Hidayah itu mahal, bertuah rasanya diberi kesempatan melihat sendiri Ivan Gunawan julung kali reka busana sopan dan tertutup di Jakarta!
Dalam kunjungan singkat Majalah Nona ke Jakarta sempena persembahan eksklusif Ivan Gunawan Prive 2024/2025 di The Langham Fashion Soiree, banyak koleksi gaun malam sopan diperagakan.
Menginap di Hotel Goodrich Suites, Jakarta, media trip yang ditaja oleh Ivan Gunawan itu jelas menyerlahkan sisi eksklusif dan keindahan dunia fesyen di Indonesia.
Dalam The Langham Fashion Soiree ini, barisan pereka terkemuka dari Indonesia Fashion Designer Council (IFDC) termasuk Ivan Gunawan menyerlahkan rekaan masing-masing di aras 5, Hotel The Langham, Jakarta sebelum persembahan bermula.
Tak sangka, jika sebelum ini Ivan yang turut merupakan selebriti popular cukup terkenal dengan rekaan dress glamor dan seksi, beliau hari itu membuat kelainan yang menjadi pujian ramai.
Macam tak percaya, tengok video fashion show ni!!!
Ads
Kesantunan dan kemewahan, dua hal yang sangat jarang dipadukan di dalam fashion universe. Namun Ivan Gunawan meleburkan keduanya lewat koleksi berjudul ‘DIVINE LIGHT’.
‘DIVINE LIGHT’ menampilkan 40 helaian yang mengutamakan kesopanan, kesantunan, demure, yang diperindah dengan ornamentasi seni beading bergaya sentuhan art nouveau, seni dekoratif dengan karakteristik megah, lengkung lentur dan geometri.
“Koleksi modest evening gown ini julung kalinya dipersembahkan oleh Ivan Gunawan Prive. Ia sesuai untuk wanita modest, iaitu mereka yang berhijab atau mereka yang berpenampilan santun. ‘DIVINE LIGHT’ dibuat khusus untuk wanita berdaya, yang aktif di kehidupan sosial mereka,” jelas Ivan Gunawan.
Ads
‘DIVINE LIGHT’ memberikan sentuhan baru untuk dunia modest fashion, sesuatu yang nyaman dan sopan, serta penuh keindahan. Ivan Gunawan menciptakan gaun-gaun panjang dengan potongan sederhana dan loose bersiluet yang membingkai tubuh dengan anggun.
Terdapat persalinan dengan cape yang memberikan kesan megah. Busana atasan dan celana panjang tailored androgyny, dikenakan dengan selendang yang melingkari leher menjuntai panjang ke belakang, sopan, elegan dan regal.
Palet warna pada koleksi ini terdiri daripada fushcia, merah, silver dan coklat. “Koleksi ini bisa dikenakan di acara pesta dan bisa juga nantinya untuk hari raya. Hiasan ornamentasi sedetail ini juga pertama kali diperagakan oleh Ivan Gunawan Prive,” ujar Ivan yang telah memiliki 19 butik Ivan Gunawan Prive di Indonesia.
Cantik memukau, tiap satunya dihasilkan secara eksklusif dan terhad pada harga lingkungan RM2,700 – RM4,000.
Cabaran mendidik anak zaman sekarang tidak semudah yang dijangka. Setiap wanita yang bergelar ibu kini berdepan dengan ‘musuh’ dalam diam yang digelar gajet. Hendak atau tidak sebagai ibu moden yang mengikuti arus kemodenan terpaksa ‘beralah’ dengan anak-anak untuk meluangkan masa bermain dengan gajet. Bukan menyekat 100 peratus bermain gajet tetapi biar mengikut masa yang sesuai dan kesesuaian umur anak-anak.
Berdepan dengan masalah gajet membuatkan ibu-ibu mempunyai masalah untuk mendidik anak-anak membuat kerja rumah. Tujuan mendidik anak-anak ini bukan untuk menjadikan mereka sebagai ‘pembantu rumah’ tetapi agar mereka boleh berdikari apabila meningkat dewasa nanti.
Nadia Noordin, wanita yang berasal dari Kuantan Pahang ini berkongsi melalui laman Instagramnya tip mendidik anak bujangnya untuk membuat kerja di rumah. Contoh yang diambil oleh ibu kepada Zarif Haikal Abdul Rahman (11 tahun) dan Fariz Mikhail Abdul Rahman (9 tahun) ini adalah melipat kain. Selepas anak-anak Nadia mahir melipat kain, wanita ini telah membawa kedua-dua anaknya bersama-sama melakukan khidmat sosial dengan menukar telekung dan melipat telekung di surau-surau berdekatan kediamannya.
Tip yang dianjurkan oleh Nadia Noordin;
1 – Ajak anak lipat kain bersama-sama dan tunjukkan that you’re happy when they help and do things together.
2 – Setiap kali nak lipat kain, sentiasa ajak dia tolong and dont forget to compliment their effort. Walaupun permulaannya tak nampak macam lipat sangat hasil dia but keep on teaching and explaining to them…practice makes perfect, remember?
3 – Don’t expect perfection. Jangan banyak letakkan syarat. Baju kena lipat sempurna macam ni kena sama kena lurus kena kemas kena elok. NO. Apa saja hasil dia biarkan je dan simpan je dalam almari macam tu. Tahan sikit sakit mata tu. Kalau kita betulkan balik yang dia dah lipat tu, dia akan rasa dia gagal dan kita tak percayakan dia nanti dia akan give up awal-awal.
4 – Bila dia dah selalu buat and after a few times, dia akan automatically rasa lipat baju tu memang dia punya tanggungjawab, dia akan buat dengan sendiri je tak perlu suruh dan makin lama makin cantik la hasil lipatan dia tu. But always remember jangan over expectation. Budak-budak tetap budak-budak ada hari dia datang rajin ada hari dia datang tak nak buat pun. It’s normal tak perlu risau or complaint pulak ok? Orang tua pun ada hari terlajak rajin ada hari terlajak malas kan?
5 – PUJI. Bagi saya personally puji anak-anak sangat perlu. Tapi bukan puji semata. Contoh ayat puji : “Waahh rajinnya adik tolong mama lipat baju dan bantu mudahkan kerja mama, Allah SWT sayang ni orang yang jaga ibu dia, Allah SWT janjikan pahala yang banyak untuk anak soleh ahli syurga ni,” sambil usap kepala dan cium dia. Puji tindakan dia dalam masa yang sama masukkan elemen empathy supaya dia jadi orang yang lebih considerate tentang orang lain especially dengan ibu dia dan sentiasa masukkan peringatan setiap yang kita buat semua untuk mencari reda Allah SWT dan dapat syurga.
Insyaallah dengan izin Allah semoga anak-anak kita hadiah istimewa dari Allah SWT ni bakal menjadi saham dan pembantu kita untuk ke syurga bersama-sama.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan rupanya membuka rezeki buat Wan Nurasyikin Wan Mustaffa Kamel untuk bergelar usahawan. Bermula sekadar suka-suka bagi memenuhi masa lapang, siapa sangka Cheesekut premium yang diusahakan sejak 28 Febuari 2020 lalu mula menjadi bualan.
Perniagaan kecil-kecilan yang mula diusahakan dari rumah rupanya mampu membuka rezeki yang lebih luas untuk sesiapa sahaja yang rajin berusaha. Perkara tersebut dibuktikan oleh Wan Nurasyikin yang lebih mesra disapa Syikin setelah melihat permintaan terhadap produk yang dihasilkan semakin dikenali dan mendapat tempahan yang baik sehingga membolehkan dirinya membuka kilang secara kecil-kecilan pada Julai 2020.
“Bermula dengan hanya dua orang kakitangan, Alhamdulillah kini sudah mempunyai 7 kakitangan. Permintaan juga semakin bertambah dan kini produk yang dihasilkan sudah berada di Semenanjung Malaysia dan Singapura.
Cheesekut premium yang viral ini diperkenalkan oleh anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan, Wan Nurasyikin Wan Mustaffa Kamel yang merupakan pengasas bersama Biscochiz.
“Alhamdulillah ribuan pelanggan mengakui produk yang dihasilkan tidak muak dan manisnya sangat well balanced. Ramai bagi rating 5 bintang. Ada juga siap kata “sebanyak bintang di langit”.
Malah individu yang tidak gemar hidangan berasaskan manisan turut menggemarinya. Saya sangat bersyukur dan terkesima dengan maklum balas para pelanggan terhadap produk yang dihasilkan.
Kami amat mementingkan kualiti dan hanya menggunakan bahan-bahan premium yang berkualiti tinggi. Malah kami tidak tambah gula putih di dalam pembikinan,” ujar Syikin yang begitu memberi perhatian terhadap produk yang dihasilkan untuk menjamin kualiti yang terbaik.
Walaupun mempunyai Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Perdagangan dari Federation University di Ballarat, Australia, ibu kepada dua orang cahaya mata ini sememangnya menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang pembuatan kek dan pastri. Tidak hairanlah mengapa wanita berusia 26 tahun ini sanggup menyertai pelbagai kelas masakan dan mencipta resipinya sendiri.
Sambil tersenyum lebar, Syikin berkata pada awalnya dia hanya gemar mencuba pelbagai resipi dessert hanya untuk membahagiakan suami tercinta, Ahmad Shahir Bin Ismail.
“Suami jenis tidak minat dessert yang memuakkan atau terlampau manis. Saya pula jenis minat buat dessert. Jadi, saya ambil beberapa kelas pastri termasuk berguru dengan Chef Pastry Terbaik Dunia, Dominique Ansel secara dalam talian serta belajar secara dalam talian di Le Cordon Bleu (best culinary institute). Daripada situ, saya mencipta kelainan dan memulakan beberapa eksperimen untuk mengolah resipi.
Olahan resepi Eropah, Cheese Biscuit Cake dijadikan fusion Premium Ice Cream, jadilah ianya sebagai Premium Ice Cream Cake. Alhamdulillah suami sangat-sangat suka resepi olahan saya,” ujar Syikin yang pernah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Malaysia untuk Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Perdagangan di Federation University di Ballarat, Australia.
Walaupun perniagaannya sudah mula dikenali, ia sedikitpun tidak membuatkan pasangan suami isteri ini lupa diri dan sentiasa menjadikan cerita suka duka sebelum membina perniagaan ini sebagai satu yang dikenang untuk mencipta kejayaan yang lebih bermakna.
“Sebelum berniaga kami pernah berhadapan situasi tidak cukup duit untuk makan sehinggakan terpaksa korek duit daripada tabungan.
Kisah duka berhadapan saat kematian anak pertama disebabkan rare medical condition pada permulaan perkahwinan juga banyak mematangkan kami suami isteri dalam berhadapan apa jua dugaan dariNya. Tetapi, itulah penguat semangat untuk saya teruskan hidup dan mencari kejayaan dalam bidang yang saya ceburi sekarang ini,” ujar Syikin yang pada mulanya tidak mahir menggunakan medium online sebagai salah satu cara memasarkan produk.
Menjadikan ibu sebagai idola dalam dunia perniagaan, Syikin memandang pengorbanan yang dilalui oleh ibu tersayang sebagai pembakar semangat untuk dirinya berjaya sehingga ke hari ini.
“Role model utama adalah ibu yang hidup bekerja keras selama 36 tahun di salah sebuah bank. Hidup kami tidak senang di mana ibu menyara 6 orang anak dan tinggal di rumah flat 2 bilik sahaja. Ibu selalu ada semasa saya susah, tiada duit semasa melanjutkan pelajaran, hamil ketika masih bergelar pelajar dan ketika saya memerlukan modal untuk kembangkan perniagaan.
Walaupun duitnya tidak seberapa, ibu sanggup korbankan juga untuk saya. Jadi, dengan bisnes ini, saya hendak ibu bangga dengan pencapaian saya dan suami saya,” ujar Syikin yang amat menghargai pengorbanan ibu tersayang. Sokongan dan dorongan dari suami dan keluarga mentua juga menjadi sumber kekuatan Syikin untuk meluaskan empayar perniagaannya.
Berkat ketekunan menimba ilmu dari pakar pemasaran online, kini jenama yang diusahakan semakin dikenali sehingga membawa jenama tersebut ke papan billboard digital dan mula dikenali di seluruh Malaysia.
Cheesekut premium yang dihasilkan bertaraf lima bintang yang mana resipinya diolah dan dibuat secara khas menggunakan dua jenis cream cheese premium semulajadi dari Australia dan bahan-bahan premium lain seperti Oreo, Hershey’s dan Caramel.
Bagi mereka yang gemarkan kek ais krim, ia boleh dimakan 30 minit selepas defrost kerana ada bahagian yang masih keras dan ada bahagian yang lembut.
Syikin dan suami mempunyai impian yang besar untuk melihat Biscochiz sebagai sebuah syarikat lokal Premium Ice Cream Cake no. 1 di Malaysia, setanding jenama antarabangsa yang lain.
“Kami mempunyai kepakaran untuk membantu wanita “Hantu Dessert Premium” untuk hilangkan stress dan craving. Misi kami juga adalah untuk merubah kehidupan usahawan ke tahap yang berbeza walaupun mereka datangnya daripada pelbagai latar belakang antaranya termasuklah suri rumah, pelajar dan juga pekerja yang mahu menambahkan sumber pendapatan. Kami suka lihat kehidupan mereka lebih selesa berbanding dahulu.,” sambung Syikin lagi.
Tambah Syikin lagi, dia turut membuka peluang perniagaan untuk menjana pendapatan lebih kepada usahawan dan bakal usahawan untuk mengurangkan bebanan kewangan mereka.
“Tunjuk ajar dan sokongan yang tidak putus-putus diberikan oleh kami untuk mereka capai apa yang mereka inginkan melalui perniagaan. Untuk masyarakat yang kurang berkemampuan, kami turut terlibat dalam kerja-kerja kebajikan seperti sumbangan derma ke rumah anak yatim dan tafhiz hasil jualan. ”
Antara kempen yang telah dilaksanakan termasuklah “Sadaqah Ramadhan” dan “Sadaqah Muharram” baru-baru ini. Sebahagian daripada jualan telah disumbangkan ke rumah anak yatim dan tahfiz di Selangor dan Yayasan Pesona Paknil. Selain itu, semasa PKP, golongan frontliners turut mendapat perhatian dengan memberikan sumbangan untuk petugas barisan hadapan di beberapa hospital di ibu negara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Menggalas gelaran sebagai individu berpengaruh atau ‘Very Important Person’ (VIP) bukannya mudah. Ia satu kurniaan daripada Allah SWT yang sebenarnya menuntut tanggungjawab besar sebagai seorang khalifah di muka bumi ini.
Bukannya terlalu taksub mahukan kemasyhuran serta menunjukkan kemewahan di dunia yang pasti tidak boleh dibawa ke sana kelak. Yang tinggal hanyalah amal jariah yang dimanfaatkan dari kurniaan rezeki itu buat insan-insan yang berhak.
Sedarlah bahawa segala pangkat serta kemasyhuran itu tidak akan ke mana jika di akhirat sana kita bukan siapa-siapa di sisi Allah SWT. Apa yang paling penting ialah menjadi khalifah yang boleh memberi manfaat di muka bumi ini. Barulah tinggi kedudukan kita sebagai seorang yang memegang gelaran ‘Very Important Person’.
Berikut adalah perkongsian daripada Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad tentang pengiktirafan sebenar sebagai ‘Very Important Person’ di sisi Allah SWT.
WANITA BERTARAF VIP
Bagaimana menjadi seorang wanita bertaraf VIP yang boleh memberi manfaat serta inspirasi? Pertamanya ialah kita mesti mengetahui tujuan. Tidak semua orang dikurniakan status VIP oleh Allah SWT. Ditambah pula dengan kebijaksanaan mahupun pengaruh, kita mesti yakin bahawa itu adalah satu anugerah daripada Allah SWT.
Jangan kata kita yang paling pandai sebaliknya itu adalah anugerah dan segala nikmat yang diberikan tujuannya untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan cara memberikan manfaat kepada ummah.
Tiada gunanya seseorang itu bijak tetapi tidak berkongsi ilmu. Tiada gunanya seseorang itu kaya kalau tidak bersedekah. Tiada gunanya seseorang itu kalau berpengaruh tetapi tidak membantu insan-insan yang memerlukan. Begitulah caranya untuk memberikan manfaat.
Kedua ialah tahu siapa yang memberi, kenapa diberi dan merasakan kita sentiasa dilihat oleh Allah SWT. Kita akan disoal atas segala nikmat yang Allah SWT berikan sama ada ia digunakan untuk mendekatkan atau menjauhkan dari Allah SWT.
CABARAN
Apabila bergelar VIP seseorang itu pastinya tidak akan lari daripada cabaran mahupun halangan yang bukan sedikit. Pertamanya ialah cabaran dalam berumah tangga. Bagaimana hendak menjaga hati suami kita. Sekiranya suami tidak mendapat taraf yang sama dengan kita, haruslah pandai memainkan peranan semasa di medan perjuangan kita.
Contohnya jika kita seorang doktor mahupun pegawai atasan, apabila di pejabat kita adalah seseorang yang berstatus besar. Tetapi jika pulang ke rumah kita mestilah kembali kepada fitrah asal iaitu menjadi wanita biasa, seorang isteri yang taat, tawaduk, menghormati suami, mencintai suami serta melakukan segala aktiviti untuk mendapatkan reda suami dengan tujuan mendapat keredaan Allah SWT.
Kedua, jika seseorang itu bergelap VIP yang berpengaruh dan terkenal kadangkala masalahnya ialah keluarga. Contohnya, kalau berjalan-jalan bersama keluarga kadang-kadang ada peminat yang hendak berjumpa dan bergambar. Maklumlah insan terkenal. Kadang-kadang masa bersama keluarga juga terganggu. Namun kalau keluarga kita faham, boleh.
Ketiga ialah waktu bersama saudara mara terdekat. Contohnya jika ada jemputan perkahwinan yang kadang-kadang susah untuk kita hadir mungkin akan menimbulkan isu di mana orang akan menganggap kita bangga diri dan sebagainya. Sedangkan kita terlalu sibuk dengan urusan kerja dan inilah cabarannya apabila bergelar seorang yang berpengaruh.
TIDAK TERUS HANYUT
Kita mesti ingat, kalau kita VIP di dunia, kita mengharapkan menjadi VIP di akhirat. Sebab ada golongan manusia yang terkenal di bumi namun tidak terkenal di langit. Ada orang yang terkenal di langit namun tidak terkenal di bumi.
Apa yang kita mahukan ialah terkenal di langit sebagai ahli ibadah yang taat, khalifah yang baik dan terkenal di bumi sebagai seorang khalifah yang memberikan manfaat. Dan paling kita tidak inginkan ialah bumi dan langit pun tidak kenal siapa kita.
Kredit Foto: Instagram Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Harriet Sperling, pakar jururawat pediatrik NHS dan penulis bebas, kini sah bergelar isteri Peter Phillips dalam majlis perkahwinan yang menyatukan beliau dengan keluarga diraja Britain.