Laluan trafik ke utara sesak. Musim raya, masing-masing dah tak sabar pulang ke kampung halaman, mengubat rindu, mengimbau kenangan. Paling seronok bila tiba di kediaman banglo putih milik Nur Nabila Zulyadaini atau Muabellaz di Alor Setar, nyamannya dikelilingi sawah bendang yang luas terbentang!
Ibu kepada empat cahaya mata iaitu Iris Alisya, Aidil Mikhail, Ean Yusof dan Nur Aisywara Nealofa mesra menyambut kedatangan kami. Kali ini, Bella tak keberatan memenuhi hajat kami yang teringin memotretkan wajahnya dengan si comel sebagai penghias sampul digital Nona Mei 2023.
Terkenal dengan mata kelabu dan raut wajahnya yang comel, kecomelan Lofa yang baru menginjak usia 9 bulan jadi perhatian. Berkulit putih bersih dengan rambut ikal kecoklatan, anak bongsu Bella rupanya membesar dengan sihat kerana menyusu badan. Geram sungguh tengok telatah Lofa!
Tidak sukar membayangkan mengapa Pengasas Bellaz Beauty yang juga pempengaruh media sosial ini enggan berpindah ke bandar raya. Kampung ini ada jiwa di dalamnya, jauh daripada hiruk-pikuk kota, bunyi ekzos letup-letup, drama dunia… Bella lebih puas membesarkan anak-anak di sini.
“Saya seronok duduk kampung. Pahit manis, pengalaman hidup saya di sini. Bila dekat dengan famili saya rasa lebih selesa. Malah anak-anak pun saya ‘lepaskan’ mereka bermain, pergilah main selut, sauk ikan, lari-lari atas batas… biar mereka nikmati alam kanak-kanak macam saya ‘berlemuih’ dulu.” Bella
AIDILFITRI
Persiapan raya Bella, meriah tak? Tanya penulis sambil meninjau ke seluruh ruang bilik mekapnya.
Ads
“Jujurnya biasa-biasa saja, pakai apa yang ada. Beli tapi tak berlebihan.”
Tambah Bella, dia hanya membeli dua pasang baju raya saja untuk dipakai Syawal pertama dan kedua. Tapi yang penting menu juadah raya memang meriah, antara masakannya Nasi Minyak, Daging Masak Hitam dan Ayam Masak Merah. Kuih raya Cornflakes Madu buatan tangannya pun ada!
Ads
Berlatarkan Gunung Keriang, angin sepoi-sepoi dan lambaian dedaun nyiur, cerita hidup Bella seterusnya menjadi topik bicara kami.
“Saya ni tengok jer macam ni (gelak-gelak) tapi sebenarnya saya garang. Garang dan tegas yang bertempat. Sebelum anak nak keluar main, pastikan dulu kerja rumah dah siap kalau tak mahu dicubit.
Anak-anak boleh dapat apa yang mereka nak, tapi tidaklah selalu kerana saya ajar mereka erti kesusahan untuk mendapatkan sesuatu. Saya tak ajar mereka bermewah-mewah malah selalu kongsi kesusahan hidup saya dulu.
Dulu saya selalu ponteng sekolah. Kesusahan hidup masa tu sampai ke tahap terpaksa menjaga adik-adik seramai tiga orang bila Mak bersalin. Sayalah yang jaga adik, memasak. Saya tak mampu. Cikgu sampai faham, mereka pernah datang tengok situasi saya di rumah bila saya selalu tak ke sekolah.
Cikgu-cikgu berpakat nak tolong saya, sara biaya persekolahan saya. Memang sedih kalau diingatkan, banyak sangat pahit manisnya. Mereka bagi saya belanja duit makan dan tambang bas sekolah. Hari-hari mesti pergi pejabat guru dan ambil duit. Sehari RM3 sampai saya Tingkatan 5. Dan paling saya ingat Ustaz Muslan, dialah cikgu yang paling banyak ambil berat.” Bella
Ads
Perkara yang membuat Bella menangis?
“Adalah momen-momen yang saya teringat. Orang yang suka gelak-gelak ni banyak memendam. Sebab tu saya suka alam, supaya saya ingat siapa diri saya. Kadang-kadang bila saya tidur dalam aircond sejuk, teringat nikmat-nikmat yang Allah bagi, dulu susah tapi sekarang alhamdulillah.
Saya tanya diri saya, nikmat apa lagi saya nak? Semua dapat. Sampai menitik air mata sendiri. Ingat lagi pernah dihina, dikecam. Paling saya ingat sampai mati, kata-kata orang yang saya mekap macam n***s. Itu paling menusuk hati. Orang fitnah macam-macam, cancel booking makeup disebabkan fitnah tu. Mekap macam n****s, mekap tak cantik.
Masa tu saya bajet bila pelanggan bayar nanti, dapatlah saya pergi makan di Secret Recipe. Teringin nak merasa tapi tiba-tiba semua cancel. Allahu, sedih kalau diingatkan semula.” Bella
Muabellaz dan Nur Aisywara Nealofa sebagai penghias sampul digital Nona Mei 2023
Merancang supaya legasi bisnesnya dapat diwariskan kepada anak-anak, Bella sejak awal lagi sudah merancang strategi kewangannya sebaik mungkin. Untuk perniagaan, dia mahu sentiasa diingati sebagai usahawan berjaya.
“Kita menangis kena menangis. Menangislah sepuas-puasnya tapi jangan lama-lama. Hidup hanya sekali, jadikan ia sebaik mungkin untuk diri kita dan orang sekeliling.” Bella
Masih ingatkah lagi dengan jenama butik terkenal Hajaba, Women of Jannah, Umrah Hajj serta Leesa Formula dan Serenity Spa? Suatu ketika dulu, jenama-jenama ini pernah mencetuskan fenomenanya yang tersendiri. Mona Din menjadi satu nama besar dalam industri fesyen Muslimah sekaligus menjadi pelopor di Malaysia.
Namun seiring dengan perubahan trend khususnya dalam aliran fesyen Muslimah, Mona Din mula memperlahankan segala aktiviti perniagaannya. Dalam erti kata lain ‘bersara awal’ untuk memberi perhatian terhadap keluarga dan ibadah.
Ikon usahawan berjaya, Mona Din.
Mona Din tidak pernah menganggap keputusannya itu adalah detik kejatuhan kerana ia turut dipersetujui oleh suami, Zulkefli Mohd Ali. Ia juga bagi memberi ruang buat mereka untuk membimbing anak-anak mengambil alih perniagaan yang bakal ditinggalkan kelak.
“Target saya apabila usia mencecah 50 tahun saya mahu bersara dan ingin menebus semula apa yang tak sempat dilakukan dahulu disebabkan terlalu sibuk menguruskan perniagaan contohnya pergi bercuti bersama keluarga dan memberi perhatian terhadap anak-anak.
Saya juga gemar meluangkan masa dengan menulis di Facebook. Ia umpama diari peribadi saya untuk berkongsi nasihat, tip dan kaunseling buat para pengikut khususnya hal-hal berkaitan keluarga dan anak. Saya gembira kerana dapat menyumbangkan sesuatu dengan cara tersendiri.
Jauh di sudut hati untuk merasa riak kerana apa yang dikongsi itu memberi mesej baik dan positif. Saya bersyukur kerana diberikan nikmat rezeki yang tak terhingga selama ini sehingga apa yang dilakukan semuanya menjadi.
Mona Din bersama suami, Zulkefli Mohd Ali, yang sentiasa menjadi sumber kekuatannya saat susah mahupun senang.
Percaturan saya dan suami untuk keluar dari zon selesa dengan meninggalkan jawatan tinggi di syarikat terdahulu demi mencabar diri dalam bidang perniagaan ternyata berbaloi. Saya yakin Allah SWT sudah menetapkan rezeki buat saya. Sehingga ke satu tahap, saya juga tak boleh menjadi tamak.
Kini tiba masanya untuk saya melepaskan apa yang perlu dilepaskan kerana mahu memberi peluang kepada orang lain khususnya anak-anak muda yang kian rancak bersaing dalam perniagaan. Justeru, saya mengambil keputusan untuk menutup butik Hajaba dan Umrah Hajj.”
Mona turut berkongsi rasa bangganya terhadap perkembangan dunia perniagaan yang kini banyak dimonopoli oleh generasi muda. Bagi Mona inilah masanya untuk mereka mencuba dan tidak melepaskan segala peluang yang ada kerana masa muda hanya datang sekali.
“Disebabkan kami adalah kelompok terawal mengasaskan jenama Muslimah, nikmat kejayaan itu telah pun dikecapi. Begitu juga dengan susah senang mengharungi cabaran dalam berniaga sebelum munculnya sosial media. Maka, kami tak perlu lagi bersaing dengan jenama-jenama yang ada sekarang.”
MENJADI DIRI YANG BARU
“Saya banyak habiskan masa di rumah bersama suami dan anak-anak. Segala tugas rumahtangga saya uruskan sendiri. Jadual saya kini penuh dengan aktiviti keluarga. Sesibuk mana pun kami cuba untuk meluangkan masa bersama anak-anak khususnya pada waktu malam dan hujung minggu. Perniagaan kini sekadar aktiviti sampingan dan tidak akan pernah terhenti.
Dulu saya sering memandang ringan terhadap solat lima waktu. Alhamdulillah kini saya menjadi seorang yang lebih baik berbanding sebelumnya. Saya menjadi Mona Din yang baru. Mudah lembut hati dan emosi juga lebih tenang.
Kalau dulu mudah nak marah dan mahu semuanya sempurna. Ia bertitik tolak daripada solat tahajjud yang saya amalkan. Masa untuk muhasabah dan memperbaiki diri. Saya disiplinkan diri dan turut berkongsi di Facebook bagaimana rutin saya bangun awal pagi setiap hari untuk bertahajjud.
Bukan niat untuk riak tetapi memberi inspirasi buat rakan-rakan pengikut saya untuk turut bersemangat untuk bertahajjud. Sama ada berada di Malaysia mahupun luar negara, saya tetap konsisten melakukan rutin amalan tahajjud ini. Alhamdulillah Allah SWT mudahkan segala urusan saya, apa yang dipinta Dia akan makbulkan.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ogos lalu, isteri kepada pelawak terkenal Achey Bocey mendedahkan kepada umum pengalaman pertamanya menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) pada 6 Ogos 2022 di sebuah pusat perubatan sekitar Johor. Lebih bermakna lagi, perkongsian itu juga sebagai ‘hadiah terindah’ buat Achey sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-36.
Nur Hassanah Yahya atau panggilan mesranya Anne, teruja berkongsi ‘perjalanan’ pertamanya itu dalam usaha mendapatkan zuriat setelah 11 tahun usia perkahwinan.
Untuk info, Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah mendirikan rumah tangga dengan Anne pada 2011. Mereka memiliki seorang anak angkat perempuan, Nur Tiara Zinnirah yang kini berusia empat tahun.
Memetik kata-kata indah Anne di Instagramnya:-
“Happy birthday sayang, tahun ini hadiah terindah saya bagi dekat awak. Semoga Allah permudahkan urusan kita dunia akhirat. Terima kasih menjaga saya dari dulu hingga sekarang. 11 tahun penantian kita, InsyaAllah kita usaha, Allah yang tentukan.”
Terbaharu, Achey berkongsi perkembangan ‘perjalanan’ rawatan IVF isterinya itu di Instagram.
Menerusi perkongsian video ringkas itu, Achey berkata kini isterinya sedang melalui fasa penting dalam rawatan IVF iaitu memasukkan embrio matang ke dalam sistem peranakan.
“Bismillah bermula dari Ogos dan kini, proses penting telah tiba…memasukkan embrio matang ke tubuh ibunya.
“Mudah-mudahan berjaya, doakan proses ini berjalan dengan lancar.
“Tak mudah proses ini, positif kita jalani, positif la kita dapat.
“Usaha sebaik yang boleh, Allah juga yang menentukan berjaya atau tidak, doakan kami terus kuat.”
Achey turut meminta para peminat dan pengikutnya mendoakan agar isterinya diberi kekuatan memandangkan kini bermulanya fasa penting dalam rawatan IVF.
Menjengah ke ruangan komen, rakan-rakan artis seperti Datuk Fizz Fairuz, Datin Suliza Salam, Izzue Islam dan Ezzaty Abdullah turut menitipkan doa buat pasangan ini agar proses tersebut berjalan lancar serta dipermudahkan.
Kredit Foto: Instagram Achey & Anne
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak kesayangan kepada selebriti Erra Fazira baharu sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke10. Sudah pasti kehadiran Erra sebagai ibu kepada Engku Aleesya begitu sibuk di majlis tersebut dan turut hadir Laudya Cynthia Bella memeriahkan majlis. Aleesya yang semakin cantik ini kelihatan gembira di majlis hari jadinya lebih-lebih lagi kehadiran ‘dua orang ibu’ sekali gus.
Kemesraan di antara wanita yang mesra di sapa Bella ini dengan anak kepada suaminya Engku Emran Engku Zainal Abidin sudah diketahui umum. Ramai wanita yang berbangga apabila Bella menerima kehadiran Aleesya dengan hati yang terbuka. Lebih mengagumkan apabila Bella mampu berkawan baik dengan bekas isteri suaminya itu.
Umum pasti tertanya-tanya sejauh mana keserasian hubungan Bella dengan mantan isteri Engku Emran, Erra Fazira. Bella berkata, ternyata dia amat mengagumi ibu kepada Engku Aleesya dan menghormati Erra sebagai ibu kepada Engku Aleesya.
“Saya kagum melihat hubungan baik Abang dan kak Erra yang amat baik. Jadi, sangat mudah untuk saya rapat dengan mama Aleesya. Saya tidak ingin menjadi figura ibu tiri untuk Aleesya kerana dia sudah pun mempunyai seorang ibu yang terbaik untuk dirinya.
Jadi, saya lebih selesa meletakkan diri sebagai sahabat buat anak manja ini. Kami sering keep in touch mengenai apa sahaja. Malah, kami sering berzumba bersama! Saya bersyukur kehadiran saya sebagai sahabat Aleesya dan saudara buat Kak Erra.
Menjadi isteri dan ibu ‘segera’ kepada cahaya mata tunggal Engku Emran hasil perkahwinan terdahulu, Engku Aleesya, Bella ternyata bijak membawa dirinya bukan sahaja sebagai isteri, malah ‘bersahabat baik’ dengan Engku Aleesya.
Memasak antara tugas utama wanita sebaik sahaja mendirikan rumah tangga. Sebagai wanita, Bella juga tidak terkecuali menyediakan hidangan untuk suami tersayang setiap kali berada di Kuala Lumpur. Ujar Bella, dia banyak mempelajari menu kegemaran suami tersayang melalui ibu mentua dan youtube.
“Sejak berumah tangga, saya belajar memasak untuk abang. Abang tidak cerewet dan dia merupakan suami yang tidak banyak kerenah. Itu yang menggembirakan saya. “Saya belajar memasak untuk abang dan selalu membuat kopi kegemarannya dan menyiapkan hidangan seperti buah untuknya,” ungkap Bella yang gemar menu seperti nasi lemak dan minuman kopi.
Bella amat menyokong minat suami tersayang dalam bidang sukan seperti berbasikal dan pasangan ini menjadikan aktiviti berjogging sebagai rutin harian mereka walaupun tatkala bercuti. “Abang memang seorang sportsman yang ekstrem. Bayangkan, abang boleh berbasikal dari selepas subuh hingga jam 11 pagi dan menjelajah puluhan kilometer. Kedengaran agak ekstrem tetapi minatnya itu baik untuk kesihatan,” katanya.
“Aktiviti masa lapang kami banyak dihabiskan dengan aktiviti olahraga dan kuliner di rumah. Ada ketikanya, abang akan masuk ke dapur menemani Bella memasak,” tutur Bella.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!