
Nama Nia Ramadhani bukan hanya terkenal di Indonesia bahkan dia juga mempunyai peminat di negara ini selepas lakonannya dalam sinetron Bawang Merah Bawang Putih pada awal tahun 2004 mencetus fenomena di Malaysia.
Menginjak usia 34 tahun pada 16 April lepas, selebriti popular ini bertuah kerana merupakan menantu kepada bilionair Indonesia iaitu Aburizal Bakrie.
April lalu juga merupakan ulang tahun perkahwinan Nia bersama Anindra Ardiansyah Bakrie atau dikenali sebagai Ardie Bakrie. Tahun ini genap 14 tahun mereka bergelar suami isteri.
Hasil perkongsian hidup, pasangan romantis berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mikhayla Zalindra Bakrie, Mainaka Zanatti Bakrie dan Magika Zalardi Bakrie.
Anak sulung Nia dan Ardie iaitu Mikhayla menginjak usia 12 tahun pada 2 Jun lepas. Makin cantik dan berimej matang, puteri kesayangan selebriti ini mirip ibu tersayang.
Meluahkan rasa syukur dengan kurniaan Mikhayla, Nia menerusi media sosial menitipkan ucapan buat anak tersayang.
“To Kakak Mikha, mungkin mama tak terlalu pintar dalam mengungkapkan apa yang mama rasa. But this paragraph (i got it online) dengan kata-kata yang begitu tepat, dapat benar-benar persis menggambarkan bagaimana artinya kakak buat mama dan bagaimana besarnya peranan kakak dalam membantu mama di keluarga kecil kita ini.
Seperti yang mama selalu bilang, saat kakak lahir, mama baru pertama kali menjadi ibu. Jadi banyak yang mama gak ngerti.
Sebagai anak pertama, banyak kesalahan-kesalahan yang mama lakukan saat mendidik kakak yang akhirnya jadi pelajaran buat mama, agar bisa menjadi lebih baik dalam membesarkan adik-adik.
Dan ini yang mama selalu bilang sama kakak bahwa mama sanagt bersyukur, kerana Tuhan beri anak pertama mama itu seorang KAMU.”
Sebelum ini, kisah mengenai yuran persekolahan Mikhayla menjadi bualan warga maya.
Ini selepas personaliti tersebut mendedahkan pada tahun 2019 apabila mereka membelanjakan 500 juta Rupiah atau kira-kira RM142,000 setahun untuk kos persekolahan anaknya di sebuah sekolah terbaik di sana.
Mikhayla dilaporkan bersekolah di British School Jakarta dan khabarnya perbelanjaan untuk memasuki sekolah itu boleh mencapai sehingga ratusan juta Rupiah.
Bayaran masuk untuk ke sekolah tersebut sahaja bermula dari 30 juta rupiah dan itu tidak termasuk dengan perbelanjaan lain.
Selain bergelar selebriti yang mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat, Nia Ramadhani kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Gra Kala Dipaka yang merupakan sebuah syarikat pengurusan kreatif diasaskan pada tahun 2020.
Kalau Nak Nampak CANTIK, Bukan Sekadar CANTIK Rupa Tapi CANTIK Luaran Dan Dalaman

Kecantikan merupakan sesuatu yang sangat sinonim buat kaum wanita. Cantik itu sendiri didefinisikan sebagai suatu yang indah dan menarik. Setiap wanita mentafsirkan makna ‘cantik’ mengikut pandangan masing-masing. Lalu, apakah sebenarnya kecantikan pada diri seorang wanita? Ikuti pandangan Azie Sam, Perunding Imej/Hijab Stylist dan Seni Imej Training & Consultanc.
Menurut Azie Sham, cantik itu subjektif. Semua manusia dilahirkan cantik dan mempunyai keistimewaan sendiri. Kecantikan wanita itu lebih terserlah apabila mereka yakin dan selesa dengan diri mereka sendiri. Kecantikan sebenar itu akan terpancar bermula daripada kecantikan dalaman.
“Kecantikan pada wajah itu adalah bonus. Tetapi ianya bukanlah segala-galanya. Kecantikan yang dilengkapi pakej adalah suatu kelebihan. Maksud pakej di sini adalah kecantikan luaran beserta kecantikan dalaman yang membentuk kepada personaliti diri yang menarik. Pepatah ada mengatakan, ‘beauty gets the attention but personality gets the heart.’
“Agar kelihatan cantik pada pandangan mata orang luar, kita perlu bijak membawa diri dan sentiasa bersedia dalam apa jua urusan dan situasi. Serlahkan keyakinan dan lengkapkan diri dengan ilmu. Ilmu asas penampilan dan pembentukan personaliti diri sangat penting untuk kita kelihatan sentiasa cantik dan sempurna pada pandangan orang lain. Penampilan yang baik disertakan dengan tingkahlaku dan komunikasi yang hebat dapat mempengaruhi tanggapan orang lain terhadap diri kita,”ujar Azie.
Sebagai perunding imej, Azie menyarankan agar wanita mengenali diri masing masing dan bentuk personaliti diri yang positif. Cari kelebihan dari dalam diri dan serlahkan. Persiapkan diri dengan ilmu ilmu kecantikan dan berani untuk berubah. Memakai pakaian yang menarik dan bersesuaian memberi impak kepada orang di sekeliling. Ia memberi tanggapan yang lebih baik dan membina kredibiliti awal. Dalam masa yang sama, ia juga dapat membantu dalam meningkatkan keyakinan diri sendiri.
“Ketahui bagaimana membentuk imej positif di mana intergriti dalaman dapat diserlahkan melalui penampilan. Kita yang menentukan mesej apa yang ingin kita sampaikan kepada orang lain melalui penampilan. Penampilan amat membantu untuk seseorang wanita itu untuk kelihatan cantik? Ia mewujudkan first impression untuk membina kredibiliti sebelum kita berbicara.
“Komunikasi bermula dengan cara pemakaian kita. Penampilan turut memainkan peranan penting dalam kejayaan seorang wanita. Tidak bermaksud perlu memakai pakaian berjenama hebat dan berharga ribuan ringgit. Memadai berpenampilan kemas dan bersesuaian dengan diri yang akan memberi impak kepada orang sekeliling untuk menghormati dan dihormati,”jelas Azie.
Diakui pandangan mata kasar lelaki lebih tertumpu pada kecantikan fizikal/luaran semata-mata. Wanita yang cantik rupa paras, tubuh badan menarik, pandai membawa diri, berpesonaliti, manja dan bijak adalah kategori wanita idaman lelaki. Walaubagaimanapun, ingin diingatkan bahawa bukan semua lelaki berpandangan seperti itu tetapi hampir semua jugak lelaki sedemikian.
“Bagi wanita yang telah bersuami pula, jangan hanya nampak cantik ketika berada di luar rumah. Jaga penampilan diri ketika di rumah. Penampilan diri sahaja tidak mencukupi dalam urusan rumahtangga. Selepas berkahwin, cantik pada nilaian seorang lelaki bukan pada kecantikan fizikal atau luaran seorang isteri sahaja, apa yang lebih utama adalah pembentukan diri, sifat, sikap dan kebijaksanaan kita dalam mengemudi alam rumahtangga. Biarlah kecantikan luaran itu seiring dengan kecantikan dalaman. Bukan sekadar dalam diri malah dalam rumahtangga juga,”akhiri Azie.
Tip daripada Azie untuk wanita kelihatan sentiasa cantik luar dan dalam:
*Setiap wanita itu cantik dan mempunyai keunikan tersendiri. Sayangi, cintai, hargai diri dan fahami kekuatan atau kelebihan yang dimiliki.
*Jangan membandingkan diri dengan orang lain atau meniru apa yang orang lain ada.
*Beranilah menjadi diri sendiri, bentuk imej positif dan bina personaliti anggun.
*Mantapkan diri dengan ilmu supaya terserlah kecantikan luar dan dalaman.
Warganet Terkesima Lihat Penampilan ‘Hot Mama’ ZIZIE IZETTE! Cantiknya Mak Anak Lima Ni..

Isi Kandungan
ToggleSudah 15 tahun menyepikan diri sejak bergelar suri hati kepada ahli politik, Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mukhtar Radin. Lama juga kita tidak mendengar khabar berita tentang kakak kepada pelakon Shaheizy Sam, Datin Sri Zizie Izette Abdul Samad.
Malah, kali terakhir namanya menjadi sebutan adalah apabila nama Zizie dan suami terpalit hingga ke mahkamah berikutan sebutan kes yang melibatkan rasuah berjumlah RM 2.8 juta.
Namun, pelakon jelita ini kembali meraih perhatian dan menjadi sorotan wargamaya apabila seorang jurusolek terkenal, berkongsi wajahnya selepas disolek dan ditatarias menerusi laman sosial Instagram jurusolek berkenaan.
Zizie Izette Masih Berbisa, Jelita Di Usia 45 Tahun!
Hantaran berkenaan telah membuatkan ramai peminat serta wargamaya terkesima menyaksikan kejelitaan raut wajah Datin Seri Zizie Izette yang tampak anggun dan jelita selepas disolek.
Zizie yang kelihatan anggun menyarung persalinan hitam dari pereka fesyen duo terkenal Rizman Ruzaini dan hanya memakai topi dan menutup sebahagian rambutnya turut mendapat perhatian warga maya.
Warganet Terkesima! Puji Kejelitaan Zizie Izette
Team NONA, sempat meninjau ruangan komen pada hantaran tersebut dan mendapati rata-rata netizen meninggalkan komen positif serta memuji kejelitaan rupa paras suri hati Bung Mokhtar Radin itu.
Malah, ada juga yang mempersoalkan gaya Zizie yang terkini seperti tidak dimamah usia meskipun sudah berusia 45 tahun serta penampilan yang agak berlainan jika hendak dibandingkan sebelum ini.
Biarpun gaya terbaru pelakon ini kadangkala sering menjadi pertikaian netizen di media sosial, bagaimanapun kali ini Zizie Izette berjaya memukau para peminat dan orang ramai dengan kejelitaan ibu kepada lima cahaya mata ini.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber: Instagram @saidatulnisaaminuddin & Zizie Izette
“Sepanjang PKP Terlalu Kerap Menghadap Gajet, Beri Kesan Pada Kesihatan Mata”-Dr Maimunah Abdul Muna’aim

Mata merupakan organ yang mempunyai keistimewaan yang sukar digambarkan melalui kata-kata. Melalui mata, seseorang individu dapat melihat keindahan dunia ciptaan Allah dan sudah sewajarnya deria istimewa ini memerlukan perhatian yang sebaiknya.
Mata sememangnya antara organ kompleks yang cukup besar maknanya kepada setiap manusia. Sejak berzaman, kita mendengar orang menyebut kata indah iaitu ‘dari mata turun ke hati’. Walaupun mata cukup penting, namun ramai yang terlupa beberapa perkara sensitif berkait mata apatah lagi semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini, mata terlalu terdedah di skrin komputer, kaca televisyen dan gajet.
NONA mendapatkan pandangan dari Pakar Oftalmologi (MATA) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Maimunah Abdul Muna’aim mengenai penjagaan mata terutamanya di kalangan kanak-kanak di saat mereka lebih banyak menghabiskan masa di hadapan skrin komputer dan laptop sama ada untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mahupun bermain permainan komputer.
DR MAIMUNAH ABDUL MUNAI’AIM
NONA: Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, ramai ibu bapa dan anak-anak terdedah pada gajet untuk urusan kerja dan belajar secara online. Apakah kesan jangka pendek dan panjang sekiranya terlalu terdedah di hadapan skrin?
DR MAIMUNAH: Memandangkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pastinya masa perlu di isi dengan aktiviti yang berfaedah. Di zaman berteknologi tinggi sudah pasti anak-anak lebih arif dengan penggunaan gajet. Tugasan yang diberi oleh guru sekolah juga dibuat melalui Google Classroom, kahoot dan aplikasi belajar secara maya. Tidak kurang juga gajet digunakan untuk bermain permainan atas talian dan menonton video. Aktiviti fizikal agak terhad apabila berada di dalam rumah.
Kesan jangka pendek,jika melihat skrin atau melakukan kerja sekolah atau pejabat secara berterusan, anak-anak atau ibubapa itu sendiri akan terdedah dengan gejala “digital eye strain” di mana mereka akan merasa tidak selesa, mata kering dan kesat, mata rasa cepat penat, pedih, berair, penglihatan kabur dan pening. Ini daripada akibat mata kurang berkelip kerana asyik melihat gajet. Selain itu ada sesetengah daripada anak-anak kecil akan kerap mengelipkan mata tanpa disedari untuk menghilangkan rasa tidak selesa itu. Ibu bapa akan mula perasan dengan tabiat mata berkelip itu. Anak-anak juga mudah menjadi agresif jika ibu bapa melarang mereka bermain gajet.
Manakala kesan jangka panjang pula dapat dilihat apabila sepanjang tempoh PKP ibubapa dan anak-anak dikehendaki berada di dalam rumah untuk memutuskan rangkaian Covid 19 ini. Kita dapati penggunaan gajet telah digunakan dalam tempoh masa yang lebih lama berbanding hari biasa. Risiko pada anak-anak kecil jika berada di dalam bangunan untuk jangka waktu yang lama dan kurang pendedahan kepada cahaya matahari akan mengurangkan paras hormon dopamine di dalam saraf retina, dan menyebabkan bola mata membesar dengan tidak terkawal, dan seterusnya menyebabkan rabun jauh.
Kajian mendapati kanak-kanak yang mempunyai rabun jauh mempunyai dopamine yang rendah berbanding kanak-kanak berpenglihatan normal. Dopamine merupakan tindakbalas kimia yang dihasilkan oleh tubuh apabila terdedah kepada cahaya matahari. Ia didapati bertindak untuk merencatkan proses pemanjangan bola mata yang menjadi antara punca rabun jauh. Selain daripada itu penggunaan gajet juga akan menyebabkan regangan bebola mata turut berlaku apabila proses akomodasi berlaku pada masa yang lama. Ini juga akan menyebabkan pemanjangan bola mata dan menyumbang kepada peningkatan kuasa rabun jauh pada kanak-kanak.
Cahaya biru pada skrin gajet menghasilkan gelombang biru yang bergelombang rendah tetapi bertenaga tinggi. Cahaya biru ini dapat menembusi kornea mata, kanta mata sehingga ke bahagian saraf retina mata. Sekiranya seseorang terdedah terhadap cahaya biru pada skrin gajet secara berterusan dan berpanjangan kajian menunjukkan ia akan memberi kesan jangka panjang yang boleh merosakkan sel saraf mata dan meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit degenerasi makula.
NONA: Apakah saranan terbaik untuk ibu bapa had waktu gajet untuk anak-anak?
DR MAIMUNAH:Sebagai ibubapa, pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengajar anak-anak mengehadkan waktu bersama gajet. Menurut garis panduan American Academy of Pediatrics 2016, bagi kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke bawah tidak digalakkan mengunakan gajet, bagi umur 2-5 tahun hendaklah di hadkan kepada 1 jam sehari dengan program yang berkualiti. Manakala bagi umur 6 tahun ke atas hadkan kepada 2 jam sehari tetapi dengan pengawasan rapi daripada ibu bapa. Tetapkan undang-undang setiap 20 minit untuk berhenti sebelum diberikan gajet kepada anak-anak, boleh setkan loceng ‘alarm’ di telefon bimbit sebagai ingatan untuk berehat, selain itu ibu bapa juga boleh beri ganjaran jika anak-anak mematuhi peraturan.
Bagi memastikan kita menggunakan gajet secara berhemah anda dinasihatkan untuk mengamalkan beberapa amalan ini:
- Peraturan 20/20/20, setiap 20 minit menggunakan gajet, luangkan 20 saat untuk melihat ke luar jendela atau ke arah objek sejauh 20 kaki(6 meter) jaraknya untuk merehatkan otot-otot mata.
- Pastikan cahaya persekitaran yang terang apabila membaca atau menonton televisyen dan juga ketika menggunakan gajet
- Postur yang betul juga amat penting semasa menggunakan gajet, amalkan duduk dalam keadaan tegak dan elakkan berbaring terutamanya baring terlentang ini kerana ia akan menyebabkan otot mata akan bekerja dengan lebih keras, jadi mata akan cepat letih dan mengalami kabur mata secara sementara
- Jarak penggunaan gajet sebaik-baiknya sejauh 30cm ke atas. Jika menonton televisyen pastikan jarak sekurang-kurangnya 2 meter.
Saya sarankan jika anda tinggal di rumah yang ada halaman, supaya galakkan anak-anak bermain atau bersenam ringkas di depan rumah bagi mendedahkan mereka dengan cahaya matahari untuk merangsang hormone dopamine, tapi jangan sampai keluar daripada halaman rumah, bagi yang tinggal di flat atau apartmen anda boleh menikmati cahaya matahari daripada balkoni rumah.
NONA: Pada pandangan Dr,apakah aktiviti yang boleh dilakukan untuk merangsang minda anak-anak kecil dan mengelakkan mereka dari pengaruh gajet?
DR MAIMUNAH: Banyak lagi aktiviti dan perkara yang boleh digunakan untuk mengisi waktu lapang anak kecil selain gajet. Sebagai ibu bapa kita perlu bijak menentukan alternatif tersebut. Aktiviti mewarna, melukis membina lego, membaca buku antara perkara yang boleh di lakukan bersama-sama. Selain itu bermain monopoly, sahiba dan catur juga boleh merangsang minda anak- anak. Permainan tradisional seperti congkak juga amat digalakkan. Untuk anak-anak yang lebih kecil, bermain “kinetic sand” untuk sensori dan skill sosial adalah bagus untuk perkembangan mereka.
Bagi yang bersekolah rendah, ibu boleh mengajak untuk mencuba resepi baru, masak bersama-sama, kemas rumah bersama-sama.Jika bapa pula boleh mengajak anak bercucuk tanam secara kecil-kecilan contonhya dengan cara hydrophonic, membasuh kereta bersama-sama, bermain ping pong di dalam rumah semasa dalam PKP ini juga amat menyeronokkan. Bagi Muslim pula mungkin boleh bertadarus bersama-sama atau boleh buat cabaran menghafal surah-surah pilihan bersama keluarga.
NONA: Kaum lelaki juga suka melekat bermain permainan Computer Game. Bagaimana nak hadkan masa penggunaan dan cadangan terbaik untuk elak mata dari rosak?
DR MAIMUNAH: Kaum lelaki khususnya para suami seharusnya perlu bijak mengawal diri daripada terus melekat dengan gajet. Mereka perlu mengawal diri untuk tidak terlibat dengan permaianan atas talian yang berunsur keganasan, Selain itu mereka perlu menghindarkan diri daripada membeli permainan atas talian yang dirasakan memberi unsur negatif kepada diri. Mereka harus bijak mengurus masa dengan baik jika mahu terlibat dalam permainan atas talian ini. Para suami boleh berbincang dengan isteri waktu yang sesuai untuk bermain, seelok-eloknya bermain selepas isteri siap kerja rumah kerana suami boleh membantu menjaga anak-anak. Selain itu untuk mengeratkan lagi hubungan suami isteri mungkin kedua-dua boleh bermain bersama-sama jika semua kerja rumah telah siap dan pastikan anak-anak tidak terabai semasa bermain permaianan atas talian ini.
Cara terbaik untuk mengelak mata rosak hendaklah mengamalkan peraturan 20/20/20, menggunakan “filter” sinaran lampu biru, untuk elak rasa tidak selesa titiskan pelembap mata jika merasa mata kering, menjaga pencahayaan semasa bermain dan juga boleh melakukan senaman ringkas pada mata semasa rehat. Di sini ada beberapa teknik senaman mata yang boleh dilakukan.
KEBAIKAN TEKNIK SENAMAN MATA
- Senaman mata dapat membantu menguatkan lagi otot-otot mata secara langsungnya akan membantu meningkatkan daya fokus dan penglihatan
TEKNIK 1-KERDIPAN MATA
- Latihan kerdipan mata – untuk mengurangkan keletihan mata
- Apa yang anda perlu lakukan?
- menutup mata rapat selama 3-4 saat.
- Seterusnya buka mata anda selama 3-4 saat semula.
- Ulang latihan ini selama 7-8 kali setiap kali anda mengalami keletihan mata ketika menggunakan komputer.
TEKNIK 2- TEKNIK ANGKA LAPAN
- Bayangkan terdapat nombor lapan gergasi pada jarak 3m di hadapan kita
- Secara perlahan-lahan, cuba anda ikuti lakaran bayangan angka lapan tersebut
- Lakukan latihan ini pada satu arah untuk beberapa mini (3-5minit) sebelum menukar kepada arah yang bertentangan untuk beberapa minit (3-5minit) juga.
TEKNIK 3- ‘PALMING’
- ‘Palming’- teknik menekup mata :Pastikan anda duduk dengan selesa di hadapan meja dengan siku di atas meja
- Letakkan tengah tapak tangan anda menutupi mata sepenuhnya,
- Pastikan mata anda dapat berkedip tanpa gangguan dan halangan di bawah telapak tangan serta tidak menekan mata dengan kuat.
- Biarkan dalam keadaan begini untuk beberapa minit (3-5 minit).
Teknik 4: Penumpuan dekat dan jauh
- Pegang objek pada jarak 10cm
- Pandang objek selama 2-3 saat
- Alihkan pandangan pada objek 6m di hadapan
- Ulang latihan ini sekurang-kurangnya 10 kali
TEKNIK 5- ZOOMING
- Regangkan tangan sejauh yang boleh dengan tangan digenggam dan ibu jari
- Tumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibu jari
- Bawa ibu jari anda secara perlahan-lahan menghampiri mata
- Perlahan-lahan gerakkan tangan anda menjauhi mata anda sejauh yang mungkin dan tangan meregang ke sisi.