Amboi, makin cantik dan matang buah hati kesayangan Kajol! Genap berusia 18 tahun pada 20 April lepas, kecantikan yang dimiliki Nysa Devgn iaitu puteri sulung Kajol dan Ajay Devgn ini memang saling tak tumpah mewarisi kejelitaan ibunda tersayang. Bermata bundar, hidung mancung dan paling menarik perhatian adalah senyuman manisnya. Boleh buat orang ‘cair’!
Meskipun populariti Nysa sebagai anak kepada selebriti popular India ini tidak seglamor anak Shah Rukh Khan, namun rata-rata peminat di sana terpikat dengan kesederhanaan yang dimiliki Nysa.
Melihat Nysa sahaja sudah mengingatkan peminat kepada kecantikan asli ibunya. Tidak dinafikan Nysa mewarisi sepasang mata yang cantik dan senyuman memikat. Tidak terlepas daripada tempias dunia glamor ibu dan ayah, kelibat Nysa turut kelihatan di majlis-majlis hiburan dan kebajikan yang disertai kedua-dua ibu bapanya.
Enggan si anak terlalu didedahkan dengan spotlight dunia glamor, dalam satu gambar yang dimuat naik Ajay, kelihatan dia dan anak gadis kesayangan hadir menjayakan aktiviti kebajikan yang dianjurkan badan amal Smile Foundation.
Ads
Walau baru berusia belasan tahun tapi Nysa sudah dididik mengenai tanggungjawab dan rasa prihatin kepada golongan memerlukan. Pandai Ajay dan Kajol mendidik anak.
Kajol dan suami telah menghantar Nysa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Memetik laporan NDTV.com, Nysa menjadi pelajar di United World College of South East Asia di Singapura sejak tahun 2018.
Wajah Nysa ketika masih kecil
Ketika Singapura dilanda pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu, Kajol telah ‘terbang’ ke Singapura untuk membawa pulang anak perempuannya selepas negara tersebut mengenakan lockdown.
Dalam temu bual bersama NDTV.com, Kajol turut mendedahkan cara didikannya terhadap anak-anak. “Saya sangat tegas dengan anak-anak kerana sangat penting untuk mereka tahu tentang batas sesuatu perkara dan tidak boleh melangkauinya.
Ads
Saya percaya mereka akan membesar jadi manusia lebih baik jika mengikuti didikan kami. Sudah menjadi tanggungjawab sebagai ibu bapa untuk mengajar anak-anak mengenai apa yang betul dan salah.”
Menerusi perkongsian Kajol di Instagram miliknya, aktres berusia 46 tahun ini ada memuat naik wajah terkini puteri kesayangan. Nysa yang dahulunya masih kelihatan kanak-kanak dan memakai cermin mata, kini tampil dengan imej matang dan cantik.
Mengintai ruangan komen di IG Kajol, rata-rata peminat memuji kejelitaan anak gadisnya. Tidak kurang juga yang mengagumi keanggunan pelakon Bollywood ini yang sentiasa tampak awet muda.
Kajol dan Ajay yang kedua-duanya merupakan pelakon berbakat besar di India berkahwin pada 24 Februari 1999 dan hasil perkahwinan selama 22 tahun itu mereka telah dikurniakan dua orang anak iaitu Nysa Devgn dan seorang anak lelaki yang diberi nama Yug Devgn.
Ads
Nysa dilahirkan pada 20 April 2003 dan ketika masih di dalam kandungan, Ajay memasang hasrat untuk menamakan bayi perempuan mereka dengan nama Nysa yang bermaksud ‘Goddess of purity’. Anak lelaki mereka pula dilahirkan pada tahun 2010.
Ketika Nysa dilahirkan, Kajol memberi tumpuan penuh terhadap perkembangan anaknya itu berbanding tawaran berlakon memandangkan bintang Kuch Kuch Hota Hai ini pernah mengalami keguguran.
Kredit: Instagram Kajol
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kira-kira enam tahun lalu, Dyana Sofya Mohd Daud pernah menghangatkan arena politik tanah air. Ini selepas namanya dipilih sebagai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Perak pada tahun 2014. Dyana yang ketika itu berusia 27 tahun bukan hanya menarik perhatian umum kerana kredibilitinya sebagai ahli politik muda bahkan memiliki rupa paras cantik dan disifatkan seorang yang berilmu. Jadi, tidak hairanlah anak jati Perak berkenaan berjaya menawan hati sebilangan masyarakat di negara ini.
Pernah menjawat tugas Setiausaha Politik bagi Ahli Parlimen Gelang Patah, Dyana Sofya yang lahir pada 29 Disember 1987 kini merupakan isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari. Pasangan ini melangsungkan perkahwinan pada 8 Disember 2018. Mengintai laman Instagram Dyana, jelas terserlah kebahagiaan yang dikecapinya sejak bergelar isteri.
Malah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu, dia dilihat kerap sibuk menguruskan keluarga dan memuat naik gambar masakan bersama peminat. Macam-macam jenis hidangan yang disediakan buat suami tercinta. Tak sangka selain berbakat dalam politik, rupa-rupanya Dyana juga ada bakat terpendam dalam bidang masakan!
Mengimbas kembali pertemuan bersama Dyana Sofya ketika sesi fotografi Nona pada tahun 2014, wanita ini sememangnya seorang yang berjiwa besar, ramah dan mempunyai personaliti menyenangkan. Meskipun tidak bertanding untuk mana-mana kerusi DUN dan Parlimen pada PRU lepas namun dia tetap setia berkhidmat untuk rakyat dan sedia turun padang membela nasib semua lapisan masyarakat termasuk kaum wanita.
Latar belakang pendidikan
Saya merupakan salah seorang pelajar di Sekolah Menengah Taman Melawati, Kuala Lumpur. Selepas tamat persekolahan di Tingkatan Lima, saya menyambung pengajian Pra Ijazah Undang-undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Kemudian, saya meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Undang-Undang dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di universiti yang sama.
Karier dan pengalaman
Sejurus selepas tamat pengajian, saya telah menjadi pelatih dalam kamar di sebuah firma guaman di Bukit Bintang selama 9 bulan. Itu adalah kerjaya pertama saya selepas graduasi sekitar pada tahun 2010. Sejak dari kecil saya telah didedahkan dengan dunia politik dan kerana minat, saya menjadi Setiausaha Politik bagi Ahli Parlimen di Gelang Patah.
Sepanjang memegang jawatan tersebut, saya bertindak untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat tempatan, membuat usul dan menasihati wakil rakyat tempatan berkaitan kebajikan rakyat. Dalam masa yang sama, saya juga adalah peguam di firma guaman Cyberjaya dari tahun 2012 hingga penghujung 2013.
Kekuatan anda terletak pada …
My passion and determination! Kalau buat sesuatu perlu ada keazaman yang kuat. In my profession, the challenge memang sangat mencabar. Bila-bila pun boleh give up. Tambahan pula, ahli politik perempuan di negara ini tidak ramai. Jadi saya perlu fikirkan kenapa saya memilih ‘jalan’ ini. Tujuannya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. That is what keeps me going. Dengan adanya sokongan dan dorongan daripada orang sekeliling, saya percaya saya mampu merealisasikan impian yang didambakan selama ini.
Filsuf kecantikan?
Sebenarnya saya seorang yang ringkas. Untuk solekan harian, saya hanya mengenakan solekan asas seperti bedak, maskara, eye brow dan lipstik merah sahaja. Bagi memastikan kesihatan tubuh pula, saya mengambil supplemen B Complex dan menikmati khasiat ulam-ulaman.
Sejak kecil lagi, ibu saya menggalakkan pengambilan ulam-ulaman. Hendak dapatkan tubuh badan yang sihat dan langsing perlukan disiplin dan keazaman yang kuat. Jadi saya akan pastikan untuk lakukan senaman setiap dua hari sekali.
Cara anda menghargai diri
Shopping, food and eat chocolate all the time! Kebiasaannya saya gemar membeli baju dan buku tiap 2 ke 3 bulan sekali. Terbaru, saya sudah membeli 4 buah buku, tulisan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman.
Walaupun jadual saya padat dengan pelbagai program, namun saya akan pastikan untuk mengisi masa yang terluang biarpun hanya dalam tempoh yang singkat untuk beriadah bersama keluarga. Kalau terpaksa bertugas di luar negeri atau negara pula, saya akan pastikan masa yang ada dimanfaatkan untuk diri sebaiknya dengan bercuti sambil bekerja mahupun membeli-belah.
Definisi kecantikan?
Kecantikan datang dari dalam. Misalnya seperti cara kita berfikir, percakapan dan pelakuan. Apabila personaliti seseorang itu baik dan disenangi, pastinya ia menjadi daya tarikan. Bagi saya, orang yang pandai itu adalah seksi, terutamanya apabila mereka pandai berkata-kata. When you’re beautiful inside, kecantikan itu akan terpancar ke luar. Kecantikan juga boleh datang daripada senyuman. Senyuman yang ikhlas mampu menyerlahkan kecantikan seseorang. Paling penting, it must come from your heart.
5 pelajaran berharga menceburi politik
Pertama, sentiasa kuat fizikal, mental dan emosi atau dalam erti kata lain bersedia menghadapi apa jua cabaran. Kita tidak dapat duga apa yang bakal berlaku. Oleh itu, perlu ada perancangan yang teliti.
Kedua, tahu menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan situasi.
Ketiga, bersifat terbuka untuk berdepan dengan kritikan daripada pelbagai pihak.
Keempat, pengurusan waktu. Saya suka buat dua tiga kerja dalam satu-satu masa. Jadi, saya perlu bijak menguruskan masa yang ada dan saya percaya pengurusan waktu yang
baik dapat memberi kejayaan dan mencapai potensi maksima.
Dan kelima, perlu ada rasa hormat. Bukan hanya hormat pada individu bahkan pada pandangan yang dikemukakan juga samada baik mahupun buruk sebab semua orang berhak untuk bersuara.
Tip fesyen
Keselesaan itu penting. Ikut kesesuaian dan mood untuk berfesyen. Yang penting, kena sesuai dengan bentuk badan. Adakalanya, saya gemarkan gaya grungy dengan memakai jeans, t-shirt and sneakers. Kadang kala juga saya suka untuk bergaya feminin dengan memakai gaun klasik dan kasut tumit tinggi. Pendek kata, saya suka melihat fesyen yang dipakai Kate Middleton. Cukup anggun dan menawan.
Dyana di samping suami pada Aidilfitri lalu
Pada pandangan anda, siapakah perempuan yang patut dikatakan sebagai strong woman?
My mother. She has gone through so much. Biarpun terlibat dalam dunia politik sejak berpuluh tahun dahulu dan mempunyai anak yang berlainan ideologi politik, tetapi beliau tenang menghadapi cabaran dan kritikan. Ibu saya seorang yang berkarisma, easy to talk to, open minded and supportive. Beliau yang mengajar dan menyokong saya untuk terlibat dalam bidang politik. Cara beliau menjaga kami empat beradik dengan kesibukan dan pancaroba dunia politik membuatkan saya kagum. Beliau merupakan satu inspirasi kepada saya.
Gambarkan diri anda pada masa hadapan
Seorang wanita yang dapat memberi inspirasi kepada orang muda terutama wanita untuk ambil bahagian dalam pembangunan negara bangsa. Saya juga berharap pada masa depan, saya dapat berada dalam satu gerakan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu-padu, mempunyai semangat perpaduan yang tinggi dan mengungguli carta negara paling gembira dan bahagia yang dikeluarkan oleh UN Sustainable Development Solutions Network, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
3 kata yang menggambarkan keperibadian anda
Determined, positive and eager to learn.
Kredit foto: Instagram Dyana Sofya
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Generasi 80-an barangkali masih ingat kenangan menonton ‘Oshin’ setiap petang. Saya sendiri antara yang setia di depan TV, sambil-sambil temankan mak melipat kain dan tunggu ‘lampu hijau’ bermain di luar rumah. Ya, kecomelan Oshin menemani zaman kanak-kanak kita namun yang ditekankan adalah mesej yang dibawa watak si cilik Ayako Kobayashi – betapa hidup harus diperjuangkan walau sesusah apa pun.
Setiap negara mempunyai pendekatan unik untuk memancing minat penonton. Jika Amerika Syarikat terkenal dengan siri sitkomnya, Jepun pula terkenal dengan program mini drama bersiri (15 minit) atau dikenali asadora yang ditayangkan setiap pagi agar penonton dapat memulakan hari dengan lebih bersemangat.
‘Oshin’ merupakan antara drama asadora yang disiarkan saluran NHK dan telah ditayangkan ke lebih 50 negara. Jalan ceritanya penuh teladan, kisah dari zaman ‘Oshin’ kecil, dewasa dan tua. Namun yang paling membekas di ingatan tentulah ketika ‘Oshin’ kecil, melalui kesusahan hidup sebagai anak petani miskin.
Kini lebih 30 tahun berlalu. Nona tertarik menjejaki perkembangan Ayako Kobayashi yang begitu hebat menjentik emosi penonton sebagai ‘Oshin’ cilik.
Berusia 50 tahun, wanita Tokyo yang dilahirkan pada 11 Ogos 1972 itu ternyata masih aktif bergiat dalam industri seni di sana.
Rindukan ‘Oshin’? Berikut perkembangan terkini Ayako yang kelihatan cukup jelita dan awet muda…
(1) Potret Ayako dulu dan sekarang. Penonton ‘Oshin’ mengenali Ayako ketika usianya masih 11 tahun.
(2) Ayako berketinggian 158cm dan kini berusia 50 tahun.
*************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
*************
(3) Beliau masih aktif berlakon dan salah satu filem terbaharu yang dibintanginya adalah Hakai (2022).
(4) Seorang yang sukakan alam semula jadi dan minat mendaki.
(5) Aktres ini mula berlakon sejak kecil dan masih bertahan sampai sekarang.
Bagai mengimbau memori lama, memang terkenang zaman kanak-kanak betul kalau cakap tentang drama ‘Oshin’ kan?
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pejamkan mata. Bayangkan kolam bunga atau lintasan pelangi di ufuk senja. Saujana alam yang terbentang, hanya terlihat indahnya jika tidak dihalang penyakit mata.
Adakah anda mengalami masalah penglihatan seperti pandangan yang kabur dan samar, silau kerana kepekaan terhadap cahaya yang tinggi atau mengalami masalah penglihatan pada waktu malam?
Jika ya untuk salah satu tanda-tanda ini, anda mungkin berisiko mengalami katarak mata. Katarak merupakan suatu keadaan di mana perubahan berlaku melibatkan penebalan pada kanta mata dan menyebabkan kanta berkabut.
Menurut Konsultan Oftalmologi, Kornea, Katarak dan Pakar Bedah Refraktif, Dr. Ainur Rahman Anuar Masduki, gangguan penglihatan seperti katarak boleh berlaku secara perlahan-lahan ataupun progresif sehingga mengganggu kualiti penglihatan.
Ia telah dikenal pasti sebagai salah satu punca utama masalah penglihatan dunia, terutamanya di negara-negara membangun.
Gejala Katarak
Ketajaman penglihatan beransur-ansur terjejas walaupun dengan bantuan cermin mata.
Masalah penglihatan yang silau pada siang hari atau pada waktu malam apabila berdepan dengan cahaya lampu kereta daripada arah bertentangan.
Apabila keadaan katarak berlarutan sehingga meningkatkan kuasa diopteric kanta, boleh menyebabkan peningkatan rabun jauh (miopia).
Apabila keadaan katarak tertumpu di lapisan tengah mata akan menyebabkan pandangan imej yang berganda (monocular diplopia).
Punca-Punca
Antara punca utama katarak adalah proses penuaan. Kanta mata terdiri daripada gabungan tersusun protein dan air.
Protein tertentu di dalam kanta mata bertanggungjawab untuk mengekalkan kejelasan (transparency) kanta.
Akibat proses penuaan, struktur dan susunan protein kanta boleh berubah sehingga beransur-ansur menyebabkan kekabutan pada kanta mata.
Walaupun jarang berlaku, katarak juga boleh terjadi pada peringkat umur yang lebih awal, termasuk pada bayi baru lahir (congenital cataract) atau pada kanak-kanak, remaja dan dewasa akibat daripada kecacatan enzim (melalui faktor keturunan), trauma yang teruk pada mata, pembedahan mata atau keradangan dalam mata (intraocular inflammation).
Faktor-faktor lain yang turut menjadi punca perkembangan katarak pada usia lebih awal juga termasuk pendedahan berlebihan kepada cahaya ultraungu, penyakit kencing manis (diabetes mellitus), merokok atau penggunaan ubat-ubatan tertentu yang mengandungi steroid.
Rawatan
Prosedur pembedahan katarak biasanya dilakukan sama ada di hospital atau di pusat pembedahan ambulatori. Jenis pembedahan yang paling lazim dilakukan adalah proses yang dikenali sebagai phacoemulsification.
Prosedur ini melibatkan penggunaan mikroskop pembedahan di mana pakar bedah mata akan membuat potongan kecil (incision) di permukaan mata atau berhampiran kornea. Seterusnya satu alat khas yang halus (ultrasound probe) dimasukkan ke dalam kanta mata dan menggunakan getaran ultrasonik untuk memecahkan (phacoemulsify) kanta yang kabut iaitu katarak.
Serpihan-serpihan kanta yang kabut kemudian disedut keluar menggunakan alat yang sama. Setelah katarak dikeluarkan, kanta tiruan (intraocular lense) dimasukkan ke dalam beg capsular nipis mata, menggantikan tempat katarak yang telah dikeluarkan.
Kanta tersebut adalah penting dan berfungsi membantu fokus mata selepas pembedahan. Suatu perkara penting yang perlu difahami oleh pesakit katarak adalah keputusan muktamad untuk merawat penyakit ini terletak di tangan mereka.
Tidak semua masalah penglihatan berpunca dari katarak dan pembedahan tidak semestinya perlu walaupun kehadiran katarak telah disahkan oleh pakar bedah mata. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak imigran dan tak selesai pengajian, kini Lucy Guo tersenarai sebagai antara wanita termuda dalam senarai America's Richest Self-Made Women pada usia 30 tahun!