Dinding rumah anda kosong dan tiada idea untuk menghiasnya? Terdapat berbagai cara yang boleh anda lakukan untuk mengisi kekosongan itu. Berikut adalah beberapa cara mudah yang boleh anda jadikan ilham untuk menata rias dinding ruang rumah yang kosong.
SUSUNAN FOTO PERIBADI
Jika anda mempunyai banyak koleksi gambar, bolehlah memasangnya di dinding mengikut susunan bingkai yang seragam. Gantung dengan kemas di bahagian dinding yang kosong. Anda juga boleh memilih untuk menyusunnya di dinding sepanjang tangga rumah. Secara tidak langsung ruang kosong kelihatan menarik dan berseri. Selain itu, ia juga membantu mencerahkan ruang jika anda menggunakan bingkai gambar berwarna putih.
PELEKAT DINDING
Bagi rumah yang menggunakan konsep moden minimalis tidak ada salahnya jika anda memberikan sedikit sentuhan aksen di bahagian dinding kosong. Anda boleh menjadi lebih kreatif dengan menggunakan pelekat dinding atau wall sticker yang bermotifkan sederhana seterusnya ciptakan sebuah suasana baharu bersama tema yang ingin anda tonjolkan.
OBJEK BERBINGKAI
Pernahkah anda melihat objek-objek yang unik diletakkan di dalam bingkai dan diletakkan di dinding? Umpamanya selendang sutera atau busana tradisional lama dibingkaikan menjadi perhiasan dinding. Idea ini sangat menarik kerana dapat menambahkan elemen-elemen tekstur di dalam ruang kediaman sekaligus menampilkan pemandangan yang unik dan artistik.
Ads
CERMIN
Rumah sederhana luas kalau mendapat olahan yang sesuai mampu menyerlahkan keindahan ruang tersebut. Idea yang diolah pada ruang dinding kosong dapat menonjolkan impak lebih luas jika anda menempatkan cermin bersaiz besar. Selain membantu menampakkan ruang lebih luas, cermin juga menjadi salah satu barangan hiasan pada dinding yang polos.
RAK
Jadikan koleksi buku mahupun cerpen kesayangan anda sebagai sebahagian daripada perhiasan dinding polos. Buatkan rak terbuka di dinding bagi menempatkan koleksi-koleksi buku dan novel. Namun, jangan terlalu banyak bagi mengelakkan raka menampung beban berlebihan dan berisiko untuk roboh. Susun koleksi yang anda gemar baca sahaja dan boleh diulang baca. Rak juga mampu mencipta dimensi dan fleksibiliti bagi apa jua yang ingin anda pamerkan.
Ads
BARANGAN TERPAKAI
Perhatikan sekitar rumah anda, masih adakah lagi barangan-barangan lama yang sudah tidak mahu digunakan. Pun begitu biarlah ia masih elok. Sedikit modifikasi pada barangan terpakai ini mampu menjadi hiasan dinding yang menarik sekaligus menjimatkan wang selain murah dan mudah dilakukan.
BLOK WARNA
Aplikasi blok warna pada dinding kosong contohnya di bilik kamar. Sesuaikan warna dengan nuansa yang anda inginkan. Contohnya ialah warna coklat muda dan gelap sangat serasi untuk bilik tidur sekaligus menghasilkan suasana yang cukup tenang dan romantik.
Ads
AKSESORI BERTEKSTUR
Adakalanya ia merupakan penyelesaian yang terbaik untuk dinding kosong. Antara aksesori bertekstur ialah dulang rotan atau bakul yang boleh menjadi hiasan dinding yang menarik jika kena pada caranya.
KERTAS DINDING
Jika anda seorang penggemar kertas dinding teruskan kreativiti dalam mencipta keindahan rumah. Kertas dinding sebenarnya mampu menambahkan elemen drama pada dinding di samping menyerlahkan personaliti pemiliknya. Tidak perlu memilih kertas dinding yang mahal-mahal terutama untuk sebuah ruang terhad. Apa yang penting idea yang dipamerkan melalui kreativiti anda.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dari syarikat korporat ke dunia penjagaan kanak-kanak, Muhaini Mahmud akhirnya menemui kerjaya yang diimpikan. Bersandarkan sifat keibuan yang tebal, wanita jelita berusia 43 tahun ini bangkit bersama rakan kongsi, Nadira Yusoff mengasaskan Kiddocare Sdn Bhd. Misi mereka jelas, mahu membantu menangani isu pengasuh di Malaysia dan menjana pendapatan wanita yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Peramah dan menyenangkan. Begitulah personaliti Muhaini ketika pertemuan kami di program MySTEP di The Club, Bukit Utama. Tampil anggun dalam persalinan sut serba putih, Muhaini mesra menyapa penulis sambil menerangkan program latihan team Kiddocare yang sedang berlangsung waktu yang sama.
Kiddocare diasaskan dengan tujuan membantu ibu bapa yang bekerja untuk menjaga anak-anak di rumah menggunakan perkhidmatan pengasuh terlatih dan boleh dipercayai.
“Semuanya bermula apabila Nadira mendapat idea untuk mengasaskan Kiddocare. Secara kebetulan idea tercetus apabila beliau terlupa untuk mengambil anak dari taska kerana terlalu sibuk bekerja. Dia hanya menyedari perkara ini apabila guru taska menelefonnya pada lewat petang.
Saya pula seorang ibu tunggal kepada anak lelaki, Mateen Maliq yang baru berusia setahun waktu itu. Jadi saya sangat memahami keadaan ibu bekerja, terutamanya ibu tunggal yang sentiasa memikirkan anak-anak dan sama ada mereka dijaga dengan baik atau sebaliknya.
Iya, memang susah nak mengimbangi kerjaya dan komitmen dalam satu masa.
Ibu-ibu sebenarnya menghadapi cabaran dan tekanan yang besar apabila bekerja. Mereka mempunyai komitmen tambahan terhadap pekerjaan. Tetapi apabila berlaku sesuatu yang besar berkaitan keluarga, hendak atau tidak mereka terpaksa mengambil cuti sehingga menjejaskan tugas.
Jadi berdasarkan hal ini, timbul idea penubuhan Kiddocare untuk membantu ibu bapa mendapatkan pengasuh yang boleh dipercayai untuk anak-anak mereka sewaktu bekerja.
Selain itu, masa bekerja yang fleksibel dan peluang menjana pendapatan di Kiddocare mampu memperkasakan semula wanita daripada komuniti B40 untuk menyara keluarga.
Kami juga memberi peluang pendapatan kepada wanita yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 yang lepas. Ada banyak kisah kejayaan mengenai pengasuh kami dan bagaimana Kiddocare telah mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.” Muhaini
ILMU & LATIHAN
Bercerita isu pengasuh tanpa kelayakan yang banyak menjalankan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak, Muhaini pantas menekankan pentingnya ilmu dan latihan kepada bakal pengasuh Kiddocare.
“Kami selalu memberi latihan kepada mereka melalui kursus-kursus dan mengajar kemahiran asas seperti kursus penjagaan kanak-kanak, kursus CPR & Safety serta sebagainya. Malah dalam kerja asuhan mereka pun kami akan buat pemantauan dan penilaian berterusan.
Bukan itu saja. Kami juga akan sering berbincang tentang apa yang baik dan apa yang boleh diperbaiki.
Dengan ini dapat melengkapkan kemahiran mereka bukan sahaja sebagai pengasuh, malah sebagai seorang insan kerana semua kursus ini dikendalikan oleh pakar industri yang berwibawa dan berpengalaman.” Muhaini
Tonton temu bual Nona bersama Nadira Yusoff dan Muhaini Mahmud tentang aspirasi penubuhan Kiddocare untuk ibu bapa Malaysia ni…
Menyelami sejarah kerjaya Muhaini, wanita jelita asal Kuala Lumpur ini rupanya memiliki kelulusan tinggi dan pernah bertugas di syarikat korporat terkemuka Malaysia. “Saya memiliki ijazah dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Kemudian saya melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam Sains Aktuari di City University di London.
Kerjaya saya bermula dalam sektor korporat dan di sana saya berkhidmat kira-kira 14 tahun. Lebih lima tahun sebagai Perunding Aktuari di The Actuarial Partners dan lebih lapan tahun sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat di The Weststar Group. Saya banyak menimba pengalaman dan itulah yang membantu saya sehingga hari ini untuk menubuhkan Kiddocare.
Pada awal kerjaya saya ketika muda, memang menjadi kebiasaan apabila kita terbiasa mencurahkan segala usaha dan tumpuan kepada kerja supaya boleh mencapai standard hidup yang lebih baik dan maklum jugalah, sektor korporat ini memang penuh dengan cabaran, tekanan dan kerja yang tak habis-habis jadi saya mempunyai jadual kerja yang sangat sibuk dan padat ketika itu.”
****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
****************
KEIBUAN
Menjadikan masa bersama si kecil sebagai momen ‘me time’ dan cara menghilangkan stres, Muhaini kebiasaannya suka melancong atau bersantai di rumah dengan anakanda tersayang.
“Selain itu, saya suka melakukan aktiviti fizikal seperti berlari, berbasikal, ‘personal training’ di gym dan bermain golf apabila kerana saya percaya senaman itu bukan sahaja penting untuk tubuh dan kesihatan kita, malah ia berfungsi sebagai penghilang stres. Bila saya melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, saya rasa seperti bebanan kerja dan hidup saya teralih sementara.”
Muhaini juga bijak mengagihkan tugas di Kiddocare di antara sesama rakan kongsi. Katanya, mereka akan melihat kepada minat, kecenderungan dan kemahiran masing-masing dalam bisnes.
Misalnya, jika ada sesi bersama pelabur, mungkin yang lebih mahir bercakap dan bersosial akan lebih ‘ke depan’ dan jika ada promosi yang perlu dilakukan melalui laman web atau media sosial pula, yang lebih mahir menulis atau mereka bentuk bahan promosi akan melakukan tugas ini.
“Tetapi apa pun tugas kami berdua, kami sentiasa membincangkan pelan tindakan kami dan kami juga akan saling memberi komen dan cadangan kepada satu sama lain. Di antara kami, ada banyak perbincangan, input dan komen yang diberikan dan kami sering menyelesaikannya bersama-sama.” Muhaini
Kini Kiddocare giat melakukan promosi untuk menarik para pelanggan seperti pakej harga murah, pemberian diskaun dan sebagainya.
Mengakhiri pertemuan, Muhaini turut berkongsi impian mereka.
“Kiddocare juga sering bergandingan dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta dan NGO untuk mencari hubungan kerjasama dan sinergi, dan dengan memaksimumkan pengaruh pihak-pihak ini, kami dapat berkembang dan menyebarkan konsep perniagaan kami kepada jaringan audiens yang lebih besar.
Setakat ini, khidmat asuhan kami meliputi bandar-bandar besar di Malaysia tetapi kami menyasarkan supaya khidmat Kiddocare boleh dicapai di mana-mana sahaja di Malaysia. Itulah yang kami ingin usahakan.
Dalam pada itu, kami juga memasang niat untuk berkembang ke negara-negara jiran juga kerana konsep perniagaan kami yang unik ini saya rasa ada potensi untuk dimajukan sebagai suatu konsep yang boleh mengubah dan memodenkan industri jagaan kanak-kanak.
Seperti di Malaysia, saya yakin negara-negara jiran yang lain juga ada potensi yang besar untuk kami ke sana.
Selain meluaskan perniagaan, kami akan sentiasa mencari peluang untuk menambah baik lagi model perniagaan semasa kami supaya tidak ketinggalan dan dapat memenuhi kehendak pelanggan kami yang sedia ada dan juga menarik lebih ramai lagi pelanggan yang baharu.” Muhaini
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Foto: Nor Yanti Shaharudin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kejayaan yang ditempa usahawan muda ini bukan calang-calang. Belum pun mencecah usia 30 tahun tapi semangat Siti Mariam Abdul Samad untuk berjaya dalam perniagaan benar-benar cetus inspirasi. Mana tidaknya, daripada seorang jururawat yang tiada pengalaman dan latar belakang dalam dunia keusahawanan kini merupakan pemilik empayar niaga bernilai jutaan ringgit!
Tatkala ditanya faktor utama yang membuatkan Siti Mariam nekad mahu bergelar usahawan produk rambut berjaya, ini jawapan jujur beliau selaku pengasas Faith Fleur. “Semuanya bermula selepas saya mengalami masalah rambut yang sangat teruk kira-kira lima tahun lepas. Rambut saya gugur dengan banyak dan saya rasa malu berdepan dengan orang ramai selain hilang keyakinan diri.
Saya juga jadi buntu apabila kebanyakan produk yang sudah saya cuba dan guna pun tidak memberi kesan memuaskan. Jadi, saya ambil keputusan untuk mengeluarkan produk penjagaan rambut sendiri,” ujarnya yang tertarik dengan dunia kecantikan rambut sejak zaman remaja lagi.
Yang pasti, jenama produk penjagaan dan kecantikan rambut Faith Fleur yang diusahakan kira-kira tiga tahun lalu merupakan pencapaian paling bermakna bagi isteri Muhamad Abdul Halim Bahadorisam ini. Apatah lagi, dia pernah mengalami kejatuhan dalam bisnes selain menanggung beban hutang yang besar.
“Bayangkan, umur baru 24 tahun tetapi saya terpaksa tanggung hutang keliling pinggang berjumlah lebih daripada RM110 ribu! Selepas berkahwin, saya berdepan masalah kewangan yang serius. Saban hari saya ‘dikejar’ pemungut hutang Ah Long.”
Sebelum bergelar usahawan, Siti Mariam pernah berkhidmat sebagai jururawat di sebuah hospital swasta. Bagaimana pun, beliau memilih untuk meninggalkan kerjaya tersebut kerana mahu memberi tumpuan dalam bidang perniagaan.
Sepanjang tiga tahun mengemudi legasi Faith Fleur di samping suami tercinta, kini Siti Mariam boleh tersenyum bangga apabila hasrat untuk memiliki wisma sendiri akhirnya berjaya direalisasikan. Wisma Ctymary yang terletak di Bandar Saujana Putra, Selangor dijadikan sebagai ibu pejabat Faith Fleur dan sehingga kini Siti Mariam mempunyai seramai 3,000 agen di seluruh Malaysia termasuk Singapura serta Brunei.
Lebih mengujakan, papan iklan berkaitan produknya terpampang luas di segenap lebuh raya utama di seluruh negara. “Alhamdulillah, tahun ini Faith Fleur di bawah Ctymary Resources bakal membuka tiga warehouse di headquarters kami di Bandar Saujana Putra, Bintulu dan Sabah. Selain itu, kami juga baru sahaja menerima empat anugerah daripada mentor Dr Azizan Osman dari Richworks.”
Ujar graduan Diploma Kejururawatan dari Segi College University ini lagi, dia amat bertuah kerana jenama Faith Fleur melonjak naik dan dikenali ramai ketika negara berdepan Covid-19 sejak pertengahan Mac lepas. Malah pasaran Faith Fleur mendapat permintaan luar biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu disebabkan strategi pemasaran yang tepat dan betul.
“Kebanyakan pengguna tertarik dengan Faith Fleur kerana ia bebas kimia berbahaya seperti paraben, sles dan paling utama kerana kami adalah produk keluaran Bumiputra. Sebelum sesuatu produk itu dikeluarkan, saya sendiri dengan rela menjadi ‘tikus makmal’ untuk uji keberkesanan setiap produk Faith Fleur. Daripada feedback yang diterima daripada pengguna, rata-rata mereka menggemari hair serum kerana baunya yang wangi dan tidak melekit. Sebab itu jugalah ia menjadi bestseller Faith Fleur.”
Siti Mariam tanpa berselindung mengakui menjadikan usahawan dan selebriti terkemuka tanah air seperti Noor Neelofa Mohd Noor sebagai pendorong untuk berjaya. Katanya, kesungguhan Neelofa mengurus perniagaan dan kerjaya seni benar-benar mencuri perhatian. Selain Neelofa dia turut menjadikan Dr Azizan Osman sebagai sumber inspirasi.
Kesungguhan pakar motivasi tersebut membimbing dan memberi kata-kata semangat kepadanya sejak awal berniaga dahulu amat bermakna buat Siti Mariam kerana berjaya membentuk dirinya menjadi individu matang, berani dan berpandangan jauh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berita kehilangan bekas personaliti dan pembaca berita TV3, Zalina Azman yang masih tidak diketahui di mana lokasinya benar-benar menggemparkan negara. Agaknya di mana bekas pembaca berita era 90-an itu berada? Menurut laporan telah dilaporkan hilang sejak November 2021.
Suatu ketika dahulu, Zalina Azman antara personaliti TV3 yang berkarisma. Tutur kata, persona dan auranya sepanjang tampil di hadapan lensa kamera menjadi inspirasi buat golongan wanita yang ingin menjadi sepertinya. Seangkatan dengan Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Zakiah Anas, kehilangannya kini terus menjadi tanda tanya.
Selain reputasinya, sudah pastinya ramai yang ingin tahu lebih lanjut siapakah sebenarnya Zalina Azman ini? NONA kumpulkan 10 fakta tentang Zalina Azman yang tdak semua tahu.
1. Nama asalnya ia Zalina Shaara Azman dan berusia 58 tahun pada tahun ini. Mungkin ramai yang tidak tahu, Zalina merupakan warganegara Indonesia.
2. Zalina memiliki Sarjana Kewartawanan, Zalina mula bekerja di stesen televisyen TV3 sejak tahun 1990.
3. Pasti ramai yang merindui suara dan kepetahan bekas personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman, 58 menyampaikan berita berbahasa Melayu dan Inggeris
4. Kewibawaan Zalina Shaharah Azman ketika menyampaikan berita dan mengacarakan program Money Matters sememangnya tidak dapat disangkal.
5. Zalina pernah diberi jolokan ‘hos wanita paling glamour’ dan pernah menemuramah personaliti antarabangsa seperti bekas Perdana Menteri Afrika Selatan, Nelson Mandela
6. Beliau turut berpeluang menemuramah bintang popular Hollywood, iaitu selebriti Beyonce Knowles dan Britney Spears.
7. Selepas bersara, Zalina menulis beberapa buah buku. Antara karyanya ialah Mystical Mangla dan V for Vintage.
8. Zalina pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki Bernama Mikhael Norman, 33 namun sehingga kini identity suaminya masih tidak diketahui.
9. Pernah menggalas amanan untuk mengacarakan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-15 dan 16 pada tahun 2000 dan 2001, digandingkan bersama Aidil Abdul Ghafar
10. Selepas perkhidmatan bersama TV3 ditamatkan, Zalina dikatakan memilih untuk menyepikan diri dan menjalani kehidupan lebih privasi.
NONA mendoakan agar Zalina Azman dapat ditemui selamat dan pulang semula ke pangkuan keluarganya.
Sumber: Sinar Plus & Gempak
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.