Pelakon terkenal dan juga isteri kepada Pelawak, Jep Sepahtu, Sari Yanti dikhabarkan telah mengalami keguguran buat kali kedua selepas melangsungkan perkahwinan dengan Jep. Kali pertama Sari mengalami keguguran sebelum melahirkan puterinya Dariya Inara setahun yang lalu. Keguguran kali pertama berlaku kerana Sari mengandung di luar rahim sehingga menyebabkan Sari terpaksa membuang salah satu tiub fallopiannya.
Berita keguguran kali kedua ini telah dikongsi oleh Jep melalui laman Instagramnya semalam, “Minggu lepas abah bawa Eya teman mama pergi hospital nak tengok adik. Adik Eya dah nak masuk 3 bulan dah. Sekali masa check up haritu doktor bagitau adik Eya tak bergerak lagi dah. Doakan mama Eya selamat operation hari ini ya,” kongsi Jep.
Ketika bertemu dengan Sari Yanti ketika majlis Pop Look Gives Back With Sari Yanti x HOPE Worldwide Malaysia baru-baru ini, sempat bertanyakan tentang perancangan Sari untuk menimang cahaya mata. Nyata ketika itu Sari berkata tidak menolak jika rezeki untuk menambah anak diizinkan olehNya. Mungkin belum rezeki lagi Sari untuk menambah anak ketika ini. Sari juga antara wanita yang bertuah apabila disahkan hamil walaupun hanya tinggal satu tiub fallopian. Cuma belum ada rezeki lagi Dariya dapat adik.
Ads
Manakala Sari pula telah berkongsi di laman Instagramnya apabila terpaksa berpisah sementara dengan anak kesayangannya, Dariya dengan menghantarnya ke kampung mungkin kerana terpaksa bermalam di hospital.
Sayu hati Sari apabila Dariya yang pandai membawa diri minum susu menggunakan botol kerana selama ini puterinya itu tidak pernah minum susu menggunakan botol. Teringat ketika temu bual bersama Sari yang mengatakan pernah cuba memberikan Dariya minum susu ibu menggunakan botol tetapi ditolak lembut oleh Dariya yang digelar ‘Yaya Girl’ oleh Sari.
Siapa yang masih ingat lagi dengan jenama Hajaba, Leesa Formula, Serenity Spa, Umrah Hajj dan Women of Jannah? Jenama-jenama tersebut pernah mencetuskan fenomenanya yang tersendiri. Mona Din, satu nama besar dalam industri fesyen Muslimah sekaligus menjadi pelopor di Malaysia.
Namun seiring perubahan trend semasa dalam aliran fesyen Muslimah, Mona Din kini memperlahankan segala aktiviti perniagaannya. Dalam erti kata lain, bersara awal untuk memberi perhatian terhadap ibadah serta keluarga.
Mona Din tak pernah menganggap keputusannya itu adalah detik kejatuhan kerana ia turut dipersetujui oleh suami, Zulkefli Mohd Ali. Ia juga bagi memberi ruang buat mereka untuk membimbing anak-anak mengambil alih perniagaan yang bakal ditinggalkan kelak.
FOKUS IBADAH DAN KELUARGA
“Target saya apabila usia mencecah 50 tahun saya mahu bersara dan ingin menebus semula apa yang tak sempat saya lakukan dulu dek kerana terlalu sibuk uruskan bisnes antaranya bercuti bersama keluarga dan memberi perhatian terhadap anak-anak.
Saya juga gemar meluangkan masa dengan menulis di Facebook. Ia umpama diari peribadi saya untuk berkongsi nasihat, tip dan kaunseling buat para pengikut khususnya hal-hal berkaitan keluarga dan anak. Saya gembira kerana dapat menyumbangkan sesuatu dengan cara tersendiri.
Jauh di sudut hati untuk merasa riak kerana apa yang dikongsi itu memberi mesej baik dan positif. Saya bersyukur kerana diberikan nikmat rezeki yang tak terhingga selama ini sehingga apa yang dilakukan semuanya menjadi.
Percaturan saya dan suami untuk keluar dari zon selesa dengan meninggalkan jawatan tinggi di syarikat terdahulu demi mencabar diri dalam bidang perniagaan ternyata berbaloi. Saya yakin Allah SWT sudah menetapkan rezeki buat saya. Sehingga ke satu tahap, saya juga tak boleh menjadi tamak.
Kini tiba masanya untuk saya melepaskan apa yang perlu dilepaskan kerana mahu memberi peluang kepada orang lain khususnya anak-anak muda yang kian rancak bersaing dalam perniagaan. Justeru, saya mengambil keputusan untuk menutup butik Hajaba dan Umrah Hajj.”
Mona turut berkongsi rasa bangganya terhadap perkembangan dunia perniagaan yang kini banyak dimonopoli oleh generasi muda. Bagi Mona inilah masanya untuk mereka mencuba dan tidak melepaskan segala peluang yang ada kerana masa muda hanya datang sekali.
“Disebabkan kami adalah kelompok terawal mengasaskan jenama Muslimah, nikmat kejayaan itu telah pun dikecapi. Begitu juga dengan susah senang dalam mengharungi cabaran dalam berniaga sebelum munculnya sosial media. Maka, kami tak perlu lagi bersaing dengan jenama-jenama yang ada sekarang.”
MENJADI DIRI YANG BARU
“Saya banyak habiskan masa di rumah bersama suami dan anak-anak. Segala tugas rumahtangga saya uruskan sendiri. Jadual saya kini penuh dengan aktiviti keluarga. Sesibuk mana pun kami cuba untuk meluangkan masa bersama anak-anak khususnya pada waktu malam dan hujung minggu. Perniagaan kini sekadar aktiviti sampingan dan tidak akan pernah terhenti.
Dulu saya sering memandang ringan terhadap solat lima waktu. Alhamdulillah kini saya menjadi seorang yang lebih baik berbanding sebelumnya. Saya menjadi Mona Din yang baru. Mudah lembut hati dan emosi juga lebih tenang.
Kalau dulu mudah nak marah dan mahu semuanya sempurna. Ia bertitik tolak daripada solat tahajjud yang saya amalkan. Masa untuk muhasabah dan memperbaiki diri. Saya disiplinkan diri dan turut berkongsi di Facebook bagaimana rutin saya bangun awal pagi setiap hari untuk bertahajjud.
Bukan niat untuk riak tetapi memberi inspirasi buat rakan-rakan pengikut saya untuk turut bersemangat untuk bertahajjud. Sama ada berada di Malaysia mahupun luar negara, saya tetap konsisten melakukan rutin amalan tahajjud ini. Alhamdulillah Allah SWT mudahkan segala urusan saya, apa yang dipinta Dia akan makbulkan.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pendatang baharu industri muzik tanah air, Nuha Sakinah Saiful Bahrin atau lebih dikenali sebagai Nuha Bahrin menggenggam Sarjana Muda Pemasaran (Kepujian) pada Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU) 2022 di Cyberjaya baru-baru ini.
Kegembiraan berganda buat penyanyi Nuha Bahrin abapbila berpeluang membuat persembahan di Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia Malaysia (MMU) selain turut menerima skrol Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pemasaran baru-baru ini.
Tidak hanya mendapat sambutan baik dari[ada rakan-rakan pada majlis tersebut, Nuha, 22 juga berbesar hati apabila rakan duetnya, Naufal Azrin turut bersetuju membuat penampilan bersamanya di atas pentas menyanyikan lagu popular mereka, Casablanca.
“Memanglah saya sangat gembira. Selama ini selalu dijemput untuk menyanyi di majlis konvokesyen dan kali ini dapat buat persembahan di hari yang amat bersejarah buat saya.
“Ia telah dirancang sejak awal lagi dan saya terharu apabila Naufal juga setuju untuk tampil bersama di atas pentas. Ini adalah sesuatu yang saya mahu buat untuk universiti,”
Mengakui mempunyai jadual seni yang sibuk, Nuha berjaya memperoleh kelas pertama dalam pengajian merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan buat dirinya.
“Syukur sasaran saya untuk dapat kelas pertama tercapai. Saya amat gembira apabila dapat membuatkan kedua ibu bapa bangga dengan pencapaian ini.
Bukan mudah untuk menguruskan kerjaya seni dan pelajaran dalam masa yang sama. Namun segala penat lelah selama ini berbaloi.
Wanita manis berusia 22 tahun itu memberitahu, resipi kejayaannya adalah membuat sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas dan jangan sesekali menyerah kalah.
Dia yang terkenal dengan lagu duet Casablanca bersama Naufal Azrin itu, memberitahu, perlu mengimbangi masa pengajian dan sebagai anak seni.
“Bagaimanapun, jika kita minat sesuatu perkara dan memberi tumpuan serta mencuba sebaik mungkin tiada yang mustahil untuk dikecapi dalam kehidupan.
“Pengalaman sepanjang hampir empat tahun pengajian, terdapat beberapa ketika saya akan mengulang kaji pelajaran dan menduduki peperiksaan di kafe berikutan terdapat rakaman ataupun sidang media,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia memberitahu, perancangan selepas menamatkan pengajian adalah memberi tumpuan kepada kerjaya seni.
“Saya ingin melihat sejauh mana saya boleh pergi dalam industri ini. Selain itu, saya berhasrat memiliki jenama pakaian sendiri dan jika diberi peluang ingin berkolaborasi dengan jenama-jenama terkenal tanah air,” katanya.
Menutup bicara, Nuha Bahrin memberitahu, impian tidak boleh dicapai tanpa minat dan keikhlasan. Penyanyi ini juga berharap dapat memanfaatkan ilmu di universiti untuk membina empayar perniagaannya sendiri suatu hari nanti. Nuha juga menunjukkan minat dalam bidang fesyen dan bercita-cita memiliki jenamanya sendiri kelak.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ceria dan mudah mesra itu antara karakter dimiliki oleh personaliti yang memiliki senyuman manis ini.
Nurul Ilham, anak ke-4 kepada pasangan yang cukup dikenali ramai serta berpengaruh di Malaysia iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Secara eksklusif, Nona berpeluang mendekati dan menyelami isi hati wanita berusia 35 tahun ini. Sewaktu sesi fotografi ini diadakan, Nurul Ilham sarat hamil 8 bulan dan bakal menimang cahaya mata ke-4.
Biarpun bergelar anak pemimpin nombor satu negara, Nurul Ilham disifatkan sebagai seorang yang sangat bersederhana dari segala segi tidak kiralah penampilan mahupun gaya hidup.
Kongsi Nurul Ilham saat ditanya tentang apa perubahan terbesar yang dilaluinya sejak bergelar anak Perdana Menteri Malaysia.
“Hendak dikatakan perubahan besar tu tiada sangat kerana rutin harian kami tetap sama seperti dulu. Secara umum, semuanya berjalan seperti biasa di mana saya masih bekerja dan anak-anak pun pergi sekolah. Suami juga bekerja.
“Namun, satu perkara yang saya rasa sangat surprise bila ada yang kenal semasa saya pergi mall baru-baru ini. Dia cakap ‘Hello’ dan ucap tahniah kepada saya. Memang tak sangka.”
Untuk info, Nurul Ilham yang dilahirkan di Kuala Lumpur ini pernah bergelar guru Matematik di salah sebuah pusat pendidikan swasta. Kini, Nurul Ilham masih bekerja di tempat yang sama namun beralih ke bidang perniagaan pula.
Menurut graduan Sarjana dalam Pendidikan Matematik dari King’s College London ini, dia bertuah kerana mempunyai rakan-rakan sekerja yang sangat menghormati privasinya sebagai anak pemimpin negara.
“Alhamdulillah semua rakan sekerja saya sangat supportive. Mereka juga begitu menghormati privasi saya.”
SEBAK BAPA DILANTIK SEBAGAI PERDANA MENTERI “Kami adik beradik macam tak percaya juga. Selama 22 tahun kami berjuang dan menantikan saat itu. Saya sendiri rasa terharu dan gembira ketika Papa mengangkat sumpah di istana. Air mata tak henti mengalir, berjurai-jurai.
“Saya rasa lega sangat untuk Papa. Selama 22 tahun Papa dah berjuang, masuk penjara melawan kezaliman dan alhamdulillah finally detiknya tiba jua. Saya sangat kagum dengan keberanian dan kesabaran Papa. Papa berani kerana benar. Jadi saya memang respect Papa.
“Kali pertama Papa dipenjarakan (1998) saya baru berusia 11 tahun dan masih tidak faham apa yang berlaku. Ketika Papa sekali lagi dipenjarakan pada 2015, saya dah berusia 28 tahun.
“Bila dua kali Papa dipenjarakan membuatkan saya rasa sangat terkesan. Ini kerana bila kali kedua Papa masuk penjara, kesannya lain sedikit. Ketika itu saya dah pun bergelar seorang ibu.
“Maka saya terfikir bagaimanalah perasaan Mama dengan anak-anak yang masih kecil ketika itu. Suami pula tiba-tiba masuk penjara. Bila saya ceritakan kepada anak-anak, emosinya lain sedikit,” luah Nurul Ilham.
MAMA SEORANG SRIKANDI
Selama 22 tahun membesar dalam perjuangan demi menuntut keadilan dan kebenaran, Nurul Ilham turut kagum dengan pengorbanan ibunya yang tiada tandingan.
Begini luahan Nurul Ilham: –
“Saya memang tahu tahap kesabaran Mama lebih tinggi berbanding saya. Jadi saya belajar dari situ. Mama juga tak take things personally dan masih boleh fikirkan tentang kebaikan orang lain.
“Antara pesan Mama yang masih saya ingat, apa-apa yang kita lalui jika ada kesusahan berdoalah kepada Allah SWT. Minta kekuatan dan kesabaran. Sebagai manusia kita ada limit. Kalau nak capai limit itu kita kena doa minta padaNya.”
HADIAH ISTIMEWA BUAT PAPA MAMA
Bicara Nurul Ilham lagi, dia bersama adik beradik tidak pernah lupa untuk meraikan hari-hari istimewa kedua ibu dan bapa mereka.
“Antara hadiah istimewa yang pernah kami berikan kepada Mama ialah ketika Hari Ibu. Kami adik beradik play the role menjadi Mama. Pakai baju dan tudung macam Mama. Kita berlakon jadi Mama. Mama ketawa besar dan gembira sangat.
“Untuk Papa pula, kami pernah ‘tong-tong’ duit belikan shirt linen yang bombastic color. Saya pernah beli pink shirt, alhamdulillah tak sangka Papa nak pakai.
“Selain suka bermanja dengan anak-anak, cara Papa dan Mama beri nasihat pun sangat lemah lembut dan sabar,” kongsi Nurul Ilham.
BAHAGIA BERSAMA SUAMI
Sambil berseloroh, Nurul Ilham memberitahu hadiah paling istimewa buat suami ialah zuriat mereka.
“Namun bagi saya hadiah istimewa itu bukan tentang apa yang kita beri tetapi ia perlu konsisten dengan kasih sayang dan kesabaran.
“Hubungan ini bukan sempurna, saya dan suami pun tak sempurna. Sabar dan saling menghormati itulah hadiah paling istimewa,” luah Nurul Ilham yang menyifatkan suaminya seorang yang sangat supportive.
UCAPAN BUAT PAPA MAMA
“Terima kasih untuk segalanya. Papa dan Mama telah mendidik Ilham dan adik beradik yang lain menjadi anak-anak yang baik. I love you very much!
“Papa dan Mama dah menunjuk teladan yang sangat baik untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik, sebagai seorang isteri, adik serta ibu bapa. Papa dan Mamalah guru terbaik kami.”
Kredit Foto: Instagram Nurul Ilham Anwar
Penulis & Penyelaras: AMY MOHD Konsep: AZNIZA AZIZ Penata Gaya: KIFFY RAZAK Foto: ASFARINA Solekan: AYANG KAMELL Tajaan Lokasi: RITZ CARLTON KUALA LUMPUR
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!