Ramai wanita kini telah berusaha untuk mendapatkan atau menambah zuriat menggunakan IVF termasuklah Siti Sarah Shah Nor, CEO Modvier ini. Melahirkan anak keduanya Nadyne Zulfa tiga tahun yang lalu telah melengkapkan kehidupan pasangan suami isteri ini.
Perasaan malu segelintir wanita mendapatkan anak bukan secara normal masih menebal. Terdapat juga wanita malu jika orang tahu mendapatkan anak menggunakan kaedah IVF, tetapi tidak pula pada Sarah. “Saya langsung tidak rasa malu bila orang tahu saya menggunakan kaedah ini.
Anugerah anak melalui IVF juga merupakan rezeki pemberian Allah SWT. Walau apa pun kaedah yang kami suami isteri cuba, ia tetap anak kami berdua. Malah, Nadyne Zulfa yang kini telah berusia tiga tahun adalah anugerah yang sangat berharga buat kami. She’s grown into this amazing young girl. Perfection di mata kami berdua,” jelas Sarah yang berusia 36 tahun ini.
Menyingkap kisah di sebalik melakukan teknik IVF untuk cahaya mata keduanya, terang Sarah, “Selepas anak sulung saya Rafiq Zulkarnain yang kini berusia 8 tahun dan semakin membesar, saya mula merancang untuk menambah anak. Selepas 5 tahun mencuba secara normal, namun tidak menunjukkan sebarang tanda. Saya mula rasa takut, kenapa masih tiada sebarang tanda untuk anak kedua ini.
Ads
Jadi, saya berjumpa dengan doktor pakar untuk mendapatkan pandangannya. Beberapa ketika saya berusaha dengan makan clomid and few cycles tapi masih belum mengandung. Jadi, saya disarankan untuk memilih cara yang berkesan dan terbaik, terus buat IVF,” tutur Sarah lembut.
“Pengalaman yang dilalui sepanjang melalui proses IVF menjadi kenangan abadi untuk dikenang. Setiap hari kena cucuk perut sendiri. Hari ketiga saya tidak sanggup untuk melakukan sendiri dan minta pertolongan suami. Sepanjang tempoh rawatan makan kena jaga dan tidak boleh bergerak aktif seperti selalu.
Biasanya saya tidak pernah punya masa untuk bersantai atau bersenang-lenang. Tapi, alhamdulillah selain berusaha mendapatkan zuriat, saya diberi kesempatan untuk berehat. Tak tahu nak buat apa, jadi saya isi masa dengan membaca yang dulu hanya dilakukan dalam masa yang terhad.
Ads
Kalau ditanya pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan sepanjang melakukan rawatan IVF ini, ada banyak sebenarnya. Tapi yang paling ketara adalah konon-konon saya tidak mahu dikenali ketika membuat rawatan. Jadi saya pilih pusat rawatan Sunfert IVF Centre, Bangsar South sebab tak nak jumpa orang yang dikenali.
Tapi masa saya dah bersiap-sedia untuk prosedur ambil telur tu. Tiba-tiba beberapa orang nurse yang bertugas tegur dan tanya saya ni owner Modvier ke? Kelakar sangat rasa pada ketika itu,” ujar Sarah yang berkahwin pada tahun 2008 ini sambil ketawa.
Ads
Menurut Sarah sebagai seorang wanita tidak ada yang nak dimalukan cara mendapatkan zuriat sama ada secara normal, IUI atau IVF. “Saya sudah melalui pengalaman mendapat zuriat secara normal dan kaedah IVF. For me, if dah few years try, dan doktor kata there’s nothing wrong with you, try lah IVF.
Peluang untuk berjaya lebih tinggi dari IUI atau makan clomid. It might a bit pricey but I know ada banyak hospital kerajaan with a private wing yang ada khidmat itu juga. Jangan hanya berharap semata-mata tanpa usaha atau pertolongan daripada doktor dan ubat-ubatan. Makan kena jaga, stres kena eliminate begitu juga pergerakan,” ungkap Sarah mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Umum sedia maklum bahawa pelakon kecil molek, Nad Zainal kini sedang melayari hari-hari penuh bahagia bersama keluarga tercinta, terutama apabila kini sudah bergelar ibu kepada cahaya mata.
Malah, sejak bergelar isteri kepada pengarah dan juga aktor, Ungku Ismail rezeki buat pemilik nama penuh Farah Nadia Zainal Abidin dilihat semakin mencurah-curah.
Selain masih aktif dengan kerjaya lakonan, aktres berbakat besar ini kian ligat berniaga dan mempromosikan jenama Nadi Kesuma, iaitu perniagaan tudung dubawah naunganya sendiri. Apa yang lebih manis, perniagaan tersebut diusahakan bersama suami tercinta.
‘Nadi Kesuma’ Hasil Usahasama Nad Bersama Ungku Ismail
Tampil dengan pelbagai rekaan tudung eksklusif, Nadi Kesuma kini telah berjaya menembusi pasaran Singapura. Bercerita mengenai label hijab berkenaan, Nad menerusi media sosial miliknya mendedahkan perkara ini.
“Nadi Kesuma melambangkan kekuatan, nafas wanita. Kekuatan saya terletak pada keluarga terutamanya anak-anak dan suami.
“Juga mereka yang selalu mendukung kerjaya saya, merekalah penggerak, penggaya, penyumbang idea untuk Nadi Kesuma.
“Thanks Fiqqi Abdullah, Thelikeyuti, Yumi Marina dan dah tentu my Ungku Ismail Aziz, suami dan boss legasi Karyatama,” tulis nad ringkas pada ruangan kapsyen hantaran berkenaan.
Nad Zainal ‘Bahagia’ Bersuamikan Ungku Ismail
Sejak selamat bernikah Januari lalu, makin berseri-seri Nad Zainal dan Ungku Ismail Aziz. Sering berada di sisi walau ke mana saja, pasangan selebriti romantis ini juga dilihat saling menghargai di antara satu sama lain dan berkongsi momen indah mereka di media sosial.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin sah bergelar isteri kepada pelakon kacak, Ungku Ismail pada pada 23 Januari tahun lalu. Bagaimana pun, mereka mengumumkan berita perkahwinan tersebut kepada peminat selepas hampir seminggu bernikah.
Hasil perkongsian hidup selama setahun itu, perkahwinan Nad dan Ungku Ismail telah diserikan dengan kehadiran seorang cahaya mata lelaki pada 10 Oktober 2023.
Untuk recap, hubungan serius Nad dan Ungku mula ‘dihidu’ ramai selepas aktor tersebut banyak berkongsi perkembangan pelakon Dendam Seorang Isteri itu ketika Nad terlantar di hospital akibat pendarahan paru-paru.
Pada September 2022, Nad dilaporkan bercerai dengan Muhammad Faliq Amiruddin yang dikahwini sejak 18 September 2015.
Menerusi perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim berusia tujuh tahun dan Budi Kalsom, dua tahun.
Semoga ikatan suci yang dibina Nad dan Ungku terus berkembang mekar serta berkekalan hingga ke syurga.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari NONA.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Kehadiran Nur Dhabitah Sabri dalam arena sukan terjun di samping atlet berbakat besar seperti Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee terbukti berjaya melonjakkan nama negara dalam sukan berkenaan. Meniti usia 22 tahun, Dhabitah sememangnya memiliki aura tersendiri terutamanya ketika menyertai pertandingan.
Malah pesona anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga pernah menarik perhatian media antarabangsa sewaktu temasya Sukan Olimpik Rio 2016 kerana sikapnya yang gemar tersenyum!
Mengimbas kembali momen Dhabitah dalam acara sukan dunia kira-kira lima tahun lalu, namanya meniti di bibir peminat sukan seluruh dunia yang tertawan dengan senyuman manis atlet muda ini. Walau terjunan Dhabitah ketika bertanding kurang kemas namun dia tetap melempar senyuman kepada penonton.
Aura positif Dhabitah cukup menyenangkan hingga rata-rata mereka yang menyaksikan acara sukan berkenaan memuji atlet kebanggaan Malaysia ini. Menyedari namanya diperkatakan ramai waktu itu, empunya diri berkata tindakannya yang dilihat sering tersenyum sebelum dan selepas membuat terjunan adalah kerana mahu menghilangkan perasaan gemuruh.
Dilahirkan pada 12 Julai 1999, anak bongsu kepada pasangan Sabri Hashim dan Fazidah Jaafar ini mula didedahkan dengan sukan renang selepas kedua-dua ibu bapanya menyedari minat Dhabitah dalam bidang berkenaan sejak kanak-kanak lagi.
Dhabitah memenangi pertandingan sekitar tahun 2008
Sepanjang bergelar atlet, Dhabitah yang mendapat pendidikan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) telah berjaya merangkul pelbagai pencapaian membanggakan. Antaranya Anugerah Sekolah Sukan Bukit Jalil (Atlet Sukan Wanita Terbaik), 100 Plus Sports Awards (Atlet Harapan Malaysia 2016), pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2014, pingat emas Asian Diving Cup 2015, FINA Diving Grand Prix, Sukan SEA 2015, Sukan SEA 2017 dan Olahragawati Wilayah Persekutuan 2017.
Dhabitah ketika terima darjah kebesaran YDP AgongDi samping ibu tersayang
Atas kejayaan cemerlang dalam bidang sukan, Dhabitah diberi kepercayaan membawa obor terakhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Lebih membanggakan, atlet ini turut menjadi antara 200 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di Istana Negara.
Pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu, Dhabitah dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Wilayah (AMW). Moga kejayaan yang diraih Dhabitah terus menjadi inspirasi dan pencetus semangat buat ramai wanita untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.
Kredit foto: Instagram Nur Dhabitah Sabri
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anakanda sulung Perdana Menteri ketujuh ini sempat berkongsi bingkisan indah bersama keluarga tercintanya buat pembaca NONA. Di usia 61 tahun, rupa paras isteri kepada Tara Sosrowardoyo dan ibu kepada tiga cahaya mata, Ineza Roussille, Haga Tara dan Shaista Mayada itu masih manis rupawan dengan karakter seorang feminis yang pintar.
Terus saja persoalan tentang watak ibu bapanya di rumah diajukan, lantas disambut dengan senyuman lebar oleh Datin Marina. “Secara jujur, saya melihat kedua orang tua saya sebagai pasangan yang paling ideal di dunia. Mereka seperti ditakdirkan bersama. Amat mesra dan saling melengkapkan antara satu sama lain. Meskipun kedua-duanya tidak ekspresif melahirkan rasa cinta, namun ia terserlah melalui perbuatan dan pandangan mata. Saya juga kenal perangai Ayah saya yang sangat bergantung pada Mak. Kalau ada sesuatu yang mengganggu fikirannya atau waktu dia menjalani rawatan di hospital dahulu, hanya isterinya yang dimahukan untuk berada di sisi.
Semasa kami semua membesar di Alor Setar, Ayah seorang yang garang dan tidak banyak bercakap. Kalau kami tak pergi ke sekolah, macam buat satu dosa besar bagi dia. Saya juga pernah teruk dicubit dan dimarahi apabila tukang kebun kami mengadu saya menjelir lidah kepadanya. Berkali-kali Ayah tekankan betapa pentingnya sikap tertib dan adab sopan terhadap orang lain. Itulah yang saya pegang dan menjadi prinsip hidup sampai sekarang,” cerita wanita yang mesra disapa sebagai Marina itu kepada penulis.
Tun Dr. Siti Hasmah pula, akui Marina turut bersikap tegas kerana beliaulah yang menguruskan semua hal berkaitan pendidikan anak-anak. “Dia memang lemah lembut dan mesra dengan semua orang. Tapi sewaktu kami kecil, dia seorang enforcer kerana mahu melihat kami semua berjaya. Sekarang tidak lagi. Mak merupakan individu paling rajin untuk mengatur percutian keluarga dan dialah yang sentiasa membuatkan kami sekeluarga berhubung antara satu sama lain.
Kami selalu dididik bahawa hajat tak akan tertunai tanpa usaha. Dalam dunia ni tak ada yang percuma. Semua orang mesti bekerja untuk mendapatkan hasilnya. Mereka juga selalu berpesan bahawa pendidikan itu sangat penting. Tak kisahlah kami mahu kerja apa nanti asalkan mesti habis belajar. Kerana tidak dipaksa, maka tak ada seorang pun di antara kami yang mengikut jejak langkah mereka dalam bidang perubatan. Mujurlah sekarang ada dua anak saudara yang menunjukkan minat sebagai doktor,” kata Datin Marina dengan mesra.
Kesibukan sentiasa menjadi halangan buat pemilik syarikat Mosaique Communication ini dan adik-beradik yang lain untuk selalu berjumpa ibu bapa di rumah. Sesekali tiba peluang berkumpul, itulah masanya untuk update hal keluarga masing-masing. “Percaya tak, kadang-kadang saya kena baca akhbar untuk tahu Mak dan Ayah berada di mana! Hakikatnya memang mereka berdua sibuk dengan pelbagai aktiviti di merata-rata tempat. Sebagai anak Perdana Menteri, kami dah biasa dengan situasi ini. Cuma kini agak risau kerana mereka sudah tua dan perlu banyak berehat.
Ayah sudah biasa bekerja. Sebenarnya kami sekeluarga sudah puas memujuk namun Ayah masih sayangkan perjuangannya. Sampai ke satu tahap, kami jadi putus asa. Selagi dia masih sihat, okaylah. Cuma jauh di sudut hati saya sangat kesian melihat Ayah kerana umurnya yang sudah meningkat,” kata Datin Marina dalam nada tertahan.
Tatkala Datin Marina atau ahli keluarganya yang lain dilemparkan pelbagai tohmahan, mereka sekeluarga mengambil inisiatif untuk saling menyokong satu sama lain. “Saya selalu menerima kritikan negatif tapi alhamdulilah semuanya diuruskan sendiri tanpa melibatkan Ayah atau sesiapa. Mungkin berkat pengalaman di bidang perhubungan awam dulu, saya jadi immune. Saya tak kisah apa orang nak kata. Mereka tak kenal saya tapi menilai dari media sosial saja. Di media sosial, golongan yang menghentam itu memang nampak hero tapi belum tentu mereka berani berdepan saya. Kita semua sama. Yang menghisab cuma Dia.”
Kini meskipun tidak lagi aktif dalam persatuan, kebanyakan masa Datin Marina masih lagi padat dengan pelbagai program seperti jemputan memberi ceramah di sektor korporat, universiti dan sekolah. Beliau juga masih memikul tugas ahli lembaga Yayasan Maybank dan ahli Asian University for Women (AUW) yang berpangkalan di Chittagong, Bangladesh.
Daripada pandangan mata penulis, sumbangan Datin Marina teramat besar dalam memperjuangkan hak asasi wanita. Beliau lantang menyuarakan pendapatnya walau ada kalanya disanggah beberapa pihak. Sebagai bekas Presiden Majlis AIDS Malaysia juga, Datin Marina giat membela nasib mangsa HIV/AIDS serta terkenal melalui Sisters In Islam kerana memperjuangkan keadilan serta menuntut kesaksamaan bagi wanita Islam
MERIAH
Ceritera Ramadan menyapa perbualan penulis yang seterusnya dengan Marina. Dibesarkan dengan gaya orang Kedah, Datin Marina sekeluarga biasanya akan mula berbuka dengan hidangan ringan seperti kuih-muih dahulu, sebelum bersolat Maghrib dan bersambung semula dengan menjamah nasi. “Amalan kami sama saja dengan keluarga lain. Saya sendiri berlatih berpuasa secara separuh hari. Sedikit demi sedikit, barulah pandai berpuasa sampai sehari dan alhamdulilah pada usia 8 tahun, sudah boleh berpuasa penuh di bulan Ramadan.
Bagi saya Ramadan adalah masa yang paling ideal untuk keluarga. Sambil itu juga, inilah masanya untuk merenung semula makna kebesaran bulan Ramadan dan to simplify our life. Kami sudah lama tak pergi berbuka puasa di hotel tapi cukuplah apa yang terhidang di atas meja saja. Inilah bulan yang paling quiet bagi saya, kurang bersosial, kurang marah-marah dan lebih masa untuk beribadah. Cukuplah menyibukkan diri pada bulan-bulan lain.
Sekarang bila keluarga dah bertambah besar dan ramai, kami sepakat adakan dua majlis wajib sewaktu bulan Ramadan. Semua ahli keluarga mesti berkumpul pada malam 1 Ramadan dan malam terakhir berpuasa. Masa inilah kami akan berbuka dan bertarawih sama-sama di rumah dengan keluarga,” imbau Datin Marina yang juga pernah menyambut Ramadan selama lima tahun di kota London.
Sewaktu negara di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir dulu, penulis teringat akan suasana meriah membuat persiapan raya sambil televisyen terpasang rancangan Perutusan Khas Aidilfitri daripada Perdana Menteri. Tatkala bercerita semula tentang kenangan itu kepada Datin Marina, beliau sebagai anak tentulah agaknya lebih teruja. Sambbil tertawa kecil. “Saya tidaklah sampai tertunggu-tunggu ucapan Ayah di depan TV. Bagi saya, itu biasa saja baginya yang sedang menjalankan tugas rasmi sebagai pemimpin.”
Mengakhiri perbualan ini, Datin Marina sempat berpesan kepada semua pembaca Nona agar jangan jemu menambah ilmu. “Pengetahuan adalah kuasa. Sebagai wanita, kita mesti tahu apa hak kita dan perkasakan diri dengan pengetahuan. Dengan itu kita lebih bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran atau kemungkinan yang mendatang,” katanya bersungguh-sungguh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!