Setiap wanita mendambakan kehidupan yang bahagia di samping suami dan anak-anak. Terasa sempurna kejadian seorang wanita saat disahkan mengandung, hasil perkongsian rasa cinta dengan suami tersayang.

Namun, bukan semua wanita boleh mengekalkan janin yang membesar di dalam rahim. Ketidakupayaan diri seorang ibu mungkin tidak dapat meneruskan kandungan yang didamba selama ini.

IKLAN

Kebanyakan keguguran yang berlaku di awal kandungan (trimester pertama) disebabkan oleh masalah kromosom janin itu. Tapi kadangkala keguguran disebabkan oleh masalah ibu iaitu;

  • Berlaku infeksi.
  • Terdedah kepada radiasi atau bahan toksik.
  • Masalah hormon.
  • Kecacatan rahim misalnya fibroid atau rahim yang tidak normal.
  • Pangkal rahim yang lemah (cervical incompetent). Keguguran yang disebabkan oleh punca ini selalunya berlaku pada trimester kedua. Pesakit akan tiba-tiba mengalami pecah air ketuban tanpa rasa sakit yang ketara.
  • Gaya hidup misalnya merokok, minuman keras, penggunaan dadah.
  • Masalah sistem imun.
  • Kencing manis tak terkawal.
  • Masalah tiroid.
  • Berat terlalu gemuk atau terlalu kurus juga di dapati meningkatkan kadar keguguran.

Risiko PENDARAHAN BERLEBIHAN Atau INFEKSI, Inilah Komplikasi Yang Mungkin Berlaku Ketika Rawatan Keguguran!

Rawatan Keguguran

Kecanggihan alat ultrasound memudahkan doktor untuk memastikan keadaan janin sama ada masih sihat atau telah berlaku keguguran. Jika berlaku ada sebahagian janin yang tertinggal di rahim, alat ini juga boleh mengesan kehadiran serpihan tersebut.

Jika terbukti embrio telah meninggal atau tidak terbentuk ibu mengandung boleh tunggu sehingga keguguran berlaku dengan sendiri jika tidak berlaku infeksi.

Walau bagaimanapun ini mungkin mengambil masa berminggu-minggu. Ia boleh mengganggu emosi ibu lebih-lebih lagi ibu yang bekerja. Oleh itu proses keguguran boleh dipercepatkan sama ada dengan ubat-ubatan atau melalui pembedahan.

Ubat-ubatan boleh membantu mempercepatkan proses keguguran dengan merangsang pangkal rahim membuka dengan sendiri dan janin dapat dikeluarkan.

Ubat ini boleh diambil melalui mulut atau melalui vagina. Kesan berlaku selepas beberapa jam dan akan berlaku pendarahan dan seterusnya keguguran janin.

IKLAN

Jika perubatan gagal atau tidak sempurna, pesakit harus menjalani pembedahan kecil. Suction curettage iaitu prosedur kecil dijalankan untuk mengeluarkan janin dari rahim. Prosedur ini juga dijalankan untuk kandungan yang tidak gugur sepenuhnya (incomplete abortion).

Komplikasi yang mungkin berlaku ialah pendarahan yang berlebihan, infeksi, tertebuk rahim, Asherman’s syndrome (cedera pada dinding rahim yang menyebabkan ia melekat).

Selepas prosedur ini akan berlaku pendarahan untuk beberapa hari tetapi jika berpanjangan, demam dan sakit perut yang kuat perlu harus berjumpa doktor. Rawatan susulan akan dijalankan bagi mengenal-pasti kenapa keadaan itu berlaku.

Namun, jika didapati kandungan telah gugur sepenuhnya (complete abortion) pesakit hanya perlu dipantau sahaja tanpa perlu menjalani prosedur pembedahan ini.

IKLAN

Selepas Proses Keguguran

Haid biasanya akan bermula dalam masa empat hingga enam minggu selepas keguguran. Elak melakukan hubungan seks atau memasukkan sesuatu ke dalam vagina dua minggu selepas keguguran untuk mengelakkan infeksi. Pesakit boleh terus memulakan kaedah merancang keluarga.

Jika merancang untuk mengandung lagi adalah dinasihatkan untuk menunggu sehingga tiga bulan. Mungkin dalam tempoh begini anda telah bersedia daripada segi mental dan fizikal. Ambil masa secukupnya dan ini bergantung pada individu tersebut. Jangan sesekali menyalahkan diri atas keguguran itu.

85% wanita yang telah mengalami keguguran akan berjaya untuk mengandung lagi dan meneruskan kandungan sehingga melahirkan anak. Kurang daripada 5% akan mengalami dua keguguran seterusnya dan 1% akan mengalami tiga atau lebih keguguran seterusnya.

Selalunya keguguran tidak dapat dielakkan jika janin tidak normal. Jika terdapat punca yang tertentu misalnya kencing manis pesakit perlu mengawal penyakit itu sebelum cuba mengandung agar kandungan seterusnya berjaya. Hamizatul Maizan Mohamed

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI