
Jaguh tenis lagenda, Serena Williams beri bayangan akan mengumumkan persaraannya dari dunia tenis setelah memulakan langkah profesionalnya pada Oktober 1995. Berita yang menggemparkan ini nyata menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati, peminat dan jaguh sukan itu.

Menerusi temu bual eksklusif bersama majalah Vogue untuk edisi September 2022, juara Grand Slam 23 kali ini meluahkan perasaannya tentang berita tersebut. “Saya tidak suka perkataan ‘bersara’, ia bukan sesuatu yang moden buat saya namun saya telah memikirkan perkara ini sebagai satu peralihan dalam kehidupan saya.
“Mungkin perkataan yang terbaik dapat saya gambarkan ketika ini adalah evolusi, saya sedang dalam usaha berkecimpung dalam bidang lain dan perkara-perkara lain yang penting buat saya.
“Beberapa tahun lalu, saya memulakan Serena Ventures, sebuah firma modal teroka dan tidak lama selepas itu saya memulakan kehidupan sebagai isteri dan ibu dan saya bercita-cita untuk mengembangkan keluarga saya,’’ katanya.

Tambahnya, pelbagai pertimbangan dilakukan secara teliti sama ada untuk terus berusaha menyamai rekod lagenda Margaret Court dengan 24 kemenangan Grand Slam atau keluarganya. Jelasnya, ia bukan sesuatu yang mudah banyak momen dalam kehidupannya dihabiskan di atas gelanggang tenis sama ada menerusi latihan dan kejohanan.

“Percayalah, saya tidak mahu memilih antara tenis dan keluarga kerana saya berpendapat ia adalah sesuatu yang tidak adil.
Sumber: ASTRO Awani | Kredit foto: @serenawilliams
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pilih NOIR Sebagai Perniagaan Pertama, Madammu Sasar Sejuta Pelanggan Menjelang Tahun 2025!

Misi NOIR jelas. Langkah NOIR disusun kemas. Tekad mahu mencapai angka sejuta pelanggan, 200,000 keahlian aktif dan 100 usahawan jutawan menjelang 2025, syarikat tempatan ini menganjurkan NOIR Circle Meeting (NCM 2022) bagi melahirkan lebih ramai lagi usahawan wanita sukses di tanah air.
Memilih lokasi mewah The Ritz-Carlton Kuala Lumpur, NCM 2022 yang diadakan pada 28-29 Jun 2022 itu telah dihadiri oleh kumpulan usahawan Apprentice NOIR. Ia dimulakan dengan sesi pembentangan dan perbincangan bisnes oleh teraju utama, Madammu dan Azri Che Noh bagi menerangkan hala tuju NOIR dengan jelas.
NOIR Circle Meeting merupakan program dwi-tahunan untuk membimbing kumpulan leader NOIR oleh pengasasnya, Eriyca Baiduri atau Madammu.
Dalam NCM 2022 kali ini, Madammu turut berkongsi nilai-nilai yang diperjuangkan oleh setiap usahawan NOIR dengan berpegang kepada nilai BEAUTE iaitu Brave (Berani), Energetic (Bertenaga), Authentic (Asli), Unshakeable (Tidak Mudah Tergugat), Transformation (Transformasi) dan Empower (Memperkasa).


Selain sesi pembentangan hala tuju perniagaan, NCM kali ini juga turut dimeriahkan dengan majlis apresiasi pencapaian para usahawan wanita NOIR.
NOIR amat berbangga dengan pencapaian para usahawannya yang berjaya mengecapi impian, mengubah hidup dan memberikan keselesaan kepada keluarga mereka dengan mampu membeli kereta baru, rumah yang lebih selesa, pendapatan yang lumayan, dan sebagainya.




Pernah disenaraikan sebagai Nona Top Beauty Entrepreneur 2020, NOIR telah membuktikan bahawa gandingan kerjasama berpasukan yang berterusan pasti membuahkan hasil. Madammu telah diiktiraf sebagai antara 16 usahawan produk kecantikan terkemuka di negara kita dan dipaparkan dalam majalah Nona terbitan Januari 2020.
Bagi Madammu, beliau komited untuk membantu para wanita yang mungkin berada di dalam kesempitan mahupun kesusahan dengan menyediakan satu platform keusahawanan yang telah terbukti berjaya.


Selain meraih pelbagai anugerah berprestij, teringat pula fenomena NOIR yang menggemparkan negara apabila menjadi syarikat kecil dan sederhana dalam bidang kecantikan serta kosmetik yang menaja Anugerah Juara Lagu ke-36 pada Mac lepas.
Sehingga ke hari ini, NOIR berjaya melahirkan 30,000 wanita yang memilih untuk memulakan perniagaan bersama NOIR sebagai perniagaan pertama mereka. Tahniah Madammu, semoga segala usaha gigih ini membantu menaikkan semula ekonomi wanita Malaysia!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
DS Nur Shahida Pernah Rancang Berundur Dalam Bisnes & Mengaku Mampu Hidup Senang-lenang Tapi…

Lebih sedekad mempelopori pasaran kosmetik tempatan dengan tagline ‘Terlajak Laris’, sudah cukup membuktikan produk keluaran Dato’ Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid ini berkualiti dan diterima masyarakat.

Setelah memiliki segala-galanya dalam hidup timbul tanda tanya, mungkinkah Datin Seri Nur Shahida akan mengundur diri dalam pengurusan syarikat? “Sebenarnya saya dah lama planning macam tu. Bukan sombong tapi dengan duit simpanan yang kami kumpul, insyaAllah boleh hidup, malah jujurnya boleh senang-lenang dengan apa yang ada.

Tapi saya banyak memikirkan tentang para pekerja. Saya ada banyak pekerja lebih kurang 200 orang. Jadi kalau saya tak berniaga, bagaimana dengan kehidupan mereka nanti? Jika nak serahkan perniagaan kepada orang lain, pasti tak sama macam mana yang kami berdua lakukan. Umpamanya dulu saya tak pandai edit video. Tapi bila suruh orang buat, apa yang saya dapat tak menepati cita rasa saya. Jadi saya kena belajar edit sendiri ikut kehendak saya.

Saya tak ada masuk kelas mana-mana, kalau malam-malam saya tak boleh tidur saya akan belajar sendiri sikit demi sikit, lama-lama saya pandai buat sendiri,” ujar Datin Seri Nur Shahida. Celah Dato’ Seri Aliff pula, keadaan ini secara tidak langsung dapat membantu perkembangan ekonomi negara serta menyediakan peluang pekerjaan kepada belia negara.
Setiap ahli perniagaan yang berjaya sudah pasti mempunyai idola tersendiri sebagai pemangkin semangat untuk terus berjuang melebarkan empayar perniagaan. Datin Seri Nur Shahida juga tidak terkecuali. “Ibu mertua saya merupakan idola dalam perniagaan.

Teringat saya masa mula-mula bekerja dengan Sendayu Tinggi. Dulu saya memang jarang jumpa beliau. Suatu hari tu, masa saya bekerja di bahagian khidmat pelanggan, Bonda Rozita buat panggilan telefon dan menyamar sebagai pengguna. Kebetulan masa tu saya yang angkat telefon.
Banyak yang ditanya tentang produk yang terdapat dalam syarikat dan kebetulan saya tengah pegang katalog. Bolehlah saya jawab setiap pertanyaan beliau dengan yakin. Selepas tu barulah beliau perkenalkan dirinya sebagai Puan Rozita.

Bayangkan ketika perniagaan tengah berkembang pesat, beliau masih turun padang ambil tahu tentang operasi syarikatnya. Saya nampak dengan usia beliau, kalau tak silap saya 55 tahun masa tu, dia tak berhenti-henti buat kerja. Kadang-kadang saya rasa, saya pun tak sekuat dia.

Kalau kita tengok sekarang pengasas produk sezaman dengan dia semua dah tak ada. Beliau juga beruntung kerana mempunyai anak-anak yang mewarisi bakat perniagaannya. Saya lihat belum ada lagi ahli perniagaan lain, ibu dan anak masing-masing berjaya dalam perniagaan sendiri,” tutur ibu kepada Ammar Ahyan, 11 tahun, Qadejah El Zahra, 9 tahun, Ibraheem Adham, 7 tahun, Yusoff Al Qardawi, 2 tahun dan seorang anak angkat, Ameena serta bayi yang baharu dilahirkan, Raudhah Arshiyah ini.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Umi Bukaklah Langsir, Ara Nak Tengok Abang Hijau!” Bacalah Perkongsian Seorang Ibu Tentang Tanda Kematian Anaknya

Tepat setahun lalu, kisah adik Nur Syifa Zara, 4 tahun, yang menderita penyakit Aplastic Anaemia (berkaitan sumsum tulang) ini pernah mencuit perhatian ramai. Artikel “Umi, Tolong Peluk Zara, Zara Sakit!” (baca di sini) sesungguhnya membuatkan netizen sebak dan menitiskan air mata.
Hari ini, derita Zara tiba ke penghujung. Gadis comel itu akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir pada malam Jumaat, 28 Disember 2018 akibat jangkitan kuman di paru-paru kecilnya. Jenazah Zara telah pun selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara.
Luahan ibu angkatnya, Puan Saneha, yang reda dengan pemergian anak syurga itu sekali lagi membuatkan air mata ibu-ibu lain jatuh bercucuran. Dalam sedih yang membungkam, kekuatan hatinya menerima dugaan terhebat ini menjadi inspirasi buat ramai wanita.

“2 hari sebelum pergi, dia minta saya bersihkan badan dia. Bersihkan semua sisa getah pelekat di kulitnya. Sambil tu dia merungut, memegang dada yang berbekas parut luka pembedahan.
Macam mana Ara nak pegi ni, dah rosak semua dah. Dah tak cantik dah.
Bapak Ara jawab, Ara kat sana akan tetap cantik… Semua bekas ni akan hilang, sayang.
Bila dengar pujukan tu, barulah dia tersenyum. Ya Allah, manisnya senyuman Ara, muka berseri-seri dengan bau badannya yang wangi.Kami tahu ‘waktu’ tu makin dekat. Lebih sebak lagi bila dia cakap…
Ara pegi nanti Umi jangan nangis ya. Kalau Umi nangis, macam mana Ara nak pegi? Umi jangan risau tau, kat sana Ara ramai kawan-kawan. Ara dah nak pegi ni Umi.
Itulah kata-katanya setiap hari. Bila duduk diam-diam, ayat ni pasti keluar.
Seminggu sebelum pergi, dia dah cakap dia akan balik. Ara cakap kat Umi, Umi jangan sedih, jangan nangis. Nanti dah tak payah datang hospital lagi. Tak payah jumpa nurse lagi. Tak payah naik Grab lagi. Sebab Ara nak pegi dah.

Selepas pemergian Ara, patung arnab inilah jadi pengubat rindu adiknya. Itulah bantal busuk arwah masa hayatnya ada. Dia tak pernah tinggalkan arnab tu, dari sejak baby sampai ke besar… tak pernah berpisah. Sekali berpisah untuk selamanya.
Malam terakhir Ara dalam dakapan Umi. Dia minta Umi selawat sampai pagi. Lena dia tidur. Hilang sakit katanya bila Umi berselawat.
Hati ini Tuhan saja yang tahu.
Selama 40 hari saya menangis.
Selama 40 hari saya berendam air mata.
Selama 40 hari saya cuba reda dan rela.
Selama 40 hari kami tak pernah berenggang jauh.
Sampai suami berhenti kerja demi nak menghabiskan masa dengannya hingga ke hembusan nafas yang terakhir. Tiap saat amat berharga buat kami.
Ara ada bagi tahu, hari Jumaat hari raya dia. Dan Umi buatlah kenduri hari tu.
Ya, memang hari Jumaat tu hari raya Ara. Dia dikebumikan pada hari Jumaat. Dan memang hari tu kami buat kenduri untuknya.

TANDA-TANDA PEMERGIAN
Ramai yang tanya kenapa saya terlalu kuat. Sampaikan tiada air mata saat memandikan Ara atau waktu uruskan semuanya. Sebenarnya saya tak kuat tapi saya dah lama bersedia dan reda seawal 40 hari terakhir arwah lagi. Saya masih ingat kenangan berbual dengan arwah 10 hari sebelum pemergiannya.
Ara: Umi dah solat?
Umi: Dah sayang.
Ara: Umi bukak langsir tingkap. Ada abang hijau kat situ Ara nak tengok.
Umi: (Buka langsir. Waktu ni Umi faham maksud Ara, sudah 3 hari berturut-turut selepas Asar dia nampak orang yang sama)
Ara: Umi, Ara nak pegi ni. Umi tak boleh ikut ye, Umi duduk rumah jaga adik. Abah pun duduk rumah jaga adik. Ara pegi sorang-sorang. Umi jangan risau sana ramai kawan Ara.
Lidah saya kelu. Jiwa saya kosong. Saya cuba ukirkan senyuman dan sorokkan air mata. Hanya hati saja berkata-kata…
Sayang anakku, pergilah sayang. Umi tak halang. Dah lama anak Umi bertahan, dah lama anak Umi jadi kuat. Kali ni Umi yakin kat sana anak Umi akan bahagia.
Hari ketujuh sebelum Ara menghembuskan nafas terakhirnya, setiap senja selepas Asar dia akan minta saya bukakan langsir tingkap supaya abang putih boleh datang melawat dia. Begitu juga setiap malam sekitar pukul 2.00 pagi, dia akan kejut Umi dan cerita tentang taman-taman yang dia pergi dengan kawan-kawan.
Taman salji.
Taman bola.
Taman penuh permainan.
Cerita bermacam-macam taman sampailah ke malam terakhirnya.
CATATAN UMI BUAT ZARA
Sayang,
Pergimu membawa seluruh hati ini,
Setiap kenangan akan kekal di sini,
Setiap kisah akan tercatat indah,
Kaulah bidadari yang paling sempurna.
Terima kasih Ya Allah,
Kau berikan aku peluang menjaga bidadari-Mu,
Memilih kami untuk menjaga amanah-Mu,
Walau dalam ujian itu,
Tetap Kau beri ku kekuatan,
Mengharunginya dengan ketabahan.
Duhai bidadariku,
Damailah di sana sayang,
Cari tangan Umi, tariklah…
Ke taman indahmu sayang,
Taman yang kau selalu cerita pada Umi.
Al-Fatihah.
**Kami seisi team Nona mengucapkan takziah buat keluarga Puan Saneha dan Encik Mohamad Zamri Khalid di atas kehilangan anakanda tersayang. Semoga roh Zara dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


