“Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.”
Tersentuh membaca luahan hati seorang ibu, merindui seorang anak yang sudah tiada. Di sebalik senyuman dan raut wajah tenang penyanyi era 80an yang tersohor dengan lagu Rumah Kecil Tiang Seribu, Azian Mazwan Sapuwan tersimpan perasaan rindu yang tak tertanggung terhadap arwah anaknya, Mohammad Aqil Zulkarnain. Arwah maut kemalangan jalan raya sekitar Disember tahun lalu. Semestinya, rasa kehilangan itu adalah yang paling ‘sakit’ kerana kasih sayang seorang ibu tiada penghujungnya.
Azian bersama arwah Mohammad Aqil Zulkarnain.
Arwah Mohammad Aqil anak keempat daripada tujuh beradik. Biarpun Allah SWT meminjamkan Mohammad Aqil selama 20 tahun sahaja namun setiap kenangan bersama arwah tersemat kemas di sanubari Azian lebih-lebih lagi detik mengandungkan, melahirkan dan membesarkannya. Azian sekeluarga redha dengan takdir Ilahi dan yakin dengan hikmahnya. Kini genap 5 bulan pemergian arwah.
Jelas terlihat kuatnya semangat seorang ibu menghadapi kehidupan selepas ketiadaan arwah. Setiap anak memiliki sikap serta keistimewaan yang berbeza. Salah satu sikap arwah ialah ringan tulang dan suka membantu orang yang dalam kesusahan. Itulah yang dirindui oleh Azian.
Arwah Mohammad Aqil menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang selepas mengalami kemalangan motorsikal pada 22 November 2019. Ekoran kemalangan itu, Mohammad Aqil mengalami kecederaan dalaman yang serius sehingga terpaksa dibius untuk direhatkan bagi memulihkan hati serta limpanya.
Namun, setelah hampir sebulan dirawat serta berada dalam keadaan koma akhirnya Mohammad Aqil menemui ajal kira-kira pukul 11.30 pagi. Arwah turut meninggalkan seorang balu dan anak. Ketika meninggal dunia, arwah baru sahaja bergelar seorang bapa dan anaknya, Aryan Zahfran ketika itu baru berusia 11 hari.
Azian turut berkongsi di laman Instagramnya “Anakanda saya, Mohammad Aqil Zulkarnain telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 11.30 pagi ini. Semoga roh Allahyarham anakanda ditempatkan dalam kalangan yang beriman. Ya Allah..kuatkan aku..” Ternyata, ibu yang berusia 45 tahun ini sangat tabah.
KONGSI DETIK TERAKHIR
“Pada siang hari kejadian, arwah ada datang makan tengah hari bersama kami sekeluarga. Arwah ada tegur saya, lama tak makan ayam memandangkan isterinya ketika itu masih dalam pantang. Saya kata petang nanti saya masakkan untuknya nasi ayam. Petang tu memang keraplah arwah datang. Dua minggu sebelum meninggal, arwah kerap bawa adiknya berjalan-jalan naik motor.
Ads
Saya selalu pesan kepadanya bawa motor baik-baik walaupun arwah memang bawa motor tak laju. Kadangkala saya ada juga terdetik rasa tak sedap hati bila berkata begitu. Takut terjatuh dan sebagainya. Malam sebelum kejadian, anak bongsu tiba-tiba demam dan menggigil. Dalam pukul 2 pagi saya mendapat panggilan daripada rakan arwah menyatakan dia kemalangan di Kajang dan terjatuh dari motor.
Anak ketiga (abang arwah) bergegas ke tempat kejadian dan menemainya menaiki ambulan. Ketika itu arwah masih sedar namun dalam keadaan kesakitan. Saya tak dapat pergi kerana kebetulan anak bongsu demam mengejut. Suami ke hospital untuk melihat keadaannya. Memandangkan arwah masih sedar ketika itu dia sempat bercerita bagaimana kemalangan boleh berlaku.
Menurut cerita, arwah keluar sebentar untuk berjumpa rakan memandangkan sudah lama dia tak keluar bertemu mereka sejak menjaga isterinya berpantang. Semasa dalam perjalanan tiba-tiba ada dua kereta dipandu laju sehingga arwah hilang kawalan. Arwah terpaksa brek mengejut lalu terjatuh.
Mulanya saya kurang percaya sebab setahu saya, sejak isterinya sarat mengandung arwah kerap memandu kereta dan sudah lama tak menunggang motor terutama luar dari Putrajaya. Apabila anak sulung berkongsi gambar kejadian barulah saya percaya. Keesokannya baru saya berpeluang ke hospital. Dari luaran kecederaannya sedikit sahaja. Cuma kecederaan dalamannya sahaja agak serius. Selepas dibedah arwah ‘ditidurkan’.
Ads
Arwah dipindahkan ke Hospital Selayang untuk tindakan susulan doktor pakar hati. Setiap hari saya akan ke sana walaupun arwah masih dalam ICU. Empat hari sebelum arwah pergi dia ada membuka mata. Fizikalnya juga semakin susut. Walaupun sedar tetapi arwah tidak mampu bercakap kerana masih lagi sakit dan terdapat banyak wayar di dalam mulut.
Hanya matanya sahaja mampu merenung ke arah saya. Dan setiap hari saya akan menyebut ‘Aqil, ini Mama..’ Terdetik juga, adakah dia buka mata hanya untuk seketika atau sebaliknya. Namun saya tetap positif dan yakin dia boleh sembuh. Anak sulung sentiasa berpesan agar kami terus berdoa kepada arwah. Setiap hari kami juga tidak lupa untuk mengaji di sisinya mohon kesembuhan.
SYAWAL
Gambar kenangan keluarga bersama arwah Aqil.
“Setiap kali raya arwah mesti nak saya sediakan baju Melayu. Saya pernah mengusiknya, dah kahwin belilah sendiri. Dia kata baju Melayu nak Mama yang sediakan. Sebelum pemergiannya kami hanya berkesempatan bercakap tentang baju raya sahaja. Itulah permintaan terakhir arwah yang paling saya terkesan kerana tidak dapat sediakan tahun ini. Menurut isterinya juga arwah sudah belikan siap-siap baju dan barangan bayi yang bersaiz besar. Mungkin dia pun dah tahu yang dia akan ‘pergi’ buat selamanya.
Sejak berkahwin arwah juga menjadi seorang yang lebih mengambil berat dan bertanggungjawab. Tahun ini pertama kali kami menyambut Syawal tanpa arwah. Selalunya arwahlah yang banyak cakap dan suka buat ‘bising’ di rumah. Jadi, ketiadaannya tahun ini memang cukup terasa. Kebetulan juga ibu saya tak sihat sejak tahun lalu. Memang dugaan buat saya.
Ads
Kalau diikutkan pemergian arwah masih lagi baru. Selepas pemergian arwah, apa yang saya lakukan ialah motivasikan diri dengan bercakap kepada diri sendiri agar sentiasa positif dan menjadi lebih kuat. Sebagai seorang Islam juga saya tidak pernah putus berdoa dalam solat lima waktu. Saya juga sentiasa memastikan mendekatkan diri kepadaNya. Itulah penawar paling mujarab buat saya, jiwa akan lebih tenang.
Bohonglah kalau saya kata tidak merasa sedih dan menangis terutama ketika merasa rindu. Ada juga situasi yang mengingatkan saya terhadap arwah. Contohnya, ketika memasak atau buat sesuatu perkara saya akan terasa ada sesuatu yang kurang. Selalunya saya akan hantar pesanan Whatsapp kepada arwah untuk bertanya khabar. Sekurang-kurangnya sekali sehari.
Selepas berkahwin arwah tinggal bersama keluarga mertuanya. Anak-anak yang lain masih tinggal bersama kami kerana masih belajar. Sejak arwah tiada saya rasa sesuatu yang kosong terutama pada setiap hujung minggu di mana arwah akan datang ke rumah menjenguk kami sekeluarga. Untuk tidak terlalu memikirkan rasa sedih saya akan sibukkan diri di tempat kerja dan keluar bersama rakan-rakan.
Setiap petang saya sering ke kubur arwah. Saya memang mahu arwah dikebumikan di Putrajaya kerana saya mahu dekat dengannya dan hendak berjumpa dengannya setiap hari. Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.
HIKMAH
Sejak pemergian arwah sebenarnya banyak hikmah dan kebaikan yang datang. Banyak pengajaran yang kami dapat selain banyakkan bersedekah untuk arwah dan orang lain. Sumber kekuatan saya semestinya suami walaupun selepas kejadian dialah insan yang paling lemah walaupun luarannya nampak tenang.
Kami banyak berkongsi rasa kerana saya sendiri memerlukan sokongan yang kuat ketika meluahkan apa yang dirasa. Saya juga semakin rapat dengan anak perempuan kedua kerana saya sering berkongsi perasaan dengannya dan dia cukup faham dan matang dengan apa yang berlaku. Harapan saya agar kami sekeluarga tabah menghadapi kehidupan dan semakin akrab bersama,” akhiri Azian sebak. Al Fatihah (mohon dibacakan buat Allahyarham Mohammad Aqil Zulkarnain).
Kredit Foto: Instagram @azianmazwann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tumpang bangga dengan kejayaan yang diraih Tomok dan isterinya, Ayu. Bermula daripada bawah, mereka kini mampu tersenyum gembira apabila segala usaha dan kerja keras selama ini membuahkan hasil.
Dalam kesibukan mengurus kerjaya seni dan anak-anak, kedua-duanya bijak mengurus masa depan. Hasilnya, Tomok dan Ayu kini bergelar pemilik beberapa buah cawangan francais hanya dalam masa lima tahun! Tahniah.
Difahamkan Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail mula menceburi perniagaan francais Chatime pada tahun 2017. Cawangan pertama yang dibuka Tomok waktu itu ialah di AEON Mall Shah Alam, Selangor.
Melihat bisnes makin kukuh, bekas penyanyi kumpulan New Boyz ini berjaya membuka satu lagi cawangan Chatime pada Oktober 2022 di Setia Alam City Mall, Selangor.
Tidak cukup itu, menerusi perkongsian Tomok di media sosial miliknya, dia memuat naik gambar isteri tercinta di satu lokasi yang dipercayai cawangan terbaharu milik mereka kelak.
Kongsinya, “Assalamualaikum selamat pagi semua. Satu lagi berita gembira saya nak share dengan korang semua.
InshaAllah outlet seterusnya di Petron Setia Alam akan mula beroperasi November ini. Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Terima kasih atas sokongan semua.”
Melimpah ruah rezeki pasangan suami isteri ini. Makin rancak nampaknya Tomok dan Ayu merencana masa depan keluarga mereka.
Selain mengusahakan perniagaan francais Chatime, mereka turut menjadi pemilik satu lagi jenama francais pemanis mulut popular iaitu Street Churros. Tomok dan isteri tercinta memiliki cawangan tersebut di AEON Mall Seremban 2.
Sebelum menceburi kedua-dua perniagaan berkenaan, mereka pernah menjalankan bisnes tudung jenama Arriandra. Namun perniagaan yang sudah lima tahun diusahakan tersebut terpaksa dihentikan pada tahun 2020.
Terbaharu, selain memenangi sebuah program nyanyian Tomok turut melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya mengadakan konsert Newboyz Sejarah Mungkin Berulang. Memang gamit memori betul!
Sebelum mendirikan rumah tangga, isteri Tomok iaitu Rahayu Abbas merupakan pramugari MAS. Ayu dan Tomok berkahwin pada tahun 2011 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Arrianshah Akid, Andrashah Iman dan Siti Khadijah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kelibat selebriti cantik, Datin Hajah Fouziah Gous sejak di awal kemunculannya dalam industri seni sehingga kini langsung tak berubah. Malah semakin berseri-seri sejak mengambil keputusan berhijab sebaik sahaja pulang dari mengerjakan ibadah haji tempoh hari.
Kelangsingan tubuh Datin Fouziah walau sudah memiliki dua orang cahaya mata, Muhammad Zeeshan Md Zhafran dan Zaheen Yusof Md Zhafran ini menjadi bualan. Nona bersyukur apabila pelakon filem Otai dan Sifu & Tongga ini tidak lokek berkongsi rahsia kekal langsing bak anak dara miliknya.
“Sebenarnya tiada rahsia yang istimewa. Cara saya kekal langsing mungkin sama macam orang lain juga. Saya tak ikat perut, diet teruk-teruk sampai tak makan tu tak makan ni untuk kekal langsing. I always enjoy my food.
Cuma saya kurangkan makanan manis. Saya bersyukur kerana saya sendiri memang tak suka minum manis sangat. Saya juga tak minum air sejuk tapi kadang-kadang minum juga cuma tak selalu. Saya tak kerap makan benda yang bergoreng dan berminyak. Mungkin amalan pemakanan saya ini sedikit sebanyak membantu saya kekal langsing,” ujar wanita yang berusia 37 tahun ini.
Selain menjaga pemakanan, Datin Fouziah juga mengamalkan gaya hidup sihat. “Selain menjaga pemakanan saya juga seorang yang sangat aktif. Saya seorang yang tak tahu duduk diam. Jadi, kadang-kadang kalau tidur dua atau tiga jam pun saya boleh bangun pagi macam biasa.
Saya boleh pergi hiking, boleh pergi gym saya dan saya jenis yang tiap-tiap hari kena masuk pejabat. Saya banyak berjalan walaupun bersama dengan anak. Macam mana penat sekalipun saya alhmadulillah so far tak ada masalah,” ujar isteri kepada Datuk Zhafran Md Yusof ini.
Tak cukup dengan itu, misi mengorek rahsia perut kempis Datin Fouziah diteruskan lagi. “Rahsia perut kempis saya adalah dengan Muay Thai. Sukan Muay Thai ini memang berbeza dengan sukan lain. Kalau nak cakap pasal sukan boleh dikatakan semua jenis sukan saya pernah lakukan.
Kalau nak tahu saya dulu salah seorang pemain hoki mewakili Kuala Lumpur. Zaman sekolah saya terlalu aktif. Kini setiap minggu memang saya akan hiking.
Tapi, apa yang saya nampak keistimewaan Muay Thai adalah kita boleh kurus dengan cepat. Ini kerana kita akan menggunakan semua anggota tubuh untuk melakukan pergerakan. Pergerakan pantas ini membantu untuk mengekalkan perut yang kempis,” terang pemilik gym yang diberi nama Fighters Den Muay ini.
Bila ditanya tentang idea membuka gym ini, jawab Datin Fouziah, “Idea membuka gym ini datangnya bila saya cakap my passion is more to natural product. Tambahan pula saya seorang yang sukakan fitness. Jadi, selepas saya merasakan perniagaan sarang burung semakin stabil baru saya membuka gym ini,” jelas Datin Fouziah yang berkongsi bersama rakan niaga untuk membuka gym ini.
Semoga Datin Fouziah Gous terus menyuntik inspirasi kepada semua wanita untuk kekal cantik, aktif, kaya dan berjaya sepertinya.
Foto: Instagram @fouziahgous
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Gerakan anti-vaksin masih lagi wujud. Berbekalkan ilmu yang dangkal dan tak seberapa, macam-macam sharing mereka yang ‘mengharamkan’ suntikan imunisasi itu sampai ke anak masing-masing.
Tak cukup tu, degil pula nauzubillah! Nona rasa golongan ibu bapa yang memilih untuk menolak vaksinasi ini adalah golongan yang paling tak sayangkan kesihatan anak.
Perkongsian daripada Dr. Taufiq Razif ini menerusi Facebook beliau menarik perhatian kami. Sebagai bapa, bayangkan beliau sendiri yang merupakan seorang doktor perubatan mencucuk jarum suntikan imunisasi pada anak kesayangan mereka. Bravo doc!
Saya ingat lagi pengalaman pertama kali vaksin anak sulung saya tu. Saya dan isteri sendiri yang sediakan ubat demam untuk anak saya takut-takut anak saya demam lepas kena cucuk!
Alhamdulillah syukur anak sulung saya tu takde demam pun lepas vaksin tu. Jujur saya faham je perasan ibu muda yang baru pertama kali nak vaksin anak kan. Takut anak demam dan takut anak sakit kan. Saya dan isteri pun sama je dengan ibubapa yang lain masa mula-mula nak vaksin anak sulung dulu walaupun kami berdua doktor.
Keluarga saya sendiri pun ada yang anti sangat dengan vaksin tapi bila anak dia asyik sakit je dan dia sendiri sedar yang anak dia lemah nak berhadapan dengan dunia luar yang penuh dengan kuman yang berbahaya maka dia pun ubah fikiran untuk vaksin anak dia. Alhamdulillah anaknya sekarang sihat walafiat dan cerdik sangat.
Masa lepas vaksin tu saya sendiri yang sediakan ubat paracetamol untuk anak saya kot la dia demam kan. Memang risau la sikit kan tapi bila pandang mata comel anak sulung saya tu saya jadi sayu je. Saya lebih risau kalau dia tak divaksin!
Kenapa?
Bahaya vaksin ni bukan main-main. Berpuluh jenis kuman dahsyat yang berlegar dalam masyarakat kita boleh serang anak kita bila-bila masa je. Saya nasihat bukan sebab saya baca buku teks je bahaya tak vaksin ni tapi saya tengok dengan mata kepala saya sendiri antaranya :
(a) Tetanus
Masa ni saya pelajar perubatan lagi. Ada sorang pakcik datang ke wad kecemasan dengan badan kaku seluruh tubuh. Ingatkan kena serangan strok kan. Tiba-tiba je pakcik tu menggelupur kejang dan badannya jadi lurus dan kaku dan badan dia mengeras macam papan!
Rupanya tengah kena serangan tetanus ataupun masyarakat kita biasa sebut kancing gigi akibat terpijak paku berkarat kat sawah dia. Entah apa la nasib pakcik tu sekarang.
(b) Batuk kokol / Pertussis
Kalau korang tengok bayi yang kena pertussis ni kan mesti korang menangis sebak. Bayi yang kena batuk kokol ni menangis pun susah sebab asyik duk batuk. Ada tu sampai biru tak boleh bernafas sebab batuk tak berhenti!
(c) Difteria
Kalau masuk je kes difteria ni mesti semua perawat dan petugas hospital terpaksa pakai mask sebab penyakit ni sangat la berjangkit! Saya sendiri pernah periksa mulut pesakit difteria ni dan nampak ada macam benda warna kelabu (pseudomembrane) melekat dekat dengan anak tekak dia.
Jangan main-main dengan benda tu. Sekali benda tu tertelan masuk dalam perut boleh mati anak kita tau sebab dalam tu ada toksin yang sangat berbahaya.
Jadi saya harap kepada ibubapa kat luar sana yang taknak vaksin anak, fikir la dalam dalam dan fikirkan jugak keselamatan anak kita yang kita sayangi tu. Ni saya nukilkan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli bin Mohamad Al Bakri daripada Irsyad Al Fatwa beliau sendiri ;
“Dalam hal ini Islam amat menitikberatkan keselamatan umat manusia. Sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan untuk maslahah ummah hanya diperakukan oleh syarak sekiranya tidak bercanggah dengan Maqasid Syar’iyyah iaitu menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta. Menurut fuqaha’, sebarang penyakit perlu dihindari, dirawat dan diubati. Dalam konteks ini pencegahan daripada sebarang bentuk gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa adalah menjadi pegangan dan keutamaan ajaran Islam.”
Semoga dengan pencerahan ini kita tidak ragu lagi dalam mengizinkan penggunaan vaksin oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk maslahat dalam kalangan kita.
Jadi, jom kita vaksinkan anak tanpa ragu-ragu lagi. Saya pun nak amik vaksin pneumococcal untuk anak saya jugak lepas ni. Jom!
Tun Dr. Siti Hasmah
Kisah vaksin juga mengingatkan Nona dengan pertemuan kami dengan Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu penggambaran cover Nona Jun 2016. Wanita tua tapi berjasa besar pada negara itu sempat menyampaikan amanatnya buat ibu bapa Malaysia.
“Jujurnya saya sangat bimbang dengan ‘keberanian’ ibu bapa sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah sudah terkawal.
Sewaktu masih bertugas dulu, kami bersungguh-sungguh memperjuangkan program pemberian imunisasi. Dan usaha itu berhasil mencegah kes batuk kokol, difteria dan polio pada kanak-kanak di bawah 1 tahun.
Usaha itu tidak harus berhenti. Saya mahu menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak,” pesannya serius. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.