Berkat doa yang dipanjatkan tanpa henti, akhirnya usahawan dan pelakon, Yatt Hamzah dapat bertemu semula dengan suami tercinta, Zulfadhli Khiruddin.
Suaminya diculik tentera rejim zionis ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini bersama 22 lagi aktivis dari Malaysia.
Yatt yang kini berusia 45 tahun dan ibu kepada lima anak ini berkongsi bahawa selama 43 hari dia dan anak-anak tidak dapat berhubung atau bertemu dengan suami tercinta.
Ads
Namun, doa yang tidak putus akhirnya dimakbulkan apabila mereka kembali bersatu semula.
Syukur dan Gembira Atas Kepulangan Suami
Dalam hantarannya di Instagram, Yatt Hamzah meluahkan rasa syukur dan gembira dengan kepulangan suami yang sangat dirindui selepas misi Global Sumud Flotilla.
Dalam perkongsiannya, Yatt menulis dengan penuh keinsafan dan kasih:
“Dan harini pula isterinya demam, batuk, selsema, PMS dan macam-macam lagi sakit menyerang. Tetaplah juga gagahkan diri untuk sambut suami pulang. Alhamdulillah. Selamat pulang suami.”
“Lepas ni turn isteri pula pergi misi flotilla okay. Suami duduk rumah pula jaga anak-anak 24 jam,” tulisnya berseloroh.
Rasa Rindu dan Ujian Sepanjang Kehilangan
Beberapa minggu lalu, Yatt Hamzah berkongsi bahawa dia telah terputus komunikasi dengan suaminya selepas pasukan Global Sumud Flotilla dipintas dan ditahan oleh tentera rejim zionis.
Sepanjang tempoh itu, Yatt dan anak-anak melalui hari-hari penuh debaran dan doa tanpa henti.
Lebih menyentuh hati, anak-anak sering bertanya tentang bapa mereka, menjadikan situasi itu lebih memilukan bagi Yatt sebagai seorang isteri dan ibu.
Walaupun ujian yang dihadapi amat berat, Yatt Hamzah tetap bersemangat dan menyatakan keinginannya untuk turut serta dalam misi bantuan kemanusiaan akan datang.
Beliau percaya bahawa perjuangan kemanusiaan tidak harus berhenti dan akan terus menyokong usaha Global Sumud Flotilla pada masa depan.
Semoga Yatt Hamzah dan keluarga kekal bahagia, tabah menghadapi ujian, serta terus menjadi inspirasi kepada ramai dalam memperjuangkan kemanusiaan dan kasih sayang sesama insan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ini yang dikatakan rezeki baju Melayu. Rezeki datang tanpa di sangka dan tak mengenal tempat. Apa yang penting usaha yang berterusan tanpa kenal istilah jemu.
Pasangan adik-beradik Zarif Azrie Zahari dan Zarul Shafiz Zahari ini mengusahakan perniagaan baju Melayu semata-mata sukar mendapat saiz dan kini sudah berjaya bergelar usahawan baju Melayu.
Bercerita tentang di awal pembabitan pasangan adik-beradik ini menceburi perniagaan baju Melayu ini, “Kami mula menceburi bidang perniagaan ini sebab masing-masing susah nak cari saiz baju sesuai yang ‘ngam’ dengan badan. Kalau nak beli di pasaran, mesti menggelebeh.
Lalu mulalah inisiatif menempah sendiri baju ikut saiz sendiri. Bila pakai ‘ngam’, tak sangka kawan pun nak ikut tempah juga. Nampak ada permintaan di situ, jadi kami tak menoleh ke belakang lagi,” kata Zarif selaku abang sulung memikul mandat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) jenama Mjestic.
Mengusahakannya perniagaan baju Melayu potongan ‘slim fit’ sejak hujung tahun 2017 dan bermula dari rumah ketika menghuni di apartmen hingga kini memiliki butik fizikal di Setia Alam, Shah Alam.
Tak sangka! Percubaan suka-suka kerana susah mencari baju Melayu untuk kegunaan sendiri, akhirnya membuka pintu rezeki Zarif dan Zarul. Rezeki baju Melayu sungguh!
Tambah Zarif lagi, “Saya dan adik hanya memiliki latar belakang dalam bidang perniagaan semata-mata. Cuma masa zaman belajar dulu, kami suka menjual baju kasual lelaki. Minat berniaga itu ada,” katanya.
Zarul yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) pula optimis dengan rekaan jenama mereka yang mempunyai tarikan tersendiri.
“Baju Melayu kami juga lebih moden kotemporari dengan kolar jenis ‘double’ nampak lebih ampuh dan tak mudah kemek. Paling utama, harga dijual serendah RM169 hingga RM189 dengan pemberian tambahan enam aksesori percuma.
“Ia termasuk butang baju, pelitup muka, sampul duit raya, kotak baju, brooch bunga poket dan paper beg edisi terhad untuk melindungi pakaian.
Insya-Allah lepas raya kami akan keluarkan baju nikah moden dan tradisional selain abaya bagi memenuhi permintaan pelanggan lelaki dan wanita,” kata Zarul yang mempunyai lima orang adik-beradik.
Ramadan tahun ini pastinya berbeza buat pempengaruh media sosial, Farah Lee. Jika tujuh tahun lepas dia meraikan bulan penuh keberkatan ini sebagai ibu tunggal di samping anak perempuan tersayang kini fasa kehidupan graduan Sarjana Pendidikan Kanak-Kanak dari University of Leads, United Kingdom berkenaan lebih indah dengan adanya figura seorang suami di sisi.
Kembali bergelar isteri pada tanggal 5 Januari lepas, Farah atau nama sebenarnya Nurfarahin Romli sah menjadi suri hati kepada Mohamad Fuad Hashim.
Berita pernikahan mereka menjadi bualan hangat di media sosial selain ramai yang mendoakan kesejahteraan rumah tangga pasangan ini.
Lebih dua bulan melayari alam rumah tangga, wanita kelahiran Terengganu ini menzahirkan rasa teruja menyambut Ramadan bersama suami tercinta.
Lebih bermakna, ketibaan 1 Ramadan pada 12 Mac lalu jatuh pada hari kelahiran Farah yang ke-35.
“First Ramadan sebagai isteri lagi dan hari ni umur saya 35 tahun untuk kali pertama. Fuad tanya nak hadiah apa, saya cakap “awak adalah hadiah terbaik untuk saya” lah romantik rupanya FL (Farah Lee).
Ramadan Mubarak semua. Moga Ramadan ini digunakan sebaiknya untuk berbuat segala yang wajib, sunat dan kebaikan untuk mendapat rahmat Allah. Amin.
Terima kasih juga kerana sudi hadir dalam setiap lorong hidup saya sepanjang 34 tahun yang lepas. Moga setiap perkenalan dan pertemuan kita, akan berterusan hingga ke syurga. Amin.”
Berkongsi titipan ucapan manis itu, Farah turut memuat naik foto dirinya di samping suami dan anakanda tersayang, Maream Esabel di perkarangan masjid.
Menerusi gambar tersebut kelihatan Farah anggun berjubah hitam sedondon dengan Maream, manakala Fuad pula segak berbaju Melayu.
Terdahulu, Farah pernah berkahwin dengan pengacara popular iaitu Ally Iskandar pada 20 Januari 2012 namun dikhabarkan berpisah pada 17 Ogos 2016.
Ketabahan Farah menempuh hidup sebagai ibu tunggal ketika itu menjadi inspirasi ramai golongan wanita.
Selain menjana pendapatan dengan berbisnes, Farah juga berjaya menunjukkan contoh terbaik buat wanita dengan menamatkan pengajian di universiti luar negara ke peringkat Sarjana.
Melangkah masuk ke galeri seni milik YM Sharifah Bahiyah Jamalullail yang terletak di Desa Sri Hartamas, mata terpaku dengan hasil kerja tangannya yang penuh berseni. Elemen alam semulajadi menjadi elemen utama yang diketengahkan di dalam koleksinya. Tema flora seperti bunga mawar menjadikan ianya nampak begitu hidup dan menyerikan segenap ruang.
Berpeluang melihat dan menghayati hasil karya artis berdarah keturunan diraja ini antara pengalaman menarik buat diri penulis yang sememangnya kurang kemahiran dalam menilai sesuatu hasil seni. Ini kerana, setiap lukisan yang digantung pada dinding ruang pameran milik Sharifah bahiyah yang terletak di Desa sri hartamas ini seakan-akan ‘hidup’ dan penuh penceritaan.
Terhasil daripada terjemahan rasa dan ekspresi artis di atas kanvas, lukisan abstrak ekspresionis yang ditampilkan bukan saja menampilkan nilai estetika tersendiri malah turut mengajak anda untuk berfikir lebih jauh. Malah tidak salah jika dikatakan, koleksi lukisan yang ditampilkan oleh YM Sharifah Bahiyah memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan karya bermula daripada karya awal ketika pembabitannya.
Terkenal dengan lukisan bermotif flora, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan unsur bunga-bungaan yang berwarna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni. Sambil berkongsi beberapa lukisan yang pernah dihasilkan, YM Sharifah Bahiyah sememangnya menggemari keindahan flora sebagai elemen utama lukisannya selain kini berjinak menghasilkan lukisan dalam bentuk abstrak selaras dengan perkembangan hasil seninya.
Menurut wanita berketurunan diraja Perlis dan Negeri Sembilan ini, motif flora sering menjadi pilihan di awal pembabitannya dalam dunia lukisan kerana gemarkan keindahan bunga yang membawa maksud kecantikan dan keceriaan.
“Sememangnya motif bunga amat sinonim dalam kehidupan sehari-hari. Bayangkan bagaimana gembiranya seseorang sekiranya menerima jambangan bunga sebagai hadiah daripada yang tersayang. Ia sekaligus dapat menceriakan seseorang terutamanya untuk hari-hari istimewa seorang wanita. Jadi, saya mengabadikan signifikasi bunga dan wanita dalam lukisan yang dihasilkan kerana bunga melambangkan kebahagiaan untuk setiap wanita,” jelas Sharifah Bahiyah yang anggun dengan solekan oleh Vee Muhammad dan persalinan menawan dari Syomirizwa Gupta.
BERMULA DARI HOBI
Sambil membelek beberapa koleksi yang dipamerkan di ruang pameran, penulis sempat diberi kesempatan untuk melihat sendiri ruang kerja di mana Sharifah Bahiyah menghabiskan masa menghasilkan karya seninya. Aroma cat akrilik, pelbagai jenis berus dan kanvas menjadi teman setia Sharifah Bahiyah menterjemahkan sesuatu melalui lukisan cat yang dihasilkannya.
Selain memilih motif bunga-bungaan, kini Sharifah Bahiyah turut menampilkan unsur abstrak dan sebagainya sebagai elemen utama hasil seninya. Tidak hairanlah mengapa hasil seninya amat halus memandangkan dirinya mengabadikan sepenuh minat dalam seni lukisan sejak kecil lagi.
Ketika ditanya mengenai bagaimana minat dalam dunia lukisan mula bercambah di dalam dirinya, wanita anggun ini berkata sejak zaman kanak-kanak lagi dia sudah didedahkan dengan minat melukis dan mewarna oleh bonda tersayang, Almarhum YAM Tunku Mudziah bte Tuanku Munawir.
“Sejak kecil saya mempunyai hobi melukis dan mewarna. Ketika itu, di tangan pasti akan ada scatch book untuk membolehkan saya melukis apa juga yang dilihat seperti melukis pokok, bunga dan apa sahaja yang menarik untuk dilukis. Hanya kira-kira sepuluh tahun kebelakangan ini saya mula mengambil serius mengenai seni lukisan ini dengan mengambil peluang mendaftarkan diri di kelas-kelas lukisan.
Selain itu, mungkin dek kerana minat terhadap bidang ini terlalu mendalam, saya banyak belajar sendiri melalui latihan dan pembacaan mengenai hasil karya pelukis-pelukis ternama yang boleh dijadikan sumber inspirasi,” ujar Sharifah Bahiyah yang menghargai karya agung Monet dan Van Gogh.
Ditanya mengenai pandangannya mengenai industri seni terutamanya lukisan di Malaysia, beliau berpendapat Malaysia telah berjaya melahirkan ramai pelukis yang mempunyai bakat yang besar dan boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Namun jika diberi ruang yang lebih untuk masyarakat Malaysia lebih menghargai keindahan seni, sudah tentu hasil kerja artis tempatan mampu setanding dengan karya antarabangsa.
“Hasil seni sebenarnya adalah salah satu bentuk pelaburan untuk sampai ke pemikiran dan hati seseorang manusia. Bayangkan jika sebuah kediaman tanpa sebarang lukisan, sudah tentu ia akan terasa kosong dan tidak bermaya. Hasil seni ini memberikan anda satu dimensi baru dan suasana yang lebih nyaman. Jadi, saya melihat konteks ini sebagai salah satu kombinasi kehidupan yang memberikan sumber ketenangan buat seseorang,” ujar Sharifah Bahiyah lagi.
Hampir 10 tahun berada dalam industri, karya terbarunya banyak memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan dan nyata berbeza daripada karya ketika awal pembabitan.Secara peribadi, karya yang dihasilkan olehnya kini adalah penanda aras bagi perjalanan kerjaya seni sejak 10 tahun yang lalu sehingga kini. Sisi kematangan bukan saja menjelaskan pengalaman dan perjalanan karya seni tapi turut diterjemahkan dari sudut penghasilan karya itu sendiri.
Terkenal dengan lukisan campuran media cat minyak di atas kanvas, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan warna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni.
Menyentuh pula mengenai kedatangan Ramadan yang sememangnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam, anakanda kepada YAM Tengku Syarif Bendahara Perlis Syed Badarudin Jamalullail ini tidak terkecuali dari merasai keseronokan menyambut kedatangan Ramadan kerana ia merupakan antara momen indah yang dikenang sepanjang hayat.
Menurutnya, setiap kali kedatangan Ramadan, dia dan keluarga akan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk sama-sama menyertai umat Islam mengerjakan solat sunat terawih di masjid ataupun di kediaman saudara-mara terdekat untuk mengeratkan ukhwah persaudaraan.
“Namun begitu, malam ke 20 Ramadan lebih istimewa kerana seluruh keluarga akan berkumpul di Istana Besar Seri Menanti dan menunaikan solat sunat terawih bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan kerabat diraja yang lain,” ujar YM Sharifah Bahiyah yang juga merupakan anakanda saudara kepada Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Selain menunaikan solat sunat terawih, Ramadhan merupakan bulan yang istimewa untuk melihat refleksi diri dan muhasabah diri serta bersyukur dengan nikmat kehidupan yang diperolehi. Selain itu, Sharifah Bahiyah juga menjadikan bulan istimewa ini untuk lebih bertenang dan sumber ketenangan tersebut membolehkan dirinya menghasilkan hasil seni yang lebih dekat di hatinya.
Selain menantikan kedatangan Ramadan, bulan Syawal juga menjadi momen yang ditunggu olehnya memandangkan ia membolehkan kebanyakan kaum kerabat berkumpul. Kesibukan dengan tugas seharian pastinya membataskan waktu untuk bertanya khabar.
“Sememangnya sambutan Hari Raya merupakan saat paling dinantikan kerana ia merupakan momen untuk berkumpul bersama keluarga. Kebiasaannya, saya akan mengambil giliran menyambut Hari Raya sama ada di Perlis dan Negeri Sembilan. Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid, seluruh kaum kerabat akan berkunjung ke Makam Diraja sebelum meneruskan tradisi memenuhi jemputan rumah terbuka di istana.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat menitipkan pesanan supaya masyarakat Malaysia lebih berhati-hati dalam memilih juadah untuk berbuka puasa agar pembaziran tidak berlaku. Tambahnya lagi, Ramadan sewajarnya menjadi bulan untuk setiap insan bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan soal pembaziran dari segi makanan tidak seharusnya berlaku.
“Ramadan adalah saat yang istimewa kerana nikmat dan syukur seharusnya melebihi dari segalanya. Usah terlebih berbelanja, ingat kepada umat islam lain yang berpuasa dalam keadaan serba kekurangan. Semoga Ramadan dan Syawal ini lebih diberkati untuk setiap umat Islam,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!