
Pernah tak anda mnegalami rasa kebas yang teramat sangat pada malam hari sehingga membuatkan anda terjaga dari tidur? Mungkin ramai yang tidak pernah mendengar mengenai sindrom Carpal Tunner atau Carpal Tunnel Syndrome (CTS). Jangan pandang remeh hal ini kerana anda mungkin perlukan bantuan pakar!
CTS adalah keadaan di mana jari tangan anda mengalami rasa nyeri, sensasi kesemutan atau kebas. Biasanya, ia menyerang jari telunjuk dan jari tengah serta akan merebak secara perlahan dan bertambah parah pada waktu malam.
Gejala CTS yang anda perlu tahu:
- Ibu jari melemah sehingga mudah terlepas barang yang dipegang
- Terasa sakit seperti tertusuk
- Muncul rasa sakit yang menjalar ke tangan atau lengan. Biasanya ia dirasai pada sebelah atau kedua-dua tangan. Tetapi dalam kebanyakkan kes, ia akan terjadi kepada kedua-dua tangan.
Penyebab CTS:
- Mengalami kecederaan pada pergelangan tangan
- Faktor keturunan keluarga yang menderita CTS
- Kehamilan. Biasanya CTS pada wanita hamil akan hilang selepas melahirkan anak.
- Sering melakukan kerja-kerja berat atau melakukan kerja secara berulang-ulang seperti menaip, menulis atau menjahit
- Mempunyai masalah kesihatan lain seperti rheumatoid arthritis dan diabetis
Langkah pencegahan berlakunya CTS
- Elakkan dari membengkok pergelangan tangan secara berulang-ulang. Sekiranya anda sering menaip di komputer, posisikan tangan anda sama tinggi dengan siku atau sedikit rendah. Asalkan tangan diletakkan secara santai.
- Jika anda bekerja atau melakukan aktiviti yang memnafaatkan pergelangan tangan, pastikan anda mengambil sedikit masa untuk merehatkan tangan untuk mengelakkan tekanan.
- Ambil masa untuk membuat senaman tangan sebelum, semasa dan selepas menggunakan tangan secara berat.
- Pastikan anda tidur dengan posisi tangan lurus.
- Jika anda bekerja di bawah lingkungan penghawa dingin, gunakan sarung tangan agar tangan tidak berasa terlalu sejuk. Suhu sejuk boleh membuatkan rasa sakit pada sendi.
Bila Datuk Mula Di Himpit Perempuan Lain, Isteri Sudah Tidak Disentuhi. Kesian ‘Datin’…

“Lantaran adanya wanita, alam menjadi indah, lantaran adanya lelaki dunia menjadi sempurna. Lantaran adanya lelaki dan wanita terkadang sempurnalah suatu kelemahan di sebalik suatu kekuatan. Antara wanita dan lelaki saling memerlukan, sering disebut kejayaan seorang lelaki tulang belakangnya seorang isteri. Namun sering kali lelaki terlupa atau sengaja di buat lupa ingatan bila dalam hidup, kita lebih banyak mendapatkan apa yang tidak kita inginkan. Dan ketika kita mendapatkan apa yang kita inginkan, akhirnya kita tahu bahawa yang kita inginkan terkadang tidak dapat membuat hidup kita menjadi lebih bahagia tanpa seorang isteri…’
Merenung wajah seorang isteri VIP kala melihat suaminya di ambang kejayaan sayu hati terasa. Dengan senyuman manis isteri yang dibuat-buat seperti takut wajah keretakan solekan dan tepukan kedua-dua belah tangan yang mungkin tidak ikhlas bunyinya. Apalah daya si isteri kerana yang berdiri di hadapan pentas adalah lelaki yang bernama suami dan ayah kepada tiga orang anaknya. Kejayaan suaminya diraikan dengan penuh meriah namun perasaan hati isterinya diserikan dengan titisan air mata. Inilah tuntutan seorang suami terhadap seorang isteri untuk meneruskan drama bersiri yang tidak tahu bila episod terakhirnya. Susah untuk mengenali insan bernama lelaki dan suami, terutama bila sudah kaya dan menjadi ternama…
Lelaki yang bergelar suami itu cukup menawan, bergaya, berkarisma, tinggi nilai egonya dan mudah sekali jadi bengis bila perasaan romantiknya jauh melayang. Oh… Susah untuk mengenali dunia maskulin ini. Biarpun sudah berbelas tahun membina mahligai bersama, ada lagi si isteri yang tidak memahami sifat suaminya. Timbul perubahan yang sememangnya mencacat kan kehidupan rumah tangga sehingga mengheret pada kehancuran dan penyeksaan.
Di awal perkahwinan sifat suaminya penuh dengan kasih sayang. Kalau tidak berjumpa sehari dipaksa-paksa untuk berjumpa keesokan harinya. Bila berjalan disuruh berhati-hati dan kala menyuap makanan saling bertukar suapan. Waktu susah suami cukup prihatin, bertanggungjawab dan lengkap nilai-nilai kasih sayang. Konon-kononnya susah senang bersama, asalkan harta benda si isteri dapat berkongsi bersama. Si isteri pun ingatkan demi cinta dan hidup semati, bermati-matian bergolok bergadai segala harta yang ada untuk suami berjaya dalam bidang perniagaan. Inilah keadaan normal yang harus wanita ketahui tentang lelaki sebelum berkahwin dan selepas beberapa bulan berkahwin memang harumnya masih ada. Manis mulut, elok layanannya.
Tetapi… sayangnya selepas sahaja anak pertama membuka mata mengenali dunia, sifat suami semakin berubah. Mana tidaknya, si isteri mula sibuk melayan kerenah anak kecil dan waktu itu juga ramai yang menyalahkan pihak isteri. Kononnya sudah tidak pandai jaga suami sebab itulah dia berubah. Sedangkan habis madu dihirupnya, segala harta isteri dikorek habis-habisan, suami mula berubah…
Harus di ingat wahai wanita, lelaki yang nipis imannya dan tenggelam dengan harta dunia sentiasa di hanyutkan oleh hasutan syaitan. Lelaki akan mula berubah kesetiaannya hanya kerana wang dan wanita. Suami VIP mula hidung tinggi apabila mendapat gelaran ‘Datuk’ dan projek mula masuk bagai air lalu. Isteri di rumah sibuk melayan kerenah anak dan dalam masa yang sama perlu berhias cantik untuk menemani suami di majlis rasmi.
Setiap majlis dihadiri pasangan VIP ini, sentiasa tersenyum manis bagai sebuah keluarga bahagia. Namun di sebalik tirai persembahannya ada drama yang tidak siapa ketahui. Pulang ke rumah pergaduhan sering berlaku sehingga pada adegan pukul memukul. Itulah lelaki! Perubahan masa bercinta pipi dicium manja, bila sudah berubah muka isteri lebam dikerjakan tangan kasarnya. Si isteri tidak pula mengadu kerana takut pada suami dan demi menjaga maruah gelaran ‘Datuk’.
Bila Datuk mula dihimpit perempuan lain, si isteri sudah tidak disentuhi. Disuruh tidur di bilik berasingan bersama anak. Kesian ‘Datin’… begitulah lelaki bila terlalu banyak komitmen dengan wanita luar rumah. Akibat tidak tahan dengan pukulan, maki hamun dan hidup tanpa nafkah batin. Datin meminta untuk berpisah… Sayang sekali si suami bergelar ‘Datuk’ tidak mungkin melepaskannya, hanya kerana terlalu sayang… Sayangnya bukannya pada isteri tetapi pada sebuah gelaran ‘Datuk’ dan maruah keluarga. Susah ingin dilepaskan kerana masyarakat luar memuji kebahagiaan rumah tangga mereka, malah kejayaan suami dahulunya juga di bantu oleh isteri.
Deritanya isteri, tiada siapa tahu. Akhirnya si isteri di bawa keluar dari mahligai yang di bina sejak berkahwin dan ditempatkan di kondominium bersama anak kecilnya. Inilah lelaki… bila berubah hati dan perasaan ada kalanya tidak berhati perut. Datuk ada duit… perempuan simpanan keliling pinggang. Tetapi bila ingin ke majlis, di ambilnya isteri di bawah kondominium dan diperagakan untuk tatapan umum. Jika si isteri tidak mahu, segala kesenangan dan perbelanjaan akan ditarik balik. Ya! Kerana Datuk rasa dia ada kuasa…
Begitulah keadaannya sehingga ke hari ini yang penulis ketahui. Kesian tak sudah pada isteri dan penulis rasa tiba masanya untuk ‘Datin’ melakukan sesuatu demi masa depan dia dan anaknya. Jangan terlalu menutup mata hati dengan satu sinar sahaja, pandang di luar cahaya masih cerah menanti.
Datuk… Oh! Datuk, lelaki yang sukar difahami. Tidak pernah puas dengan apa yang di kecapi hari ini. Nanti suatu hari, bila sudah jatuh di timpa tangga pastinya isteri yang di campak keluar juga akan menghulur tangan. Mungkin balasannya bukan hari ini tetapi esok lusa siapa tahu! Tuhan itu maha berkuasa…
Bakal Berpindah Kediaman Baharu Menjelang SYAWAL, Rupanya Rozita Che Wan Pernah Ditipu Kontraktor

Sememangnya sambutan Syawal tahun ini kita bakal merayakannya dalam norma baharu namun persediaan untuk menyambut bulan yang mulia itu tidak harus diabaikan. Selebriti terkenal tanahair Rozita Che Wan berharap tahun ini dapat menyambut hari raya di kediaman baharunya bersama keluarga tercinta.


“Saya berharap hasrat untuk berpindah ke kediaman baharu akan jadi kenyataan tahun ini. Kalau tak ada aral saya akan masuk rumah itu sebelum raya nanti. Harapnya dapatlah beraya di rumah baru.


Sebenarnya, sejak tahun lalu, ketika pandemik melanda, saya bertukar kontraktor kerja pengubahsuaian sebanyak tiga kali. Ada yang menipu, jadi itulah punca urusan berpindah ke rumah baharu jadi tertangguh,” kata isteri kepada Zain Saidin ini.

Tanggal 9 Mac lalu juga merupakan tarikh kelahiran wanita tinggi lampai ini dan genap usianya 48 tahun. Bagi meraikan hari jadinya Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta ini membuat kelainan dengan mengadakan majlis kesyukuran berbentuk kuliah Dhuha di premis acara Aman House di ibu kota dengan mengundang pendakwah bebas, Syamsul Debat.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini menyenangi cara Syamsul Debat berkongsi ilmu dan nasihat. “Ada usikan dan lawaknya memang betul betul kena tepat kepada batang hidung sendiri. Ia jadi teguran bermakna dan cerminan untuk diri sendiri. Jujur rasa tak puas mendengar kuliahnya ketika itu sebab dia perlu bergegas ke tempat lain,” kata kakak kepada selebriti Ayu Raudhah ini.

Rezeki wanita ini begitu murah dan bersyukur kerana terus diberi mandat mempromosikan jenama Habib Jewel untuk tahun ketiga. Rozita juga semakin aktif dalam dunia lakonan dan bakal berpuasa di set penggambaran pada tahun ini.

“Insya-Allah hujung bulan ini kalau tak ada aral melintang, saya akan ke Perlis untuk penggambaran drama 13 episod, Ayahanda terbitan Zeel Production. Drama itu arahan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar. Ia turut dibintangi Fauziah Ahmad Daud dan Shahrolnizam Nor.

Nampak gayanya saya akan menyambut Ramadan di sanalah kerana penggambaran drama itu 100 peratus dilakukan di sana,” katanya yang baru saja selesai menjalani penggambaran drama Dia Isteriku berganding dengan Hafidz Roshdi untuk TV AlHijrah.
Suami Isteri ‘Pilot’, FARAH ZIEDA Tak Sangka Jadi Juruterbang Wanita Pada Usia Muda!

Seronok tengok kejayaan yang dicapai wanita muda dari Johor ini. Mana tidaknya, baru meniti usia 29 tahun… Farah Zieda Mohd Anuar sudah pun berjaya mengejar salah satu impian hidupnya iaitu untuk menjadi juruterbang. Lebih manis, kerjaya idaman ini jugalah yang mempertemukan dia dengan suami tercinta yang merupakan juruterbang di syarikat penerbangan sama, AirAsia. Alahai, indahnya bertemu jodoh di awan biru!
Farah yang juga graduan Diploma Malaysia Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) berkata sebelum bergelar juruterbang dia terlebih dahulu menyertai Akademi Latihan Penerbangan Gulf Golden International Flying Academy Sdn Bhd (GGIFA), di Bintulu, Sarawak untuk mendapatkan lesen juruterbang pengangkutan syarikat penerbangan (CPL/IR with Frozen ATPL).
“Saya mula berkhidmat di AirAsia pada tahun 2013 selepas menimba pengalaman bekerja di bahagian jualan tiket penerbangan Airasia selain mengumpul maklumat mengenai skop kerjaya sebagai juruterbang. Sepanjang bertugas di sana, saya telah berkahwin dengan suami yang juga juruterbang AirAsia.”
Ditanya apa yang membuatkannya terdetik untuk memilih kerjaya berkenaan, Farah tanpa berselindung mengakui semuanya bermula daripada bapa tersayang. “Bapa saya merupakan seorang Kapten yang mengendalikan pesawat A330 lebih 20 tahun bersama Malaysia Airlines dan sekarang beliau ialah seorang Kapten A320 di Airasia. Bapa saya sering berkongsi pengalaman kerjanya dengan anak-anak waktu kami kecil dulu.
Jadi apabila saya berumur 15 tahun dan berbekalkan inspirasi daripada bapa, saya sudah memasang cita-cita sebagai seorang juruterbang meskipun pada masa itu, tidak ramai juruterbang wanita tempatan. Dengan apa yang saya miliki hari ini, saya rasa sangat bangga kerana dapat meneruskan kerjaya yang diinspirasikan oleh beliau. Saya ingat lagi kali pertama saya mengendalikan pesawat Airbus A320, saya rasa tidak percaya yang saya dapat kendalikan pesawat tersebut.
Malah, saya juga bangga kerana berkhidmat bersama syarikat penerbangan yang mengukur kerja keras dan layanan adil serta sama rata tidak kira jantina. Bagi saya, tiada
cabaran khusus sebagai seorang juruterbang wanita kerana kami melalui latihan yang sama seperti juruterbang lelaki. Kami mengendalikan penerbangan berdasarkan piawaian
dan peraturan industri yang telah ditetapkan.
Kerjaya ini sememangnya mencabar kerana ia bergantung kepada cuaca semasa dan setiap penerbangan tidak akan sama kerana cabarannya berbeza bagi setiap penerbangan. Paling penting sebagai juruterbang, kita harus sentiasa bertenang dalam mengendalikan pesawat dengan selamat dalam apa jua keadaan.”
Teruja bercerita pengalaman yang dilalui sepanjang menjadi juruterbang, Farah dalam pada itu turut berkongsi peristiwa berdepan detik cemas suatu ketika dulu. “Saya
pernah mengendalikan situasi kecemasan di mana seorang penumpang mengalami pendarahan yang berterusan semasa dalam penerbangan.
Syukurlah ada di antara penumpang terdiri daripada jururawat dan doktor yang turut berada dalam penerbangan sama. Mujur segalanya terkawal. Dari pengalaman tersebut saya mempelajari tugas kami haruslah membawa pesawat mendarat dengan selamat secepat mungkin untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku kepada para penumpang.”
Sebelum memulakan tugas, Farah akan memastikan dia mendapat rehat yang cukup dan bersedia untuk bertugas. Pelaksanaan ‘document check’ dan ‘walkaround check’ secara teliti sebelum berlepas penting untuk mengelakkan sebarang masalah dan kesilapan. Walau kerjaya ini berdepan dengan situasi tidak menentu setiap hari namun Farah gembira dengan pilihan kerjayanya ini.
“Setiap hari, saya berkata kepada diri sendiri “Do what you love” jadi saya amat menyukai kerja saya ini hingga saya tidak rasa ia satu pekerjaan. Macam betapa sukanya saya terhadap sukan berbasikal, macam tu jugalah perasaannya bila saya bekerja. Rasa seronok dapat buat benda yang kita suka.
Bagi saya ini bukan sekadar satu pekerjaan, tetapi ia adalah peluang untuk saya terus belajar menjadi insan yang lebih baik dalam pelbagai aspek. Menjadi isteri yang baik, ibu yang mampu memberikan yang terbaik untuk anak-anak saya nanti, menjadi anak, kakak, adik yang baik terhadap ahli keluarga.”
Tambahnya lagi sebelum mengakhiri perbualan, “Jangan sesekali fikir bahawa jantina akan menjadi penghalang kepada impian anda. Yang penting anda berusaha dan bekerja keras sama seperti orang lain. “Dare to dream” dan lakukan yang terbaik selain sentiasa pegang kepada DUIT iaitu Doa, usaha, ikhtiar, tawakal. InshaAllah segalanya akan dipermudahkan.”