Wanita berjiwa besar dan penuh inspirasi, Datin Paduka Dr Hajah Noraida Haji Mohd Yusof membuktikan bahawa wanita sebenarnya mampu mengemudi tanggungjawab sebagai jentera utama di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Paling membanggakan ialah Datin Paduka Dr Hajah Noraida telah melakar sejarahnya yang tersendiri apabila bergelar Ketua Pegawai Eksekutif wanita pertama PKNS.
SENTIASA POSITIF
Memulakan kerjaya sebagai Penolong Pengurus di Bahagian Perumahan PKNS pada Jun 1982, sepanjang berkhidmat di PKNS selama 36 tahun beliau sentiasa positif dan mahir dalam selok-belok tugasan sehingga layak digelar pegawai contoh. Di atas kecemerlangan itu beliau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 1998 dan 2003.
Ads
Beliau dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T) tahun 2000 dan Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) tahun 2011. Beliau juga adalah Pengerusi Lembaga Pengarah De Palma Management Services (rangkaian Hotel De Palma) dan berjaya mengukuhkan kedudukan Hotel De Palma sebagai ‘syariah compliance hotel’. Sebagai CEO di PKNS beliau bertanggungjawab kepada keseluruhan sistem pentadbiran dan pembangunan projek-projek hartanah PKNS.
RAHSIA KEJAYAAN
“Sepanjang perkhidmatan antara cabaran terhebat pernah saya hadapi ialah sewaktu diberikan tanggungjawab ini pada Oktober 2016. Keadaan ekonomi serta pasaran hartanah di Malaysia waktu itu agak kurang baik. Saya bersyukur kerana saya dapat menanganinya dengan baik dan sentiasa melakukan yang terbaik.
Ads
Bukan mudah sebenarnya menjadi seorang ketua kerana perkara paling saya takuti dalam kerjaya ialah kegagalan dalam mencapai keputusan yang dibuat. Walau bergelar ketua saya tidak pernah meletakkan standard mahupun jarak dengan kakitangan. Sikap merendah diri dan tidak sombong itu antara rahsia kejayaan saya.
Ads
Tanggungjawab terhadap staf merupakan satu amanah buat saya. Jangan sesekali merendahkan kemampuan mereka kerana itulah tulang belakang kejayaan sesebuah syarikat.
INSPIRASI
Sumber inspirasi saya ialah ibu dan bapa. Tanpa doa, restu dan sokongan daripada mereka maka tidak bermakna kejayaan saya selama ini. Selain itu, suami dan anak-anak menjadi penyokong kuat saya. Bagi saya makna kejayaan itu diukur pada pencapaian hasil kerja dan bagaimana orang luar melihat kepada diri kita,” kongsi ibu kepada dua orang anak yang berusia 59 tahun ini. Beliau aktif dalam kerja-kerja sukarelawan dan juga perunding.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Benar kata pepatah, setiap sesuatu yang terjadi itu sudah pasti ada hikmah di sebaliknya. Siapa sangka ‘kekurangan’ daripada pandangan mata kasar rupanya menjadi tunggak utama dalam kehidupan seseorang. Ratu Atlet Gimnastik ini berkongsi pengalamannya sewaktu kecil sebagai kanak-kanak hiperaktif.
Farah Ann Abdul Hadi tidak menyangka akan berkecimpung dalam sukan gimnas sehingga ke peringkat olimpik. “Saya mula menyertai sukan gimnas pada usia yang sangat muda iaitu tiga tahun. Menurut ibu, pada mulanya beliau tidak berniat untuk menjadikan saya seorang ahli gimnas.
Saya dahulu seorang hiperaktif dan doktor yang merawat mencadangkan agar ibu menghantar saya ke tempat yang boleh meningkatkan fokus. Kawan ibu mencadangkan agar saya dihantar ke pusat gimnastik di Shah Alam. Bermulalah episod kehidupan saya sebagai ahli gimnas di situ. Kemudian saya meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Bukit Jalil dan membuat latihan khusus di sana,” ucap Farah Ann yang mempunyai kakak merupakan atlet renang berirama negara, Katrina Ann Abdul Hadi.
Ketika diajukan soalan mengapa atlet cantik ini memilih cabang sukan ini, “Saya sifatkan sukan gimnastik sebagai sukan luar biasa. Gimnastik membantu individu menjadi lebih kuat dan fleksibel. Malah, saya berpendapat, sukan gimnastik menjadikan saya lebih kreatif untuk merancang aksi dan skil yang ingin ditonjolkan kepada umum,” ujar Farah Ann yang melakar sejarah sendiri apabila layak ke sukan Olimpik Tokyo 2020.
Walaupun temasya Sukan Olimpik 2020 telah ditangguhkan sehingga tahun depan, ekoran penularan pandemik COVID-19 namun energi positif Farah Ann terhadap sukan gimnastik tak berbelah bagi. “Untuk sekarang fokus utama saya adalah untuk bertanding di sukan Olimpik Tokyo 2020,” tutur gadis kacukan Melayu-Kanada ini yang menjalani jadual latihan ketat dan komited dengan sesi latihan demi menjaga prestasinya.
Menjadikan Dato’ Nicol David dan Pandalela Rinong sebagai idola, Farah Ann meletakkan harapan tinggi terhadap sukan yang dicintainya ini. “Harapan saya, untuk melihat lebih ramai lagi ahli sukan berjaya di persada dunia dan menggalakkan lebih ramai orang untuk menceburi bidang gimnastik ini.
Bukan mudah menjadi atlet negara, ada hari latihan yang agak memenatkan dan juga berhadapan dengan kecederaan. Saya berharap supaya peminat sukan tanah air sentiasa memberi sokongan padu untuk semua atlet negara,” terang gadis yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Global (Pengajian Antarabangsa) ini.
Terbuka berkongsi sisi peribadi kepada umum, tanpa berselindung Farah Ann mendedahkan masanya dengan keluarga sangat terhad. “Sebagai atlet sememangnya masa saya sangat padat dengan latihan. Oleh itu, saya sentiasa perlu ada pengurusan masa yang baik untuk mengatur jadual harian.
Kebiasaannya pada hujung minggu iaitu hari Ahad sahaja saya tidak mempunyai jadual latihan. Oleh itu, saya menggunakan waktu kualiti itu bersama keluarga dan rakan-rakan. Selain itu, saya suka membaca buku dan menonton tv,” bicara gadis yang berusia 26 tahun ini.
Melintasi perjalanan hidup wanita yang kini berusia 28 tahun ini, nyata mampu meniup semangat lebih ramai ibu muda untuk terus bangkit dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup, terutama dalam bidang perniagaan.
Memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah, Nurul Shahmira Roaslan dibesarkan di teratak flat kecil di Pantai Dalam sejak dari kecil. Ayah bekerja sebagai Pemandu Bas RapidKL. Ibu suri rumah sambil berniaga secara kecil-kecilan menjual vitagen dan Avon.
“Ibu telah pergi meninggal kami semua pada Feb 2017. Kehidupan yang kami lalui sekeluarga semuanya serba sederhana. Namun, saya amat bersyukur dilahirkan dalam sebuah keluarga kecil yang sarat dengan kasih sayang. Malah punya semangat juang yang tinggi di kalangan kami tiga beradik untuk mengubah kehidupan yang lebih baik.
Alhamdulillah, sekarang saya meneruskan kehidupan mencari rezeki dengan menjadi Stokis Aducktive Cornflakes, menjalankan perniagaan Restoran Warung Chatok di Cyberjaya. Saya juga merupakan agent Kopi Hainan Bukit Beruntung dan pada masa yang sama bertindak sebagai Perunding Hartanah di Nas Realty. Membuat pelbagai kerja pada satu masa, menjadikan hari-hari saya lebih bersemangat dan kuat mengharungi pelbagai dugaan yang ada.
Sejujurnya kala pandemik lalu, saya di antara yang terkesan teruk dengan situasi tersebut. Walaupun restoran boleh dijalankan tapi perniagaan saya masih ‘hijau’ dan baru dibuka ketika pandemik September 2020. Perniagaan yang masih dalam fasa nak dikenali, nak memahami pasaran dan masih mentah dalam dunia F&B.
Tapi, alhamdulillah, saya banyak belajar baik dan buruk dalam perniagaan makanan. Saya bangkit sedikit demi sedikit. Demi memantapkan lagi pengurusan restoran, saya berkolaborasi bersama Malakat Food Sdn Bhd. Semoga dipermudahkan semuanya,” ujar Shahmira sambil tersenyum.
Menyingkap kisah wanita ini di awal pembabitan dalam dunia perniagaan, beliau bercerita, “Saya memang suka menjual dari dulu. Start sekolah menengah saya mula join aktiviti cari extra income. Setiap cuti semester saya akan kerja di Call Centre jual insurans.
Kemudian waktu final year semester, saya jual hartanah sambil menjadi intern di sana. Saya mula serius dalam bidang hartanah tetapi setelah mama meninggal dunia, saya stop sebab hilang kekuatan. Mama yang sentiasa teman saya inspection rumah mahupun jumpa client. Bila kehilangan insan yang menjadi tulang belakang utama saya, terasa macam segalanya kosong dan jiwa saya tiada lagi di situ.
Namun atas sokongan adik-beradik lain, saya bangkit kembali mula jual tudung, produk avon, kuih raya sehinggalah sekarang saya fokus jual produk kudap kudap cornflakes telur masin brand Aducktive. Mereka menyediakan platform bantu suri rumah, pelajar, sesiapa sahaja yang nak menjana pendapatan tambahan dengan modal minima.
Kemudian saya bertemu jodoh dan berkahwin di usia muda. September 2018 selepas berpantang, saya berkhidmat di Astro sebagai sales call centre, tapi hanya sebulan saja. Kemudian saya kerja dalam bidang finance dan ketika itu saya diberi peluang kerja sambil bisnes. Alang-alang keluar berjumpa pelanggan dan event, saya promote bisnes saya sekali.
Saya ingat lagi bawa anak sambil buka booth. Alhamdulillah, bos baik sangat waktu itu, sentiasa memberi sokongan kepada saya. Rezeki saya awal tahun 2020 saya berhenti kerja dan mula fokus untuk berniaga sendiri.
Tiba-tiba pandemik melanda. Saya masih terus gagah menjual dengan bisnes sedia ada. Saya diberi peluang untuk buka restoran. Tapi disebabkan pandemik saya tangguh restoran pada bulan September 2020.
Alhamdulillah, sehingga hari ini saya masih kesempatan dapat run perniagaan F&B, Warung Chatok walaupun pelbagai cabaran melanda. Sekarang saya tak keseorangan sebab Malakat Food Sdn Bhd bersama dengan saya dalam membangunkan restoran ini. Semuanya adalah hasil bersama Aducktive yang banyak bantu.
Pada masa yang sama, saya kembali aktif semula dalam bidang hartanah sebagai Ejen Hartanah dan menyediakan platform untuk bantu mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang niaga dengan permulaan risiko rendah.
Azam saya nak bantu usahawan dalam pemilikan hartanah. Saya nak fokus untuk memiliki agensi sendiri, saya sedang belajar untuk mencapai impian tersebut,” jelas Shahmira penuh semangat.
Jatuh bangun dalam meneruskan perniagaan demi kelangsungan hidup, sudah pasti ada peristiwa yang menyentuh hati hingga menjadi kenangan selamanya buat Shahmira, “Antara momen yang mungkin tidak saya lupakan, ketika saya dalam kereta dengan keadaan diri yang terlampau tertekan.
Perniagaan tidak stabil dengan pengurusan staf tidak baik, anak saya di sebelah tengok saya yang sedang nangis. Dia pun nangis. Aryan kenapa nangis? ‘Ibu, Aryan tak nak pergi school, Aryan tak nak pergi dekat ibu (pengasuh) Aryan nak ibu je!’ Saya terkedu, anak saya sepertinya sangat merindui diri saya yang terlalu sibuk dan sepertinya tidak terurus kehidupan sehingga tiada masa lapang.
Sejujurnya time tu masa saya amat amat limited. Pagi beli barang, pergi kedai duduk di kedai. Anak pergi sekolah dan balik, adik saya jaga Aryan di rumah. Sales tak okay. Saya uruskan marketing, managemnet, finance semua sendiri. Dengan tiada pengalaman, lack of sources saya jadi penat sangat. Dengan agents yang datang dan pergi. Terjerat dengan scammer lagi. Saya jadi tak fokus!
Tapi saya tetap yakin saya boleh buat, saya enggan mengaku kalah! Saya belajar bahawa, Allah jadikan sesuatu bersebab. Kita ingat Allah , insyaAllah Allah jaga kita. Allah bagi apa yang terbaik. Kita kerja fikir duit 25 jam pun kalau bukan rezeki Allah nak bagi takde apa pun ketenangan yang kita dapat. Fikir cara susah sedangkan Allah dah bagi cara senang.
Saya mula belajar secara bijak menguruskan masa, jaga suami, anak dan keluarga baik-baik. Taat pada suami. Ikut suruhan Allah. Doa apa sahaja kita nak, insyaAllh, Dia bagi. Kita perlu usaha secara profesional. Susun. Syukur. Tetapkan goal, lakukan semuanya demi ummah. Niatkan perniagaan kita bersama Dia.
Sekarang alhamdulillah, semuanya lebih baik. Restoran saya mungkin akan melakukan penjenamaan semula dengan pihak partner. Saya akan fokus kepada hartanah, aducktive dan gerai kopi hainan di Petronas Bukit Beruntung. Walaupun alami kerugian lebih ratusan ribu tapi saya percaya ini adalah pembelajaran hidup yang orang lain tak akan dapat,” cerita Shahmira panjang.
Pastinya dalam apa jua keadaan, keluarga banyak membantu kejayaan Shahmira. “Suami sentiasa ada dan membantu saya dalam segala keadaan. Suami seorang tentera. Dan saya faham kepenatan serta tekanan yang dia alami. Dengan situasi kesusahan yang saya hadapi sebelum ini, dia sabar dan sentiasa membantu saya dari segi mental dan fizikal. Ayah dan keluarga mertua tidak putus memberi sokongan, temasuk sahabat yang sentiasa positif, membuatkan saya terus kuat,” katanya.
Pesana akhir buat wanita lain, “Dunia bisnes memang betul ada naik turun. Setiap kegagalan yang kita hadapi akan jadi satu kebangkitan yang lebih besar dan lebih baik malah maju di masa akan datang. Cuma kita jangan putus asa. Setiap hari ada penambah baikkan kita perlu buat.
Kesilapan, kesalahan perlu dibuat untuk menjadikan kita luar biasa. Saya pernah jatuh, tertiarap tapi saya tak patah semangat akan dtg mungkin putaran itu akan kembali tapi mungkin lebih bersedia dan cepat pulihkan,” akhiri Shahmira.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keluarga dan kerjaya perlu seimbang. Bak kata Pengarah KPJ Healthcare, Tan Sri Siti Sa’diah Sheikh Bakir ini, “Untuk berjaya bukan mudah. Tahap yang perlu dilalui seorang wanita adalah amat sukar kalau mereka ingin maju. Tapi tak bermakna kita tak boleh capai sesuatu matlamat itu. Dengan sedikit pengorbanan misalnya ketika saya tak mampu habiskan kerja di pejabat, saya akan bangun pagi sebelum Subuh dan lakukan apa yang perlu saya lakukan.”
Bagi wanita bekerjaya, pasti inilah rutin yang harus mereka tempuh setiap hari. Kelam-kabut dibuatnya hendak menguruskan bermacam-macam tugas dalam satu-satu masa. Namun, dengan sokongan padu keluarga, disiplin yang tinggi dan rasa bertanggungjawab semuanya berjalan lancar.
Berpuluh-puluh tahun mengerah keringat untuk pembangunan KPJ sehingga memiliki nilai pendapatan melebihi RM2 bilion, ini rupa-rupanya yang dilakukan Tan Sri Siti Sa’diah, “Sambil masukkan baju dalam mesin, saya masak air, saya boleh tengok notes dan tiba waktu Subuh.. solat Subuh.
Kita kena pelbagaikan tugas-tugas tu. Jangan manjakan diri. Kita sendiri patut tanam semangat kuat bekerja bukan saja kepada diri kita tapi anak-anak dan mereka yang kita uruskan. Kalau kita malas, kita takkan capai kejayaan. Sekarang ni bukan soal hard work tapi work smart. Maknanya boleh bahagikan masa antara keluarga.
Sejak saya mula menceburi bidang korporat ni, semasa anak-anak masih kecil.. saya tak terlalu memanjakan diri saya, saya bekerja keras, mencari pengalaman dan di samping itu memberi tauladan kepada anak-anak. Saya tidak menonton televisyen sepanjang masa. Saya akan duduk dengan anak-anak di meja. Mereka belajar menghafal atau membaca dan saya sendiri dapat buat kerja saya sendiri sambil mendengar apa yang mereka buat.
Saya melaksanakan tugas dan tanggungjawab itu sebagai satu ibadah yang perlu dilaksanakan dengan penuh kesabaran, dedikasi, komitmen dan integriti tinggi demi memperoleh kejayaan. Bapa saya berpesan supaya menjadikan amanah sebagai amalan hidup dan saya juga perlu memastikan keseimbangan dalam menguruskan kerjaya dan keluarga saya.”
Memang cekal jiwa dan semangat wanita inspirasi berusia 64 tahun ini. Apa yang telah dilakukan Tan Sri Siti Sa’diah nyata satu perkara yang sangat membanggakan khusus kepada seluruh kaum wanita. Beliau merupakan ibu kepada tiga orang cahaya mata serta lapan cucu dan berjaya meletakkan syarikat KPJ Healthcare tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur.
“Syukur alhamdulillah, semua dipermudahkan oleh Allah SWT kerana saya berjaya menaikkan nilai syarikat KPJ menjadi sebuah syarikat besar berpendapatan lebih RM2 bilion setahun dengan modal pasaran semasa lebih daripada RM3 bilion pada akhir tahun 2012. Detik itulah juga saya bersara setelah hampir 38 tahun berkhidmat dengan KPJ dan selama 20 tahun memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.