
Jangan anggap remeh soal kesihatan di dalam mulut. Sebab kadangkala hanya kerana bau mulut boleh menjadi halangan dalam pergaulan. Bau mulut juga boleh membuatkan seseorang menjadi tak percaya diri yang menghalang dirinya untuk bergaul. Lebih-lebih lagi jika ini dialami oleh wanita. Bau mulut boleh terjadi berdasarkan apa yang dimakan.
Namun begitu, jangan bimbang kerana masalah ini boleh dielakkan dengan mengamalkan 4 cara berikut di samping memilih makanan yang membantu mengurangkan bau mulut.
- EPAL ATAU LOBAK MERAH
Mengunyah epal atau lobak merah pada setiap hari dapat menjadikan nafas lebih segar serta harum.
- MINUM TEH HIJAU
Meminum teh hijau atau dicampurkan dengan bahan lain dapat membantu. Ini kerana teh hijau mengandungi catechin yang mampu membunuh bakteria di dalam mulut, menghilangkan gula dari plak dan menghilangkan bakteria penyebab bau mulut.
- KEJU
Keju mampu melindungi enamel gigi, menghasilkan air liur (saliva) seterusnya membunuh bakteria penyebab plak gigi serta penyakit gusi.
- MINUM AIR PUTIH 8 GELAS SEHARI
Penggunaan air putih merupakan cari terbaik untuk merangsang air liur (saliva). Amalan berkumur setiap pagi membantu mengeluarkan kotoran yang ada di celahan gigi dan penyebab bau mulut. Jadi, jangan lupa minum 8 gelas air putih setiap hari.
Bersenam Sambil MENONTON TV, Mengapa Tidak? Jom Mulakan!

Berjam-jam menonton TV sambil berbaring atau duduk saja di sofa dengan mulut mengunyah kudap-kudapan tanpa sedar ianya boleh menjejaskan kesihatan dek kerana tabiat duduk yang terlalu lama ketika menonton. Amalkan 4 senaman ringan ini. Hanya dengan beberapa gerakan saja sudah cukup untuk mengurangkan risiko penyakit.
- PLANK
Semasa iklan TV muncul anda bolehlah melakukan gerakan plank. Ia membantu menguatkan otot-otot bermula dari lengan, perut sehinggalah kaki. Malah, gerakan sederhana ini juga membantu membaiki postur badan dan meratakan perut.
Sambil melakukan gerakan ini anda masih boleh fokus untuk menonton. Lakukan setiap kali munculnya iklan TV.
- SQUAT
Biasanya gerakan ini dilakukan ketika berada di kelas-kelas olahraga namun kali ini apa kata anda mencubanya sambil menonton TV pula. Gerakan squat ini mudah saja dilakukan yang dapat menjadikan otot betis, belakang dan perut lebih kencang dan kuat. Squat juga dapat membantu melancarkan pencernaan. Buat selama 2-3 minit.
- WALL SIT
Senaman ini memerlukan anda bersandar di dinding. Mulakan dengan berdiri sekitar setengah meter dari dinding dengan bahagian punggung membelakanginya. Kemudian, turunkan badan sehingga lutut membentuk 90 darjah sementara punggung terus ditempelkan ke dinding.
Jaga bahu, punggung atas dan belakang kepala agar kekal lurus. Tahan gerakan ini selama 30 saat. Bila anda sudah biasa dengan senaman ini, bolehlah menambah durasi sesuai dengan kemampuan.
- YOGA
Terdapat banyak gerakan yoga yang sederhana boleh dibuat sambil menonton TV. Salah satunya dengan berbaring bertelangkup di atas lantai sementara jari jemari berada di bawah bahu.
Regangkan kaki sehingga hujung jari kaki menyentuh lantai. Senaman ini membantu mengencangkan bahagian perut. Tekan bahu ke atas dengan menekan ibu jari dan terlunjuk. Arahkan dada ke depan, pastikan posisi tangan lurus selari dengan lantai dan tahan agar bahu tidak membongkok. Lakukan selama 30-60 saat. Selamat mencuba!
Pergi Kerja, Beli Sarapan NAIK BASIKAL. Sampai Nak BERSALIN Pun Mengayuh Lagi! Hebat Menteri Wanita Ni

Seorang menteri wanita di New Zealand, Julie Anne Genter menjadi bualan hangat di seluruh dunia apabila beliau dikatakan mengayuh basikal sendiri ke hospital untuk proses induksi dan melahirkan anak sulung pada usia kandungan mencecah 42 minggu.
Julie Genter menyiarkan gambar-gambar beliau bersama pasangan dengan gembira menikmati kayuhan basikal pada pagi Ahad untuk ke hospital di instagram dan dihujani ucapan tahniah oleh para pengikutnya.
“Ahad yang indah untuk mengayuh basikal ke hospital bagi proses induksi dan seterusnya melahirkan anak dalam kandungan. Kini sudah tiba masanya dan doakan semoga kami berjaya. Saya dan pasangan mengayuh basikal sebab tidak cukup ruang di dalam kereta untuk krew sokongan dan ia membantu saya untuk berada dalam mood yang paling baik”, tulisnya di laman instagram.
Julie sebelum ini dikhabarkan pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali dan terbuka menceritakan episod sedih dalam hidupnya itu kepada pihak media di New Zealand. Selain itu, difahamkan beliau akan bercuti selama 3 bulan selepas proses melahirkan bayi tersebut dan dijangka akan kembali menjalankan tugas November depan.
Rupa-rupanya, Julie Genter,38 yang merupakan Menteri Wanita merangkap Menteri Pengangkutan dan Kesihatan di New Zealand memang menyokong aktiviti berbasikal di sana dan beliau sendiri tidak malu untuk berbasikal ke pejabat, membeli sarapan mahupun untuk bersiar-siar. Wow, jarang ada menteri yang low profile macam ni. Perempuan pula tu.
Semoga tindakan ‘sihat’ yang dilakukan oleh Julie ini mendapat isnpirasi yang baik kepada para wanita di luar sana. Lagipun, terdapat banyak kebaikan melakukan aktiviti berbasikal ni terutamanya untuk ibu mengandung kerana ia boleh menyediakan otot anda ketika proses melahirkan nanti.
“Di Jendela Yang Sama Saya Lihat Perubahan Langkawi” Tun Dr Mahathir Lawat Kuarters Didiami 65 Tahun Lepas

Perkongsian Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu melawat kawasan beliau di Langkawi hari ini, mencuri tumpuan. Sebuah rumah usang, rupanya pernah merakam sejarah sebagai tempat tinggal beliau sewaktu bertugas sebagai pegawai perubatan sekitar 65 tahun lepas.
Sambil merenung ke luar jendela, figura tokoh politik ini yang berpelitup muka seperti leka mengimbau nostalgia. Tulisnya,
Pada tahun 1956 saya ditugas sebagai Medical Officer, Langkawi.
Ini kuarters yang saya tinggal selama 6 bulan di Jalan Ayer Hangat, Kuah.
Di seberang jalan terletak hospital lama.
Rekabentuk rumah ini masih kekal.
Di jendela yang sama saya lihat perubahan Langkawi.
PERUBAHAN YANG DIMAKSUDKAN
Dalam mentafsir kata-kata Bapa Pemodenan Malaysia ini, ada banyak aspek yang perlu dikaji sebelum dapat menyimpul maksud yang beliau sampaikan. Adakah Langkawi hari ini membangun seperti yang direncana, atau pun sebaliknya?
Atau apakah bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu mahu rakyat berfikir tentang negara?
Sebagai Ahli Parlimen Langkawi, pasti bertuah sekali penduduk di pulau itu lantaran beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali kerap turun padang menyantuni masyarakat. Tak terhitung banyaknya jasa lelaki ini buat tanah air yang disayangi.
Direzekikan untuk masih dapat melihat tokoh negara ini berkhidmat, sihat walafiat dan mampu tersenyum dengan fikiran yang masih ligat, bagi penulis adalah satu pengalaman terindah. Tun Dr Mahathir Mohamad kini berusia 96 tahun.
Pada tahun 1954, beliau berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Setar, Jitra, Langkawi dan Perlis sehingga tahun 1957.
Beliau kemudian melangsungkan perkahwinan dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada 5 Ogos 1956 dan dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu tiga orang lelaki dan seorang perempuan manakala beliau mempunyai 3 orang anak angkat. Anak-anak beliau ialah Marina, Mirzan, Mahathir, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.
Teringat kisah sewaktu Nona menemu bual anakanda sulung pasangan ini, Datin Paduka Marina Mahathir, 64 tahun.
“Semasa kami semua membesar di Alor Setar, Ayah seorang yang garang dan tidak banyak bercakap. Kalau kami tak pergi ke sekolah, macam buat satu dosa besar bagi dia. Saya juga pernah teruk dicubit dan dimarahi apabila tukang kebun kami mengadu saya menjelir lidah kepadanya.
Berkali-kali Ayah tekankan betapa pentingnya sikap tertib dan adab sopan terhadap orang lain. Itulah yang saya pegang dan menjadi prinsip hidup sampai sekarang,” Datin Paduka Marina Mahathir
Tun Dr. Siti Hasmah pula, akui beliau turut bersikap tegas kerana beliaulah yang menguruskan semua hal berkaitan pendidikan anak-anak.
“Dia memang lemah lembut dan mesra dengan semua orang. Tapi sewaktu kami kecil, dia seorang enforcer kerana mahu melihat kami semua berjaya. Sekarang tidak lagi. Mak merupakan individu paling rajin untuk mengatur percutian keluarga dan dialah yang sentiasa membuatkan kami sekeluarga berhubung antara satu sama lain.
Kami selalu dididik bahawa hajat tak akan tertunai tanpa usaha. Dalam dunia ni tak ada yang percuma. Semua orang mesti bekerja untuk mendapatkan hasilnya. Mereka juga selalu berpesan bahawa pendidikan itu sangat penting. Tak kisahlah kami mahu kerja apa nanti asalkan mesti habis belajar.
Kerana tidak dipaksa, maka tak ada seorang pun di antara kami yang mengikut jejak langkah mereka dalam bidang perubatan. Mujurlah sekarang ada dua anak saudara yang menunjukkan minat sebagai doktor.
Percaya tak, kadang-kadang saya kena baca akhbar untuk tahu Mak dan Ayah berada di mana! Hakikatnya memang mereka berdua sibuk dengan pelbagai aktiviti di merata-rata tempat.
Ayah sudah biasa bekerja. Sebenarnya kami sekeluarga sudah puas memujuk namun Ayah masih sayangkan perjuangannya. Sampai ke satu tahap, kami jadi putus asa.
Selagi dia masih sihat, okaylah. Cuma jauh di sudut hati saya sangat kesian melihat Ayah kerana umurnya yang sudah meningkat.” Datin Paduka Marina Mahathir