaan semula jadi.
Bintik-bintik ini juga boleh menyebabkan masalah ketika anda menyapu solekan pada wajah. Ia biasanya berlaku disebabkan pendedahan diri secara berterusan kepada sinaran ultra ungu atau terdedah pada sinaran matahari dalam tempoh yang lama tanpa menggunakan topi atau krim pelindung kulit wajah. Liang-liang roma terbuka
Faktor genetik dan usia antara dua faktor utama yang membolehkan pori-pori atau liang-liang roma pada kulit membesar. Kebiasaannya, ia berlaku kepada mereka yang memiliki kulit tebal dan berminyak.
Terdedah lama pada sinaran matahari, kotoran, bakteria dan keanjalan kulit menurun juga antara faktor menyebabkan liang-liang roma membesar dan terbuka.
Tip untuk kekal muda
1. Lindungi kulit wajah daripada sinaran matahari antara langkah terbaik untuk mencegah kulit dari mengalami masalah penuaan lebih awal. Pakai krim pelindung cahaya matahari atau pelembap dengan SPF 28 atau lebih setiap kali anda berada di luar mahupun di dalam bilik berhawa dingin.
2. Merokok dapat menyempitkan pembuluh darah, yang mana dapat menurunkan aliran darah selain mengurangkan perjalanan oksigen dan nutrisi ke sel-sel kulit. Ia juga menyebabkan kulit anda menjadi kusam selain timbul bintik-bintik coklat.
Merokok juga menyebabkan proses penghasilan kolagen lambat pada kulit anda. Jadi, untuk mendapatkan kulit yang sihat dan bercahaya, berhenti merokok.
3. Gunakan pelembap anti-penuaan, ia membantu meningkatkan kapasiti air pada kulit. Selain itu, Vitamin A yang turut membantu dalam menjaga kulit yang terhidrasi. Pastikan anda mendapat vitamin A dari makanan seperti keju, ikan Kod dan telur.
4. Penggunaan kosmetik juga dapat membantu memperbaiki tekstur kulit. Garis-garis halus dan kulit kedut dapat ditingkatkan dengan memperbaiki permukaan kulit (resurfacing) melalui kaedah dermatologi, pengelupasan kimia (chemical peeling), laser atau mikro dermabrasi.
Peeling juga dapat membantu untuk meratakan warna kulit dan memperbaiki tekstur kulit.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lama tak dengar khabar Sasha Saidin. Sejak berkahwin dengan jejaka kelahiran Pulau Pinang pada Januari 2020, penyanyi cantik ini tidak lagi aktif dalam dunia seni dan memberi lebih tumpuan kepada keluarga tersayang. Apatah lagi, Sasha kini menetap di luar negara.
Aktif berkongsi aktiviti harian dan perkembangan keluarga di media sosial, Sasha atau nama sebenarnya Sasha Mohd Saidin kian bahagia di samping anak dan suami tercinta.
Sebaik kembali bergelar isteri selepas lapan tahun menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal, Sasha yang sah bergelar suri hati Sirhan Wahab memutuskan untuk berhijrah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mengikuti suaminya bertugas dalam sektor kewangan di sana.
Dalam perkongsian terbaharu, kakak Zain Saidin ini menzahirkan rasa syukur dapat menikmati momen berbuka puasa di samping rakyat Malaysia yang bermastautin di sana. Lebih menarik, majlis iftar berkenaan turut dihadiri Menteri Luar iaitu Dato’ Seri Mohamad Hasan.
“Terima kasih di atas jemputan Kedutaan Malaysia bahagian Consulate Dubai ke majlis ‘Ihya Ramadan’ 1446H semalam yang diadakan di Rumah Malaysia yang terletak di Dubai ini.
Kami juga amat teruja kerana di majlis itu, turut hadir Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan atau dikenali juga sebagai Tok Mat yang merupakan Menteri Luar Negeri Malaysia yang sudi berbuka puasa dengan rakyat Malaysia yang bermaustautin di UAE ini.
Walau pun sudah hampir enam tahun saya telah berpindah ke UAE untuk menemani suami yang bekerja di sini namun ini kali pertama saya dapat berpeluang untuk mengunjungi ke Rumah Malaysia dan berbuka puasa dengan rakyat Malaysia lain yang pasti merindui suasana Ramadan di Malaysia seperti saya.”
20 Disember tahun lalu, penyanyi anggota kumpulan Elite ini genap berusia 48 tahun. Dia berkahwin dengan Sirhan Wahab pada Januari 2020 dan pasangan ini menetap di Dubai.
Hampir enam tahun berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sasha yang juga suri rumah tangga tetap aktif dan bekerja secara sambilan di sana sebagai pengacara majlis, modelling dan memenuhi tawaran nyanyian.
Jelitawan ini pernah berkahwin dengan Johan Abdullah Skinner pada tahun 2003 namun berpisah selepas empat tahun mendirikan rumah tangga. Sasha kemudian bernikah dengan jejaka Indonesia iaitu Salyo Priyanto pada tahun 2007.
Bagaimana punbercerai pada tahun 2012. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama Adam Aryasenna Notosoemarsono.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perlantikan sebagai Profesor Perubatan Diabetes dan Metabolik di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Nottingham, United Kingdom bukan sahaja kemuncak kejayaan peribadi Prof Dr Iskandar Idris malah melakar sejarah buat Malaysia.
Ini membuktikan anak Malaysia mampu bersaing di universiti bertaraf antarabangsa dan menjadi pendorong serta sumber inspirasi kepada rakyat negara ini khususnya golongan muda.
Tidak menyangka akan dipilih menyandang jawatan tersebut pada Januari 2022, Dr Iskandar, 52, menyifatkan pencapaian itu berkat usaha dan penat lelahnya selama ini sekali gus menjadi pengiktirafan tertinggi buat dirinya di persada antarabangsa.
Universiti Nottingham tersenarai dalam Kumpulan Russell yang terdiri daripada 24 universiti penyelidikan awam berprestij di United Kingdom dan ditubuhkan pada tahun 1798, kemudian menjadi kolej Universiti pada tahun 1881.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati memandangkan Universiti Nottingham sangat kompetitif. Bukan satu laluan mudah untuk seseorang itu dilantik menyandang jawatan ini. Saya juga turut menjalankan penyelidikan dalam rawatan baharu untuk penghidap diabetes,” katanya.
Menurut Dr Iskandar, beliau meluangkan 50 peratus daripada masanya untuk memberi perhatian kepada kajian dan penyelidikan manakala sebahagian lagi dihabiskan dengan melakukan rutin klinikal.
Selain persaingan sengit, beliau turut diuji dengan pelbagai cabaran dalam proses menjalankan penyelidikan serta kajian di perantauan.
Menurut anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini, kekangan kewangan, masalah mendapatkan dana, beban tugas selain pada masa sama terikat dengan tanggungjawab pekerjaan hakiki antara isu yang harus ditangani secara bijak.
Ditanya mengenai pemilihan bidang diabetes untuk diterokai berbanding bidang lain, Dr Iskandar menjelaskan penyakit itu dilihat semakin meningkat dan mengancam masyarakat di negara ini.
“Faktor kedua ialah pengkhususan dalam diabetes turut membabitkan endokrinologi iaitu kajian tentang kelenjar endokrin dan rembesan hormon, jadi bidang ini turut membabitkan banyak penyakit lain.
“Misalnya diabetes turut mencakupi aspek kesihatan mata, buah pinggang, jantung, kaki selain melibatkan pelbagai golongan pesakit kanak-kanak, wanita hamil selain kami turut melakukan praktis perubatan am,” jelasnya.
GIAT JALAN PENYELIDIKAN Mendapat sokongan padu daripada bapanya, bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Idris Abdul Rauf, beliau menyatakan isterinya, Hayley Hobbs Iskandar serta tiga anak mereka Zakary (17), Luq (14) dan Erica (12) turut menjadi tulang belakang utama.
“Bapa saya insan paling banyak memberi dorongan dan inspirasi untuk saya terus berjaya dalam bidang yang diceburi. Beliau amat menyokong anak-anaknya untuk terus belajar dan mendalami ilmu.
“Isteri sangat memahami minat dan kerjaya saya memandangkan beliau juga dalam dunia perubatan,” katanya.
Isteri Dr Iskandar merupakan tenaga pengajar di Universiti Nottingham dan jururawat di Jabatan Kardiologi.
Berkongsi perjalanan kehidupannya, Dr Iskandar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Petaling Jaya, sebelum bersekolah menengah di Victoria Institution, Kuala Lumpur.
“Pada tahun 1988, saya melanjutkan pengajian di Universiti Nottingham dalam jurusan perubatan. Pada tahun 1994 saya menamatkan pengajian dan bergelar doktor.
“Selain itu saya turut menjalankan penyelidikan Eksperimen Farmakologi Kebolehtelapan Endothelial dan Rintangan Insulin ketika berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Nottingham, United Kingdom dari tahun 2000 hingga 2002,” katanya.
Dr Iskandar menjalani latihan perubatan am di Birmingham dan menamatkan latihan kepakaran dalam bidang Diabetes, Endokrinologi dan Perubatan Am pada tahun 2004.
Beliau juga Pakar Perunding Kehormat di Hospital Pengajar Derby, pakar perubatan utama Institut Bariatrik dan Metabolik East Midlands, England di Hospital Pengajar Derby selain menganggotai Persatuan Pakar Perubatan Pengkhususan dalam Obesiti UK (APSO-UK).
Kini, beliau giat meneruskan penyelidikan dalam bidang terapeutik dan pemakanan dalam aspek obesiti, metabolisme otot dan komplikasi vaskular diabetes.
Dr Iskandar turut berperanan sebagai Pengetua Penyiasat Majlis Penyelidikan Perubatan (MRC) Pusat Penyelidikan Arthritis United Kingdom untuk Kumpulan Penyelidikan Penuaan Muskuloskeletal dan Perubatan Vaskular.
Di samping hasil kajian dan penyelidikannya diterbitkan secara meluas dalam bidang diabetes, obesiti dan farmakologi, beliau turut aktif menyampaikan syarahan dalam aspek klinikal dan penyelidikan di dalam dan luar negara.
Menyentuh mengenai diabetes di Malaysia, Dr Iskandar berpendapat rakyat negara ini memiliki tahap kesedaran yang tinggi terhadap penyakit tidak berjangkit itu.
Namun katanya, kekangan kos perubatan yang tinggi terutama bagi membiayai kos rawatan baharu memberikan sedikit kesulitan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan terbaik.
“Diabetes berlaku di mana-mana sahaja sama ada di England atau Malaysia, sehingga memaksa (sektor) penjagaan kesihatan bekerja keras dalam merawat pesakit diabetes terutama yang berisiko tinggi,” jelasnya.
Dr Iskandar menambah, faktor genetik termasuk trend tertentu melibatkan etnik berbeza seperti Melayu, Cina serta India, diet harian, gaya hidup dan kurang bersenam adalah antara penyebab kepada diabetes.
“Masyarakat perlu melakukan langkah pencegahan dengan menjalani gaya hidup sihat selain mengawal pengambilan makanan yang mengandungi lemak dan karbohidrat mengikut keperluan tubuh.
“Paling penting, pesakit melakukan rutin pemeriksaan seperti mata, buah pinggang dan jantung sebagai langkah berjaga-jaga dalam berdepan risiko komplikasi penyakit yang berkait rapat dengan diabetes,” katanya.
Sumber: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.