Rezeki Allah Taala pasti ada apabila sampai waktunya. Berdepan pelbagai cabaran besar untuk menimang cahaya mata kira-kira tiga tahun lalu, kini Datin Zai Izatti merupakan ibu kepada dua orang anak.
Empunya badan sendiri pun tidak menyangka, aturan Allah untuk mengurniakan zuriat kepadanya semakin dipermudah. Hanya ungkapan alhamdulillah yang terpacul di bibir suri hati Dato’ Jamal Abdillah ini setiap kali berkongsi kisah perjalanannya menjadi seorang ibu.
11 November 2020, pasangan romantis ini cukup teruja menyambut kehadiran anak kedua mereka yang juga adik kepada Nur Azura Yamani. Bagi ibu muda yang meniti usia 28 tahun tersebut, dia sama sekali tidak menyangka rezeki untuk timang zuriat ketiga datang secepat ini.
Apatah lagi anak keduanya, El Issac Yamani baru berusia 9 bulan ketika mereka mendedahkan berita kehamilan anak ketiga sekitar Ogos tahun lalu.
Berpeluang bertentang mata dengan wanita cantik ini di majlis Nona Superhero Award pada 12 Januari lepas, memang terserlah seri ibu mengandung Datin Zai. Tampil menawan dalam persalinan serba hitam, Datin Zai setia menemani Dato’Jamal yang menerima penganugerahan Nona Legend Award.
Ads
Mengulas usia kandungan, ini jawapan Datin Zai. “Dah 7 bulan dah. InshaAllah, Februari ini bersalin.”
Masih ingat lagi dalam temu bual bersama Nona, Datin Zai memberitahu dia berhasrat memiliki sekurang-kurangnya empat orang anak. Namun perjalanan untuk mempunyai anak sendiri tidak semudah yang disangka. Akuinya, dia pernah mengalami keguguran sebanyak empat kali sebelum melahirkan Azura.
“Awal kahwin dulu kami suami isteri tak rancang tapi direzekikan hamil. Bila dapat tahu gugur, sedih sangat. Saya rasa mungkin waktu tu saya terlalu excited dan kandungan awal lagi tapi tak beritahu sesiapa pun.
Bayangkan, saya pernah gugur 4 kali baru dapat Azura. Sebelum itu memang saya ada cuba ambil suntikan dan supplement untuk hamil. Bila banyak kali gugur, saya jumpa doktor sebab risau ada masalah berkaitan rahim atau sebagainya. Alhamdulillah, tak ada masalah.
Ads
Ketika dalam proses nak buat IVF, setengah tahun juga… tiga kali saya gugur. Sampai diri dah pasrah dan reda kalau ditakdirkan tak ada rezeki anak. Tapi waktu itulah, Allah ‘bagi’ Azura. Walaupun masa mengandungkan Azura saya alami banyak pendarahan tapi syukur semuanya dipermudahkan. El Issac pun saya hamil secara semula jadi.”
Uniknya nama anak kedua mereka El Issac Yamani atau singkatannya Zack ini diambil sempena filem Azura! Terus terbayang lakonan Dato’ Jamal sebagai Zack dalam filem popular era 1984 tu. Dato’ Jamal sebelum ini mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani dan Zaki Yamani.
“Sejak anak pertama lagi memang bapa dia yang pilih nama. Mula dulu Dato’ nak nama Azura sebab memori kenangan filem tu. Anak kedua ni pun sama juga. Kalau tanya saya, saya memang tak pandai sangat nak bagi nama anak. Saya serahkan dekat Dato’.
Ads
Issac tu diambil daripada nama Inggeris Ishak, Yamani pula sebab keturunan Yaman. Jadilah El Issac Yamani atau singkatan Zack,” jelas Datin Zai yang mengaku tidak cerewet dalam bab pemberian nama anak.
Semoga kecekalan isteri Dato’ Jamal menempuh ujian untuk bergelar ibu dapat dijadikan inspirasi buat seluruh wanita.
Kredit foto: Instagram Datin Zai Izatti
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Al Noor, namanya mungkin tidak terkenal dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia. Namun sejak 15 Mac lalu, masjid yang terletak di Christchurch, New Zealand ini bukan hanya mendapat perhatian meluas rakyat Malaysia bahkan terus menjadi bualan di seluruh dunia sehingga ke hari ini. Semuanya gara-gara insiden berdarah yang dicetuskan pengganas kulit putih, Brenton Tarrant yang kini ditahan pihak berkuasa New Zealand sebagai suspek utama.
Mengimbau detik tragis yang mengorbankan seramai 49 jemaah ketika berada di dalam masjid untuk menunaikan solat Jumaat… suspek yang lengkap bersenjata melepaskan tembakan secara meluru ke arah umat Islam yang berada di dalam masjid. Lebih menyedihkan, aksi tembakan tersebut dirakam dan dikongsikan secara live di media sosial yang jelas kedengaran suara Tarrant ketawa saat melepaskan tembakan! Difahamkan serangan turut berlaku di sebuah lagi masjid iaitu Masjid Linwood.
Sebagai rakyat New Zealand yang sudah 23 tahun menetap di negara yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi itu, Rachel Dickison… seorang pelukis muda kelahiran New Zealand yang terkesan dengan tragedi berkenaan ‘menghadiahkan’ sebuah lukisan cukup bernilai buat penganut agama Islam seluruh dunia. Meskipun berlainan agama tapi itu bukan halangan bagi Rachel menghasilkan lukisan Masjid Al Noor.
Melalui lukisan itu, kelihatan Masjid Al Noor seolah-olah dilingkari tumbuhan paku pakis atau Silver Fern… simbolik kepada lambang kebanggaan New Zealand. Memuat naik lukisan indah tersebut di Instagram miliknya, kongsi Rachel, “They are us.Saya amat terkejut dengan apa yang berlaku di Christchurch dan simpati terhadap mangsa terlibat kerana tempat ini tidak lagi selamat. Tak sangka ia berlaku di New Zealand.
Kepada mereka yang terjejas dengan insiden ini, marilah kita bersatu dan saya juga ingin meluahkan apa yang saya rasa terhadap insiden ini dengan cara terbaik yang saya tahu iaitu melalui lukisan.
Lukisan Rachel mengenai Masjid Al Noor
New Zealand tetap berdiri teguh bersama komuniti Islam yang telah memilih negara ini sebagai ‘rumah’ mereka dan kami turut berduka atas apa yang berlaku. Tidak kira apa pun, kami tetap bersama anda dengan penuh kasih sayang dan bukan kebencian.”
Terharu bila insan berbeza fahaman agama seperti Rachel sangat menghormati dan setia bersama-sama umat Islam menangani keganasan yang berlaku. Biarpun dengan hanya melalui lukisan… namun ia melegakan hati para muslimin dan muslimat yang menghargai sokongan murni rakyat New Zealand. Moga kebaikan Islam terus dihayati oleh semua.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahun ini masuk tahun keempat Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr Os kembali ke rahmatullah. Meskipun Dr Syafiqa Hayra tidak lagi berpeluang untuk memeluk dan mencium bapa tersayang, namun segala kenangan manis bersama arwah masih berbekas hingga ke hari ini dan akan sentiasa segar di ingatan. Apa yang pasti kedatangan bulan April setiap tahun menerbitkan momen sayu di lubuk hati wanita berusia 26 tahun ini kerana pada tanggal 8 April 2016 dia telah kehilangan sosok bapa selama-lamanya. Apatah lagi tarikh 5 April pula merupakan hari lahir lelaki paling disayanginya itu.
Tak mampu menyembunyikan rasa rindu terhadap arwah bapa, Dr Syafiqa menzahirkan perasaan tersebut di laman media sosial miliknya. “Kalau masih hidup Allahyarham abah, hari ni hari jadi abah yang ke-59. I’m a doctor now abah. Epit dah tunaikan janji untuk jadi doktor dekat abah. Tak pernah lupa jasa abah beri kami sekeluarga makan yang cukup, besarkan dengan didikan yang baik, segalanya cukup.
Seorang abah yang cukup baik dan sempurna. Sepanjang hayatnya, tak pernah lokek, malah kuat bersedekah dan suka mempermudahkan urusan semua orang. Moga abah syurgalah tempat abah. Moga abah ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah.”
Ketika dihubungi Nona, Dr Syafiqa yang ketika itu sedang bertugas menyambut salam penulis dengan penuh mesra. Keterbukaan anak pelakon komedi ini berkongsi sisi peribadi arwah bapanya sangat dihargai. Dia yang kini berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendedahkan, “Jujurnya, saya sangat rindu saat saya balik bercuti dari Mesir setiap tahun dan abah akan bawa saya serta keluarga pulang ke kampung dan pergi memancing ikan. Dulu saya selalu ikut abah memancing ikan lampam berumpankan pisang di Sungai Perak.
Kenangan bersamanya terlalu banyak. Saya juga rindu nak belikan jubah dan souvenirs untuk abah setiap tahun bila saya balik ke Malaysia selama saya belajar di Mesir. Rindu nak makan lemang jagung masakan abah setiap kali tibanya hari raya dan juga rindu nak mendengar nasihat dan cerita abah. Kalau nak tahu, abah ni sangat suka bercerita dan mengimbau kehidupannya masa kecil di kampung. Dia akan bawa saya ke tempat-tempat tersebut.”
Ditanya mengenai peribadi dan perwatakan arwah bapanya yang tidak diketahui ramai, graduan Bachelor of Medicine and Surgery (MBBCh) Mansoura-Manchester, Mansoura University, Egypt ini menjelaskan, “Abah sangat tegas dan mementingkan masa. Walau macam mana susah sekalipun dia akan sentiasa memenuhi permintaan anak-anak. Selain itu, abah juga suka menjamu orang makan dan buat orang gembira. Dia sangat pemurah dan mudah rasa kasihan dekat orang.
Salah satu perangai abah yang buat saya kagum ialah cara abah menghargai ibu bapanya. Walaupun ibu bapa abah iaitu atuk dan nenek saya sudah meninggal, abah tetap sentiasa bersedekah bagi pihak kedua ibu bapanya. Jelas nampak betapa abah sangat menyayangi mereka berdua. Bahkan ketika hayatnya, even in his purse, abah masih letak gambar ibunya.”
Allahu, tersentuh mendengar pendedahan Dr Syafiqa mengenai arwah bapanya! Jelas terserlah betapa besar rasa kasih dan sayang Allahyarham Mr Os terhadap kedua-dua ibu bapa dan sentiasa meletakkan mereka di kedudukan yang tinggi. Selama ini masyarakat mengenali Mr Os sebagai pelawak dan penghibur tetapi di sebalik lawak jenakanya tersimpan sisi penyayang penuh keikhlasan bekas anak seni ini.
Malah arwah tidak pernah malu bekerja sebagai pemandu teksi dan menjalani kehidupan sederhana di samping keluarga dan anak-anak tersayang. Kejayaan yang dikecapi Dr Syafiqa Hayra hari ini adalah bukti yang arwah mampu mendidik anak-anak dengan sempurna.
“Abah, sepanjang dia cari makan untuk family tak pernah sekali pun dia mengeluh walaupun saya tahu dia penat. Dia masih kerja walaupun dalam keadaan sakit tenat. Masih pergi ke sana sini, pergi ceramah dan masih cari nafkah dia untuk family. Last abah pergi ceramah dekat Kuang. Abah dah pakai wheelchair. Tetap juga dia gagahkan walaupun dalam keadaan tenat.
My mummy cerita, sehari sebelum abah masuk hospital masa dia tenat, masa tu waktu sarapan, abah cakap dia dah teruk (tenat sangat) tapi dia harap sangat dia dapat bertahan sampai saya grad. Lepas tu abah menangis. Abah masuk hospital hari Isnin. Hari Khamis, hari terakhir saya jumpa abah melalui skype video call. Tapi abah dah tak boleh bercakap, dah pakai bantuan oksigen. Hanya cakap through bahasa isyarat. Esoknya hari Jumaat abah meninggal.”
Ujar Dr Syafiqa lagi, walau kerjaya sebagai doktor bukanlah pilihannya namun dia bersyukur dapat memenuhi impian bapa. “Sejak kecil memang abah galakkan saya jadi doktor. I love medicine. If I don’t love medicine, mesti saya tak grad medical school. Pernah jadi pergolakan di Mesir beberapa tahun lepas dan keadaan sangat bahaya. Kebanyakan pelajar Malaysia balik tapi saya tetap teruskan belajar di Mesir. Abah pernah tanya saya nak balik Malaysia or continue study in Egypt. I still choose to continue study in Egypt. I still grad on time. Saya tak pernah kena extend tahun pun masa study. And sekarang I really love my job. Sometimes patient ucap terima kasih pun saya rasa gembira walaupun saya bekerja sangat letih everyday.
Saya kena selalu ingat pesan abah dulu, kerja doktor ni ibadah. Setiap kali saya kerja, saya ikhlaskan diri dan selalu ingat pekerjaan doktor adalah satu ibadah. Saya nak sedekahkan pahala saya bekerja untuk parents saya. Without them I’m nothing. I go through everything, dengan doa parents saya. Usaha saya mungkin sikit. Tapi saya percaya selebihnya semua sebenarnya datang daripada doa parents saya. Abah seorang bapa yang tegas terhadap anak-anak, suka memberi nasihat dan sentiasa mengambil berat tentang pelajaran serta agama.”
Mengakui tidak berkesempatan membalas jasa bapa tersayang, Dr Syafiqa bagaimana berkata dia tetap sentiasa mengenang segala kebaikan arwah bapa. “Kalaulah masih berpeluang balas jasa saya takkan bagi abah kerja. Let me do the works and cari duit. Abah dulu pernah cakap dia teringin nak pergi all Arabs country Saya nak bawak abah pergi travel dan saya takkan suruh abah saya kerja. Biar dia berehat dan beribadat saja. Saya yang akan kerja cari duit and let him go travel dan untuk abah pergi Mekah setiap tahun. Dulu abah nak datang ke Egypt melawat saya study. Tapi tak sempat sebab abah dah sakit tenat masa tu. Dan abah pernah cakap dia nak duduk di kampung Kuala Kangsar semula. Dia nak duduk kawasan kampung sebab tenang daripada kawasan bandar. Saya akan buatkan abah rumah di kawasan kampung. Biar abah berehat dan beribadah saja. Tak perlu bekerja.
Bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa, hargai setiap masa yang ada bersama mereka. Your parents knows best. Kalau ada duit walaupun sedikit, berilah kepada mereka agar ada keberkatan dalam kehidupan. Sentiasa dahulukan ibu bapa anda lebih daripada orang lain.”
Sementara itu, berkongsi keadaan semasa negara yang sedang mengalami pandemik Covid-19, selaku doktor yang mungkin khidmatnya akan diperlukan untuk membantu menangani virus ini kelak Dr Syafiqa berkata, “Buat masa ini saya masih belum diberi arahan untuk merawat pesakit Covid-19. Namun bila tengok situasi yang melanda sekarang saya rasa sedih. All frontliners yang bertungkus-lumus bekerja siang dan malam, ada yang perlu meninggalkan keluarga di rumah.
Tetapi kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak mematuhi arahan PKP. We have to be very concern pasal virus ni sebab it’s a new virus, hopefully akan ada vaccine or definitive treatment soon enough and hopefully situasi seluruh dunia especially negara kita akan cepat pulih.”
Semoga Dr Syafiqa dapat memanfaatkan segala kemahiran perubatan yang dimilikinya untuk kesejahteraan masyarakat pada masa akan datang. Selain menjadi kebanggaan dan inspirasi buat seluruh wanita Malaysia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kareena Kapoor satu nama besar yang tidak asing lagi dalam industri seni Bollywood. Bintang popular ini yang juga merupakan adik kepada Karisma Kapoor memiliki kejelitaan semula jadi yang diwarisi daripada ibunya.
Setiap kali melihat penampilannya di layar perak pandangan mata pasti tidak berkedip dengan kecantikan raut wajah serta kemulusan kulitnya yang putih bersih. Sebaik mendirikan rumahtangga bersama Saif Ali Khan dan memiliki cahaya mata, Kareena kini lebih banyak menumpukan perhatiannya terhadap keluarga.
Sedar tak sedar rupa-rupanya Kareena kini hampir mencecah usia ke 40 tahun. Namun Kareena masih kelihatan awet muda, kulitnya juga masih cantik dan anjal persis seorang wanita berusia 20-an. Agaknya apalah rahsia Kareena yang boleh diinspirasikan? Adakah dengan statusnya yang bergelar artis tersohor maka dia sanggup melaburkan wang yang banyak untuk rawatan kecantikan?
AMAL AIR KOSONG DAN DIET TERATUR
“Saya kurang gemar membeli barangan kosmetik yang mahal mahupun melakukan sesuatu yang berlebihan pada kulit. Ia antara aset penting yang perlu diberi penjagaan yang rapi dan betul,” kongsi Kareena.
Di samping itu, rahsia Kareena kekal menawan pada usia 40 tahun adalah kerana dia turut mengamalkan rutin diet secara konsisten biarpun sudah bergelar isteri dan ibu.
“Bagi saya semua ini berkat usaha diet yang saya amalkan di samping meminum banyak air kosong. Selain itu, saya turut mendisiplinkan diri dengan membersihkan kulit wajah dengan air suam pada setiap hari. Apa pun saya sangat bersyukur dikurniakan kulit yang sihat dan cantik kerana ibu saya juga memiliki kulit yang luar biasa cantiknya,” ungkap Kareena.
Kecantikan seseorang bukan hanya perlu dirawat dari luar sahaja malah perlu meminum air kosong yang banyak seperti yang diamalkan oleh Kareena kerana ia bukan sekadar mampu menjadikan kulit kekal cantik dan bersih bahkan bebas daripada kedutan kerana air membantu melembapkan kulit. AMY MOHD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.