Nama Bonda Rozita Ibrahim bukan lagi asing dalam kalangan usahawan dan dunia korporat. Berdekad lamanya menceburi perniagaan, tidak hairanlah usahawan berjaya dan pemilik Rumah Terapi Alam yang terletak di Batang Kali, Selangor ini mampu bergelar jutawan. Biarpun kaya-raya dan disegani ramai namun Bonda Rozita cukup ramah, merendah diri dan sentiasa ceria.
Berpeluang mengunjungi resort eksklusif miliknya Rumah Hutan dan Rumah Sungai Bonda Rozita Ibrahim baru-baru ini, penulis amat kagum dengan kemampuan wanita Melayu ini membina sebuah resort mewah tersebut.
Apatah lagi setiap binaan dan perabot yang ada di resort berkenaan diimport dari negara jiran khas untuk para tetamu. Rasa seperti berada di kayangan saat melangkah masuk ke perkarangan Rumah Terapi Alam!
Mendekati sisi wanita besi ini, Bonda Rozita Ibrahim terbuka berkongsi perjalanannya sebagai ahli korporat demi memberi inspirasi kepada khalayak. Sepanjang temu bual bersama Nona, berkali-kali ibu kepada Dato’ Seri Aliff Syukri dan Yatie Kamarzaman ini berpesan dia bukan orang yang sempurna dan masih mendidik peribadi menjadi insan yang terbaik di mata Allah SWT.
Pernah hidup susah sebagai ibu tunggal yang bekerja sebagai penoreh getah dan tinggal di kawasan setinggan yang bocor serta serba kekurangan, Bonda Rozita tak segan menceritakan pengalaman hidup.
“Orang pandang apa yang saya ada. Rupanya bila saya tak ada status, kekayaan, tak ada siapa pun kasihan dekat anak-anak saya. Bila Allah uji saya dengan kekayaan, Syukri kaya, Yatie kaya alhamdulillah saya semakin berada.
Berada bukan sebab kaya tapi Allah uji kekayaan itu ada tak sifat ujub. Hari ini Allah atur perjalanan saya sebagai wanita miskin, ditindas suami, disayangi oleh anak-anak dan sebenarnya walaupun saya kaya tapi saya sedih sebab saya tak dapat duduk sebelah dengan keluarga saya sebab semua korporat (sibuk berniaga).
Masa tu sangat mencemburui dan kami tak dapat hidup seperti keluarga biasa. Bila saya nampak anak-anak saya makin besar, saya sunyi. Dan bekerja inilah sebenarnya hiburan saya dan bila saya dapat duit, saya berazam mana lagi guru-guru dan sekolah agama saya nak bangunkan.”
Bonda Rozita juga akui dia sentiasa mempersiap diri untuk ‘bertemu’ dengan Allah. “Jadi sebelum saya mati, pengakhiran saya adalah Al-Quran dan kenapa saya berjaya hari ini sebab Al-Quran. Sebab saya tak baiklah, saya cuba nak jadi orang yang baik. Kejayaan dunia dah dapat, nikmat manakah yang engkau dustakan. Semua Allah dah bagi.
Setiap tahun pergi umrah sebab itu nazar saya. Wahai Allah sekiranya satu hari engkau memberi aku rezeki yang lebih, pertama sekali yang saya akan beri senang ialah ibu bapa saya, adik-beradik saya dan fakir miskin.”
Alhamdulillah, Bonda Rozita juga memberitahu dia bakal mengerjakan ibadah haji tahun ini.
“Saya pesan dengan diri saya, kalau nak menangis bukan sebab manusia, menangislah sebab saya masih banyak kekurangan untuk berjumpa dengan Allah. Sebab kerja di dunia, saya dah jadi pekerja di dunia yang terbaik. Tapi adakah saya dah cukup baik untuk kembali berjumpa kepada Allah?
Setiap perniagaan ini saya letakkan diri saya, saya adalah berniaga dengan Allah untuk mendapat kenderaan yang terbaik untuk saya ke alam barzakh. Wallahualam.”
Tambahnya lagi, “Saya jadi usahawan bukan untuk status, dan mintak sangat Allah jangan sifat ujub, riak dan takbur. Asal usul saya ni seorang penoreh getah, penjual kuih. Bila saya ada rezeki lebih, saya bukan nak tunjuk diri baik. Tapi saya suka mengunjungi orang susah supaya saya tak ada sifat ujub, riak dan takbur.
Alangkah hinanya kamu sebab yang menilai kamu bukan manusia. Tapi Allah yang tengok hati kamu cantik macam mana nak ‘balik’ ke Dia nanti.”
Semoga urusan sebagai jemaah haji kelak berjalan lancar dan Bonda Rozita mendapat haji yang mabrur.
Bila sebut tentang hari raya khususnya pada tahun ini, semuanya akan rasa sangat teruja kerana dapat kembali meraikannya dalam suasana meriah. Maklumlah dah dua tahun kita beraya dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) angkara pendemik COVID-19.
Usahawan selebriti terkenal yang juga pengasas produk kesihatan dan kecantikan Mutyara, Tya Arifin tak terkecuali. Tahun ini Tya kelihatan cukup teruja menyambut Aidilfitri bersama keluarga mentuanya di Kuala Lumpur.
Lihatlah koleksi gambar keluarga besar mereka yang kelihatan sangat meriah dan berwarna warni. Anak-anaklah yang paling ceria tambah-tambah lagi bila dapat duit raya.
‘50 Soalan Bling Bling Raya NONA Bersama Tya Arifin’ baru-baru ini berkesempatan menemu bual Tya Arifin mengenai pengalaman hari rayanya di Malaysia dan juga Indonesia. Sambil berkongsi sambil Tya membawa krew Majalah Nona house tour kediaman mewahnya. Seronok dengar pengalaman beraya Tya terutama kisah-kisahnya yang mencuit hati semasa kecil.
Menurut Tya, menu raya paling popular di Indonesia iaitu Pempek yang merupakan makanan khas Palembang. Ia dihasilkan dari adunan tepung dan ikan tenggiri yang digoreng sehingga keemasan.
“Di Palembang kalau setiap kali raya ‘wajib’ ada Pempek. Kalau di Malaysia ia macam keropok lekor.”
PANDAI BELI JIWA IBU MENTUA
“Saya bersyukur kerana memiliki dua ibu mentua yang baik iaitu Mama (Tengku Zawyah) dan Mak Iti (Dato’ Sri Siti Nurhaliza). Kedua-duanya sangat istimewa.
Kalau dengan Mama, apa yang saya boleh belajar darinya ialah tentang kesabaran dan masakannya yang sangat sedap.
Mak Iti pula seorang yang bekerja keras, berjaya merubah kehidupannya yang dahulu kepada siapa dirinya sekarang. Sangat berbeza. Saya dapat belajar dari kegigihannya dalam mengatur dirinya, hal-hal rumahtangga walaupun jadualnya sangat padat.
Untuk ‘beli jiwa’ mereka, saya jadi diri sendiri. Sentiasa berbuat baik dengan mereka. Sebagai seorang anak dan isteri, saya harus pandai menjaga diri.”
Tya turut berkongsi antara juadah paling best pernah dimasak khas buat ibu mentuanya ketika hari raya ialah Ikan Bakar yang mana resipinya istimewa dari Indonesia.
Kredit Foto: Instagram Tya Arifin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Alhamdulillah, mama masih sihat dan cergas di usia 69 tahun. Doa saya semoga Allah terus memberi rahmat dan kesejahteraan buat Ta’adah Bt Mohd Said, dunia serta akhirat… Amin.
Saya percaya semua anak inginkan yang terbaik buat ibu mereka, dipanjangkan usianya untuk terus menikmati detik bahagia di kehidupan dunia sementara ini. Terpanggil saya untuk berbicara bersama mama dan berkongsi kisah rutin harian sihat dan cantik yang diamalkannya. Mungkin amalan ini dapat memberi inspirasi kepada semua wanita lain, walaupun ramai lagi ibu-ibu di luar sana punya 1001 cerita dan petua serta nasihat terbaik yang boleh dikongsi bersama pembaca majalah Nona.
Kini telah 6 tahun mama melewati hari-hari bebas daripada penyakit yang paling digeruni oleh wanita. KANSER. Syukur alhamdulillah. Masih ingat waktu itu, kala mama membuat pemeriksaan dan di sahkan KANSER OVARI tahap 2 (aktif), mama sangat kuat semangat dirinya.
Tanpa berfikir panjang mama terus bersetuju untuk menjalani proses kemoterapi seperti yang telah disarankan oleh doktor. Tidak sekali saya melihat kesedihan atau air matanya mengalir. Sangat kuat beliau melalui proses itu, walaupun kesakitannya hanya dia dan Allah sahaja yang tahu. Walaupun dalam hati saya sendiri yang menangis, bila saat melihat raut wajahnya yang dimamah usia ketika terlantar baring seperti melayan mimpi panjang yang memenatkan.
Tambah pilu hati ini kala melihat rambutnya gugur akibat kesan kemo, tapi mama masih mampu tersenyum… Saya percaya inilah senario yang dihadapi oleh ramai di antara mereka apabila melihat orang tersayang melalui proses rawatan kemo. Berat mata memandang, pastinya berat lagi bahu yang di pikul.
“Mama maafkan saya kerana tidak menemanimu setiap hari dan setiap masa di saat itu…” Mama layari hidupnya sendiri dengan cukup tabah. Pasti adanya penyesalan dalam diri saya ini, sebagai seorang anak sebab selalu tinggalkan mama sendiri menjalani rawatannya. Setiap kali pulang ke Kedah dan kembali ke Kuala Lumpur pasti saya yang menangis tapi bukanlah di hadapannya kerana saya tidak mahu menunjukkan kesedihan itu, saya juga perlu kuat seperti mama.
Setiap kali itulah, saya berdoa “Ya Allah, jaganya untukku. Lindungilah mama dan kembalikanlah kesihatannya dengan baik. Kurangkanlah beban kesakitannya kerana aku amat menyayanginya.” Amin… Allah telah pemudahkan perjalanan itu.
Hari ini alhamdulillah, mama berdiri tersenyum. Sibuk dengan aktiviti warga emas dan mengaji Al-Quran. Saya mengutip beberapa petua yang telah diamalkannya, mungkin ada yang sesuai dan boleh juga dipraktikkan oleh orang lain. Dulu sekali pandang, mama seperti pelakon Uji Rashid dan sekarang kalau pakai sunglasses, macam Noorkumalasari pula.
Sejujurnya saya mengagumi kecantikan mama sejak di usia mudanya. Sangat cantik dan mama aktif dengan pelbagai aktiviti, popular juga mama di Alor Setar dulu. Ingat lagi, saya pernah melihat mama belajar catwalk di rumah sambil meletakkan buku di atas kepala dengan langkah bersama sepatu tinggi 4 inci.
Petang-petang joging dan ‘wardrobe’ sangat meriah dengan himpunan pelbagai koleksi baju yang dibeli dan ditempah, sehingga tidak muat ruang almari. Itulah mama… Personalitinya sangat tegas tetapi punya hati yang baik.
Mama daripada dahulu tidak minum air ais dan jarang sekali mengambil kopi. Tapi kalau makan nasi wajibnya ada pelbagai ulam-ulaman antara menjadi kegemaran mama, ulam raja, daun dan buah mengkudu sangat baik untuk kuatkan badan dan awek muda. Tapi memang benar, mama ratu ulam. Semua jenis daun hijau dimakannya. Petua makan nasi, sama juga seperti orang lain, makan nasi tidak bersilang seli dengan air. Minum air panas sebelum mula makan nasi untuk basahkan kerongkong serta melancarkan penghadaman.
Sesekali dahulu terlihat mama akan kepal-kepal nasi panas tanpa lauk dan kemudian terus makan. Biasanya dalam 2 atau biji kepalan sambil membaca doa makan, kata mama ini petua yang diamalkan oleh atuk nenek kita supaya badan sihat dan dijauhi daripada penyakit. Ini sekadar petua, bukanlah amalan khurafat. Siapa nak buat, boleh buat. Tidak mahu tak mengapa!
Mama tidak mengambil sebarang suplemen, hanya mengambil ubat yang diberikan oleh doktor atau hanya dari bahan semula jadi. Biasanya mama akan ambil bawang putih rendam bersama madu asli, biar selama tiga hari kemudian makan satu pagi, satu malam setiap hari. Ataupun bawang putih kupas dan masukkan ke dalam nasi ketika gembur, setelah hampir masak lalu makan seperti ulam.
Banyak khasiat bawang putih untuk kesihatan antaranya dapat mengurangkan risiko kanser, menurunkan kolesterol, baik untuk darah tinggi, mencegah penyakit jantung dan sebagainya. Selain itu, mama juga mengamalkan minum air jus timun atau carrot untuk sejukkan badan serta baik untuk kesihatan. Makan pisang jika stres dan untuk memudahkan proses penghadaman.
Sewaktu mama dalam proses rawatan kanser, setiap kali selepas melakukan kanser mama amalkan minum air kelapa muda. Selesai menjalani semua proses kemoterapi, mama amalkan minum air daun belalai gajah dan makan buah durian belanda. Bila sihat sikit, mama rebus air daun durian belanda untuk diminum.
Alhamdulillah kaedah dan amalan ini sesuai dengan tubuh mama. Mama juga sesekali mengamalkan minum air rebusan daun rama-rama yang mempunyai banyak khasiat dan menjaga kesihatan badan. Mama tidak lagi makan daging, belacan, ikan kering atau ikan darat. Jika termakan, mama segera minum air rebusan daun rama-rama atau daun durian belanda yang dibuat sendiri (Perkongsian ini melalui pengalaman yang diamalkan, boleh dicuba atau dapatkan khidmat nasihat doktor anda juga).
Paling penting pesan mama, buat mereka yang mengidap kanser jangan susah hati, menyendiri, muram dan terlalu banyak berfikir tentang perkara negatif. Perlu sentiasa gembira dan ceria, lemparkan senyuman setiap masa.
Selain menjaga pemakanan dan mengamalkan petua semula jadi, perkara yang utama perlu dititik beratkan ialah amal ibadat dan kerohanian. Di setiap kelapangan, mama mengamalkan bacaan surah Al-Ikhlas yang terlalu besar ganjaran pahalanya jika selalu diamalkan. Ia dapat membantu memberi ketenangan, membuatkan kita lebih ceria dan gembira, dipelihara keselamatan, selamat di alam barzakh dan insyaAllah, orang akan lihat wajah kita sentiasa tenang.
Mama juga sentiasa ingatkan saya untuk ringankan mulut membaca DOA NABI YUNUS a.s
“Laailahailaanta subhanainni kuntum minazzalimin”
(Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim.)
Doa ini adalah penawar segala musibah, dielakkan daripada perkara-perkara yang memudaratkan dan sangat besar maknanya. Amalkan setiap hari tidak kira dalam kesenangan atau kesusahan. Jangan lupa untuk mengucap syukur dengan rezeki Allah SWT berikan, walaupun sedikit dan bukannya merungut.
Bangun pagi amalkan membaca surah Al-Fatihah untuk sedekahkan kepada Nabi Muhammad SAW, buat arwah ibu bapa, diri sendiri, anak-anak dan juga adik-beradik sekalian. InsyaAllah…
Akhir kata, saya doakan buat mama dan seluruh ibu semua agar sentiasa dirahmati, berada di bawah lindungan Allah SWT, di panjangkan usia, di murahkan rezeki, sihat sejahtera hendaknya. “Ya Allah, Seandainya aku tidak memiliki cukup waktu, untuk membahagiakan ibu ku satu pintaku bahagiakan ibu ku dengan kasih sayang-Mu. Ya Allahampunilah segala dosa ibu ku kasihanilah ibu ku karena ibu yang telah melahirkanku, memelihara dan membesarkan diriku. Haramkanlah wajah ibuku dari disambar oleh api neraka. Kurniakanlah buatnya syurga tanpa hisap… Amin.
Tanyalah amalan atau petua ibu kita sementara mereka masih ada, sekurang-kurangnya dapat juga dikongsi dan mungkin berguna untuk kehidupan seharian kita. Mereka sudah makan garam terlebih dahulu daripada kita dan pengalaman serta nasihat mereka boleh dijadikan inpirasi untuk kita lebih matang dalam menjalani pelbagai liku kehidupan di masa sekarang. Terima kasih buat semua Ibu atas kasih sayang yang telah engkau berikan kepada diri kita dengan tulus kasih mu yang tak akan mampu kita bayar.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Membina empayar niaga selama 11 tahun nyata bukan satu tempoh singkat. Pastinya pelbagai cabaran dan liku kehidupan sudah dilalui Norhanani Abdullah sepanjang menguruskan legasi Bubble Gum X Sdn Bhd. Berkat kerja keras dan niat untuk membantu lebih ramai wanita, perusahaan tersebut kini semakin dikenali dan bertapak kukuh dalam pasaran.
Mendekati pemilik Bubble Gum X, wanita berusia 33 tahun yang mesra disapa Nani ini disifatkan seorang yang kreatif dan cukup merendah diri. Enggan mendabik dada dengan pencapaian yang diraih, Nani terus mendaki puncak kerjaya di samping saudara kandungnya yang turut bersama-sama mengendalikan perniagaan ini.
Sejak ia ditubuhkan sampai sekarang, Bubble Gum X sudah pun mempunyai lebih 200 pekerja dan 29 pusat rawatan seluruh negara. Malah, mereka juga mempunyai trak wax pertama di Malaysia. Hebat!
Ditanya dari mana tercetusnya idea menubuhkan perniagaan ini, Nani terbuka berkongsi kisah kejayaan. “Kisah Bubble Gum X sebenarnya bermula seawal tahun 2011. Ketika itu, kami dapati dalam industri kecantikan, tidak banyak rawatan penyingkiran bulu yang selamat, berkualiti tinggi dan mampu milik.
Dari situ, kami adik-beradik terdetik untuk membuka salun Bubble Gum Wax yang menawarkan rawatan pada harga mampu milik tetapi berkualiti tinggi. Kami melalui permulaan yang agak sukar kerana perkhidmatan yang kami tawarkan bukanlah sesuatu yang menjadi budaya masyarakat Malaysia waktu itu.
Namun, selepas dua tahun, sedikit demi sedikit, pelanggan mula menaruh kepercayaan kepada jenama dan servis yang Bubble Gum Wax tawarkan. Alhamdulillah.”
Ujarnya lagi, “Kakitangan kami terbahagi kepada dua iaitu bahagian pengurusan dan operasi yang kami gelar sebagai Keluarga Bubble Gummers. Setiap juruterapi diberi masa sehingga 6 bulan untuk menjalani latihan intensif di ibu pejabat Bubble Gum X yang terletak di Shah Alam.
Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk memastikan mereka mempunyai bekalan pengetahuan dan ilmu pengendalian yang cukup dan mantap sebelum turun padang.
Kepercayaan pelanggan merupakan misi utama kami kerana kami bertanggungjawab ke atas lebih 29 pusat rawatan seluruh Malaysia. Ini termasuk 24 Pusat Rawatan Bubble Gum Wax, 4 Studio Bubble Gum Lash, 1 Studio Bubble Gum Nails dan 1 Pusat Kecantikan Bubble Gum X-thetic.”
Lebih membanggakan, untuk tahun ini saja Nani merangkul empat anugerah peringkat global untuk jenama terbaik.
“Saya kira tahun 2022 merupakan tahun cemerlang kami. Bubble Gum X baharu sahaja memenangi 4 anugerah jenama terbaik yang diiktiraf di peringkat tempatan dan global iaitu Global Business Leadership Award bagi kategori kecemerlangan dalam perkhidmatan salun gaya hidup, The Brand Laureate SMEs 2022 kategori Anugerah Pilihan Jenama Terbaik dan Anugerah Usahawan Terbaik serta Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) untuk kategori Anugerah Pilihan Pengguna 2022/2023.”
Mengulas rutin harian Nani dalam membahagikan masa di antara kerjaya dan anak-anak, tanpa berselindung ibu berjiwa besar ini menyusun bicara.
“Falsafah saya mudah. Apabila di tempat kerja, saya akan memberi tumpuan seratus peratus kepada kerja. Bila sampai di rumah, saya akan memberi tumpuan seratus peratus kepada keluarga pula. Sejujurnya, musuh utama wanita berkerjaya hari ini adalah masa. Untuk membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga itu bukanlah senang.
Namun, tidak dapat nafikan bahawa imbuhan kepada berjaya dalam kerjaya itu adalah untuk kesenangan keluarga jua. Mujurlah, saya ada 2 pembantu rumah dan saya amat berterima kasih kepada mereka kerana membantu saya menguruskan beban kerja rumah dan memantau anak-anak saya dengan baik.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Nani turut menitipkan pesan berikut buat seluruh wanita yang bertungkus-lumus menjana pendapatan di samping melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap keluarga serta anak-anak.
“Untuk wanita berkerjaya di luar sana, tuntutan kerjaya hari ini tidak seperti zaman ibu bapa kita. Seiring kemudahan semasa yang ada, jangan pernah rasa bersalah untuk meninggalkan kerja rumah kepada pembantu rumah.
Sebagaimana anda tak perlu rasa bersalah untuk serahkan diri melalui rawatan kecantikan, kebersihan dan merapikan diri di mana-mana rangkaian rawatan Bubble Gum X! Kerana kami faham, kesibukan kerja hari ini, kadang kala nak jaga diri pun tidak cukup masa.”
Moga perkongsian Nani mengurus perniagaan menjadi pemangkin semangat buat lebih ramai wanita mencipta kejayaan membanggakan!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Roslia Maisara KUYPJ mengharumkan nama Malaysia apabila meraih gelaran Outstanding Chef serta 15 pingat di World Chef Championship 2026, membuktikan bakat muda tempatan mampu bersaing di pentas dunia.