Dalam era moden yang serba pantas ini, kesihatan jantung sering kali terabai, khususnya dalam kalangan wanita aktif yang sibuk mengurus kerjaya, keluarga dan komitmen sosial. Namun, satu revolusi dalam teknologi perubatan kini membuka lembaran baharu dalam rawatan jantung di Malaysia. Institut Jantung Negara (IJN) kini memperkenalkan teknologi perentak jantung dwi-ruang tanpa wayar pertama di dunia, dikenali sebagai AVEIR™ DR, satu langkah besar dalam memperkasa penjagaan jantung wanita.

AVEIR™ DR merupakan satu pencapaian luar biasa dalam dunia perubatan kardiologi. Teknologi ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada sistem pacemaker tradisional, tetapi turut membuka harapan baharu kepada golongan pesakit yang sebelum ini mempunyai kekangan untuk menjalani prosedur implan. Dalam konteks wanita Malaysia, ini bermakna lebih ramai pesakit berpeluang mendapat rawatan yang lebih selamat, efisien dan bersesuaian dengan gaya hidup aktif mereka.

AVEIR™ DR: Inovasi Tanpa Wayar, Harapan Baharu

Diluluskan oleh FDA Amerika Syarikat pada Jun 2023, sistem AVEIR™ DR menandakan era baharu dalam rawatan pesakit yang mengalami masalah degupan jantung perlahan atau tidak teratur. Berbeza dengan pacemaker tradisional, sistem ini tidak memerlukan wayar atau poket pembedahan, sekaligus mengurangkan risiko jangkitan, saluran darah tersumbat atau kerosakan mekanikal.

Teknologi ini membolehkan kedua-dua perentak jantung ditanam secara bebas dalam dua ruang jantung berbeza dan berkomunikasi antara satu sama lain menggunakan gelombang frekuensi tinggi. Ini menjamin penyelarasan degupan jantung yang optimum tanpa perlu bergantung kepada teknologi lama seperti Bluetooth atau radio biasa. Ketiadaan wayar juga membolehkan pergerakan pesakit lebih bebas dan mengurangkan komplikasi jangka panjang.

Ads

Menurut Dr Azlan Hussin, Pakar Perunding Kanan di IJN, inovasi ini membolehkan penyelarasan degupan secara “real-time” dan berterusan antara dua perentak yang ditanam dalam bilik jantung yang berbeza. Teknologi komunikasi frekuensi tinggi antara dua peranti ini menjadikan ia sangat berkesan tanpa menggunakan kaedah tradisional seperti Bluetooth atau isyarat radio biasa. Beliau juga menekankan bahawa sistem ini memberikan kelebihan dari segi ketahanan bateri dan fleksibiliti prosedur pemantauan serta penggantian sekiranya perlu.

Impian Wanita Lebih Sihat & Aktif

Wanita masa kini sering berdepan tekanan dan gaya hidup tidak menentu, sekaligus meningkatkan risiko penyakit jantung. Teknologi AVEIR™ DR bukan sahaja memanjangkan jangka hayat peranti dengan penggunaan tenaga bateri rendah, tetapi juga memberikan diagnosis serta penyelarasan rawatan secara berterusan. Ia direka khusus untuk mengenal pasti dan merawat irama jantung yang tidak normal dengan ketepatan tinggi.

Ads

Kemudahan dan keselamatan yang ditawarkan oleh teknologi ini membantu wanita untuk kekal aktif dalam kehidupan harian tanpa gangguan. Sama ada mereka menjalankan tugas profesional, mengurus keluarga atau melibatkan diri dalam aktiviti sosial, perentak ini memastikan jantung mereka terus berfungsi dengan sempurna.

“Teknologi baharu ini membuka peluang untuk golongan yang mempunyai irama jantung tidak normal untuk hidup lebih sihat dan bermakna,” ujar Dr Azlan. Tambah beliau, IJN akan terus menerajui penggunaan teknologi inovatif bagi meningkatkan taraf kesihatan rakyat Malaysia dan memberi fokus kepada kualiti hidup jangka panjang pesakit.

IJN Terus Unggul Dalam Penjagaan Jantung

Ads

Sebagai pusat rawatan jantung terkemuka sejak 1992, IJN terus menerajui inovasi teknologi dan menjadi rujukan utama di Asia Tenggara. Malah, pada tahun 2018, IJN menjadi hospital pertama di luar Amerika Syarikat yang melakukan implan Micra AV, perentak jantung terkecil di dunia.

IJN bukan sahaja berjaya melahirkan ramai pakar kardiologi bertaraf dunia, tetapi juga telah memperkenalkan pelbagai teknologi terkini dalam prosedur rawatan dan pembedahan. Kejayaan memperkenalkan AVEIR™ DR membuktikan komitmen berterusan IJN dalam membawa perubahan positif kepada sistem penjagaan kesihatan negara.

Dengan pelancaran AVEIR™ DR, IJN sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai pelopor penjagaan jantung bertaraf dunia. Mereka juga giat menjalankan latihan dan penyelidikan bersama institusi antarabangsa bagi memastikan teknologi ini dapat dimanfaatkan secara meluas.

Dengan adanya teknologi seperti AVEIR™ DR, masyarakat kini memiliki peluang yang lebih luas untuk mengawal kesihatan jantung mereka dengan cara yang lebih bijak dan moden.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI