
Pelakon Jennifer Aniston yang terkenal dalam drama bersiri Friends berkongsi rasa sedihnya apabila bapanya, John Aniston yang pernah membintangi watak dalam filem Mad Men meninggal dunia pada Jumaat lalu ketika usia 89 tahun.
Menerusi perkongsiannya dalam laman Instagram, Jennifer menyifatkan bahawa John Aniston merupakan seorang bapa yang penyayang dan banyak memberinya ilmu dalam dunia lakonan.
Seorang papa yang manis.. John Anthony Aniston. Merupakan antara insan yang paling baik yang pernah saya kenali. Saya begitu bersyukur kerana Papa kini sudah berada di syurga dengan bahagia tanpa rasa sakit. Pada tarikh 11/11, Papa sentiasa mempunyai pilihan masa yang tepat. Angka ini akan selamanya kekal dalam ingatan dan memberi maksud yang besar kepada saya. Saya sayang Papa selama-lamanya.
Beberapa kepingan gambar bersama bapanya yang dimuat turun di laman Instagramnya itu menjadi perhatian ramai dan turut menitipkan ucapan takziah kepada Jennifer. Ternyata, dia mempunyai hubungan yang erat bersama mendiang bapanya. Antara selebriti popular Hollywood yang turut melafazkan ucapan takziah adalah Lily Collins, Naomi Watss, Octavia Spencer dan Jennifer Lopez.
John Aniston pernah memenangi Anugerah Emmy bagi kategori pelakon pembantu tebraik menerusi lakonannya dalam filem “Days of Our Lives. Malah, mendiang juga pernah berkhidmat dalam Tentera Laut Amerika Syarikat.
Bagi kehidupan peribadinya pula, mendiang telah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali termasuklah dengan pelakon Sherry Rooney dan dikurniakan dua orang anak, Jennifer dan Alexander Aniston selain seorang anak tiri, John Melick.
Sumber gambar: Instagram Jennifer Aniston
Lakukan 5 Cara Ini Sebagai Tanda Terima Kasih Buat Insan Bernama IBU! Pasti Mereka Rasa BAHAGIA

Tidak perlu menunggu tibanya Hari Ibu untuk memberikan ucapan terima kasih kerana setiap hari adalah bermakna buat insan istimewa ini. Melafazkan memang mudah namun bagaimana untuk menzahirkannya melalui perbuatan agar dapat mencipta momen terindah?
Sebenarnya banyak cara untuk kita meluahkan rasa terima kasih buat insan yang telah berkorban nyawa ketika melahirkan. Jadilah lebih kreatif namun asasnya keikhlasan. Berikut lima cara yang boleh anda lakukan sebagai tanda terima kasih buat ibu tersayang.
AJAK BERCUTI
Ibu adalah insan yang sering merasa rindu terhadap anak-anak. Ubati rasa rindu anda dengan sesekali mengajaknya pergi bercuti dan berkumpul dengan ahli keluarga. Dapatlah ibu anda bermain dengan cucu-cucunya bagi mengubati rasa rindu dan kesepian yang dipendam selama ini.
MERAWATNYA KETIKA SAKIT
Jika anda masih ingat ketika masih kecil, bagaimana ibu menjaga dan merawat anda ketika jatuh sakit? Ditambah pula dengan rasa risau yang teramat sangat. Maka, bila dirinya jatuh sakit siapa lagi yang diharapkan selain anak-anaknya. Jagalah dia sebagaimana ibu menjaga anda semasa sakit sebagai tanda berterima kasih sekaligus membalas budinya.
MEMBELIKAN HADIAH
Contohnya pada waktu ulang tahun kelahiran atau perkahwinannya. Berikan hadiah atau jambangan bunga sebagai kejutan. Ibu akan merasa cukup bahagia dan gembira malah ada yang sampai menitiskan air mata kerana terharu dengan pemberian daripada anak-anak.
TIDAK MENYAKITI HATINYA
Ketika meningkatnya usia kadangkala kita secara sengaja atau tidak telah menyakiti hatinya baik melalui perbuatan mahupun percakapan. Berusahalah untuk tidak menyakiti atau menyinggung perasaannya. Segera minta maaf jika anda telah menyakitinya.
UNGKAPKAN PERASAAN DENGAN IKHLAS
Disebabkan terlalu sibuk dengan kerja dan tinggal pula berjauhan, maka jurang komunikasi dan interaksi anda bersama ibu menjadi luas. Perlunya ungkapan seperti ‘Saya sangat sayangkan ibu’ diucapkan secara kerap setiap hari. Tiada salahnya untuk bermanja-manja dengan ibu sendiri kerana suatu hari nanti anak-anak anda juga akan dewasa dan anda mungkin akan melalui detik yang sama. AMY MOHD
Akibat Kufur Nikmat, Kemewahannya Ditarik SEKELIP MATA! Kisah Wanita Kaya Ini Cukup Menginsafkan

Datin Azie, pemilik butik pengantin tersohor di Kota Bharu. Perniagaan yang dimilikinya hasil daripada titik peluh dia dan arwah ibunya. Dari butik yang hanya beroperasi dari rumah 30 tahun lalu kini dia memiliki butik sendiri.
Sebut sahaja namanya, orang sudah tahu di mana butik pengantinnya berdiri megah. Pendek kata, ceritera Datin Azie cukup membanggakan tetapi penghormatan terhadapnya tidak pernah datang dari penduduk kampung.
Kata orang, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. Berbeza dengan Datin Azie yang sentiasa mendongak langit. Dia tidak bercampur dengan penduduk kampung, jauh sekali menghadiri majlis keraian yang diadakan.
Rumah umpama syurga baginya, tidak perlu dia menjengah ke laur lagi kerana segala-galanya ada. Pulang dari butik, dia mengunci pintu di dalam ‘istana hinggap’ yang dibina hasil titik peluhnya.
“Kenapa ada orang tua depan rumah ni?” bisik hati Datin Azie suatu hari. Dari jendela bilik tidur kelihatan seorang wanita berpakaian lusuh mundar mandir di hadapan rumahnya.
“Ima, cuba pergi jenguk siapa di muka pintu. Menakutkanlah!” diarahkan pembantu rumah melihat tetamu yang tidak diundang itu.
Rupa-rupanya, ibu saudara Datin Azie datang menyinggah. Wajah pucatnya bagai mengunci perasaan yang lama terpendam. Kehadiran Mek Na ada hajat. Hujan yang turun lebat hampir seminggu lamanya ini telah menenggelamkan keseluruhan rumahnya. Dia ke situ dengan menumpang kenderaan sukarelawan yang datang membantu mangsa banjir.
“Sejak bila Mek ingat akan saudara mara ni? Selama ini tak pernah pun bertanya khabar tiba-tiba muncul depan rumah saya. Mek nak apa?” kasar bunyi perbualan Datin Azie. Barangkali dia lupa adab berbahasa.
“Mek minta maaf kerana selama ini Mek tak pernah telefon Azie. Tapi Mek ada suruh budak-budak ni telefon tapi tak dapat. Azie tukar nombor telefon ke?” lembut balas Mek Na.
“Mek minta maaf la Azie. Sungguh Mek rasa bersalah. Mek datang ni sebab Mek nak tumpang tidur sini. Rumah Mek nak tak ada apa-apa lagi. Hanya tangga kayu yang ada. Anak-anak semua ada di sekolah, tempat tinggal untuk mangsa banjir. Mek minta tumpang orang datang sini sebab Mek nak minta bantuan Azie. Mek nak tinggal sini. Mek dah tak ada siapa-siapa lagi. Rumah Mek hanya tinggal tangga. Pakcik Kadir pula hanyut dibawa arus.”
Gugur air mata Mek tidak dapat tertahan lagi. Tubuh Mek yang kurus menampakkan urat tangan yang ketara tatkala tangan itu mengusap air mata yang mengalir. Rumah pusaka milik keluarga hanya tinggal rangka. Haiwan ternakan semuanya musnah. Selama dua hari dia tidur di perhentian bas kerana terperangkap. Hanya doa dan selawat menjadi ‘makanan dan minuman’ untuk menempuh hari-hari sebelum dia diselamatkan sukarelawan. Hanya kasih Azie diharapkannya kini.
“Hari ni Mek tidur la sini. Esok saya kerja. Saya hantar Mek ke pusat mangsa banjir semula. Susah kalau Mek tinggal sini. Banyak hal lagi saya perlu selesaikan.” Bongkak suara Azie membuatkan Mek tergamam. Tidak sangka sikap Azie begitu angkuh. Namun Mek akur. Dia kembali ke sekolah, pusat mangsa banjir dan terus menadah tangan memohon bantuan Yang Maha Esa.
Selang tiga hari selepas itu, seluruh Kota Bharu ditenggelami banjir. Azie bukan sahaja kehilangan harta benda malah anak-anak yang berada di Kuala Lumpur senyap tanpa berita. Berkali-kali dia cuba hubungi mereka tetapi gagal. Dia kini berada di salah sebuah penempatan banjir. Dia banyak memencilkan diri. Hanya khemah yang diberikan mendapat ‘mandat’ sebagai syurga barunya.
“Hello Azman. Mama ni. Kenapa Man tak angkat call Mama? Man boleh ambil Mama kat sini tak?” suara Azie tersekat-sekat, menahan sebak.
“Sana banjir teruk kan Mama. Susahlah Man nak ambil. Jalan tutup sana sini. Abang dan kakak pun kata susah nak jemput Mama. Mama ok kan tinggal di penempatan banjir tu? Ma, sempat selamatkan apa-apa dari rumah?” tanya Azman.
“Tak nak. Mama cuma selamatkan diri. Air naik terlalu cepat. Butik Mama pun hanya nampak bumbung je!” makin rancak deraian air mata Azie jatuh ke bumi. “Mama tak suka duduk di sini Man. Man carilah jalan jemput Mama…”
“Man keluarkan semua duit Mama dalam bank ya. Kad ATM Mama ada pada Man. Man rugi teruk dalam business ni Mama. I’m so sorry Mama. Thank you.” Talian diputuskan. Azie cuba hubungi Azman semula tetapi gagal.
Kemusnahan banjir yang menenggelami sebahagian besar Pantai Timur sudah mula surut namun kerosakan teruk bagai sukar dibaiki lagi. Sehingga kini, tidak ada seorang pun anak-anaknya cuba menghubungi Azie. Dia sedar, dia sedang menerima hukuman dari Allah.
Sejak Azman dan adik-beradik lain masih kecil, Azie tidak pernah ada bersama mereka. Arwah suami Azie iaitu Datuk Husin yang menjaga anak-anak.
“Kalau bukan kerana duit saya, awak tidak berpangkat seperti sekarang. Sebagai balasan, awak ambil alih tanggungjawab saya di rumah. Jangan biar anak-anak minta satu sen dari saya kerana sebagai suami, awaklah pemberi duit kepada mereka. saya tidak halalkan satu sen pun duit saya untuk kegunaan rumah dan anak-anak. Kalau isteri tidak halalkan, maka awak tidak berhak ke atas duit pencarian saya.”
Nah! Itulah pembalasan yang Allah berikan kepada Azie. Dia berdiri tegak di hadapan rumahnya yang rosak teruk. Dia keseorangan. Di tepi tembok rumah, Azie bersimpuh. Dia hilang segala-galanya. Entah apa yang akan berlaku kepadanya selepas ini. KR
Tak Payah Cucuk-Cucuk, Clique Clinic Dedah Cara Cantik Tanpa Suntikan & Tampil Awet Muda!

Efektif, mudah dan selamat! Itu antara pengalaman menyenangkan yang dialami pengguna selepas menjalani sesi rawatan kulit di klinik perubatan estetik, Clique Clinic. Mengetengahkan alternatif rawatan serba canggih tanpa suntikan, teknologi dunia estetik terbaharu ini diakui semakin menjadi pilihan wanita yang sentiasa ingin tampil cantik dan awet muda.
Dalam misi menawarkan servis rawatan wajah yang selamat dan berkesan, Clique Clinic pada 29 November lalu menjalin kolaborasi bersama Majalah Nona menerusi penganjuran Majlis #SilentBeauty Cantik Tanpa Suntikan.
Seramai 20 tetamu sofistikated terdiri daripada golongan VIP, korporat, usahawan dan selebriti hadir merasai sendiri keberkesanan revolusi kecantikan terkini berkenaan.
Antara tetamu yang hadir ialah YM Che Puan Temenggong Perlis Datin Seri Diraja Farinawati Datuk Mohd Din, YM Tengku Datin Sri Zawyah, Datin Paduka Reena Zach, Nadia Annuar dan Sarah Lian.



Pada majlis itu, para tetamu diberi penerangan lanjut daripada Pengarah Clique Clinic iaitu Josh Chua, Pengarah Perubatan Clique Clinic, Dr Lim Ting Song dan Dr Ong Kuok Tjun.
Salah satu kaedah rawatan yang diperkenalkan adalah penggunaan teknologi EMFace yang dibawa khas oleh BTL Aesthetics yang menggabungkan kebaikan radiofrekuensi dan tenaga HIFES bertujuan untuk merangsang kolagen serta elastin. Pancaran HIFES menghasilkan getaran untuk menegangkan semula otot wajah sekaligus menghilangkan kedutan serta menjadikan kulit wajah makin tegang dan anjal!
Kiffy Razak selaku Head of Business (Women) mewakili Majalah Nona turut berkongsi pengalaman dan testimoni selepas mencuba rawatan berkenaan.



“Pada awalnya saya langsung tak sedar sebarang perubahan selepas melakukan rawatan EMFace. Sehinggalah bila rakan-rakan sekerja menegur serta memuji kondisi kulit saya sekarang. Nampak halus dan tegang, khasnya di bahagian smile lines. Memang menakjubkan, tak perlu cucuk-cucuk lagi!” Kiffy Razak
Menjaga kecantikan menjadi sebahagian tugas selebriti di depan kamera. Perkongsian rakan EMFace iaitu Sarah Lian dan Nadia Annuar meningkatkan lagi kepercayaan para tetamu yang majoritinya pencinta kecantikan.


Selepas beberapa kali mencuba rawatan ini, mereka tambah yakin menjaga kecantikan kerana ia mencipta kesan kemudaan yang sangat semula jadi.
Acara minum petang eksklusif anjuran Clique Clinic tersebut turut mengungkap dua cawangan milik mereka iaitu di Petaling Jaya dan KL Eco City.
Maklumat lanjut layari website https://www.cliqueclinic.com/ dan Facebook https://www.facebook.com/cliqueclinicbangsar