
Terpegun melihat keanggunan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima ibni Almarhum Sultan Idris Afifullah Shah. Personaliti Tuanku yang mesra dan sentiasa mengukir senyuman membuatkan rakyat mengagumi keperibadian Raja Nazhatul Shima. Apatah lagi Raja Puan Besar Perak ini juga dikurniakan rupa paras cantik dan menawan.
Pernah menghiasi Majalah Nona edisi Jun 2016 dalam ruangan Tetamu VIP, Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima ialah anakanda kedua pasangan Almarhum Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Muzwin. Kongsi Raja Nazhatul Shima kepada Nona pada ketika itu, kekanda sulung mangkat ketika berusia enam bulan pada tahun 1944.
Menelusuri latar belakang dan keperibadian Raja Puan Besar Perak ini, Raja Nazhatul Shima baru sahaja menyambut ulang tahun hari keputeraan ke-68 pada 28 Februari lalu. Yang pasti, mesti ramai rakyat ingin tahu bagaimana Raja Puan Besar Perak menjaga penampilan diri dan sentiasa tampil mempersona.
Mengimbas kembali persoalan tentang rahsia awet muda yang diamalkan sewaktu mengadakan sesi fotografi bersama Tuanku di Istana Riswin, Perak kira-kira empat tahun lepas… kekanda kepada Permaisuri Johor Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofia ini tertawa kecil.
“Eh, tak ada rahsia pun! Ambil wuduk selalu, automatik nanti wajah pasti berseri. Saya percaya pada ketenangan hati dan beristighfar selalu, insyaAllah. Amalkanlah!”
Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima turut dikurniakan lima orang putera iaitu Syed Saifullah Alsagoff, Syed Ibrahim, Syed Redzuan, Syed Shareef, Syed Idris dan Syed Iskandar.
Kredit foto: Instagram Raja Nazhatul Shima Idris
Bakal Buat ‘Comeback’, MANISHA KOIRALA Jelita Di Usia 53 Tahun Kini Seorang Aktivis & Bahagia Hidup Solo

Sekiranya anda peminat industri perfileman Bollywood, nama pelakon jelita dan manis Manisha Koirala sudah semestinya tidak asing lagi. Bakat lakonannya menerusi filem Dil Se bergandingan dengan Shah Rukh Khan, serta Aamir Khan menerusi filem Mann antara yang cukup diingati.
Namun siapa sangka, sekitar tahun 2012 wanita cantik ini telah diduga apabila disahkan mengidap kanser ovari. Kisah hidup wanita yang berusia 52 tahun ini tidak terhenti begitu saja apabila terus positif menjalani rawatan kansernya.
Pelakon wanita yang berasal dari Nepal ini telah mendapatkan rawatan untuk membunuh sel kanser dalam tubuhnya di Memorial Sloan Kettering Cancer Centre di Amerika Syarikat.
Pada bulan Mei 2013, Manisha telah mengumumkan bahawa doktor telah mengesahkan dirinya bebas kanser dan bergelar Manisha Koirala pejuang kanser. Manisha juga telah mencatatkan perjalanan hidupnya sepanjang mendapatkan rawatan kanser dalam sebuah buku yang bertajuk, Healed: How Cancer Gave Me A New Life.
Wanita cantik ini juga kelihatan sering berkongsi pengalaman hidupnya sebagai kanser survivor serta memberi motivasi kepada audiennya. Bukan itu sahaja, Manisha kerap menjadi aktivis demi membantu anak bangsanya.
Kini Manisha lebih positif menjalani kehidupan dengan menghindarkan diri dengan stres dan mengamalkan pola pemakanan yang sihat. “Jika saya rasa terlalu penat, saya akan tidur sekejap atau ambil makanan yang sihat. Paling tidak pun saya akan memanjakan diri di spa, yoga atau pergi hiking,” jelas Manisha.
Dan kini di usia 52 tahun, NONA cukup teruja melihat Manisha yang turut juga aktif di media sosial terutama di laman Instagramnya, di mana Manisha dilihat kekal anggun dan jelita, malah kekal awet muda.
Dan kini bahagia hidup solo, Manisha Koirala pernah berkahwin dengan ahli perniagaan Samrat Dahal dari 2010 hingga 2012 tetapi pasangan itu tidak pernah dikurniakan anak.
Dan kini Manisha dikhabarkan akan kembali membuat ‘comeback’ selepas sekian lama menyepikan diri dalam bidang lakonan di mana dia akan muncul dalam siri web “Heeramandi” yang bakal ditayangkan di platform penstriman terkemuka Netflix. Diarahkan pengarah filem terkenal Sanjay Leela Bhansali, turut akan dibintangi Sonakshi Sinha, Aditi Rao Hydari, Sharmin Segal, Richa Chanda dan Sanjeeda.
Tak sabar rasanya nak tonton semula lakonan hebat Manisha Koirala kan. Mesti best punya!!
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Bila Kali Terakhir Anda Bersihkan Berus Solekan? Jangan Sampai Masuk Kerja Nanti JERAWAT Penuh Satu Muka!

Kebanyakkan di antara kita sangat teliti soal kebersihan diri, tapi kebersihan peralatan solek ramai ambil remeh. Semakin lama digunakan, semakin banyak bakteria membiak dan menyebabkan jerawat pada wajah kalau tak dibersihkan. Inilah masanya nak cuci segala alat solek yang dah lama terbiar tu!
APA YANG BERLAKU JIKA PERALATAN SOLEKAN KOTOR?
- Pembiakan bakteria
- Solekan bertompok-tompok
- Berus menjadi rosak
- Iritasi pada kulit
- Jerawat mula tumbuh dengan banyak
- Bulu mata terlekat pada maskara atau lashes curler
- Jangkitan pada mata
- Kulit mula berkedut
- Pembaziran!
Hujung-hujung minggu, jika tak ke mana-mana bolehlah anda mula mencuci peralatan solek terutamanya berus solekan. Tak perlu hari-hari, cukup sekadar 3 bulan sekali pun ok!
Bersihkan berus solekan
- Mula-mula, basahkan berus dengan air suhu bilik. Hadkan hanya pada bahagian bulu berus sahaja agar pemegangnya tidak rosak.
- Picitkan sedikit syampu atau pencuci wajah pada tapak tangan dan tekankan berus agar buih syampu atau pencuci wajah mengenai bahagian tengah berus.
- Kemudian, bersihkan dengan air bersih dengan memastikan pemegang tidak basah.
- Keringkan secara semula jadi dengan membiarkannya seharian di bawah tempat terang sampai alat make up benar-benar kering, sekurang-kurangnya seharian. Anda juga bolehlah bebeskan wajah tanpa solekan untuk sehari. Biarkan kulitmu bernafas!
Berus wajah ultrasonik
Walaupun anda menggunakan berus waja ultrasonik, anda masih perlu membersihkannya untuk mengelak dari pembiakan bakteria.
- Buka skru pada kepada berus. Gunakan beberapa titisan sabun antibakteria dan berus gigi lama untuk memberus di celahan bulu berus.
- Bilas dengan air suam. Lapkan bahagian pemegang dengan menggunakan sabun dan tuala lembut.
- Biarkan berus dan pemegang kering dengan sendiri seharian sebelum menggunakannya semula.
Penyepit bulu mata
Maskara dan penyepit bulu mata mudah memerangkap kotoran dan menyebabkan iritasi pada mata yang sensitif. Penyepit bulu mata perlu dibersihkan sekurang-kurangnya sekali seminggu atau setiap hari sekiranya anda memiliki mata sensitif.
- Gunakan pad kapas dan alkohol untuk membersihkan bahagian curler.
- Bilas dengan air sejuk kerana alkohol akan menyebabkan getah atau plastik pada penyepit mata menjadi kering. Kemudian, biarkan kering dengan semula jadi.
Pensil alis mata, pensil kening dan penggaris bibir
Kesemua alat solekan ini boleh menjadi tumpul. Anda memerlukan pengasah untuk menajamkannya kembali. Paling penting, pastikan pengasah itu bersih sebelum digunakan.
- Rendamkan berus gigi lama ke dalam alkohol dan dengan perlahan berus pada bahagian pisau pengasah.
- Bersihkan dan biarkan kering dengan semula jadi.
Tweezer
Tweezer digunakan untuk pelbagai guna seperti mencabut bulu kening dan bulu pada bahagian ketiak. Untuk mengurangkan risiko jangkitan, tweezer juga perlu dibersihkan.
Hanya rendamkan dalam air biasa yang dicampur syampu, dan bilas. Biarkan kering sendiri.
Paralatan medicure dan pedicure
Kebersihan peralatan ini perlu sangat penting dan perlu anda ambil peduli. Bayangkan kesan-kesan daki dan kotoran dari kaki dan tangan di celahan kuku yang digunakan tanpa pembersihan yang betul boleh menyebabkan jangkitan.
Walaupun hanya anda seorang yang menggunakan peralatan ini namun ia juga perlu dibersihkan kerana ia berpotensi untuk membiakkan kuman.
- Gunakan air panas dan sabun antibakteria untuk merendam peralatan besi.
- Gosok celahan peralatan dengan menggunakan berus gigi yang sudah tidak digunakan.
- Bahan yang diperbuat daripada plastik seperti pemisah jari (toe separator) atau sikat kuku (nail brush) perlu dilap menggunakan alkohol.
- Permukaan kasar seperti pengikir kuku dan penghalus kuku (buffer) boleh dibersihkan dengan sikat.
- Pastikan kesemua peralatan bersih sebelum di simpan.
Hair curler dan flat iron
Semburan rambut boleh meninggalkan tanda kesan terbakar pada hair curler dan flat iron anda. Kesan ini tak boleh hilang dengan hanya merendam ke dalam air panas atau dikikis dengan pisau.
Apa yang perlu anda lakukan:
- Cabut plug dan pastikan kedua-dua mesin ini dalam sejuk.
- Basahkan pad kapas dengan alkohol dan tekapkan pada bahagian yang terkesan. Biarkan beberapa minit. Ulangi sehingga kesan itu benar-beanr hilang.
- Akhiri dengan membersih menggunakan kain lembut yang kering dan bersih.
Anda juga boleh membersihkan peralatan rambut ini menggunakan campuran satu sudu besar soda bikarbonat bersama satu sudu teh air. Sapu pada bahagian melekit menggunakan kain lembut dan skrub perlahan. Bilas dengan membasahkan kain bersih ke dalam air dan tekap pada bahagian terkena kotoran.
Tak Perlu Makan Suplemen Lagi, Buat Je Jus Campuran SAYURAN & BUAHAN Ni!

Niat untuk mendapatkan tubuh badan langsing bagaikan aktres Hollywood seperti Salma Hayek, Gwyneth Paltrow dan Sarah Jessica Parker rupa-rupanya tidak mustahil. Hanya dengan menikmati jus sayuran atau buah-buahan tertentu, anda dapat menurunkan berat, merejuvenasi kulit dan melakukan detoksifikasi secara semula jadi.
Diet jus memberi peluang kepada sistem badan kita untuk berehat daripada melakukan aktiviti pencernaan yang banyak menggunakan tenaga. Selain pencernaan, tenaga turut disalurkan untuk aktiviti penyingkiran toksin, memperbaiki tisu dan meningkatkan penyembuhan dalaman. Dalam masa yang sama, kita membekalkan tubuh dengan zat dan nutrien yang sihat melalui jus sayuran dan buah-buahan yang diminum.
Sifat jus yang beralkali membantu kita untuk mengimbangkan pH badan dan meneutralkan toksin yang berasid. Selain itu, seseorang yang telah melakukan jus diet juga akan menjadi lebih sensitif dan peka terhadap pengambilan makanan-makanan yang kurang sihat.
GOLONGAN SASARAN
- Mereka yang mahu menurunkan berat badan
- Mereka yang mahu meningkatkan kesihatan badan
- Mereka yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah
- Mereka yang ingin mengubah gaya hidup yang lebih sihat
- Mereka yang ingin mengekalkan keremajaan (antipenuaan)
- Mereka yang merawat masalah depresi atau stres
- Mereka yang memiliki penyakit insomnia, tekanan darah tinggi, diabetes, asma serta masalah jantung
- Mereka yang ingin berhenti daripada merokok
- Mereka yang cuba mendapatkan anak
Tiada sebarang had masa yang ditetapkan untuk pengamal diet jus. Namun bagi mereka yang masih baru, cuba ambil jus untuk tempoh sehari dahulu, seterusnya selama tiga hari dalam seminggu dan kemudian tujuh hari dalam sebulan. Perlu diingatkan bahawa diet jus bukanlah sebuah program diet yang lengkap dan seimbang. Ia lebih kepada proses penyembuhan dan kebaikan kesihatan yang menyeluruh. Justeru pilihlah waktu yang sesuai untuk anda melakukan diet jus ini.
Portion jus yang disyorkan adalah 2:1 di mana sayuran perlu lebih banyak daripada buah-buahan bagi mengelakkan masalah kenaikan berat badan secara mendadak atau masalah pra-diabetes (porsi buah lebih banyak daripada sayur). Elakkan juga buah-buahan yang manis ketika melakukan diet jus.
RESIPI
- 1 biji epal hijau + 1 biji ubi bit + 1 biji sengkuang
- 1 biji epal hijau + 3 batang saderi + 1 biji ubi bit
- 1 biji tomato + 1 batang lobak merah + 1 biji epal hijau
- 3 batang saderi + 1 biji timun + 3 potong nanas
- 3 potong nanas + 1 biji ubi bit + 10 helai daun salad
PANDUAN
- Sebelum memulakan diet jus, kurangkan porsi makanan yang diambil agar sistem badan tidak terkejut.
- Begitu juga selepas diet jus berakhir. Oleh sebab saiz perut akan mengecil dan jus pencernaan akan berkurang, maka mulakan pengambilan makanan berbentuk cecair dahulu, diikuti separa pejal dan barulah pepejal sepenuhnya secara berperingkat.
- Selain daripada mengambil jus sayuran dan buah-buahan, anda juga boleh mengambil psyllium husk untuk mengawal kadar gula dalam darah atau suplemen tambahan.