Janna Nick suatu nama yang tak perlu diperkenalkan lagi dalam industri hiburan. Pelakon dan pengacara ini bijak merencana perjalanan karier seni yang diceburinya sehingga berada di kelas yang tersendiri. Malah wanita yang mempunyai nama sebenar Nurul Jannah Muner ini juga mempunyai rangkaian perniagaan miliknya.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Ketika mengadakan pertemuan dengan Janna Nick sedikit masa dahulu sempat diajukan bertanyakan tentang sudah tercapaikah matlamat hidupnya, jawabnya, “Kalau kata cukup ke tak memang tak cukup sebab saya kena jaga satu keluarga.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Kalau jaga diri sendiri memang lebih dari cukup tapi sebab saya kena jaga banyak orang. Saya kena pastikan adik-adik dan ibu hidup selesa. Tapi, saya bersyukur dengan segala rezeki yang diberikan kepada saya,” tutur Janna Nick lembut.
Ads
Foto: Koleksi Majalah Nona
Bagaimana pula Janna Nick membahagikan masa? “Sekarang saya tak ada masalah untuk membahagikan masa. Semua perfect sekarang. saya kalau tak pergi mana-mana memang suka duduk kat rumah.
Saya juga seorang yang suka membaca. Dulu kalau sebelum bekerja dalam sebulan boleh habis satu buku. Sekarang mungkin dalam 3 bulan baru habis sebuah buku. Saya suka baca novel tebal-tebal. Sebab saya bersekolah di asrama, itu sebab dah terbiasa baca novel,” ujar bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA, Pendang ini.
Ads
Foto: Koleksi Majalah Nona
Bagaimana me time mempengaruhi Janna Nick? “Saya rasa me time buat kita lagi tak stres. Me time akan buat saya lagi rileks, kerja yang kita buat akan jadi lebih elok. Kalau kita macam back to back kerja dan tak ada masa untuk diri sendiri at the end of the day mungkin kita boleh senyum saja,” kata wanita ini.
Foto: Koleksi Majalah Nona
Janna Nick juga sudah mula urus kewangannya, “Saya mula urus kerjaya dan kewangan bermula apabila saya mahu beli rumah. Impian ini sudah tercapai bila saya berjaya beli rumah pertama lima tahun lalu. Saya punya azam dalam hidup nak beli rumah dan kumpul aset. Saya bukan jenis orang yang boros dan tak memilih jenama.
Ads
Foto: Koleksi Majalah Nona
Satu lagi impian saya agar produk saya di terima di luar Malaysia. Memang saya nak go global dan fokus dalam bisnes, insyaallah,” bicara pemilik jenama White Fluffy dan Sephia by Janna Nick ini.
Foto: Instagram @jannanick
Kisah cinta di antara Janna Nick dan jejaka kacukan Pulau Pinang dan Switzerland, Dini Schatzmann bukan lagi rahsia. Bercerita tentang impian perkahwinannya, “Kalau boleh, majlis perkahwinan saya nanti saya mahu bersama orang-orang kampung memeriahkan majlis saya. Rewang, makan ramai-ramai dan kalau boleh jemputan pun terbuka. Misalnya tak cukup makanan, saya akan sediakan food truck sekali! itu impian saya,” katanya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Gelaran pensyarah muda yang memiliki PhD (Doktor Falsafah) menjadi status terhebat buat wanita berusia 33 tahun ini sekaligus menjadikan dirinya sebagai figura inspirasi buat seluruh kaum wanita.
Dr Nur Kamilah Yusuf atau lebih mesra disapa sebagai Dr Kim menggalas peranan sebagai pensyarah di jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Dr Nur Kamilah Yusuf.
Dr Kim berjaya membuktikan bahawa kemampuan wanita juga setanding kaum lelaki khususnya dalam kerjaya bagi mengemudi tanggungjawab besar sebagai seorang ketua.
LATAR BELAKANG Pada usia yang masih muda Dr Kim berjaya menggenggam PhD serta bergelar pensyarah muda dalam bidang Kejuruteraan Aeronautik. Beliau kini mengajar subjek Matematik Kejuruteraan, Lukisan Kejuruteraan, Etika Profesional (Pembuatan Pesawat) dan Instrumen Pesawat.
Figura inspirasi wanita muda.
Dr Kim dilahirkan sebagai anak kepada pasangan pendidik iaitu bapanya, Yusuf Md Sheh serta ibu, Salbiah Mostam. Beliau dibesarkan dalam suasana persekitaran yang penuh dengan ilmu. Beberapa tahun lalu, Dr Kim menerima penganugerahan Doktor Falsafah Kejuruteraan Mekanikal daripada UTHM.
Dr Nur Kamilah bersama suami tersayang.
Bukan calang-calang jurusan yang diceburi iaitu kejuruteraan serta sektor penerbangan dan aeronautik membuktikan kemampuan Dr Kim sebagai seorang superwoman. Dr Kim berjaya membuktikan kemampuannya memecahkan monopoli kaum lelaki dalam bidang kejuruteraan.
Sehingga tahun 2018 Dr Kim merupakan pensyarah termuda yang memiliki PhD di UTHM. Beliau juga merupakan tenaga pengajar yang diiktiraf oleh Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) bagi sekolah penerbangan, Asia Aeronautical Training Academy.
Lebih membanggakan lagi, Dr Kim turut mencipta rekod apabila berjaya membawa pasukan UTHM Everest Golden Quarter merealisasikan misi mengibar bendera di Kem Dasar Tertinggi Everest 3 tahun lalu sempena Hari Malaysia dan ulangtahun UTHM ke-25. Sekaligus berjaya mencatat nama UTHM dalam Malaysia Book of Records dengan rekod Highest Altitude Lectures.
Dr Kim juga merupakan pemenang tunggal Malaysia bagi Grand Prize Award dalam Seoul International Innovation Festival.
Ibu bapa yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan Dr Nur Kamilah selama ini.
Ketika saya mengambil jurusan kejuruteraan, ramai yang menjangkakan saya tidak mampu melakukannya kerana ia agak lasak. Namun bagi saya jika ada kesungguhan dan restu ibu bapa pasti segalanya dipermudahkan,” ungkap Dr Kim yang merupakan isteri kepada seorang juruterbang, Munzir Muaaz.
CABARAN “Seperti yang kita tahu, cabaran bekerja di dalam bidang kejuruteraan ialah apabila kerjaya ini dimonopoli oleh kaum lelaki. Untuk bertahan di dalam bidang ini seseorang wanita itu haruslah bersedia dari segi fizikal dan juga mental. Saya bersyukur kerana ibu dan bapa menjadi pendorong serta tulang belakang yang paling kuat sejak kecil.
Pasangan bahagia.
Terbanglah setinggi mana yang dimahukan tetapi usah lupa untuk selalu tunduk ke bawah,” kongski Dr Kim yang turut aktif dalam aktiviti lasak seperti mendaki gunung.
RUTIN & GAYA HIDUP “Setiap hari saya akan bangun dengan secawan kopi dan merangka to-do-list bagi hari tersebut. Ini bagi memastikan segala tugasan dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan. Aktiviti di gim, joging dan hiking dilakukan empat kali seminggu. Inilah sebenarnya masa untuk diri saya atau me time,” jelas Dr Kim.
Me time bersama.
HARAPAN “Saya tidak akan berhenti dalam menuntut ilmu dan berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi. Tiada istilah berhenti menuntut ilmu dalam kamus hidup saya.”
Kredit Foto: Instagram @nurkamilahyusuf
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Satu ketika dahulu, Lynn Alkhaired sering menjadi bualan bukan sekadar bakat lakonannya yang mantap malah turut terkenal dengan jolokan nama ‘Julia Roberts Malaysia’ hanya kerana iras wajahnya yang persis aktres antarabangsa tersohor itu.
Agak lama juga kita tidak mendengar cerita tentang Sharifah Norazleenda Syed Abu Bakar Al Khaired atau nama komersilnya Lynn Alkhaired. Dramatis popular ini seakan ‘membisu’ seketika dari dunia seni tanahair.
Bersama sahabat baik, Ezurin.
Biarpun usianya kini mencecah 48 tahun namun Lynn masih kelihatan anggun. Kini bidang seni bukan lagi menjadi keutamaan buat Lynn kerana dia kini ligat mengusahakan perniagaan pastrinya iaitu ‘Dapur Lynn Alkhaired’ yang dilakukan di rumah.
DAPUR LYNN ALKHAIRED
“Bisnes online ni lebih kepada biskut, dessert dan kek. Antara signature product saya ialah Red Velvet Cookies dan brownies. Mula-mula tu saya buat sekadar suka-suka saja sebab banyak masa di rumah menjaga anak-anak.
Mulanya saya tak jual, bagi saja kepada kawan-kawan untuk rasa. Tapi mereka pula yang cadangkan untuk saya buat bisnes. Saya pun setuju dan buat bisnes suka-suka saja. Dari situlah bermulanya bisnes online saya.
Alhamdulillah makin lama makin banyak sambutan. Secara tak langsung saya makin bersemangat untuk teruskan, pendapatan pun dapat. Walaupun cuma hobi tapi ia memberikan pulangan.”
JATUH CINTA DENGAN MUAY THAI
Lynn Alkhaired berkongsi pengalaman di mana sebelum ini dia pernah mempelajari Muay Thai. Menariknya, dengan inisiatif sendiri Lynn sanggup turun ke Phuket semata-mata nak belajar teknik dan skill tinju tradisi Thailand itu. Bangga betul dengan ibu anak lima ni!
“Saya memang suka fitness sejak kecil. Pantang dengar muzik saya akan terus menari. Bila dah dewasa saya buka gim pertama yang berkonsepkan kecergasan dan bina badan. Selepas lima tahun saya jual gim tu.
Kemudian saya mengikuti perkembangan aktviti kecergasan semasa. Yang tengah popular ketika itu ialah sukan Muay Thai dan MMA. Saya pun pergilah bertemu dengan rakan-rakan serta pemilik gim yang berpengalaman.
Selepas itu saya buat keputusan untuk mengambil kursus jangka pendek di Phuket selama seminggu. Saya ke sana seorang diri saja. Saya menyertai sebuah pusat latihan Muay Thai yang ada short course setiap pagi dan petang selama 5-6 hari.
Akhirnya saya tertarik dan seronok dengan sukan ini walaupun ia agak lasak. Kepuasannya bukan saja dari segi kecergasan badan malah dapat membakar banyak kalori serta mendapat ilmu mempertahankan diri.
Sepanjang berada di situ saya lihat bukan golongan dewasa saja yang datang belajar, kanak-kanak pun ada. Umur antara 10-11 tahun, mereka dah dilatih dengan latihan tradisional Muay Thai.
Balik saja Malaysia saya rasa rindu dan ‘ketagih’ dengan Muay Thai. Lalu saya buat keputusan untuk membuka gim baru yang berkonsepkan MMA dan Muay Thai. Maka dari situlah bermulanya bisnes dan juga aktiviti sukan Muay Thai saya.”
Lynn juga merupakan pemilik MuayFit Damansara Perdana yang pernah menganjurkan acara KL Fight 2018 secara besar-besaran sekitar tahun lalu.
“Dari segi kecergasan Muay Thai sangat bagus untuk wanita terutama yang nak cepat kurus. Sebab ia melibatkan latihan kardio yang non-stop, lasak dan tangkas sehingga dapat mengecilkan otot-otot badan. Yang penting kena praktis selalu dan tak boleh berhenti. Kena ada minat dan tekad. Kalau tak minat kita akan cepat give up.
Muay Thai juga bagus untuk kecergasan badan dan minda kerana banyak menggunakan otak ketika mempraktikkan teknik-tekniknya. Dengan ilmu Muay Thai kita boleh guna untuk mempertahankan diri terutama ketika diserang. Percayalah, apa yang kita belajar akan keluar secara spontan. Muay Thai memang sangat bagus bukan saja untuk wanita bahkan kanak-kanak juga.
BERALIH KEPADA YOGA
Kemudian saya beralih angin pula ke yoga. Dalam usia begini saya memerlukan aktiviti yang lebih tenang dan santai. Tak salah sebenarnya kalau ada yang nak meneruskan Muay Thai walaupun umur dah mencecah 50 atau 60 tahun sekalipun asalkan konsisten dengan latihan, kekalkan stamina dan keazaman yang kuat.
Saya sekarang dah tak praktis sebab minat ke arah Muay Thai tu dah semakin berkurangan. Selain yoga kini saya juga aktif dengan aktiviti mendaki. Dengan mendekati alam semula jadi dapat menjadikan jiwa lebih tenang.
Mendaki ni juga kepuasannya apabila kita sampai di puncak dan dapat melihat pemandangan ciptaan Allah SWT yang sangat menakjubkan di samping mendengar bunyi burung-burung serta unggas. Subhanallah sangat mendamaikan!
DIDIKAN AGAMA KEPADA ANAK-ANAK
Saya memberikan kasih sayang dan didikan sama rata terhadap lima orang anak. Yang sulung, Alif Ronan lebih kepada pengajian Islam. Impiannya ingin melanjutkan pengajian dalam bidang usuluddin.
Lynn Alkhaired bersama anak lelakinya, Alif Ronan.
Cita-citanya itu sangat tinggi tapi saya tak kisah dan tak pernah paksa Alif untuk jadi apa yang saya nak. Yang penting saya cuba untuk pupuk apa yang dia minat asalkan ianya tidak lari daripada fitrah manusia yang normal. Bagi saya anak-anak perlu memiliki asas agama yang kukuh terlebih dahulu. Tentang kerjaya pula just follow the flow.”
Kredit Foto: IG @dapur.lynn.alkhaired
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Baru berusia 30 tahun tapi pelbagai kejayaan membanggakan telah dikecapi wanita muda ini. Mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sejak zaman universiti lagi, Nur Liyana Abdul Rahman atau mesra disapa Yana mampu tersenyum bangga apabila kerja keras selama ini membuahkan hasil menguntungkan. Lebih manis, daripada perusahaan pakaian… Yana yang merupakan pengasas LeeyanaRahman turut mengembangkan sayap perniagaan dalam industri kosmetik dan terbaharu, bisnes makanan!
Diam tak diam dah sembilan tahun jenama LeeyanaRahman berada di pasaran. Seperti kebanyakan usahawan lain, Yana juga terlepas ditipu dan berdepan situasi sukar saban tahun. Bagaikan sudah lali dengan kritikan pelanggan, Yana bagaimana pun cekal mengharungi dugaan dan sedaya upaya memperbaiki kualiti perniagaan pada masa depan.
Terus kreatif mempelbagaikan cabang bisnes yang ada, Yana ketika dihubungi Nona teruja berkongsi perkembangan terbaharu LeeyanaRahman. “Sejak PKP butik sekejap tutup sekejap buka. Jadi kami memang 100% fokus kepada online retail and reseller. Buat masa sekarang, kami tengah tunggu production koleksi Raya 2021 untuk siap. Di samping itu, kami juga tengah dalam proses membesarkan warehouse dua kali ganda dari asal.
Selain sedang sibuk uruskan bisnes baru iaitu ‘Tepung Pengaseh’ yang akan dilancarkan pada 12 Mac ini. Alhamdulillah, walaupun stok belum ada tapi kami sudah menerima stokis dan agen yang berdaftar yang dah purchase almost 200 orang dah. Tepung Pengaseh ialah bisnes tepung instant yang customer boleh buat kek dalam masa tak sampai 3 minit. Banyak kelebihan Tepung Pengaseh ini dan syukur permintaan sangat-sangat tinggi.”
Ditanya aktiviti Yana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19, ibu kepada seorang cahaya mata ini menjelaskan, “Sepanjang PKP saya banyak habiskan masa dengan design baru untuk LeeyanaRahman. Alhamdulillah dalam tempoh itu juga saya dah berjaya siapkan sample production untuk September 2021.
PKP 2.0 kali ini saya rasakan lebih terancang daripada PKP yang lalu. Tahun lepas memang kami agak kelam-kabut sebab tak ada backup plan, tak ada plan B. Apatah lagi masa PKP awal hari tu ialah peak season untuk kami jual baju raya. Terus down sebab tak boleh nak buat apa. Tapi alhamdulillah, saya banyak belajar dari pengalaman tu. Bila PKP 2.0, bisnes semuanya berjalan lancar sebab kami dah ada planning dan belajar dari kesilapan tahun lepas. Malah, apa yang paling kami tak jangka ialah sale waktu PKP lebih dari target yang kita tetapkan.”
Empayar LeeyanaRahman berjaya bertapak kukuh dalam industri fesyen negara. Melihat kemegahan butiknya yang terletak di Bandar Baru Bangi pasti membuatkan sesiapa sahaja berasa kagum. Tidak hanya dikurniakan bisnes yang semakin berkembang maju, Yana juga bertuah kerana mampu memiliki rumah besar, beberapa kereta mewah dan mempunyai suami penyayang dan anak perempuan comel.
Menyingkap rahsia kejayaan wanita ini, Yana lantas berkongsi amalan. “Satu je. Balas jasa mak ayah, bahagiakan dia. Secara tak langsung mereka akan doakan kita. Saya rasa tu adalah salah satu rahsia kejayaan LeeyanaRahman. Dalam setiap gaji saya, saya akan dahulukan parents, family saya dan lebihan tu baru saya guna untuk kegunaan sediri.
Saya amalkan semua ini sebelum saya ada butik lagi. Waktu saya masih student UiTM, saya dah start bisnes LeeyanaRahman. Walaupun saya seorang student, saya tetap dahulukan parent saya setiap bulan after closing account. Saya tak pernah missed sampai sekarang.
Juga, setiap kali keluar rumah nak pergi office dengan harapan, ‘Aku nak cari rezeki hari ni bukan untuk aku seorang. Tapi untuk family, staf dan untuk team.’ Niat nak bagi manfaat untuk ramai orang dan setiap tahun saya akan bawa mak ayah dan mertua pergi umrah. Di sana saya akan doa betul-betul dan minta mereka doakan sekali untuk saya dan keluarga.”
Membahagiakan masa antara kerjaya dan keluarga nyata bukan tugas mudah. Tambahan pula ketika ini anak Yana baru berusia dua tahun dan memerlukan lebih perhatian. Bercerita mengenai kehadiran cahaya mata yang diberi nama Tyara Luthfia, Yana tanpa berselindung mengakui anak kecil inilah yang menjadi sumber kekuatannya.
“Memang sumber kekuatan saya ialah anak. Memandangkan saya bukan senang nak mengandung macam wanita lain. Saya dapat anak ini melalui kaedah IVF pada tahun 2019. Bagi saya anak saya sangat berharga dan dia dalah kekuatan untuk saya terus kerja kuat.”
Ujarnya lagi, sebagai menghargai pelanggan dan mahu membantu masyarakat yang terjejas akibat Covid-19, Yana turut terpanggil untuk memberi sumbangan. “Ya, kami banyak bagi sumbangan kepada yang memerlukan during Covid-19. Cuma kami tak tunjuk di media sosial. Alhamdulillah Year End Sale tahun lepas kami buat sale besar-besaran ‘Pandemic Hero Sale’ iaitu membeli sambil menderma dan kami dah berikan satu amaun kepada Tabung Mercy Covid-19.
Secara tak langsung customer yang shopping pun dapat pahala bila turut menyumbang kepada tabung berkenaan. Selain itu, salah satu sebab kami jalankan bisnes Tepung Pengaseh juga sebab kami sedar ramai sangat yang kena buang kerja sebab banyak company tak boleh sustain. Jadi, kami ambil langkah untuk buka bisnes baru untuk sama-sama jana income dengan team di samping buka peluang pekerjaan khusus untuk mereka yang memerlukan,” akhiri isteri Hafiz Hamid ini.
Kredit foto: Instagram Yana Lee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!