Tak dinafikan Fiza Abdul Halim seorang wanita yang cantik. Walau berstatus ibu tunggal tapi dia tetap menjaga penampilan diri dan sentiasa kelihatan anggun. Sudah tentu bukan mudah bagi ibu yang sudah mempunyai tiga anak untuk kekal mempersona.
Lebih-lebih lagi apabila mempunyai anak kecil yang memerlukan sepenuh perhatian. Rutin harian sudah tentu lebih tertumpu kepada si kecil berbanding diri sendiri.
Namun selebriti cantik berusia 41 tahun ini berjaya membuktikan tanpa berbelanja besar pun dia masih mampu tampil menawan.
Tertarik dengan kemulusan kulit wajah Fiza. Macam porselin, satu jerawat pun tidak kelihatan di wajahnya. Saat diajukan pertanyaan tentang rejim kecantikan yang diamalkan, bekas penyanyi kumpulan Elite ini ketika dihubungi Nona tidak lama dulu hanya tertawa kecil.
Ujarnya, tiada penjagaan khusus yang dipraktikkan kerana dia seorang wanita yang ringkas.
“MashaAllah, tip cantik? Saya inilah orang yang paling simple. Mungkin sebab saya tak suka mekap kot. Jadi kulit saya tak ada masalah sangat. Petua saya cuma satu je, saya tak suka minum air sejuk dan hanya minum air suam atau air panas.
Ads
Bab kesihatan badan pula saya ni suka vaccum dan mop rumah hari-hari. Bagi saya itulah exercise saya untuk bersenam sebab kalau nak pergi gim bagai memang tak bolehlah.
Biasanya kalau duduk di rumah, saya akan cari apa saja kerja yang boleh saya buat walaupun semua dah tersusun dan kemas. Siapa yang kenal saya, tahulah saya ni macam mana.
Petua turun-temurun yang diamalkan tak ada. Cuma saya lebih berhati-hati dengan keadaan badan dan kesihatan diri sendiri. Pendek kata, memang saya pantau sendiri.”
Tambahnya lagi, “Kalau agak-agak badan tu dah naik kalau timbang, saya akan diet sedikit. Kalau bila timbang macam ringan dari selalu, saya akan makan lebih sedikit.
Sebab saya ni kalau kurus, muka kurus dulu. Cengkung sangat tak elok pula nanti nampak haggard. Apa-apa pun elak minum ais ya!”
Jika kebanyakan wanita gemar merawat dan membelai tubuh di spa kecantikan, berbeza pula bagi Fiza. Katanya, “Saya tak suka ke spa sebab tak suka tunggu lama-lama dan saya tak pernah pergi. Kalau di rumah pun, saya tak buat macam orang lain, ada rutin harian yang wajib.
Ads
Habis kuat pun saya akan buat skrub dan mask muka. Itu pun boleh kira berapa kali. Agak-agak muka macam kusam, baru saya akan buat. Kalau tak, memang tak buatlah.”
Ferra Aryanna dan Feeya Adyrra merupakan anak gadis Fiza hasil perkahwinan pertamanya dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin. Fiza kemudian berkahwin dengan Adam AF namun berpisah.
Perkahwinan Fiza Halim dengan seorang juruterbang pada tahun 2016 juga tidak berpanjangan. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan dikenali sebagai Baby Aleena.
Penglibatan wanita-wanita India dalam pertandingan ratu cantik bukan lagi perkara asing. Cukup sinonim dengan pertandingan seumpama itu, kebanyakan bintang Bollywood hari ini merupakan pemenang Miss World dan Miss Universe. Antaranya termasuk Sushmita Sen, Aishwarya Rai, Priyanka Chopra dan Lara Dutta.
Kecantikan wanita India sekali lagi mendapat perhatian dunia apabila Harnaaz Kaur Sandhu dinobatkan sebagai Miss Universe 2021 baru-baru ini. Baru berusia 21 tahun dan dilaporkan berketurunan Punjabi, Harnaaz mewakili India di 70th Miss Universe 2021.
Kemenangan tersebut sekaligus menyaksikan Harnaaz berjaya membawa pulang mahkota itu kembali ke India selepas bekas ratu cantik, Lara Dutta memenangi gelaran berkenaan pada tahun 2000 iaitu kira-kira 21 tahun lepas!
Harnaaz berjaya mengetepikan ratu cantik dari Paraguay yang menduduki tempat kedua diikuti peserta dari Afrika Selatan yang berada di tempat ketiga. Dalam majlis itu, Harnaaz dimahkotakan oleh bekas Miss Universe 2020 dari Mexico Andrea Meza.
Menelusuri latar belakang ratu cantik ini, dia dilahirkan di Chandigarh pada 3 Mac 2000 dan mula menceburi dunia peragaan seawal usia remaja. Selepas menamatkan persekolahan di Shivalik Public School, dia juga menyertai Post Graduate Government College for Girls dan kini melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang pentadbiran awam.
Harnaaz sangat prihatin terhadap isu semasa khususnya melihatkan situasi pemanasan global, pemuliharaan alam sekitar dan perubahan iklim. Dia berjaya memancing hati para juri apabila mengetengahkan isu semasa tersebut kepada khalayak.
Sebelum ini Harnaaz pernah meraih pelbagai gelaran ratu cantik antaranya Remina Miss India Punjab 2019, Miss Diva Universe, Miss Chandigarh 2017 dan Miss Max Emerging Star India 2018.
Selain aktif menyertai pertandingan ratu cantik, dia juga membintangi beberapa drama Punjabi. Harnaaz turut mengakui mendapat sumber inspirasi dan semangat daripada ibu tersayang yang memartabatkan kaum wanita dalam kalangan komuniti di India apabila diiktiraf sebagai Pakar Sakit Puan berjaya.
Kredit foto: Instagram Harnaaz Sandhu & Miss Universe
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menelusuri jejak ke daerah tersibuk di pusat kota metropolitan Kuala Lumpur, RuMa Hotel and Residences menawarkan ruang yang menenangkan jiwa. Sebuah suasana yang bertentangan dengan hiruk pikuk kota raya sekitarnya.
Keterujaan relaksasi terus mengalir saat melangkah kaki ke tingkat enam hotel ini yang menempatkan UR SPA. Mengusung konsep kolonial kontemporari yang diketengahkan oleh RuMa Hotel and Residence, dekorasi UR SPA telah membangkit eleman kemewahan di sekitarnya.
Ruang spa yang direka khusus ini mengamit inspirasi nyaman dan sarat dengan eleman kemewahan, lantas menjurus rasa tenang yang sukar diungkap dengan kata-kata. Memasuki kamar spa sahaja sudah merasa umpama bak di syurga.
Saat membuka pintu kamar pandangan mata terus terpesona dengan susun atur bilik rawatan yang moden dan turut menyaksikan keindahan kota raya yang tidak pernah tidur walau sesaat itu.
Memanjakan tubuh di spa menjadi kemestian di kalangan wanita urban yang sibuk. Selain memelihara kesihatan dan kecantikan, perawatan spa juga mampu memberi efek relaksasi yang didamba oleh setiap wanita.
UR SPA, menawarkan pelbagai pakej kecantikan yang menyeluruh, meliputi wajah, badan dan kaki. Hadir dengan 5 terapi utama termasuk UR Ageless, UR Active, UR Vital, UR a Warrior dan UR a Goddess.
Menikmati rawatan UR Vitalyang menjanjikan kelegaan tubuh akibat stres yang membebankan. Ritual dimulakan dengan skrub tubuh dan kemudian tubuh akan dibaluti dengan mask yang begitu istimewa, Italian Grotta mud.
Usai membersihkan diri di bawah pancuran air panas tubuh akan diurut oleh pakar terapi kecantikan yang benar-benar berpengalaman. Umpama tidak mahu bangun dari katil hangat yang tersedia serta tidak sedar dikejut lantaran rawatan sudah selesai. Ditambah dengan alunan gemersik muzik yang sedap di halwa telinga dimainkan, pasti mampu membawa anda hanyut di dalam dunia sendiri.
Setiap ritual rawatan yang dilakukan di sini menggunakan produk kecantikan yang diformulasi melalui inovasi kemodenan sains iaitu Comfort Zone. Keberkesanan dan keistimewaan produk ini apabila mampu memberi rawatan ke daerah tubuh yang disasarkan dengan keputusan efektif.
Spa ini merupakan satu-satunya spa yang berada di Kuala Lumpur dan selebihnya hanya terdapat di China cukup untuk membuktikan bahawa UR SPA merupakan spa bertaraf antarabangsa yang sememangnya menjadi pilihan para wanita di dalam menjaga kecantikan dan kesihatan.
Lengkap dengan lima buah bilik yang dihias indah termasuk satu ruang couple’s suite, UR SPA dibuka setiap hari malah ideal untuk semua peringkat umur.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perkara utama yang paling menjadi keutamaan bakal ratu sehari ialah busana dan solekan yang akan dikenakan di hari bahagia. Ini merupakan dua aspek penting bagi bakal pengantin. Solekan yang keterlaluan dan tidak sesuai dengan majlis membuatkan raja sehari kurang yakin di atas pelamin sekaligus mengurangkan seri mereka di hari bahagia.
Solekan pengantin pada masa kini lebih kepada gaya solekan yang nampak natural. Warna-warna pastel dan bronze sangat diminati dan mendapat permintaan tinggi pada masa kini. Mainan warna-warna lembut mampu menaikkan aura seri pengantin. Akan tetapi mekap pengantin tidak terhad kepada warna-warna lembut sahaja. Jom kita lihat 5 tip mudah ini agar anda mendapat solekan yang cantik dan berseri!
1. RUANG YANG SELESA
Sediakan ruang yang selesa dari segi pengudaraan dan pencahayaan ketika proses solekan dilakukan. Pencahayaan amat penting untuk memastikan struktur wajah dan warna kulit dapat dilihat dengan jelas bagi menentukan bentuk kening, shading, warna foundation, eyeshadow, lipstik serta keseluruhan mekap bertepatan dengan kesesuaian wajah dan kulit masing-masing. Manakala proses solekan pengantin kadangkala memakan masa sejam setengah sehingga dua jam menuntut ruang yang selesa dari segi pengudaraan bilik. Sekurang-kurangnya sediakan kipas angin ketika proses solekan dijalankan. Itu pun sudah memadai bagi keselesaan pengantin dan jurusolek
2. BERBINCANG DENGAN JURUSOLEK
Tidak menjadi kesalahan sekiranya pengantin berbincang atau nyatakan kehendak solekan yang disukai. Namun, anda juga harus tahu bahawa tidak semestinya setiap kehendak pengantin itu dapat diterima oleh jurusolek kerana jurusolek mungkin mempunyai pandangan yang lebih arif dalam menentukan solekan yang lebih sesuai dengan struktur wajah, warna kulit, warna persalinan serta tema majlis yang diadakan. Jadi, seeloknya cubalah berbincang untuk mendapatkan hasil yang disenangi oleh kedua-dua pihak. Sekiranya anda yang telah memilih jurusolek tersebut, maka apa kata anda serahkan kepercayaan jurusolek yang dipilih untuk lakukan yang terbaik.
3. BERPENDIRIAN
Isu ini mungkin agak sensitif bagi sesetengah orang. Ada di antara pengantin tidak mahu keningnya di usik langsung atas sebab-sebab tertentu. Sebagai jurusolek profesional, biasanya sudah tentu mereka sentiasa menghormati dan menuruti kehendak anda dan tidak akan sesekali memaksa pelanggan.Sebaik-baiknya minta pendapat daripada jurusolek anda tentang perkara ini kerana ada juga di antara anda yang telah memiliki kening yang cantik atau mudah dibentuk tanpa dicukur atau dibersihkan.
4. BERI MASA YANG CUKUP
Bagi masa yang secukupnya untuk jurusolek anda menyiapkan solekan anda sehingga ke sentuhan terakhir. Kadangkala ada di antara tetamu yang suka menakut-nakutkan pengantin dengan menggambarkan solekan yang dilakukan hodoh dan sebagainya, sedangkan proses solekan belum pun selesai sepenuhnya. Perkara ini bukan sahaja akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan jurusolek malah boleh mengganggu emosi pengantin yang risau akan hasil solekannya nanti. Jadi, seeloknya sila pastikan hanya tetamu tertentu sahaja yang dibenarkan berada bersama pengantin ketika proses solekan di lakukan.
5. BERSEDIA
Pastikan juga anda telah bersedia untuk disolekkan mengikut masa yang telah ditetapkan. Mandi, cuci muka, makan dan selesaikan perkara yang perlu sebelum mak andam atau jurusolek tiba kerana kebanyakannya lebih suka memulakan kerja mereka sebaik sahaja sampai atas sebab-sebab tuntutan kerja, komitmen atau urusan lain.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.