Lawak jenaka mereka menggeletek hati. Meskipun bersahaja, tapi kehadiran para pelawak ini boleh membuatkan sesiapa pun di sisi ketawa terbahak-bahak.
Realitinya dunia komedi tidak selucu yang disangka. Persaingan semakin hebat dan masing-masing perlu come out dengan idea yang lebih terkedepan. Itu belum lagi ditekan masalah peribadi yang boleh tahan hebatnya.
Salah satu pengakuan yang terasa begitu dekat dengan hati wanita adalah kisah yang menimpa pelawak dan pelakon Achey dari kumpulan Bocey.
Pengakuan Achey atau nama penuhnya Mohd Nasir Hamzah, 31, tentang kesedihan yang terpendam selama ini menggemparkan ramai peminat. Menerusi program Astro Warna ‘Di Balik Tawa’, Achey telah mengalirkan air mata apabila bercakap soal zuriat.
Terlalu sensitif rasanya bila bercakap soal ini. Anak bukan seperti ikhtiar rezeki lain yang boleh diduga. Ada yang sudah berkahwin berbelas tahun pun tetap diuji dengan dugaan anak.
Antaranya penghibur No. 1 negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang kini sedang sarat hamil 6 bulan. Beliau dan suami terpaksa menunggu selama 11 tahun dan pernah menjalani pelbagai rawatan infertiliti untuk mendapatkan zuriat.
Selain Dato’ Sri Siti Nurhaliza, seorang lagi selebriti yang tidak pernah jemu berikhtiar untuk mendapatkan anak kandung ialah Farrah Adeeba Mohamed Ashraf yang turut mencuba kaedah IVF. Ikhtiar tersebut gagal namun Tuhan itu adil. Meskipun usia perkahwinannya menginjak 15 tahun, dia dan suami telah dianugerahkan dua orang anak angkat iaitu Muhammad dan Harith.
Sememangnya dugaan belum dikurniakan cahaya mata ini memang sangat berat buat pasangan berkahwin. Hati menangis setiap kali menatap berita pembuangan bayi, ah mengapa perbuatan terlarang boleh sesenang itu membuahkan hasil? Itulah ujian-Nya.
Rezeki, mungkin tidak cepat tapi selalu pada waktu yang tepat. Cepat atau lambat, bersyukurlah. Mungkin rezeki kita dapat berbakti pada orang tua, diberi kesihatan yang baik atau pasangan yang pandai mengambil hati… Semua itu untuk kita perhati dan bermuhasabah tentang betapa pemurahnya Allah SWT.
Mudah Terasa
Sambil menitiskan air mata, Achey mengaku, “Saya dah kahwin 7 tahun, tak dikurniakan cahaya mata. Saya tak boleh menyentuh pasal anak. Dia (isteri) pun tak cakap apa-apa, walaupun 7 tahun orang cakap kita mandul, dia tak kisah.
Saya tahu banyak lagi orang yang lebih lama tak dapat anak tapi saya cuma kongsikan perasaan saya dan orang rumah saya. Ye, kami tak ada cahaya mata. Kami minta maaf dengan kawan-kawan terdekat dan saudara mara kalau ketika saya mendekati anak-anak mereka, mereka tak senang.
Saya minta maaf sebab saya sukakan kanak-kanak. Saya mohon saya pinjam je kasih sayang tu sekejap. Walaupun sekejap.
Saya gunakan cara tu untuk menghindarkan rasa sedih saya. Tapi itulah. Saya faham isteri, naluri seorang yang ingin menjadi ibu belum tercapai. Saya cubalah membahagiakan dia dengan cara yang lain…” luah Achey yang cukup menyentuh hati semua.
Bagi isteri Achey iaitu Anne atau Nur Hasanah, pastinya berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Wanita yang disangka kuat, jangan disangka tak punya perasaan.
“Orang cakap semua ni pasal duit. Orang taktau perjalanan hidup kami, apa yang kami lalui. Bila orang cakap pasal anak, memang saya teringin nak ada anak, nak rasa mengandung 9 bulan macam orang lain.
Yang membuatkan kami kuat selama ini disebabkan anak-anak kawan. Anak-anak sedara. Tu semua adalah penguat kami. Saya memang suka budak dan saya suka bermain dengan anak orang.
Sampai saya terapkan bila saya dan Achey dengan anak orang, saya panggil diri saya Mama dan Achey bahasakan diri dia Ayah. Dan dari situ kami jadi kuat sebab walaupun kami tak ada anak sendiri pun, tapi kami still ada anak orang lain yang boleh menguatkan kita.
Saya cekalkan hati saya jangan fikirkan orang sekeliling. Fikir saya susah dengan dia, macam mana dulu kami boleh hadapi susah bersama. Sekarang time senang, kenapa tak boleh hadapi orang sekeliling walaupun tak ada anak?” katanya. Norzalina Mohd Alias
https://youtu.be/6kmrb3U4e-8
Sumber: Instagram @Anne_Achey, @Farrah Adeeba, @ctdk